BOH, Jenama teh yang terkenal di Malaysia dan di Cameron Highlands, mereka adalah pelopor tanaman teh di negara kita.
Sejarah mereka bermula seawal 1920 an bilamana J.A Russell datang dan membuka ladang teh di sini dengan khidmat nasihat pakar teh Bristish yang mengusahakan tanaman yang sama di Sri Lanka (saya rasa di sekitar Nuwara Illiya, Sri Lanka yang mana kunjungan saya 20 tahun yang lepas ke sana cukup besar perusahaan teh).
Legasi Russell berterusan dengan pengurusannya kini diwarisi oleh cucunya, Caroline Russell.. Petikan dari Kosmo ini saya kongsikan di sini dan sejarah mengenai ladang teh BOH ini pernah saya muatnaikkan dalam beberapa buah catatan yang terdahulu.
Meneruskan legasi datuknya, John Archibald (J.A) Russell membuka ladang dan perniagaan teh, Caroline Russell mempunyai impian supaya Boh terus menjadi minuman kebanggaan rakyat Malaysia.
Sehingga kini apa sahaja aktiviti yang ingin dilakukan akan dimulakan dengan secawan teh yang diminum bersama susu segar tanpa gula.
Wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an itu merupakan waris ketiga keluarga pemilik ladang teh sejak dimulakan oleh datuknya John Archibald (J.A) Russell pada tahun 1927.
Semasa kecil Russell dan keluarganya tinggal di Kuala Lumpur. Bapanya, Tristan Russell akan membawa Caroline dan abangnya ke ladang teh di Cameron Highlands sekerap mungkin. Di Cameron, mereka menginap di sebuah banglo yang dibina sekitar tahun 1930-an.
"Saya gemar bermain di ladang teh. Ketika itu saya mempunyai seekor kuda dan saya akan menunggangnya mengelilingi ladang setiap petang," ujar Russell mengimbas memori zaman kecilnya.
Menyingkap sejarah kewujudan ladang teh di Malaysia, ia bermula apabila J.A Russell yang ketika itu berusia tujuh tahun tiba di Malaysia pada tahun 1890 bersama bapanya.
Mendapat pendidikan di England, sekembalinya J.A Russell ke Malaysia dia bekerja dengan Straits Trading Company. Lebih istimewa, dia fasih berbicara dalam lima dialek bahasa termasuk bahasa Cina dan bahasa Melayu.
Setelah terlibat dalam perusahaan getah, perlombongan dan pembukaan kawasan-kawasan baru, J.A melihat potensi teh sebagai hasil tanaman yang mampu menjana ekonomi Tanah Melayu yang ketika itu dijana oleh getah dan bijih timah.
Berbekalkan sebuah jentera penggelek, beberapa pekerja dan beberapa pedati J.A dan penanam teh veteran dari Ceylon, A.B. Milne mengubah hutan di Cameron Highlands menjadi ladang teh pertama Malaysia.
J.A meninggal dunia pada tahun 1933 ketika umurnya 50 tahun. Perniagaan beliau diambil alih oleh anak lelakinya Tristan Russell. Hari ini ia diwarisi oleh Caroline Russell. Russell menyertai Boh ketika syarikat itu telah pun stabil.
Kerja keras
"Saya tidak menjawat jawatan tinggi ketika menyertai syarikat ini, sebaliknya saya bekerja di bahagian pemasaran selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari University of Edinburgh, Scotland," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada tahun 1998, Russell dilantik sebagai pengurus besar syarikat sebelum menjawat jawatan sebagai ketua pengawai eksekutif lima tahun kemudian. "Walaupun mewarisi perniagaan datuk, namun sama seperti pekerja lain saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini," jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boh Plantations Sdn. Bhd. itu tanpa berselindung.
Sepanjang lebih dua dekad menerajui syarikat tersebut, Russell telah membuka sebuah ladang teh di Sungai Palas, Cameron Highlands. Sebelum ini Boh Plantations memiliki ladang di Habu dan Fairlie, Cameron Highlands.
Seiring dengan perubahan zaman, Russell mengakui penggunaan alat bantuan memetik daun teh sehinggalah mengilanngnya juga berubah.
"Dahulu daun teh dipetik dengan tangan. Hari ini mereka menggunakan alat khas bagi membantu mempercepatkan proses itu. Bagaimanapun kualiti setiap daun yang dipetik perlu dijaga dengan teliti," kata wanita yang dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu.
Sebagai peneraju jenama teh nombor satu negara, tanggungjawab yang dipikul oleh Russell bukan calang-calang. Beliau perlu memastikan produknya sentiasa digemari pengguna selain memenuhi kehendak pengguna baik dari segi kualiti mahupun harga.
"Ketika saya menyertai syarikat ini ia sedang menyambut ulang tahun yang ke-60. Tahun ini Boh menyambut ulang tahun ke-80. Genap dua dekad saya menyertai syarikat ini," kata ibu kepada dua anak yang berumur antara empat hingga enam tahun itu.
Karakter teh
Sebagai seorang ibu dan isteri Russell memberitahu, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerja dan keluarga.
"Dengan jadual kerja yang padat, saya akan pastikan sentiasa berada di sisi anak-anak pada acara penting sekolah mereka," jelasnya.
Meskipun berbangsa Inggeris, namun Russell mengakui Malaysia terlalu dekat di hatinya. "Saya adalah warganegara Malaysia. Begitu juga dengan dua anak saya," ujarnya yang dibesarkan di Kuala Lumpur sehingga umurnya 12 tahun.
Russell kemudian dihantar ke sekolah berasrama di United Kingdom dan kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya.
Dibesarkan dalam keluarga yang menerajui perniagaan teh, Russell mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai teh. Namun Russell amat meminati bidang antropologi dan arkeologi serta pernah bercita-cita mempunyai karier dalam bidang tersebut.
"Saya minat Sejarah tapi apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti saya tidak mengambil bidang itu sebaliknya melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan.
"Mungkin ia sudah menjadi darah daging saya. Selepas tamat pengajian saya terus menyertai syarikat dan meneruskan legasi yang ditinggalkan keluarga," katanya.
Apakah pandangan beliau tentang Cameron Highlands dulu dan kini? "Cameron Highlands dahulu dan sekarang memang banyak perbezaannya. Dulu, Cameron Highlands adalah tempat bagi orang Inggeris melarikan diri daripada kesibukan kota bagi menikmati suasana segar dan sejuk. Kini, ia sudah semakin membangun dan terdapat laluan alternatif untuk sampai ke sana," katanya.
Russell juga bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak bahawa cuaca di Cameron Highlands tidak sesejuk seperti zaman kecilnya.
Mewarisi perniagaan teh, hidup Russell seakan tidak lengkap tanpa minuman tersebut. Bahkan, lidahnya sudah sebati dengan teh sehingga beliau boleh menentukan sama ada minuman yang diminum itu jenama Boh atau sebaliknya.
"Anak-anak saya juga begitu. Setiap teh mempunyai karakter yang berbeza dan unik walaupun ia datang dari ladang yang sama. Kita boleh tahu melalui rasanya.
"Sebab itulah Boh mempunyai pelbagai produk mengikut selera masyarakat tempatan. Ada yang lebih keras rasanya seperti jenama asli Boh dan juga yang lebih ringan seperti Cameronian," katanya.
Cara mengilang, faktor cuaca, tanah dan juga cara pembuatan minuman juga boleh menjejaskan karakter teh tersebut.
"Jika saya menikmati teh di hotel saya tidak dapat membezakan sama ada ia teh Boh atau tidak kerana cara penyediaan di hotel telah merosakkan karakter teh tersebut. Di hotel kebiasaanya mereka menggunakan air yang dipanaskan semula.
"Mereka juga sering meletakkan jag di atas pemanas dan ia dipanaskan berulang kali. Teh sebaiknya dihidangkan dengan air yang baru dimasak," jelas Russell bahawa Boh juga komited dalam usaha melindungi spesies haiwan terancan seperti Orang Utan.
Pertemuan Russell dengan sekumpulan penyelidik di Kinabatangan membuatkan dia berminat dalam melakukan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran ramai mengenai haiwan-haiwan terancam ini.
"Ramai orang mengenali Orang Utan tetapi sejauh mana mereka tahu bahawa habitat haiwan ini semakin terancam dan kita harus membantu memberi haiwan-haiwan ini keselesaan. Tidak ramai juga menyedari usaha-usaha yang dilakukan penyelidik dalam mengkaji spesies ini.
"Banyak program menarik kami sediakan terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Sambutannya sangat luar biasa," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0105&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2PpTQlHRN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment