TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, May 2, 2017

Tragedi Pasar Malam Cameron Highlands; Seorang lagi maut

Peristiwa rempuhan van peniaga di Pasar Malam Cameron Highlands kelmarin telah menambah korbannya bilamana salah seorang mangsa yang parah telah meninggal dunia hari ini.
Catatan petikan berita mengenai kejadian ini telah saya kongsikan di sini .
Saya memetik berita dari Berita Harian yang juga telah merujuk kepada kenyataan terkini Ketua Polis Daerah Cameron Highlands yang mengesahkan berita terkini ini.

Salam Takziah kepada keluarga mangsa, Tan Siew Lee.

**********************

CAMERON HIGHLANDS: Seorang mangsa yang parah dalam kejadian sebuah van merempuh kawasan pasar malam di Golden Hill di sini, malam kelmarin, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Pahat pagi tadi. 

Mangsa dikenali sebagai Tan Siew Lee, 52, yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia pada jam 8.43 pagi tadi di hospital berkenaan.  

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di bahagian kepala akibat terbabit dalam kemalangan itu. 

"Mangsa sebelum ini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh tetapi dipindahkan ke Hospital Batu Pahat, iaitu tempat asal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Ini menjadikan dua orang maut akibat kejadian itu selepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Adra Mustaffa Kamal, meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, tidak lama selepas kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.45 malam itu.  

Hasadid berkata, seorang lagi mangsa parah iaitu Kho Liang Jing, 23, yang patah kaki dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari hospital yang merawatnya. 

Beliau berkata, pemandu van berusia 29 tahun itu pula direman sehingga Khamis ini manakala ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

Sumber berita: Berita Harian.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock