Noridzuan (kanan) melawat dapur sebuah hotel yang disahkan halal.
Noridzuan (kanan) melawat dapur sebuah hotel yang disahkan halal.
 
KUANTAN – Jabatan Agam Islam Pahang (Jaip) mengesahkan sebanyak 47 resort dan hotel di negeri ini menghidangkan masakan suci dan halal sekali gus boleh dinikmati umat Islam tanpa keraguan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 hotel disahkan menyajikan makanan halal di daerah Kuantan manakala enam di Cameron Highlands, lima di Bentong dan masing-masing dua dan satu di Lipis dan Jerantut.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Noridzuan bin Abdul Manan berkata, daerah Temerloh, Raub dan Rompin pula masing-masing mempunyai tiga hotel yang menyajikan makanan halal.

Menurutnya, pengesahan itu berikutan unitnya berpuas hati selepas beberapa sesi pemantauan dilaksanakan selepas pihak pengurusan hotel memohon sijil halal sebelum pemeriksaan lanjut dilaksanakan.

“Pihak pengurusan hotel yang mendapat sijil halal sudah dipastikan mematuhi standard, syarat dan prosedur halal yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Jaip tidak akan berkompromi dengan pihak hotel atau premis yang melanggar syarat, standard dan prosedur pensijilan halal dengan menggantung atau menarik balik sijil halal.

Beliau berkata, sebelum mendapat sijil berkenaan, mereka perlu mengisytiharkan semua bahan yang digunakan dalam masakan dan minuman mempunyai logo halal yang diiktiraf atau disahkan sebagai halal.

Katanya, Jaip turut memandang serius kebersihan dapur dan mahu penyediaan makanan dilakukan mengikut amalan yang ditetapkan ketika proses penyediaan dan pengendalian makanan.

“Jaip turut mengambil kira kebersihan ketika proses penstoran dan penyimpanan bahan mentah kering dan basah,” katanya.

Noridzuan mengingatkan semua pihak yang mahu mengadakan aktiviti atau program di hotel supaya lebih prihatin memilih hotel yang disahkan halal bagi menjamin kualiti makanan dan status halalnya terpelihara.

Pengguna boleh merujuk ke laman sesawang Jaip di http://jaip.pahang.gov.my bagi melihat senarai penuh hotel dan premis yang menerima sijil halal.