Bila datang melancong ke Cameron Highlands, anda tidak akan terlepas pandang kepada unit-unit landrover yang masih membelah jalan raya di sini.
Kehadirannya dan penguasaannya di Cameron Highlands bukan baharu setahun dua tetapi sudah puluhan tahun.
Landrover menjadi pilihan pekebun-pekebun sayur di sini kerana mempunyai kekuatan fizikal yang amat sesuai untuk perjalanan di kebun yang sememangnya agak lasak tambahan lagi mampu membawa muatan yang lebih baik berbanding mana-mana kenderaan.
Maka tidak hairanlah sedari 90an hingga ke 2010, deretan landrover masih mudah dilihat malah sehingga kini.
Cabaranya kini, barangan ganti makin sukar diperolehi malahan tidak dapat dicari. Maka makin ramai juga pemilik kebun yang mula menukar kepada kenderaan pacuan 4 roda yang lain seperti hilux, frontier dan sebagainya...
Apapun transisi yang akan berlaku, landrover tetap akan menjadi ikon ingatan kepada penduduk daerah ini sampai bila-bila...
Untuk merasai sendiri pengalaman menaiki landrover ini melalui jalan-jalan tanah merah dan lasak, anda boleh mendapatkan pakej yang berkaitan di mana-mana sahaja agensi perlancongan tempatan di daerah ini.
Catatan mengenainya pernah saya kongsikan dahulu...
di antara 450 buah landrover yang berkonvoi sempena sambutan ke 50 kemerdekaan yang lalu |
Meskipun sudah terlalu usang, kenderaan berbentuk kotak empat segi itu masih gagah meredah laluan berbukit di sekitar Tanah Rata, Berinchang, Ringlet dan Kampung Raja.
Di dalam daerah Cameron Highlands dianggarkan terdapat 10,000 buah pacuan empat roda itu, menjadikan daerah tersebut kawasan berkepadatan kenderaan Land Rover tertinggi di dunia.
Persoalannya adalah bagaimana kenderaan keluaran Britain itu dibawa masuk sehingga berlambak di pusat peranginan itu.
Tarikh dan sejarah sebenar 'ketibaan' Land Rover di situ bagaimanapun tidak dapat dipastikan namun Land Rover dikatakan dibawa masuk ke Cameron Highlands oleh pegawai-pegawai kerajaan semasa zaman pemerintahan Inggeris di negara ini.
Daripada penempatan kecil, Cameron Highlands berkembang menjadi sebuah pekan ekoran kerancakan sektor pertanian khususnya selepas pembukaan ladang dan kilang teh di situ.
Puluhan tahun selepas zaman kolonial dan era komunis, masyarakat Cameron Highlands mula mengenali Land Rover sebagai nadi dalam sektor pertanian mereka.
Segalanya bermula melalui pembelian kenderaan tersebut yang dilelong oleh pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jabatan-jabatan kerajaan.
Pelupusan aset kerajaan secara tender itu membuka jalan kepada pekebun di situ membeli pacuan empat roda tersebut pada harga yang sangat rendah.
Bagi golongan petani, jentera yang kebanyakannya sudah rosak teruk pada bahagian enjin dan kotak gear itu berbaloi untuk diperbaiki.
Melalui jualan tender tersebut, sebuah Land Rover boleh dibeli pada harga RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keadaan dan status geran.
Dengan membelanjakan kos tambahan kira-kira RM15,000 untuk baik pulih, sebuah Land Rover mampu dihidupkan semula dan sedia untuk berbakti kepada tuannya.
Mengambil kira harga modal yang murah, golongan pekebun dan petani di Cameron Highlands berlumba-lumba mendapatkan Land Rover yang banyak dilelong di seluruh negara.
Selain dijual pada harga yang rendah, kenderaan itu sendiri memiliki banyak keistimewaan yang diperlukan golongan petani khususnya kemampuan jentera itu mengangkut beban yang berat.
Sebagai kenderaan yang terbukti perkasa sepanjang perkhidmatannya di dalam pasukan polis dan tentera, Land Rover juga menjadi satu-satunya kenderaan yang dapat menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi Cameron Highlands yang berbukit dan berlembah.
Sehingga kini, Land Rover masih menjadi nadi kepada kebanyakan penduduk Cameron Highlands.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130316/lk_01/Bermula-daripada-kereta-lelong#ixzz2Qi1gHZ00
© Utusan Melayu (M) Bhd - gambar petikan dari laman-laman web yang lain...
No comments:
Post a Comment