TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts sorted by date for query bunga. Sort by relevance Show all posts
Showing posts sorted by date for query bunga. Sort by relevance Show all posts

Friday, February 17, 2023

Menginap di Ringlet ?...

 Ada yang bertanya saya adakah sesuai untuk memilih homestay di sekitar Ringlet? 

ini bukan Pekan Ringlet tetapi pemandangan dari Sekata Apartment di Orchid Deluxe Park

Saya kata terpulang....  kenapa pula begitu ?

Saya syorkan anda membuat sedikit carian lokasi berkenaan Ringlet dahulu..

Ringlet adalah pekan pertama anda sampai jika melalui Jalan Tapah dan Jalan Sungai Koyan. 

Ringlet terletak di 13 km dari Tanah Rata dan memerlukan sekitar 18 minit jika tiada kesesakan untuk sampai di Tanah Rata.

Ringlet adalah pekan kecil yang sekitarnya adalah melibatkan aktivti pertanian sepenuhnya.

Ringlet mempunyai seramai 2, 323 orang penduduk manakala pekan sebelahnya iaitu Lembah Bertam mempunyai seramai 2,037 orang penduduk dan Pekan Habu pula seramai 856 orang penduduk. 

Ringlet tidak mempunyai banyak tarikan kecuali ada beberapa lokasi bersifat hentian seperti jalan masuk ke Ladang Teh BOH Division di Habu, Ladang Teh Bharat Tea atau Cameron Valley di tepi jalan utama ke Tanah Rata, Agro Highlands Strawberry Farm juga di sebelah Ladang Teha Cameron Valley dan beberapa nursery bunga.

Ringlet tidak mempunyai suasana malam untuk santai dan berjalan.

Pilihan Penginapan di Ringlet

Selain dua atu tiga hotel kecil terdapat juga tawaran homestay dan Air BNB di sini iaitu di Sekata Apartement. Biasanya kemudahan hotel dan apartment ini digunakan oleh kontraktor yang melakukan kerja-kerja mereka sekitar Ringlet. 

Namun masih ada juga pelancong yang memilih Ringlet sebagai penginapan mereka. Mungkin tawaran harga yang lebih murah atau kadangkala sudah tidak mendapat homestay di kawasan Tanah Rata dan Brinchang. 

Tips jika menginap di Ringlet

Jika anda memilih menginap di Ringlet, antara tipsnya keluar awal untuk ke Tanah Rata dan hanya pulang selepas semuanya sudah selesai untuk berehat dan tidur sahaja. Untuk and ulang-alik keluar ke Tanah Rata adalah sedikit renyah sebab nak memandu naik. 

Jika anda menginap di Ringlet, anda boleh lebihkan santai di Ladang Teh BOH Habu division dan juga Bharat Tea. 

Jika anda menginap di Ringlet, kedai makan yang terhad memerlukan anda lebih awal membeli dan menikmati makanan di pekan Tanah Rata atau terdekat adalah di Kedai Tomyam Amir di Habu. 

Kemudahan kedai runcit masih ada sekitar di Pekan kecil ini, namun tutup awal. 7 elevan dan Speed Mart juga ada di sini dan jangan terperanjat, Kenny Rogers juga ada dibuka di sini iaitu di Sekata Apartment di bahagian dalam Orchid Deluxe Park. 

Apapun pilihan di tangan anda ya...  

Oh ya.. inilah gambar Pekan Ringlet terkini yang saya ambil dua hari lepas. Makin meriah dengan adanya DIY dan juga 7 Elevan dan di sini ada CIMB Bank dan anda boleh berhenti mengisi minyak samada di Shell atau Petronas.... Stesen Minyak selepas ini hanyalah di Brinchang sahaja iaitu 18 km lagi jarak perjalananan anda ke atas... 

Juga yang sampai tengahari boleh makan di Gerai Pak Sahak..cuma tanya dulu harganya .. takut terperanjat besar nanti ... dari segi makanan memang ada rasa .. kari kepala ikan popular.... bagi yang berkemampuan.... 


Saturday, February 4, 2023

Membeli Bunga menjelang Tahun Baru Cina 2023

Tahun ini agak istimewa sedikit sambutan Tahun Baru Cina saya sebab tak pernah dalam sejarah saya membeli bunga untuk sambutan ini. 

Namun saya nak jelaskan lebih awal bunga-bunga tersebut bukan untuk saya tetapi diminta oleh rakan saya dari Kuala Lumpur. 

Cuma saya bantu beliau mencari nurseri bunga yang menjual bunga-bunga yang diinginkan. Memandangkan kawasan harian saya adalah sekitar Ringlet dan Lembah Bertam yakni pekan pertama dari arah Tapah dan juga Sungai Koyan maka nurseri pilihan saya juga sekitar kawasan ini. Tak kuasa saya nak ke Brinchang ke atas semata-mata nak cari bunga. 

Apapun pengalaman saya adalah seperti berikut:

1. Bunga chrysanthemum atau kekwa adalah pilihan ramai. Laku keras.

2. Nurseri semaian di sini amat sibuk untuk tempoh 3-4 minggu menjelang TBC kerana telah mendapat tempahan awal. Maka mereka sibuk menyiapkan tempahan dan penghantaran kepada pelanggan mereka. Setiap hari terdapat trip lori yang besar akan mengambil dan menghantar bunga-bunga ini ke bandar-bandar besar. 

3. Mereka tak akan melayan sangat anda jika sekadar nak recce dahulu. Mereka akan menyuruh anda memilih sahaja bunga atau melihat sendiri bunga di nurseri mereka kerana sibuk mengisi lori mengikut tempahan pelanggan. Saya pergi recce seminggu awal dan menghantar gambar kepada rakan saya, namun setelah pergi dua hari kemudian hampir semua bunga tersebut telah ditempah. Terpaksa cari lagi. 

4. Harga bunga tidak terlalu mahal sebab mereka mempunyai stok yang banyak cuma perlukan keputusan pantas untuk membeli. Cuma kalau nak membeli bunga semua nak yang masih berputik kecil kerana tidak mahu bunga cepat berkembang sebelum TBC tiba. Malah peniaga nurseri bunga sendiri tak nak jual bunga yang dah kembang sangat ... dia orang agak jujur dalam hal ini. 

5. Beberapa jenis bunga seperti Hydrangea dan Ros tiada atau susah sangat nak dapat. Kekwa pula lebih kepada jenis berbunga kecil sahaja yang banyak. Ini disebabkan mereka tidak mahu bunga kekwa besar yang lebih cepat terbuka dan kembang. 

6. Bunga-bunga selain kekwa dan dahlia agak kurang laku. Kekwa yang paling laris. 

7. Hampir tiada pokok limau dijual atau dipamerkan untuk dijual pada tahun ini. 

Akhirnya saya berjaya mendapatkan stok hydrangea dengan harga RM 25 sepokok. Bunganya bewarna purple dan kuning manakala bunga pink tiada stok. Hanya di Kea farm sahaja yang ada 3 pasu tetapi harganya RM 75 sepasu dan terlalu mahal bagi saya. 

Kawan saya datang 3 hari sebelum Tahun Baru Cina dan bunga kekwanya agak terhad pilihan warna walaupun saya telah menempah dengan deposit yang dihantar oleh kawan saya. Hanya kuning dan merah sahaja yang ada manakala warna purple hampir tiada bagi bunga bersaiz kecil kecuali yang sederhana besar. 

Saiz pasunya pula adalah sederhana kecil dan pasu besar terhad. Bunga yang ditempah sudah berkembang bunganya dan tidak sesuai dan akan gugur selepas beberapa hari maka digantikan dengan stok lain oleh nurseri semaian. 


Dia membelanjakan sekitar RM 1,100 untuk 25 pasu hydrangea, lebih 20 pasu kekwa pasu besar sekitar RM 35 sepasu dan sekitar 30 pasu kecil pelbagai warna sekitar RM 10-15 sepasu, Penuh hilux dia untuk perjalanan ke Rawang hanya untuk hiasan dan hadiah kepada rakan-rakannya... Katanya di Kuala Lumpur lebih mahal dan lebih cepat habis stok....


Itu sahaja pengalaman saya . Saya ulangi saya tidak menjual bunga-bungaan ya. Saya bantu kawan pun atas dasar dia boss lama saya ... malas wooo kalau nak layan semua yang tanya.. tambah-tambah lagi semua main order air liur sahaja... dia orang bukan tak tahu kalau nak tempah tu kena letak deposit dan kerana tak kenal atau rapat mana senang pula nak batalkan tempahan dan duit yang burn adalah saya bukan mereka.... 

Terkenang pengalaman awal dulu ... ''woi aku tak boleh naik Cameron minggu ni.. anak aku ada jemputan birtdhay party kawan dia' lain kali la ya... apartment tu aku kansel .... tq"... guna sms aje.. tak ada telepon ke apa.. yang deposit apartment lebur dari poket saya ... padan muka.... NO MORE nak tolong2 selepas itu.. no money no talk.. atau cakap sendiri dengan mana-mana pemilik terus.... tiada orang tengah ya...  

Jom tengok koleksi bunga di 3 buah nurseri bunga di Lembah Bertam. Maaf saya tiada nombor telepon mereka... Soon Huat di Lembah Bertam, Joon Huat (sebelah kebun anggur Bertam) dan satu lagu Huat juga di Habu. Sedara mara rupanya ketiga-tiga nursery ini.  






Sekadar berkongsi sahaja. Saya bukan penjual bunga. Kita tengok nanti mana mesti ada yang akan  hantar message dekat saya nak tempah bunga-bunga ini. Malas membaca budayanya... 

Taman Pertabalan 2023

Taman Pertabalan Tanah Rata adalah taman awam yang terbesar dan utama di Cameron Highlands. Istimewanya adalah terletak di dalam Pekan Tanah Rata di jalan utama. 

Taman Pertabalan ini telah dibina seawal pembukaan Cameron Highlands dan menjadi lokasi utama untuk semua acara yang dianjurkan dahulu. Kalau bersembang dengan orang-orang lama di sinilah setiap tahun akan di adakan pelbagai aktiviti seperti Sambutan Kemerdekaan, Sambutan Ulangtahun Keputeraan KYDMM Sultan Pahang ketika itu Sultan Abu Bakar ( menu istimewa kancil dan rusa panggang) serta Pesta Bunga Cameron Highlands ( Dah laaaama sangat tak dianjurkan). 

Nama taman ini dinamakan sebagai Taman Pertabalan bersempena dengan Pertabalan KDYMM SULTAN AHMAD SHAH selepas kemangkatan SULTAN ABU BAKAR. Gambar di bawah ini menceritakan lebih kisahnya sejarahnya. 


Taman Pertabalan ini agak ringkas sekarang namun sesuai untuk persinggahan petang untuk melepaskan lelah bercuti ke sana sini dan memberikan peluang kepada anak-anak bersantai di sini dalam dingin petang atau pagi






Saya telah berkongsikan beberapa kali catatan berkenaan dengan Taman Pertabalan ini dalam catatan awal saya. 

Selepas ini saya kongsikan suasana terbaru Taman Pertabalan di waktu malam pula ya... 




Friday, February 3, 2023

Taklimat dan Program Libat Urus Bagi Warta Kerajaan Persekutuan melibatkan notis Menguatkuasakan Larangan Masa ke atas Kenderaan Perdagangan di Cameron Highlands

Pagi 3 Februari 2023 telah diadakan satu sesi Libat Urus atau lebih kepada taklimat kepada pemegang taruh berkaitan Warta Larangan Kenderaan Perdagangan pada masa tertentu untuk laluan Persekutuan 59. 

Saya berkesempatan hadir bagi sesi ini. Antara maklumat penting adalah seperti berikut : 

1. Larangan Kenderaan Perdagangan untuk beroperasi atau berada di atas laluan Persekutuan 59 bermula dari Jambatan Sungai Khazanah yakni Habu sehinggalah ke Jambatan Tringkap. 

Ini bermakna kenderaan perdagangan tidak dibenarkan berada di atas laluan ini melibatkan Pekan-pekan kecil seperti Habu, Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm dan Tringkap sekitar 26 kilometer.

2. Tempoh Larangan : Setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad serta hari cuti umum.
3. Waktu Larangan : Bermula 10 Pagi sehingga 3 petang.
4. Tarikh berkuatkuasa: 7 Februari 2023 ( Namun tidak berkuatkuasa ekoran bantahan serta dalam kajian dan juga maklumbalas). 

Ramai pemegang taruh hadir pada hari ini. Siapa mereka?

Mereka adalah Pekebun Sayur, Pekebun Bunga, Pengusaha pengangkutan, Peraih sayur, pemborong sayur, pekerja pengangkutan dan kakitangan agensi kerajaan. 

Agak panas dan beremosi sessi ini kerana ini merupaka keputusan yang tidak digemari bagi pemain industri. 

Justifikasi oleh pihak agensi iaitu Jabatan Kerja Raya adalah pewartaan ini sebagai maklumbalas atau melaksanakan titah YDPA Tuanku untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya diwaktu punca yakni hujung minggu dan juga cuti umum yang terpaksa dihadapi oleh pelancong dan penduduk tempatan. 

Sehubungan itu antara langkah diambil adalah kajian aliran trafik yang telah dilaksanakan oleh pihak JKR Cameron Highlands pad Disember 2022. Hasil bancian ini mencadangkan jika perlaksanaan larangan kenderaan perdadangan dilaksanakan bagi tempoh puncak ini, ia mampu mengurangkan sejumlah 23 peratus jumlah kenderaan di atas jalan raya. 

Wakil-wakil dan juga orang perseorangan pemegang taruh yang terlibat telah menyuarakan pelbagai alasan dan juga bantahan dengan lebih dari 10 orang wakil tampil ke hadapan mengemukakan soalan dan juga bantahan ke atas cadangan ini. 

Saya akan cuba kongsikan point-point yang masih saya ingat untuk justifikasi banatahan tersebut. 

Buat permulaan saya kongsikan sahaja beberapa keping gambar semasa sesi ini berlangsung tadi. 






Monday, July 12, 2021

Cameron Highlands di kala PKP 3.0

Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP di waktu Covid-19 yang belangsung kali ketiga sejak semasa puasa sehingga digantikan dengan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 di seluruh negara memang meninggalkan kesan kepada Cameron Highlands. 

Biarpun kes COVID-19 agak rendah di sini, namun langkah kawalan pergerakan seperti tidak boleh rentas daerah dan negeri menyebabkan sektor perlancongan di daerah seluas 712 km persegi ini terus suram dan boleh dikatakan lumpuh sepenuhnya. 

Sektor perlancongan yang sentiasa menerima sejuta pelancong tempatan dan luar negara ke daerah tanah tinggi ini lumpuh sepenuhnya. Yang terkesan adalah pengusaha atau pihak yang terlibat dengan sektor ini seperti hotel, pengusaha homestay, agensi pelancongan, kiosk-kiosk pelancongan dan juga peniaga-peniaga baik makanan, sayur-sayuran ataupun berkaitan dengannya. 

Kedai, gerai dan kiosk pelancongan ditutup seperti taman agro, kebun strawberry, hentian teh, kedai cenderahati dan pelbagai lagi. Peniaga Pasar Malam dan kedai makan antara yang sudah tidak ketahuan kerana selama ini pasar malam adalah tumpuan pelancong.

Tiada lagi deruman landrover membawa pelancong asing dan tempatan untuk meneroka sisi lain yang unik di Cameron Highlands seperti Mossy Forest atau kembara melihat bunga raflesia.

Bercerita mengenai hotel-hotel kebanyakkanya tidak menutup perniagaan tetapi bagaikan tidak beroperasi kerana tiada pelancong. Manakala homestay memang terasa kesannya dengan ramai pengusaha sudah menutup homestay mereka ekoran tiada pendapatan masuk dengan memulangkan semula unit sewaan mereka kepada pemilik apartment dan menjual peralatan perabot homestay masing-masing.

Adakah sektor perniagaan ini akan kembali pulih? 

Kalau mengikut Pelan Pemulihan Negara hanya pada Fasa 3 semua sektor akan dibuka semula namun menjadi tanda tanya bilakah waktunya akan tiba memandangkan jumlah kes positif setiap hari melebihi angka yang telah ditetapkan.

Semoga kembali pulih segera .... berat mata memandang dan telinga mendengar keluh kesah rakan-rakan yang terkesan, berat lagi bahu dan emosi mereka yang menanggung dan memikul segala beban...

Bertabahlah semua ... 

Jom baca sedikit catatan berkaitan pengalaman PKP di Cameron Highands...

Harga Strawberry murah?.... 

Harga Keledek murah?...

Harga Jagung Murah?...

Steamboat di kala PKP?


 

Tuesday, June 15, 2021

Kluster Floral Blue Valley

Kluster Floral Blue Valley melibatkan pekerja asing yang berkerja di sebuah Kebun Bunga di kawasan Blue Valley. Ianya merebak juga ke kawasan sekitar akibat pergerakan pekerja asing tersebut ke kawasan kebun-kebun sayur dan bunga sekitarnya. 

Seramai 29 pesakit positif dikesan didalam kluster ini sehingga menyebabkan PKPD Kg Raja terpaksa dilaksanakan. 




Monday, June 14, 2021

PKPD Kg Raja

Akibat penularan kes positif COVID-19 dari Kluster Floral Blue Valley di Kg Raja, PKPD telah dilaksanakan di kawasan sekitar bagi tempoh 14 Jun hingga 27 Jun 2021. 

Sehingga tarikh ini, seramai 29 kes positif dikesan melibatkan beberapa penempatan dan juga kebun bunga dan sayuran sekitar Kampung Raja. 



Sumber Grafik Laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

Saturday, March 7, 2020

Bunga di Cameron Highlands @ Zahra Homestay

Bunga tidak dapat dipisahkan dari Cameron Highlands.

Saiz bunga di sini memang agak besar dan segar kerana persekitarannya sangat sesuai bagi bunga dari jenis temperate atau beriklim sederhana.


Saya tidak berniat untuk berkongsikan lebih terperinci berkaiatan bunga beriklim sederhana ini kerana saya tahu tumpuan pelancong ke Cameron Highlands bukalah untuk mengetahui industri bunga di sini tetapi lebih sebagai penggemar dan pembeli bunga semasa bercuti. 

Cuma kalau nak membeli bunga di sini saya tidak syorkan namun tidaklah menghalang sepenuhnya. 

Ini kerana jika anda membeli bunga yang nampak segar dan besar di sini, ianya adalah jenis temperte dan sesuai dengan iklim sederhana di sini. 

Namun masih ada bunga-bunga yang sesuai dibeli seperti ros, berdaun dan pokok bunga yang tidaklah terlalu besar bunganya.

Pastikan anda tanam di bawah lindungan cahaya matahari dan kerap memberikan air. 

Hasilnya nanti mungkin tidaklah secantik di Cameron Highlands tetapi setiap kali anda memandangnya kerinduan kepada Cameron Highland terubat seketika. 

Antara lokasi popular nurseri jualan bunga di sini adalah Lavendar Garden, Stesen Mardi Tanah Rata, Big Red Strawberry, Arked Peladang Brinchang,  Cactus Point Brinchang , Frange Nursery Kea Farm Cactus Valley Brinchang, Rose Centre Kea Farm, Kea Garden, Pasar Kea Farm  Gerai Jualan di Tringkap, nurseri bunga di Lembah Bertam yang boleh anda singgah jika melalui Jalan Koyan Ringlet dan banyak lagi lokasi jualan. Pasar Malam Cameron Highlands dan juga Pasar Tani Agro Brinchang juga ada menjualnya. 

Saya ada banyak kali membuat catatan mengenai bunga di Cameron Highlands, jadi apa kata anda baca catatan awal saya mengenai bunga-bunga di Cameron Highlands. 


Jika anda mencari penginapan, pertimbangkan ZAHRA HOMESTAY. 
Lokasinya dekat dengan nurseri bunga-bungaan yang anda cari kelak. 


Klik ZAHRA HOMESTAY untuk perincian lebih perkhidmatan yang ditawarkan. 


Sunday, March 1, 2020

Rainbow Garden atau Taman Bunga Pelangi


Ada yang bertanya kepada saya mengenai apa yang ada di Rainbow Garden atau Taman Bunga Pelangi di Tanah Rata.  

Ini kerana ada beberapa komen di FACEBOOK yang memuji dan ada juga mengatakan sebaliknya. 

Saya tidak mengenali pemiliknya jadi saya akan menjawab berdasarkan pengalaman membawa anak-anak saya ke sana. Atau lebih tepat apa reaksi mereka. 


Taman Bunga Pelangi pada awalnya adalah kiosk jualan bunga atau nurseri. Namun mungkin kerana kurang sambutan atau mahukan kelainan, maka pemiliknya membuka satu sudut haiwan atau mini haiwan berkonsepkan memberi makanan kepada haiwan untuk kanak-kanak. 

Saya telah membawa anak-anak saya ke sana. Untuk masuk saya kena bayar RM 5 manakala anak saya RM 3 seorang. 


Terdapat gambar-gambar hiasan yang menarik tetapi yang lebih menarik perhatian anak-anak saya ialah koleksi haiwan peliharan yang disediakan walaupun bukanlah banyak dan besar kawasannya. 

Mereka berpeluang bermain dan memberikan makanan kepada kambing tempatan bukannya baka luar negeri namun sangat jinak. 


Mereka boleh juga memberikan makanan kepada arnab yang juga jinak dan makanan arnab ada dijual di sana sekitar RM 1 sebungkus.



Namun yang paling anak saya suka adalah bermain dengan burung-burung yang jinak sehingga lebih sejam.



Selain itu terdapat sudut hamster, kolam ikan dan kura-kura namun tidaklah begitu menarik minat anak-anak saya. 

Secara keseluruhannya kami menghabiskan masa sekitar 3 jam di sini. 

Kesimpulannya kalau anda membawa anak-anak dibawah 12 tahun, saya rasa masih berbaloi untuk ke sini, 

Lokasinya di Jalan Masuk Denai Robinson Waterfall di Tanah Rata atau kalau anda menginap di ZAHRA HOMESTAY hanya 1.5 km sahaja.


Friday, February 28, 2020

Rainbow Garden & Zahra Homestay

Salah satu tarikan terbaru di Tanah Rata aktiviti memberikan makan haiwan di Rainbow Garden.

Lokasinya adalah di Robinson Fall selepas Stesen Agroteknologi MARDI Tanah Rata. 

Rainbow Garden berkonsepkan nursery tanaman bunga jualan dan juga kiosk makanan. Masuk adalah percuma di bahagian ini namun jika ingin masuk ke bahagian haiwan, bayaran masuk adalah RM 5 dewasa dan RM 3 kanak-kanak.  


Untuk kanak-kanak saya syorkan pergi ke sini untuk berseronok dengan haiwan-haiwan peliharan seperti kambing, burung, arnab. 

Waktu malamnya pula terdapat Cafe Highlands Steamboat Cheese and Grill yang dibuka.

Jika masih mencari homestay penginapan di Cameron Highlands, cubalah ZAHRA HOMESTAY.

Klik Catatan ZAHRA HOMESTAY untuk perician dan lebih banyak koleksi gambar dan perkhidmatan yang ditawarkan.



Tuesday, February 18, 2020

Musim Anggur di Lembah Bertam bagi tahun 2020 bermula...

Semalam saya singgah di Kebun Anggur di Lembah Bertam. 



Buah anggurnya kini telah masak dan boleh mula dituai. Jadi kebun anggur ini dibuka untuk kunjungan anda semua. 

Apa yang anda boleh buat di kebun anggur ini? 

Anda boleh masuk secara percuma.
Anda boleh melihat pokok anggur dan buahnya yang banyak ketika ini. 
Anda boleh berselfie sakan di sini.. 
Anda boleh memilih sendiri gugusan anggur yang mana hendak anda petik dan ditimbang dan dibayar....



Harga sekilo anggur di kebun anggur ini adalah masih sama iaitu RM 25 sekilo.

Elok anda datang awal musim anggur kali ini kalau nak melihat buah anggur yang banyak. 

Dan nasihat saya ialah berhati-hati ketika menuai anggur kerana jika terlalu ghairah nak memetik yang itu dan ini, saya takut anda terperanjat nanti bila ditimbang ... 

Ingat ya.. sekilo RM 25 .. dua kilo RM 50 .. empat kilo RM 100 .. jangan buat-buat pengsan pula nak membayarnya .. hanya tunai diterima..

Kebun anggur ini agak tidak sesuai untuk yang membawa orang tua, OKU , ibu mengandung atau sakit lutut dan jantung kerana anda perlu berjalan masuk sejauh 210 meter dari tepi jalan dan mendaki laluan kebun bunga dan sayur.



Catatan awal saya mengenainya ada saya kongsikan di sini .. Klik Catatan Kebun Anggur Lembah Bertam .. dan jika anda mahu ke sana saya kongsikan pula Catatan Panduan arah perjalanan ke sana. 

Dan jika anda masih atau ingin mencari penginapan berbentuk homestay atau apartment percutian, cubalah di ZAHRA HOMESTAY.. 



Klik untuk ke catatan mengenai ZAHRA HOMESTAY kami ini . 

Insyaallah saya berikan panduan perjalanan anda ke kebun anggur ini .. 

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock