Lagi memetik dari UTUSAN Online mengenai kisah dari bumi Palestin. Mereka berjuang dalam sengsara dan banyak kekurangan tetapi keazaman mereka tidak pernah sekali luntur untuk berundur selagi hak mereka terbela dan tidak pasti bila waktunya jika melihatkan senario semasa dan dari dahulu yang jelas dan terang tidak memihak kepada mereka.
Atas apa juga alasan sekalipun perjuangan mereka di pandang sinis dan dianggap sebagai satu pemberontakkan terhadap Israel walhal merekalah yang sebenarnya teraniaya dan ditindas sekian lama.
Negara jiran sekadar menjaga kepentingan sendiri bimbang-bimbang Israel menjajah melangkaui sempadan manakala saudara seagama seakan-akan lebih takut dari mereka yang bersalah. Bangsa lain jelas tidak membantu dan pastinya sebegitu yang diharapkan berbanding sebangsa ...
Bilakah gamaknya Palestin akan terbebas dan kembali kepada haknya...
PEMANDANGAN aktiviti rakyat palestin di sebuah pasar di baitulmaqdis. |
"LANGSUNG tidak masuk akal, tetapi itulah realitinya pada hari ini apabila umat Islam yang setiap kali hendak beribadat dan solat lima waktu di Masjid Al-Aqsa, rejim Israel akan mengenakan cukai sembahyang AS$7 (kira-kira RM21) sekepala.
"Jika tidak, mereka dengan gembira akan menghalau umat Islam daripada memasuki masjid tersebut," kata Dr. Mohd. Tahir Abdul Rahman.
Beliau merupakan aktivis kemanusiaan Palestin terkenal yang kini merupakan Pengerusi Sekretariat Malaysia Global March to Jerusalem (MyGMJ) iaitu satu acara di peringkat dunia yang akan berlangsung pada hari ini di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor.
Dr. Mohd. Tahir berkata, rejim Israel yang begitu zalim dan ganas terhadap penduduk Palestin akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Masjid Al-Aqsa akhirnya akan terlepas sepenuhnya ke tangan mereka.
Ini bagi menjayakan cita-cita mereka mendirikan Kuil Haikal (Solomon Temple) yang kononnya terletak di tapak Masjid Al-Aqsa tersebut.
"Apabila sekatan demi sekatan mereka kenakan, akhirnya Masjid Al-Aqsa tidak lagi dikunjungi oleh umat Islam kerana tentunya mereka tidak mampu untuk membayar cukai yang tidak masuk akal itu.
"Akhirnya apabila tiada lagi umat Islam ke masjid itu, ia akan dijadikan alasan oleh rejim Israel untuk mengambil alih dan seterusnya merobohkan masjid tersebut untuk dibina kuil di atas tapaknya.
"Mereka akan berkata 'kami tidak pernah menyekat umat Islam untuk ke masjid ini, tetapi lihat sekarang, umat Islam sendiri yang sudah tidak mahu ke masjid itu. Jadi ini awak katakan bahawa Masjid Al-Aqsa adalah milik Islam dari aspek sejarah, budaya dan agama? Ternyata semua itu palsu," kata Dr. Mohd. Tahir.
Justeru MyGMJ bukan untuk mengalih pandangan umat Islam terhadap penderitaan umat Islam di Gaza, satu-satunya wilayah di Palestin yang masih dikuasai oleh rakyat Palestin kepada wilayah Baitul Maqdis yang telah ditakluk Israel pada tahun 1967.
"Isunya masih sama. Kita mahu memberi peringatan keras kepada Israel bahawa, sama ada Baitulmaqdis mahupun lain-lain wilayah yang mereka jajah termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sebenarnya milik rakyat Palestin.
Mereka tidak ada hak barang seinci pun merampasnya daripada penduduk asal," katanya.
GMJ atau Perarakan Menuju Baitul Maqdis merupakan program yang menggabung inisiatif global membela dan membebaskan Baitulmaqdis dan bumi Palestin daripada cengkaman Israel yang telah menceroboh tanah suci dan pusat agama terbesar dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
"Selama 64 tahun terbentuknya negara haram Israel dan 45 tahun Baitulmaqdis dijajah oleh rejim angkuh itu, pelbagai bentuk tindakan kurang ajar dan biadap dilakukan ke atas tempat-tempat suci dan rumah-rumah ibadat terutamanya milik Islam dan Kristian," katanya.
Perlu disedari, ketika berlakunya Perang 1948 itu, Israel mengusir keluar lebih daripada 800,000 penduduk Palestin dengan 100,000 daripada mereka adalah beragama Kristian.
Rejim itu turut memusnahkan 492 perkampungan asal Palestin, 480 masjid dengan 14 buah masjid ditukar menjadi kilang, kelab-kelab hiburan dan kandang ternakan haiwan.
Manakala 410 tanah perkuburan Islam lama dan baru dibongkar dan diratakan yang kemudian menyaksikan mereka mendirikan pelbagai premis di atas tapak kubur tersebut.
Hotel Hilton di ibu negara Israel, Tel Aviv misalnya, didirikan di atas tanah perkuburan Islam Abed An Nabi.
"Nasib yang menimpa Masjid Al-Aqsa adalah lebih menyedihkan. Sepanjang tahun lalu sahaja Yayasan Al Aqsa untuk Wakaf dan Warisan melaporkan lebih daripada 100 serangan termasuk membakar dan menghina dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh pihak zionis dan sekutu mereka," ujarnya.
Tegas Dr. Mohd. Tahir, kesemua tindakan biadap Israel itu merupakan untuk menyahudikan seluruh Baitulmaqdis dengan memadamkan ciri-ciri asal kota suci yang merupakan pusat agama, budaya dan kesenian tiga agama sejak dahulu lagi.
Usaha tersebut bertambah rancak dengan membawa masuk seramai mungkin pendatang-pendatang haram Yahudi dari seluruh dunia untuk ditempatkan di sekitar Baitulmaqdis.
"Penempatan itu kini telah meliputi kawasan seluas 112.13 kilometer persegi atau 47.7 peratus dari kawasan Kota Al Quds yang dikelilingi oleh Tembok Pemisah yang kini telah menempatkan 236,480 pendatang Yahudi.
"Ia melebihi penduduk asal Palestin yang kini tinggal seramai 151,423 yang terkepung di dalam kawasan tembok tersebut," katanya.
Dengan terpaksa hidup dalam pelbagai tekanan dan sekatan, sekali gus menafikan keseluruhan hak-hak rakyat Palestin sebagai penduduk asal.
No comments:
Post a Comment