TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, April 8, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Pendakian ke Gunung Irau melawan hujan lebat ...

Catatan cabaran pendakian ke Gunung Irau ini dimuatnaikan di Kosmo Online pada tahun 2009 dan bilamana membacanya saya rasa pengalaman mereka dalam mengharungi cabaran untuk mendaki puncak tertinggi di Cameron Highlands ini boleh dikongsikan sebgai panduan pendakian di dalam cuaca yang buruk.
 
Saya kali terakhir mendaki gunung ini pada tahun 2001 dimana ketika itu masih muda dan berada dalam keadaan yang fit kerana baru lepas latihan dan gunung ini tidak sukar untuk didaki ketika itu.
 
Namun jika diminta untuk mendakinya sekarang, saya akan terus menyerah kalah ....
 
Jom baca catatan yang dibuat Oleh ROZAIMI ISAHAK mengenai pendakian pasukannya ke Gunung Irau di waktu hujan....

Perbincangan diadakan dan akhirnya kata sepakat dicapai iaitu kami tidak akan meneruskan pendakian ke puncak Irau pada hari ini.

SEGALA perancangan telah diatur sebulan sebelum ekspedisi ini bermula. Kami merancang untuk mendaki Gunung Irau dan Gunung Berembun di Cameron Highlands, Pahang.

Setelah selesai memasang khemah di kawasan Pejabat Hutan Sungai Pauh, Cameron Highlands, Pahang, kami memulakan pendakian pada pukul 2.30 petang. Tapak perkhemahan ini dilengkapi dengan surau dan tandas serta terpelihara daripada kekotoran sampah sarap.

Cuaca yang agak baik memudahkan pendakian. Namun, pada awal pendakian, terdapat sedikit denai berlumpur dan ia tidak menjadi halangan kepada kami.

Di pertengahan pendakian, kami mula menikmati keindahan flora dan fauna yang menghuni sepanjang laluan. Pokok-pokok di kiri dan kanan denai menyegarkan mata.

Pendakian di kawasan landai agak mudah untuk seketika sebelum sesekali kami menempuh laluan yang tidak terlalu sukar untuk dilepasi. Tatkala pendakian menghampiri puncak, kelihatan terbentang luas kawasan perumahan dan ladang strawberi milik MARDI.

Pokok-pokok hutan kebanyakannya diselimuti lumut yang menghijau, sesuai dengan muka buminya yang sejuk dan berangin. Cuma yang menjelekkan mata adalah beberapa tulisan 'nakal' yang ditemui pada batang pokok.

Faktor denai yang mudah dan tiada banyak halangan serta cuaca baik memudahkan kami seramai lapan orang menakluk puncak Berembun pada pukul 4.30 petang. Penanda puncak kami jadikan kenangan untuk sesi bergambar beramai-ramai. Dari puncak Berembun, kami dapat melihat dua gunung lain iaitu Brinchang dan Irau.

Hampir setengah jam berehat dan menikmati pemandangan dari puncak Berembun di ketinggian 2,078 meter (6,817 kaki) dari aras laut, kami merasakan tiada tanda pendaki lain sedang menuju ke puncak pada waktu itu. Kumpulan kami mula bergerak turun pada pukul 5.30 petang dan selamat sampai di tapak perkhemahan pada pukul 7.15 malam.

Mujurlah apabila kami sampai, makanan telah terhidang. Sajian malam kami disediakan oleh rakan-rakan yang tidak mendaki. Apa lagi, kami semua menyerbu ke arah makanan yang terhidang kerana perut pun tengah kelaparan.

Sambil makan, kami bercerita tentang ekspedisi yang akan kami tempuhi pada keesokan hari iaitu mendaki Gunung Irau. Keadaan muka bumi yang tidak kami ketahui rupa bentuknya akan ditempuh.
Sebagai persediaan, kami bertanyakan kepada mereka yang pernah mendaki Gunung Irau untuk dijadikan rujukan.

Ke puncak Irau
Keesokan harinya, kami bangun seawal pukul 6 pagi dengan diiringi hujan renyai yang mungkin akan membantutkan pendakian ke puncak Irau. Setelah bersarapan dan bersedia dengan barang-barang yang perlu dibawa, kami nekad meneruskan pendakian. Dalam hati, kami berkata: "Walaupun hanya dapat sampai ke anak Irau, itu sudah cukup baik".


SEBAHAGIAN peserta di puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands.


Dari tapak perkhemahan, kami menaiki dua buah kereta menuju ke puncak Brinchang. Hujan semakin lebat semasa kami menempuh laluan sempit menuju ke puncak tersebut. Sesekali kereta yang kami naiki terpaksa mengelak kenderaan pacuan empat roda yang turun dengan lajunya.

Kabus tebal juga menghalang penglihatan semasa pemanduan dan kami perlu sentiasa berhati-hati.
Kami sampai di puncak Brinchang pada pukul 9.45 pagi. Hujan semakin lebat dan tiada tanda akan berhenti. Seluruh kawasan diliputi kabus tebal yang sekali gus menghalang penglihatan kami. Ketika itu, kami terserempak dengan jurupandu arah yang membawa pelajar dari Universiti Lim Kok Wing.

Katanya, terdapat hampir 30 orang telah mendahului kami mendaki gunung Irau seawal pukul 7 pagi.
Setelah perbincangan kumpulan diadakan, kami sepakat meneruskan pendakian dalam hujan lebat.

Kami turut berdoa agar hujan cepat berhenti. Tepat pukul 10.15 pagi, kami memulakan pendakian dari pelantar yang disediakan sebelum masuk ke kawasan hutan.

Terlalu banyak halangan dan rintangan yang perlu kami tempuhi sepanjang pendakian. Denai berlumpur membuatkan kami bergerak agak perlahan. Hujan masih turun dengan lebat dan kami juga berselisih dengan beberapa kumpulan yang telah berjaya menjejak kaki di puncak Irau. Semuanya memberikan kata-kata semangat dan meminta kami berhati-hati semasa mendaki.

Pendakian yang disangka mudah kini menjadi semakin rumit. Pakaian yang tidak sesuai juga menyebabkan beberapa rakan saya mengalami kesejukan akibat ditimpa hujan.

Kami sampai ke anak Irau pada pukul 3.30 petang dan saat itu, kami tidak nafikan bahawa kami terlewat.

Kami berehat dan berteduh dari hujan di bawah pokok renek sambil menikmati makanan untuk mengalas perut yang kelaparan. Perbincangan diadakan dan akhirnya kata sepakat dicapai iaitu kami tidak akan meneruskan pendakian ke puncak Irau pada hari ini.

Hujan gagalkan misi
Keputusan itu dibuat kerana faktor keselamatan dan cuaca yang tidak mengizinkan. Jadi, kami bergerak semula ke puncak Brinchang pada pukul 4 petang. Sesekali kami melalui laluan mendatar dan berlumpur yang tidak boleh dielakkan. Kadangkala laluan terlalu licin untuk membolehkan kami berpaut pada akar-akar pokok.

Papan tanda arah yang ditemui menunjukkan kami akan sampai ke puncak Brinchang dalam jarak 800 meter lagi. Ketika itu, kami semakin putus asa apabila dua rakan kami hampir tidak mampu meneruskan perjalanan akibat kesejukan dan keletihan.

Hari pula semakin gelap dan berkabus dan untuk mengelakkan kami kehilangan jejak, kami bergerak dalam kumpulan dan berada dalam jarak yang hampir antara satu sama lain.

PARA peserta berehat di tapak perkhemahan Sungai Pauh, Cameron Highlands.



PENULIS berpaut pada dahan dan akar untuk melepasi kawasan bercerun.



DUA pendaki basah kuyup walaupun menyarung baju hujan.

Pengalaman pertama mendaki dua puncak gunung sekali gus amat meletihkan.

Terlalu sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.

Jika tiada persefahaman antara kami, mungkin ada dalam kalangan kami akan meninggalkan kawan-kawan yang lemah.

Tetapi apabila difikirkan semula erti persahabatan yang terjalin, memang sukar untuk kami berbuat demikian.

Hujan terus turun dengan lebatnya mengiringi pergerakan kami yang perlahan. Sesekali kami berehat seketika untuk mengumpul tenaga dan bagi membolehkan dua rakan kami yang lemah 'mengecas' semula tenaga untuk meneruskan perjalanan turun.

Keadaan hutan yang semakin gelap turut merisaukan kami yang berhadapan risiko tersesat. Pelbagai cerita mula bermain di fikiran. Tiada lampu suluh menyinari laluan. Kami hanya bergantung pada batu tanda yang dipasang selang beberapa meter sebagai panduan.

Hampir pukul 7.30 malam, kami sampai di bahagian pelantar pejalan kaki di Gunung Brinchang. Kami bersyukur kerana telah hampir dengan kawasan penamat pendakian. Kesejukan yang teramat sangat membuatkan kami sukar untuk berkata-kata. Masing-masing berjalan longlai menuju ke kereta.

Dua buah kereta menyusuri jalan berliku dari puncak Brinchang menuju ke tapak perkhemahan. Suasana sunyi dan berkabus sudah tidak kami hiraukan. Suara-suara kemeriahan di awal pendakian hilang seperti mana kakunya mulut untuk meluahkan kata-kata.

Kami selamat sampai di tapak perkhemahan pada pukul 9 malam. Segala persiapan makanan dan air panas telah disediakan oleh Lin, Dayah dan Ina yang tidak mengikuti pendakian ini.

Keesokan pagi iaitu ketika kami menikmati sarapan, kami sempat berkongsi cerita tentang pengalaman semalam.

"Aku dah tak mau ikut korang mendaki lagi," kata Yani.

"Kenapa pula?" soal Azwan.

"Penat sangat pertama kali mendaki. Hujan pulak tu, lain kali aku jadi tukang masak jer...," jawab Yani.

Selesai sarapan, kami mengemas untuk balik ke Kuala Lumpur. Sungguhpun, kami gagal menawan puncak Irau dalam ekspedisi kali ini tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk mencubanya lagi pada hari lain.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0725&pub=kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz2PpyCTINC
Hakcipta terpelihara

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock