TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts sorted by relevance for query bunga. Sort by date Show all posts
Showing posts sorted by relevance for query bunga. Sort by date Show all posts

Saturday, February 4, 2023

Membeli Bunga menjelang Tahun Baru Cina 2023

Tahun ini agak istimewa sedikit sambutan Tahun Baru Cina saya sebab tak pernah dalam sejarah saya membeli bunga untuk sambutan ini. 

Namun saya nak jelaskan lebih awal bunga-bunga tersebut bukan untuk saya tetapi diminta oleh rakan saya dari Kuala Lumpur. 

Cuma saya bantu beliau mencari nurseri bunga yang menjual bunga-bunga yang diinginkan. Memandangkan kawasan harian saya adalah sekitar Ringlet dan Lembah Bertam yakni pekan pertama dari arah Tapah dan juga Sungai Koyan maka nurseri pilihan saya juga sekitar kawasan ini. Tak kuasa saya nak ke Brinchang ke atas semata-mata nak cari bunga. 

Apapun pengalaman saya adalah seperti berikut:

1. Bunga chrysanthemum atau kekwa adalah pilihan ramai. Laku keras.

2. Nurseri semaian di sini amat sibuk untuk tempoh 3-4 minggu menjelang TBC kerana telah mendapat tempahan awal. Maka mereka sibuk menyiapkan tempahan dan penghantaran kepada pelanggan mereka. Setiap hari terdapat trip lori yang besar akan mengambil dan menghantar bunga-bunga ini ke bandar-bandar besar. 

3. Mereka tak akan melayan sangat anda jika sekadar nak recce dahulu. Mereka akan menyuruh anda memilih sahaja bunga atau melihat sendiri bunga di nurseri mereka kerana sibuk mengisi lori mengikut tempahan pelanggan. Saya pergi recce seminggu awal dan menghantar gambar kepada rakan saya, namun setelah pergi dua hari kemudian hampir semua bunga tersebut telah ditempah. Terpaksa cari lagi. 

4. Harga bunga tidak terlalu mahal sebab mereka mempunyai stok yang banyak cuma perlukan keputusan pantas untuk membeli. Cuma kalau nak membeli bunga semua nak yang masih berputik kecil kerana tidak mahu bunga cepat berkembang sebelum TBC tiba. Malah peniaga nurseri bunga sendiri tak nak jual bunga yang dah kembang sangat ... dia orang agak jujur dalam hal ini. 

5. Beberapa jenis bunga seperti Hydrangea dan Ros tiada atau susah sangat nak dapat. Kekwa pula lebih kepada jenis berbunga kecil sahaja yang banyak. Ini disebabkan mereka tidak mahu bunga kekwa besar yang lebih cepat terbuka dan kembang. 

6. Bunga-bunga selain kekwa dan dahlia agak kurang laku. Kekwa yang paling laris. 

7. Hampir tiada pokok limau dijual atau dipamerkan untuk dijual pada tahun ini. 

Akhirnya saya berjaya mendapatkan stok hydrangea dengan harga RM 25 sepokok. Bunganya bewarna purple dan kuning manakala bunga pink tiada stok. Hanya di Kea farm sahaja yang ada 3 pasu tetapi harganya RM 75 sepasu dan terlalu mahal bagi saya. 

Kawan saya datang 3 hari sebelum Tahun Baru Cina dan bunga kekwanya agak terhad pilihan warna walaupun saya telah menempah dengan deposit yang dihantar oleh kawan saya. Hanya kuning dan merah sahaja yang ada manakala warna purple hampir tiada bagi bunga bersaiz kecil kecuali yang sederhana besar. 

Saiz pasunya pula adalah sederhana kecil dan pasu besar terhad. Bunga yang ditempah sudah berkembang bunganya dan tidak sesuai dan akan gugur selepas beberapa hari maka digantikan dengan stok lain oleh nurseri semaian. 


Dia membelanjakan sekitar RM 1,100 untuk 25 pasu hydrangea, lebih 20 pasu kekwa pasu besar sekitar RM 35 sepasu dan sekitar 30 pasu kecil pelbagai warna sekitar RM 10-15 sepasu, Penuh hilux dia untuk perjalanan ke Rawang hanya untuk hiasan dan hadiah kepada rakan-rakannya... Katanya di Kuala Lumpur lebih mahal dan lebih cepat habis stok....


Itu sahaja pengalaman saya . Saya ulangi saya tidak menjual bunga-bungaan ya. Saya bantu kawan pun atas dasar dia boss lama saya ... malas wooo kalau nak layan semua yang tanya.. tambah-tambah lagi semua main order air liur sahaja... dia orang bukan tak tahu kalau nak tempah tu kena letak deposit dan kerana tak kenal atau rapat mana senang pula nak batalkan tempahan dan duit yang burn adalah saya bukan mereka.... 

Terkenang pengalaman awal dulu ... ''woi aku tak boleh naik Cameron minggu ni.. anak aku ada jemputan birtdhay party kawan dia' lain kali la ya... apartment tu aku kansel .... tq"... guna sms aje.. tak ada telepon ke apa.. yang deposit apartment lebur dari poket saya ... padan muka.... NO MORE nak tolong2 selepas itu.. no money no talk.. atau cakap sendiri dengan mana-mana pemilik terus.... tiada orang tengah ya...  

Jom tengok koleksi bunga di 3 buah nurseri bunga di Lembah Bertam. Maaf saya tiada nombor telepon mereka... Soon Huat di Lembah Bertam, Joon Huat (sebelah kebun anggur Bertam) dan satu lagu Huat juga di Habu. Sedara mara rupanya ketiga-tiga nursery ini.  






Sekadar berkongsi sahaja. Saya bukan penjual bunga. Kita tengok nanti mana mesti ada yang akan  hantar message dekat saya nak tempah bunga-bunga ini. Malas membaca budayanya... 

Monday, April 8, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Kisah si penjual bunga lelaki ...

Nampaknya tanpa sedar, bagi catatan bulan April, Tema Petikan Berita menjadi "Tema Bulanan April" tanpa sengaja.
 
Seronok pula sebenarnya membaca koleksi catatan penulis dan wartawan yang membuat liputan dan kisah yang berkaitan dengan Cameron Highlands.
 
Ini memberi sisi yang sedikit berbeza di mana wartawan biasanya melihat dari sudut yang mungkin terlepas pandang oleh mata orang biasa.
 
Mereka mengupas kisah yang mungkin tidak menarik tetapi bilamana catatan mereka disulamkan dengan gaya penceritaan yang berbeza, sudut penceritaan ini nampak lebih menarik malah mengundang minat untuk membacanya.
 
Antaranya, kisah si penjual bunga lelaki yang dikongsikan ini yang selalunya digambarkan penjual bunga adalah wanita. Mungkin di lain masa, si penjual Bangladesh pula boleh dikongsikan.
 
Apapun, koleksi sebegini memberikan kita sisi pandangan tambahan untuk lebih meneliti setiap aspek yang boleh diterokai di Cameron Highlands tatkala anda melancong ke sini kelak...
 
KHADIJAH MOHAMAD NOR, antara wartawan yang sering saya ikuti penulisan beliau mengenai Cameron Highlands... kudos...

PULUHAN jenis bunga berwarna-warni pasti menyebabkan pelanggan rambang mata dalam membuat pilihan.

DARI jauh, kelihatan orang ramai terutama wanita sudah memenuhi ruang kecil di sebuah kedai yang menawarkan pelbagai jenis bunga berwarna-warni.

Sebaik sampai di hadapan kedai tersebut, bau semerbak daripada bunga-bungaan segar itu pantas menusuk hidung seolah-olah menyambut kedatangan pelanggan ke sana.

“Jemputlah masuk dan lihat sendiri bunga yang mungkin anda minati. Jangan risau, jangan bimbang, semua bunga ini segar-segar belaka,” demikian tutur seorang pemuda Cina sambil melemparkan senyuman manis kepada pengunjung yang datang.

Segak dengan penampilan kemeja-T hitam dan jean biru, pemuda berusia 31 tahun itu ramah melayan pelanggan yang berkunjung ke kedai miliknya, Ken Highlands Flower Shop yang terletak di pasar Brinchang, Cameron Highlands.

Menurut Ken Foo, kedainya menjual pelbagai jenis bunga segar yang diperoleh daripada lebih 10 pembekal di sekitar kawasan tanah tinggi tersebut.

Mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 2003, kini perniagaan jualan bunga yang dilakukan bersama seorang rakan semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pelanggan.

“Terdapat puluhan bunga segar ada dijual di sini termasuk bunga ros, matahari, kekwa, pom pom, lili, daisy, teluki dan banyak lagi. Setiap bunga pula mempunyai beberapa perbezaan contohnya warna yang mampu membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih bunga yang disukai.

“Setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama ketika musim cuti persekolahan, cuti umum dan hujung minggu. Setiap hari kami juga mampu menjual lebih 100 batang bunga. Ini tidak termasuk penghantaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Perak,” jelas Ken lebih lanjut.

Antara bunga lain yang ada seperti bunga yang diberi nama Everlasting Love yang amat diminati pelanggan kerana bau yang kuat dan tahan lama. Malah, jika dijaga dengan teliti bunga itu boleh bertahan dan hidup sehingga beberapa tahun.

Selain itu, tambah Ken kedainya turut menjual bunga lalang yang semakin popular di Cameron Highlands. Bunga tersebut dibekalkan oleh Orang Asli di sekitar kawasan itu.

KEN (kanan) dan Leong gembira menceburi bisnes menjual bunga yang biasa dimonopoli kaum wanita.

“Terdapat tiga jenis bunga lalang yang dijual iaitu lalang rumput, lalang lidi dan lalang emas. Apa yang pasti, bunga ini mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

“Apabila saya mengambil bekalan bunga lalang daripada Orang Asli, secara tidak langsung saya dapat membantu mereka menambah sumber pendapatan yang biasanya menjual petai dan ulam-ulaman,” ungkap Ken lagi.

Faktor cuaca
Di samping bunga-bunga segar, kedai Ken turut menjual pelbagai variasi bunga kering, daun teh, daun paku, daun asparagus dan daun ekor musang yang boleh dijadikan potpouri atau hiasan di dalam rumah.

Bagi rakan kongsi Ken, Leong Chang, 35, kebiasaannya pada bulan Oktober hingga Disember, bekalan bunga agak berkurangan kerana faktor cuaca yang sering hujan.

Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi berbanding biasa.

Sementara pada bulan April hingga Ogos, cuaca baik sekali gus bekalan bunga tidak putus dan sentiasa ada. Justeru, harganya tidak terlalu tinggi.

“Begitu juga pada hari-hari keraian istimewa seperti Hari Kekasih, Hari Ibu dan sebagainya, harga bunga akan melonjak daripada biasa.

“Tidak ketinggalan, apabila tibanya musim perkahwinan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, kami akan banyak melakukan penghantaran bunga di sekitar Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah,” katanya sambil memberitahu kunjungan seseorang ke Cameron Highlands tidak akan lengkap tanpa membawa pulang bunga segar sebagai kenangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kedai bunga Ken, layari laman sosial Facebook/kenflowershop.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1010&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2PpWw74pO
Hakcipta terpelihara

Friday, October 5, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Bunga Ros siri ke 2

Ini merupakan siri kedua mengenai bunga ros yang saya muatnaikan. Untuk siri catatan pertama anda boleh mengikuti catatan saya di SINI. 

Untuk catatan kedua ini, saya sekadar ingin berkongsikan gambar-gambar bunga ros yang telah saya rakamkan sekitar Tanah Rata dan Stesen Mardi. 

Juga terdapat beberapa kuntum bunga ros yang saya rakamkan sekitar Kea Farm yang mempunyai suhu yang lebih sejuk. 

Pengeluaran bunga Ros di Cameron Highlands banyak bertumpu dikawasan sekitar Kuala Terla, Tringkap dan Blue Valley. 

Kebanyakan petani menanam bunga ros secara berskala besar untuk tujuan kormesial kerana difahamkan permintaan bunga ros ini bukan hanya tertumpu di pasaran Malaysia tetapi menjangkau ke pasaran Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Malah difahamkan, Thailand dan Singapore juga mendapatkan bekalan keratan bunga ros dari Malaysia kerana persekitaran di Cameron Highlands yang amat sesuai bagi penanaman bunga ini.

Rata-rata bunga ros yang ditanam adalah untuk tujuan penjualan 'keratan batang beserta dengan kuntuman bunga. 

Angaran harga sekuntum bunga ros diantara RM 0.80 hingga RM 1.50 sekuntum dan lebih murah jika dibeli secara jambangan yang telah siap dicampurkan pelbagai warna. 

Namun terdapat juga bunga ros yang bertangkai dihasilkan di mana mengikut variati tertentu yang menghasilkan bunga secara jambakan di antara 2-5 kuntum sepohon. 

Bagi tanaman hiasan berpasu, rata-rata gerai jualan ada menjualnya dan harga mengikut saiz pokok dan pasu yang dijual. 

Untuk seterusnya, saya berkongsikan gambar-gambar bunga ros ini untuk tontonan anda serta membakar sedikit minat anda jika berkunjung ke sini kelak. 

Sambil-sambil melihat gambar bunga ros ini saya ingin berkosngikan sedikit mengenai keistimweaan bunga ros bukan kepada kecantikannya semata tetapi rahsi yang mungkin tidak kita sedari iaitu, bunga ros sebagai bahan merawat penyakit.



Pencarian maklumat di internet banyak mencungkil dan berkongsi akan rahsian penawar yang terdapat didalam bunga ros ini antaranya saya petik dari laman web tarrabasing yang saya ringkaskan seperti;



1. Wangian bunga ros dijadikan terapi wangina atau aromaterapi seawal zaman kegemilangan Islam Bani Umaiyyah di Andalus di mana hospital Islam yang pertama mengamalkan terapi wangian dan terbukti menyembuhkan pesakit dengan lebih cepat.




2. Ibnu Sina yakni ilmuan perubatan Islam yang terunggul berjaya menemukan kaedah rawatan menggunakan aroma ros dengan proses penyulingan pada abad ke 11 untuk menghasilkan pati bunga ros.



3. Pada zaman greek campuran bunga ros dengan minyak mampu merawat penyakit berkaitan sistem peranakan.



4. Pakar perubatan India menggunakan bunga ros untuk menyembuh luka dan radang pada kulit.



5. Air mawar telah digunakan oleh para doktor pada zaman dahulu untuk merawat masalah saraf dan sebagai ubat hidu bagi pesakit paru-paru manakala ekstrak dari kelopak bunga ros diberikan sebagai rawatan pesakit yang mempunyai masalah jantung dan buah pinggang. 



Banyak lagi keistimewaan bunga ros yang boleh anda temui untuk kaedah rawatan alternatif yang ditemui sejak berabab lamanya. Teruskan pembacaan anda di laman web yang saya maksudkan di atas.


Mungkin akan ada siri ke tiga mengenai bunga ros nanti.. tungggu....

Tips Melawat Cameron Highlands: Bunga Chrisanthmun

Bunga Kekwa ataupun Chrisantemum merupakan tanaman bunga yang utama di Cameron Highlands. Tanaman ini dijadikan tanaman hiasan dan dikelaskan kepada bunga keratan di mana bunga bersama keratan batang yang seragam dihasilkan untuk dipasarkan sebagai bunga segar untuk perhiasan.

Industri bunga keratan di Cameron Highlands ini menjangkau ratusan juta ringgit setahun dan kawasan penempatan di Bertam Valley, Ringlet, Kuala Terla, Blue Valley dan Kampung Raja merupakan nadi pengeluaran bunga keratan ini. 

Penanaman bunga kekwa biasanya mengambil tempoh sekitar 3-4 bulan dari mula dipindahkan ke plot utama. 

Pekebun mengamalkan konsep 2 peringkat nurseri atau istilahnya 'Double Stage Nursery' iaitu tanaman dua peringkat  di nurseri semaian sebelum dipindahkan ke plot tanaman utama.

Satu lagi teknik tanaman adalah Single Stage Nursery atau Peringkat Tanaman Tunggal yang mana pekebun akan terus menanam biji benih didalam tapak tanaman utama. 


Kelebihan double stage nursery adalah lebih menjimatkan masa antara pusingan tanaman di mana anak benih boleh ditanam terlebih dahulu dan kerja-kerja di plot tanaman dilakukan serentak. 

Manakala single stage nursery pula menjimatkan tenaga kerja di mana tiada pemindahan anak dilakukan. Namun kaedah ini kurang pratikal kerana akan terdapat tapak kosong di antara pokok kelak bergantung kepada kadar pencambahan benih.

Bunga ini boleh dibiakkan dengan cara keratan batang dan biji benih yang diimport khas. 

Sebelum itu plot tanaman disediakan seperti membuang sisa tanaman pusingan terdahulu, membuat batas, menambah  baja organik, membuat rawatan kepada tanah untuk mengelakkan penyakit akar dan seterusnya menanam anak pokok dari tapak semaian.  

Malah sebelum anak pokok dipindahkan ke plot tanaman utama jaring dipasang di atas batas tanaman untuk memudahkan ianya diselaraskan denganketinggian pokok bagi mendapatkan batang pokok yang lurus.


Ketika berusia sekitar 3-4 minggu  anak pokok bunga kekwa biasanya akan dilimpahi cahaya lampu di waktu malam bagi mempercepatkan tempoh matangnya sehinga 35 cm.  

Biasanya anda akan melihat deretan rumah plastik tanaman yang dipasang lampu sekitar tempoh 4- 6 jam semalam bergantung kepada musim. Klik SINI untuk catatan khas mengenainya.

Bunga Kekwa dihasilkan secara dua jenis iaitu jambangan bunga atau istilahnya spray atau pompon dan jenis sekuntum atau standard. 

Jambangan bunga adalah bunga yang dibiarkan tumbuh banyak dalam satu ranting dan akan dipotong serentak. 

Lebih 90% tanaman chrisanthemum di sini dihasilkan mengikut konsep ini kerana permintaan yang lebih banyak.

Manakala konsep sekuntum adalah hanya satu bunga yang dijaga di dalam setiap pokok manakala bunga yang lain dicantas.  

Bunga tunggal yang tinggal akan dibalut dengan jaring khas untuk membentuk kuntuman bunga yang baik dan bermutu. 


Hasilnya bukan sekadar untuk pasaran kecil Malaysia tetapi telah mendapat tempat yang amat besar di negara seperti Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand malah ada yang mengkhabarkan sejauh ke Russia.

Uniknya bunga kekwa ini bukan sekadar sebagai hiasan tetapi juga menjadi bahan membuat makanan dan minuman yang diproses lanjut. 

Selebihnya deretan gambar ini saya kongsikan ketika sempat singgah ke salah satu kebun bunga kekwa di Jalan SHUM YIP LEONG.


Jika anda singgah ke plot tanaman ini, saya ingin mencadangkan tips-tips berikut dipatuhi :


Pertama : Dapatkan kebenaran dari pemilik plot tanaman. 


Kedua : Jangan masuk ke plot tanaman dengan jumlah yang ramai. Berpisah ke beberapa lokasi supaya tidak terlalu ramai di satu kawasan. 



Ketiga : Jangan masuk ke dalam bahagian plot tanaman. Cukup sekadar di pinggir plot tanaman. 


Keempat : Jangan menyentuh, memetik dan melakukan sebarang kerosakan kepada plot tanaman dan juga peralatannya. 


Kelima: Jangan menganggu pergerakan pekerja. Pemilik akan marah jika pekerja mereka lambat kerana anda. 


Keenam : Jangan hampiri kawasan yang sedang diracun. Utamakan keselamatan dan kesihatan anda. 


Saya membuat satu lagi catatan mengenai bunga ini kerana masih terdapat stok gambar yang ingin dikongsikan. Ikuti catatan siri kedua ini pula nanti.

Wednesday, October 17, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Bunga Camellia...

Koleksi bunga nampaknya menguasai koleksi bulan Oktober 2012 ini. 

Saya telah membuat beberapa catatan mengenai bunga-bungaan sehingga catatan ke 8 kalau tak silap saya. 

Untuk catatan siri ke 9 ini saya rasa ingin berkongsikan dengan bunga yang lebih spesifik dalam kelasnya seperti bunga pilihan catatan saya ini Camellia.  

Bunga Camellia ini juga diabadikan sebagai salah satu jalan di Tanah Rata iaitu sekitar Agro Bank dan Maybank iaitu Persiaran Camillia.

Camellia mengikut laman wikipedia mudah ditemui di timur dan selatan Asia, dari Timur Himalaya Jepun ke dan Indonesia. Dianggarkan sekitar 100-250 spesies telah ditemui namun sehingga kini terdapat lebih 20,000 hibrid bunga ini dihasilkan. 


Camellia mengikut botani pula adalah genus tumbuhan berbunga dalam keluarga Theaceae.Ini termasuklah Camellia Sinensis iaitu pokok teh yang menjadi minuman kegemaran di dunia. Namun bagi tumbuhan berbunga, Camellia japonica adalah spesis yang amat popular kerana mempunyai lapisan kelopak.

Kalau mengikut carian saya di Internet juga, bunga camellia ini mempunyai 7 jenis bentuk bunganya seperti Single dengan 5-6 kelopak bunga sebaris dengan petal dan stomen yang agak jarang dan selalunya dari jenis Camellia sasanqua. 


Saya rasa jenis ini selalu saya temui di Cameron Highlands dan saya mempunyai koleksinya yang pernah saya rakamkan. Itupun kalau betul bunga ini pada pandangan saya seperti gambar di atas. 

Kedua jenis Semi Double yang mempunyai dua lapisan bunga sekitar 9 kelopak di bahagian baris luar. 



Stamentnya agak rapat dan bertindih. Jenis ini kebanykan dikenali sebagai Camellia japonica San Dimas seperti gambar diatas ini. 

Ketiga jenis Camellia japanica Elegance Champagne yang mempunyai lebih dari dua barisan bunga yang padat dibahagian tengahnya dengan campuran kelopak dan stamen.

Agak susah juga saya nak menterjemahkan dari versi Enggeris akan istilah botani ini. Apakata anda sambung sahaja pembacaan dari laman web ini mengetahui jenis yang selebihnya dengan lebih tepat. Klik Sini .

bunga camellia ini kalau di China dikatakan melambangkan
wajah gadis yang ditoreh mukanya.. 
Camellia berdaun tebal seperti daun teh dan bewarna hijau tebal.Rumpun pokok berbatang dan cabang keras dan boleh dibentuk menjadi bonsai. Jika dibiarkan tinggi ianya boleh menegak seperti pokok biasa. 

Camellia terdapat dua jenis samada yang berbau wangi dan tidak berbau. Biasanya yang berbau wangi bunga tidaklah begitu cantik manakala sebaliknya bagi bunga yang tidak berbau wangi kelihatan agak cantik .



Di antara jenis-jenis bunga camellia ini, ada yang jenisnya berbunga sepanjang tahun dan selalunya menjadi pilihan pengemar bunga ini. Pokoknya perlu ditanam dengan sedikit lindungan pancaran cahaya matahari. 

Saya mohon kepada sesiapa yang merasakan gambar-gambar ini tidak tepat untuk menzahirkan jenis bunga ini dapat menegur saya di ruang ulasan kerana saya juga agak keliru adakah betul ini bunga Camellia ataupun tidak.

Gambar ini diambil sekitar Cameron Highlands dan ada yang bertanda dan ada yang tidak bertanda jenisnya. Saya pun baru nak belajar.... boleh ? 



Nanti akan saya kongsikan sebuah taman khas mengenai bunga camellia yang terdapat di Cameron Highlands malah ada yang mengatakan yang terbesar di Asia Tenggara oleh sesetangah pihak. 

Saya rasa jika anda ingin mengenali bunga camellia ini perlu ke taman ini jika ingin melihat puluhan jenis bunga camellia yang ditanam di sini serta untuk dibeli sebagai koleksi anda. 

Monday, October 1, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Bunga-bungaan siri 5

Ini adalah siri ke 5 catatan mengenai bunga-bungaan yang terdapat di Cameron Highlands... 

Seronok pula melihat koleksi gambar lama mengenai bunga. Dari terperuk dalam hard disk, rasanya nak pula berkongsi di laman ini. Cuma gambar-gambar ini adalah gambar amatur yang dirakamkan sekitar Tanah Rata. 

Sebenarnya telah ada 4 siri catatan terdahulu mengenai bunga-bungaan di Cameron Highlands yang pernah saya muatkan di sini. 

Antaranya anda boleh klik SINI untuk siri pertama, siri kedua DI SINI dan untuk siri ketiga pula di SINI. Manakala siri keempat pula anda boleh klik di SINI. 

Terdapat juga beberapa siri catatan lain yang mengkhususkan kepada jenis seperti bunga Ros, Bunga Dahlia, Bunga Kekwa (Chrisanthemum), 3 siri orkid, orkid liar dan juga cactus. Cuba buat carian dengan kata kunci seperti di atas untuk ke catatan tersebut. 


Selalunya bunga di Cameron Highlands adalah dari jenis yang biasa ditanam di kawasan yang beraltitud tinggi dan mempunyai persamaan bunga yang memerlukan cahaya yang kurang dan suhu yang sederhana. Saya terlupa pula nama khas yang digunakan untuk perkelasan bunga dari kategori ini. 

Tidak hairanlah kalau bunga-bunga yang sedikit berasal dari kawasan beriklim sejuk banyak ditanam di sekitar Cameron Highlands. 



Jangka hayatnya sekitar 3-4 bulan kitar hidup dan biasanya akan ditukar dengan yang baru bagi tanaman perhiasan dan untuk yang tumbuh liar akan berlaku secara semulajadi.


Terdapat koleksi bunga yang bersifat annuals, biennial dan perrinials yang sesuai ditanam ataupun hidup secara semulajadi. Nak tahu apa ke maknanya jenis-jenis bunga ini, apa kata anda membuat carian di google untuk maklumat yang lebih lanjut. 



Bunga-bunga ini lebih baik jika tidak berada terus di bawah sinaran matahari sebaliknya perlu berada di bawah lindungan cahaya sekitar 50-70 % bagi mengurangkan impak kepada kesegaran bunga. 

Selebihnya saya kongsikan koleksi gambar bunga yang pernah saya rakamkan sekitar Tanah Rata. Mana tahu sambil berjalan hujung minggu, tersesat pula ke nurseri semaian bunga.


Insyallah kalau ada lagi dalam koleksi lama atau membuat koleksi baru akan saya kongsikan kelak kerana bercerita mengenai bunga, tak akan habis kisahnya dan episodnya kalau anda berada di Cameron Highlands. 
  
 
 
 
 
 
Antara kegemaran peminat bunga lazimnya terarah kepada kumpulan ros yang segar menguntum di sini namun tidak salah mencuba koleksi bunga yang lain. 

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock