Menurut beliau, mengikut perancangan, kawasan tanah tinggi itu sepatutnya mempunyai antara 2,300 atau 2,500 hektar tanah pertanian sahaja namun keluasan yang diteroka kini lebih 8,600 hektar.

Kata beliau, jumlah tersebut empat kali ganda daripada keluasan yang sepatutnya dan tindakan penguatkuasaan perlu dijalankan dengan segera untuk menyekat aktiviti berkenaan.

"Jika mengikut syarat, hanya kawasan cerun 20 darjah sahaja yang dibenarkan untuk dibuka tetapi di sini kawasan yang berkecerunan 40 darjah pun diteroka dan ini serius.

"Banyak kawasan sedemikian yang pokoknya sudah ditebang dan tanahnya diratakan. Ini amat mendukacitakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat dan Tanah Runtuh di Cameron Highlands, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pembukaan tanah baharu tidak sepatutnya berlaku lagi kerana kerajaan negeri sudah menghentikan pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di kawasan ini sejak tahun 2000.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memperketatkan syarat untuk memperbaharui TOL sejak tahun 2007 apabila kelulusannya dibuat di peringkat negeri, bukan lagi di peringkat Pejabat Daerah.

"Ini bermakna tanah yang diterokai sekarang adalah secara haram. Untuk itu, operasi membanteras perlu dilaksanakan segera tanpa notis kerana ia dibuat secara haram," katanya.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa mereka yang terlibat dalam penerokaan haram tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Bagaimana pun tegas beliau, tuduhan wujudnya individu yang membiayai kegiatan penerokaan tanah haram perlu disertakan dengan bukti.

"Tidak kira besar atau kecil, semua yang terlibat harus dikenakan tindakan. Namun kita tidak boleh tuding jari, siasatan perlu dijalankan.

"Dalam hal ini maklumat adalah penting dan orang ramai jika ada maklumat boleh lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tuduhan perlu disertakan dengan bukti," katanya.