Mengikuti pula kisah nasib pembantu rumah Indonesia di negara-negara Arab, aku terfikir apakah pula reaksi mereka...
Konflik pembantu rumah Indonesia
“SAYA Sumiati berumur 23 tahun, bekerja sebagai pembantu rumah tangga di Arab Saudi. Majikan saya tidak puas hati dengan saya mungkin disebabkan saya lambat menyesuaikan diri dan bahasa Arab saya tidak lancar.
“Tak mengapa kalau saya dianggap tidak bagus tapi tak perlulah pukul, diseterika dan tak perlu hentam saya dengan besi sampai hilang bibir saya, kaki saya juga hampir lumpuh.”
Demikian luahan perasaan yang diiringi dengan titisan air mata oleh Sumiati Salan Mustafa kepada wartawan media Indonesia, Wahyu Adi Putra Ginting saat diminta menceritakan detik-detik malangnya ketika didera oleh majikannya di Madinah, Arab Saudi.
Peristiwa malang yang menimpa remaja dari Nusa Tenggara Barat itu menghangatkan bahang hubungan dua hala Indonesia dan Arab Saudi. Tindakan majikan dari Asia Barat yang menggunting bibir wanita Indonesia itu mendapat kecaman di seluruh masyarakat dunia. Mereka menyifatkan ia satu perbuatan di luar perikemanusiaan.
Detik ngeri itu terjadi pada November tahun lalu. Bagaimanapun, darjah kepanasan antara kedua-dua buah negara bertambah kritikal apabila seorang lagi pembantu rumah republik itu, Ruyati Satubi dijatuhi hukuman pancung tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Wanita itu telah dihukum pancung pada 18 Jun lalu di Mekah atas kesalahan membunuh isteri majikannya.
Bertitik tolak daripada itu, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia bangkit dan meluahkan rasa tidak puas hati ke atas hukuman yang dikenakan ke atas janda beranak tiga berusia 54 tahun itu.
Malah, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang sebelum ini hanya berdiam diri daripada mengulas isu itu tampil dengan menuduh Riyadh telah melanggar norma dan adab perhubungan antarabangsa.
Jakarta dikatakan panas hati dengan sikap pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang gagal memaklumkan kepada mereka bahawa Ruyati akan menjalani hukuman pancung. Gagal mengawal amarah, lima hari selepas musibah itu, Susilo mengisytiharkan bahawa republik itu membekukan penghantaran pekerja ke Arab Saudi berkuat kuasa 1 Ogos 2011. Itu dilakukan sebagai menunjukkan tanda protes terhadap tindakan Arab Saudi memancung rakyatnya.
Melihat kekhilafan daripada pihak mereka, Duta Arab Saudi di Indonesia, Abdurrahman Mohammed Al-Khayyat telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf. Namun, isu itu masih belum reda.
Pada 30 Jun lalu, Jawatankuasa Pengambilan Nasional Majlis Dewan Perusahaan dan Perindustrian Arab Saudi telah mengumumkan satu perkara yang tidak diduga. Negara Arab itu mengambil kata putus untuk menghentikan permit kerja pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina bermula 2 Julai lalu.
“Keputusan kementerian itu diambil serentak dengan usaha yang ditingkatkan bagi membuka saluran baharu untuk membawa pembantu rumah daripada sumber lain,” kata jurucakap Kementerian Buruhnya, Hattab bin Saleh al-Anzi.
Selain itu, Hattab berkata, alasan utama pemerintah berbuat demikian kerana syarat-syarat pengambilan yang diumumkan oleh kedua-dua negara terbabit tidak dapat dipenuhi oleh Arab Saudi.
Membalas dendam
Bagaimanapun, ramai berpendapat, pengumuman drastik negara yang kaya dengan hasil minyak itu umpama membalas dendam terhadap tindakan Jakarta sebelum itu. Media-media antarabangsa banyak melaporkan bahawa Arab Saudi sebenarnya cukup bengang dengan sikap pengamal media Indonesia yang disifatkan keterlaluan dalam melaporkan isu penderaan pembantu rumahnya.
Hal itu kemudiannya diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Nasional Majlis Dewan Perusahaan dan Perindustrian Arab Saudi, Yahya Hassan Al-Maqbool.
Tambah beliau, terdapat pandangan yang berbeza antara pihak berkuasa Riyadh dan Jakarta mengenai bayaran pengambilan dan gaji untuk pembantu rumah dan pemandu Indonesia. Dua pekerjaan itu merupakan kategori utama tenaga kerja yang diimport dari negara di Asia Tenggara itu.
Bagi Filipina, pihak pemerintah dikatakan enggan patuh kepada kehendak Manila yang ingin mewujudkan peraturan sendiri dalam memberi perlindungan kepada tenaga kerja rakyatnya di negara berkenaan.
Dalam pada itu, Arab News melaporkan, Arab Saudi tidak gusar dengan kata putus yang dibuat. Hattab yang mewakili kerajaan Arab Saudi menguar-uarkan bahawa negara-negara miskin seperti Bangladesh, Ethiopia, India, Nepal, Eritrea, Sri Lanka, Mali dan Kenya sudah menyatakan kesediaan untuk menghantar pekerja di negaranya.
Dalam pada itu, menurut aktivis Indonesia, Wahyu Susilo, kira-kira 40 peratus kes penyeksaan dan kematian buruh imigran yang berasal dari Indonesia berlaku di Arab Saudi. Pada tahun 2010 saja, lebih daripada 5,000 kes penyeksaan dan perlakuan tidak wajar dilakukan. Mengapakah hal itu terjadi?
Diseksa majikan
Menurut pakar sosiologi Lembaga Pengajian Islam dan Kebudayaan Jakarta, Fahrurozy yang pernah menyambung pengajian di negara Arab itu, sebahagian masyarakat Arab menganggap pembantu rumah sebagai budak.
“Akibatnya, banyak dalam kalangan pembantu rumah diseksa oleh majikan dan diperlakukan sesuka hati,” katanya.
Cerita bekas pembantu rumah di negara tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Imas, 22, membuktikan kenyataan Fahrurozy. “Kami diperlakukan seperti budak-budak, dianiaya dan diperkosa berulang-kali oleh majikan dan keluarganya, dijual dan diperas ejen-ejen,” kata Imas.
Untuk rekod, terdapat lebih 9 juta pekerja asing di Arab Saudi. Sebahagian besarnya iaitu kira-kira 1.5 juta datang dari Indonesia.
Berdasarkan perkiraan pemerintah Filipina pula, terdapat lebih daripada 1.2 juta rakyatnya bekerja di Arab Saudi, 15 peratus adalah pekerja domestik seperti pembantu rumah dan pemandu.
Baru-baru ini seramai 325 banduan Indonesia termasuk pembantu rumah diberi pengampunan diraja oleh kerajaan Arab Saudi. Namun, agensi berita Republika melaporkan masih terdapat 28 pembantu rumah menanti perlaksaan hukuman mati di negara itu, manakala 1,000 yang lain masih ditahan di penjara atas pelbagai kesalahan.
Melihat fenomena yang tidak berkesudahan itu, Jakarta kini giat menyelamatkan rakyatnya yang dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi. Terkini, mereka telah menyelamatkan pembantu rumah, Darsem Dawud dengan membayar RM1.6 juta wang pampasan kepada Arab Saudi.
Harus diakui, kadar gaji yang ditawarkan untuk seorang pembantu rumah di Arab Saudi sememangnya lumayan. Pada masa yang sama, walaupun pelbagai cerita mengerikan kedengaran, sebilangan warga Indonesia masih menaruh minat untuk berhijrah ke sana.
Seperti harapan rakan-rakan senegara yang lain, Hariyanti, 29, berkata: “Apa saja yang terjadi pada seseorang bergantung kepada nasib, saya tetap bertekad untuk berangkat, kerana kita ingin mengubah nasib.”
No comments:
Post a Comment