TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, April 6, 2012

Catatan Perjalanan ; Bangalore -Belgaum- Bangalore

Hampir setahun lebih aku mencari external drive yang satu ini dan agak cuak dan hampir kecewa sebenarnya kerana aku sangkakan akan terus hilang dan pastinya akan terus lenyaplah koleksi gambar-gambar sekitar tahun 2007 hingga 2009. 
Bila terjumpa semula external hardisk ini semalam, lega rasanya dan lebih amat lega bila mendapati masih dalam keadaan yang amat baik isinya biarpun setahun lebih tersimpan di dalam bonet kereta. 

Jadi dalam keadaan mood untuk menaip dalam label atau genre 'Catatan Perjalanan' semenjak dua menjak ini, aku rasanya hendak berkongsikan sedikit pengalaman ketika berpeluang ke luar. 

Semuanya ketika berpeluang utnuk membuat lawatan bekerja ke beberapa negara dan untuk permulaan adalah catatan perjalanan ke Bangalore, Karnataka,  India. 

Risau sebenarnya dalam niat berkongsi pengalaman ke negara orang ini , akan ada pula yang mungkin  membaca dan menganggap hendak menunjukan kehebatan atau pun berlagak. Jadi terpulanglah kepada pembaca yang penting niat aku sekadar berkongsi pengalaman semata. Lagipun ini koleksi kerja bukanya peribadi.

Bila bos menghantar pesanan bersiap ke Bangalore pada bulan Julai 2008, aku teragak-agak juga kerana isteri ketika itu sarat bulan ketujuh dan selepas mendapat 'green light' maka persiapan yang ringkas dibuat sebab sekadar 3 hari sahaja akan ke sana. 


Pertama risaukan makanan halal sebab menjengah nagara yang bukan Islam ini sukar untuk meneka apakah selera mereka sama seperti kita dan apakah halal menjadi keutamaan. Namun bila mengetahui kami akan menjadi 'Vegetarian' kerana host di sana juga sebegitu, senang sedikit hati. 

Karnataka merupakan salah sebuah negeri di Negara India dan Bangalore merupakan Ibu negeri kepadanya. Banglore bermaksud 'Bandar Taman' merupakan hub IT bagi negara India malah dikenali sebagai Lembah Silikon India mempunyai polulasi penduduk seramai 8 juta. 

Anda boleh mencari di wikipedia untuk maklumat yang amat terperinci  mengenai bandar ini. Manakala saya pula sekadar untuk berkongsi pengalaman dalam perjalanan saya di sini. 

Pada hari pertama , saya tiba agak lewat pagi dan memilih untuk menginap di Hotel Capitol yang berharga USD 240 semalam!.

Bagi saya cukup mahal harganya tetapi apa nak buat, wakil syarikat di sana sudah menempahnya dan terpaksa untuk 2 malam pula. 

Esoknya seawal pagi kami bertolak kembali ke Lapangan Terbang kerana perlu menaiki pesawat ke Belgaum iaitu sejauh 45 minit perjalanan melalui udara tetapi anda memerlukan lebih 4 jam perjalanan pulang sejauh 538 km melalui jalan darat yang juga saya tempuhi cuma kurangnya melalui Lebuh Raya dan jika melalui jalan lama kami dimaklumkan akan mengambil masa sekitar 7 jam. 

Namun memang saya amat menantikan suasana perjalanan sebegini berbanding dengan perjalanan melalui udara yang cepat tetapi kurang menarik jika anda berniat untuk melihat suasana tempat baru, budaya, masyarakat dan pelbagi lagi kejutan yang tidak anda temui di negara sendiri. 

Misi utama adalah untuk melihat struktur pelindung tanaman yakni jenis rumah hijau  atau plastik dan teknologi fertigasi yang ditawarkan oleh salah sebuah syarikat di sana dan seperti biasa, hanyalah model yang dibangunkan di Universiti kerana kurangnya pelaburan terhadap teknologi sedemikian.

India tidak memerlukan  teknologi yang amat tinggi kerana kedudukan geografinya amat bersesuaian untuk tanaman jangka pendek di mana kawasan tanah rata sayup mata memandang cuma taburan hujannya agak jelas bermusim dan bila sampai waktu kemarau suasana pasti berubah. Namun begitu sistem kapitalisme yang tebal dan berakar lama menjadikan yang kaya bertambah kaya dan miskin akan selamnya miskin. 

Kerana itulah Kerajaan India mempelbagaikan inisiatif untuk pertanian di mana subsidi diberikan kepada petani baik dari segi tanaman, sistem pertanian dan juga khidmat nasihat. 

Namun ia tidak cukup untuk menewaskan sistem lama yang amat popular yang diamalkan iaitu orang kaya akan memberi modal awal kepada petani untuk menanam dan hasilnya akan dibeli semula untuk dipasarkan dengan harga yang amat murah. 


Mereka mengatakan sekadar harga yang cukup makan supaya petani ini akan terus terikat dan kembali kepada syarikat ini untuk mendapatkan modal dan ikatan ini dikatakan lebih tebal dari ikatan perkahwinan yang boleh bercerai berai jika tidak suka kemudiannya.  

India mempunyai syarikat yang kedua terbesar dunia yang mengeluarkan teknologi fertigasi pertanian dan juga rumah plastik kerana mereka telah memiliki syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat, Eropah malah Israel. Mereka mengambil langkah mudah dan pintas untuk menguasai teknologi yang memerlukan lebih banyak kajian dan percubaan. Malah harga yang ditawarkan jauh lebih murah. 

Mereka bukan sekadar berkongsi tetapi mengambil alih syarikat-syarikat ternama ini kerana lebih berdaya saing. Dan kunjungan saya ke kawasan industrinya di Jalgon, Maharasta di dalam catatan akan datang akan mengesahkannya.  

Perjalanan 3 hari tidaklah terlalu banyak yang dapat dilihat tambahan lagi lebih tertumpu kepada jadual kerja yang amat padat malahan untuk membeli belah pun sekadar 2 jam. Dan selebihnya saya berkongsikan gambar sahajalah untuk lebih menceritakan suasana catatan perjalanan saya ini.... cuma gambar-gambar ini saya editkan ke format HDR untuk sedikit kelainan. 
Anda perlu klik di gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas..
India terkenal dengan negara yang penuh klasik dan budaya yang melampaui ratusan tahun yang menarik untuk dilihat. Di sebalik kekebalan budaya klasik, mereka juga menampillkan gaya hidup moden tanpa meninggalkan jauh asas budaya mereka. 
Manakala kelangsungan ekonomi jelas menunjukan jurang perbezaan dimana anda dapat melihat golongan yang kaya, sederhana dan bawahan yang jelas. Mungkin faktor amalan kasta yang masih menebal dikalangan masyarakat mereka. 
Melalui kawasan pendalaman dari Dharwad ke Bangalore cukup mengujakan kerana selama ini mungkin sekadar melihatnya didalam filem mereka tetapi kini jelas didepan mata. Di kampung-kampung kereta lembu di jalanan bersulamkan kereta dan lori adalah pemandangan biasa.  Keadaan rumah yang diperbuat dari daun, buluh, tanah liat dan berselerakan juga terdapat di mana-mana. 


Namun tidak adil bagi kita atau anda sekadar melawat satu kawasan, tempat dan dan budaya lalu menyimpulkan semua mengenai India. Masih terlalu banyak yang perlu anda dan saya lihat untuk membuat kesimpulan dan pastinya perjalanan anda amat menarik untuk dikongsikan.
Contohnya apabila sampai di Chitradurga saya melihat bagaimana teknologi hijau dibangunkan iaitu menggunakan kincir angin untuk menjana tenaga elektrik. Jika anda melihat rabuang atau puncak bukit, terdapat puluhan malah mungkin ratusan    kincir angin berdiri tegih untuk menjana elektrik.

Hari terakhir melawat Bandar Bangalore untuk membeli sedikit buah tangan buat keluarga dan rakan-rakan dan pastinya pasar utama yang menjadi tumpuan masyarakat di sini menjadi tumpuan. Manaiki Tuk Tuk iaitu sebuah kenderaan beroda tiga lebih cepat berbanding teksi dan harganya lebih murah. Namun jika anda ingin mendapatkan di pintu hotel pasti tidak akan dapat dan berjalan sedikit ke tepi jalan merupakan satu pilihan. 

Di pasar yang namanya sudah aku lupa ini memang menarik kerana di sinilah syurganya untuk membeli pakaian dengan pelbagai fesyen dan harga yang murah serta pelbagai lagi cendermata. Malah aku melihat kepada gaya hidup masyarakat yang lebih suka berjalan di waktu petang malah anda akan melihat dimana-mana bahagian bandar ini akan keluarga yang  bersiar-siar menjadikan suasanya amat sibuk.







Namun tidak adil bagi kita atau anda sekadar melawat satu kawasan, tempat dan dan budaya lalu menyimpulkan semua mengenai India. Masih terlalu banyak yang perlu anda dan saya lihat untuk membuat kesimpulan dan pastinya perjalanan anda amat menarik untuk dikongsikan.

Carilah lebih banyak maklumat di wikipedia jika anda berhajat ke sana. 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock