TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, April 17, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Turun gunung ke majlis kahwin...

Saya pernah mendaki dengan beberapa ahli Orang Gunung Kuala Lumpur penghujung tahun 1990 an ketika mendaki di Gunung Hijau di Taiping Perak.
 
Ketika itu difahamkan, kelab ini baharu sahaja di tubuhkan dan mula aktif mendaki gunung-gunung di Malaysia. Malah beberapa tahun kemudian saya selalu membaca aktiviti kelab ini dengan memanjangkan sahutan cabaran mereka mendaki gunung si luar negara.
 
Mereka mempunyai ramai ahli yang mempunyai minat yang sama dan pastinya hubungan sesama mereka juga amat mesra dan erat.
 
Malah untuk ke majlis kenduri kahwin sahabat kelab mereka sekalipun, masih sempat mereka aturkan aktivti mendaki gunung.
 
Antaranya kegilaan mereka mendaki gunung di Cameron Highlands dalam perjalanan mereka kenduri kahwin sahabat kelab mereka di Perak.
 
Anda boleh menjadi seperti mereka? Mungkin pengalaman yang dikongsikan oleh mereka ini boleh dijadikan panduan untuk pendakian yang ringkas dan pendek...

PARA pendaki bergambar kenangan di puncak Gunung Berembun Wray's, Cameron Highlands, Pahang.
 
ETIAP kali cuti umum berganda, pasti ada program mendaki gunung di dalam dan luar negara.
Oleh kerana Tahun Baharu Cina jatuh pada hari Ahad dan Isnin pada Februari lalu, maka cuti yang panjang itu menjadi 'rebutan' kelab rekreasi untuk menganjurkan program.

Ini termasuklah Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) yang menganjurkan program mendaki Gunung Hantu dan Gunung Berembun Wray's di Ringlet, Cameron Highlands, Pahang.

Ekspedisi yang bermula dari Kuala Lumpur itu diketuai oleh Mohd. Hadri Aswad Salim. Sebanyak 20 orang telah menjayakan program tersebut.

Sebaik sahaja tiba di Ringlet, kami bergabung dengan tiga peserta dari Alor Setar, Kedah iaitu Nurhairiah (Kerry), Putra Shariman Salim dan Dr. Arfah Ahmad. Selepas solat subuh, kami menaiki dua jentera pacuan empat roda (4x4) yang disewa menuju ke pekan Ringlet untuk sarapan.

Selesai sarapan, kami menaiki semula 4x4 itu menuju ke simpang masuk ke Kuala Lipis. Dari situ, laluan yang berliku ditempuh dan apabila laluan semakin terpisah dari jalan utama, 4x4 dikerah menempuh laluan off road yang berbukit.

Kami tiba di perkampungan Orang Asli di Kampung Telimau pada pukul 11 pagi. Terdapat lebih kurang 120 penduduk yang mana separuh daripadanya beragama Islam.

Di kampung ini, kami menemui pemandu arah yang dikenali Pak Juma. Beliau dibantu oleh anak buahnya, Kadir untuk membawa kami mendaki gunung-gunung tersebut.

Selesai senaman dan berdoa, kami mula mendaki dengan menempuh kebun sayur.

Sebaik sahaja memasuki kawasan hutan yang agak 'dara', kami mula melayan trek pacak.

Hampir 40 minit kami berhempas pulas melepasi trek tersebut. Kami terus berjalan sehingga pukul 2.30 petang untuk makan tengah hari sambil menunggu rakan-rakan lain tiba.

Nasi bungkus berlaukkan telur dadar dijamah begitu sahaja. Ini kerana sambal yang dibawa oleh peserta belakang belum sampai.

Selepas solat jamak Zohor dan Asar, kami meneruskan perjalanan. Setiap kali ditanya berapa lama perlu mendaki, Pak Juma menjawab, "lagi setengah jam."

Apa pun, kami meneruskan perjalanan sambil mengharapkan tiba di tempat yang dituju sebelum gelap. Pada pukul 5 petang, kami tiba di punca air terakhir. Beberapa rakan turun mengambil air.
Syukur kami tiba di puncak Gunung Hantu tepat pukul 6 petang. Dengan saiz tapak khemah yang terhad, hanya tiga buah khemah dapat didirikan.

Selepas solat Maghrib dan makan malam, sesi suai kenal pun bermula. Tiada bahan lain, selain menyakat seorang rakan kami dan berbual tentang hal-hal pendakian hari ini.

Keesokan harinya,kami bersiap untuk mendaki Gunung Berembun Wray's pula. Perjalanan ke puncak hanya balik hari. Sesekali kami terpaksa melepasi halangan balak tumbang. Pada awal perjalanan, Pak Juma berjalan jauh di hadapan sehingga hilang dari pandangan. Trek yang dilalui juga asyik 'hilang' lantaran jarang ditempuh.

Ketika puncak Gunung Berembun Wray's semakin kelihatan, Pak Juma, Kadir dan saya terus mara ke hadapan. Namun sekali lagi mereka hilang dari 'radar' dan terpaksalah saya menunggu rakan-rakan lain di belakang bagi mengelakkan tersasar dari laluan.

Walaupun puncak sudah kelihatan, namun kami terpaksa menempuh 'puncak tipu' beberapa kali. Lumut-lumut hijau yang menghiasi alam semakin cantik dipandang.

Setelah empat jam berjalan, kami tiba di puncak Gunung Berembun Wray's di ketinggian 2,005 meter. Puncak tidak besar tetapi cukup memuatkan kami.

Selepas bergambar, kami terus turun kerana jentera 4x4 menunggu kami di kaki gunung pada pukul 6 petang.

Oleh kerana itu, perjalanan turun perlu dilakukan dalam tempoh dua jam setengah. Dalam perjalanan turun ini, kumpulan kami berpecah dua.

Sebelum tiba di kawasan yang terdapat kayu balak, kami terkeliru dengan laluan yang tidak bertanda. Namun kami dapat mencari laluan yang betul dan tiba di tempat 4x4 menunggu dengan selamat.

Tamatlah sudah tempoh 14 jam kami bertarung di Gunung Berembun Wray's. Kami dimaklumkan sebuah kenderaan 4x4 rosak dan disebabkan itu, kami terpaksa menunggu selama dua jam untuk menaiki 4x4 yang berikutnya.

Sekitar pukul 3 pagi, kami bergerak meninggalkan Cameron Hinglands menuju ke hentian RTC di Gopeng, Perak yang baharu dibuka untuk berehat.

Menjelang pukul 10.30 pagi, kami meneruskan perjalanan ke Nibong Tebal, Pulau Pinang untuk menghadiri kenduri kahwin rakan kami iaitu Masrizal Mohd. Tajuddin. - AMIR ABIDIN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rekreasi/20130316/rk_01/Turun-gunung-ke-majlis-kahwin#ixzz2QgE1vUfv
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock