TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, November 10, 2014

Operasi Imigresen "Ops Gempak Tapi Mesra" @ Cameron Highlands

Semalam di Cameron Highlands sedari pukul 12 tengahari saya mendapat pesanan whatsapps mengatakan operasi menangkap pendatang asing bermula di Ringlet dan Bertam Valley.

Saya berasa amat gembira kerana setelah sekian lama ianya berlaku juga dan terima kasih atas pendedahan UTUSAN MALAYSIA. 


Memang isunya amat jelas dan tak perlu dikatakan disensasikan. 

Yang duduk di sini akan mudah mengatakan benar kepada isu ini dan kecewa kerana tiada penguatkuasaan berlaku. 

Tidak percaya hari ini Isnin anda datang lah ke Pasar Malam di Kg Raja dan esok di Ringlet.

Saksikan adakah anda merasai berada di pasar malam di Malaysia ataupun di negara asing. 

Bukan hanya pembeli warga asing yang berlambakan tetapi turut serta adalah penjual pasar di pasar malam juga adalah sebahagiannya warga asing atau mengupah warga asing. 

Malah di pasar malam di Brinchang juga anda sendiri boleh melihat bagaimana warga asing seperti Indonesia dan Bangladeshi menjadi penjual atau bekerja sebagai penjual. 

Orang tempatan untuk memohon lesen perniagaan di pasar malam tersebut punyalah susah untuk mendapatkan lot perniagaan tetapi orang asing senang dan amat mudah berniaga. 

Jadi siapa tuan dan siapa yang mendatang ... Terlalu banyak kerosakan di Cameron Highlands yang bermula dari gatal-gatal yang membawa kepada luka yang bertukar kudis dan kini barah.

Saya sedar dalam rakan facebook saya sendiri ada yang menggunakan warga asing sebagai pekerja. 

Ada yang secara sah dan sebaliknya dan mereka nampaknya seperti menjauhi dari sebarang membuat komen atau pun mungkin menyimpan rasa marah kepada saya. 

Terpulanglah ... saya berkata yang benar. Jangan kita memilih yang benar untuk kita semata-mata atau berpura-pura. Pahit memang pahit. 
  
********************************************************************************************

CAMERON HIGHLANDS - Jabatan Imigresen mula menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri tanah tinggi di sini menerusi ‘Ops Gempak Tapi Mesra’ di beberapa buah pekan di kawasan tanah tinggi itu hari ini.


Operasi dijalankan mulai pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang ini di sekitar pekan Ringlet, Brincang, Kuala Terla dan Kampung Raja. Sepanjang operasi, sebanyak 581 warga asing ditangkap dan setelah diperiksa, 181 daripada mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (78), Nepal (40), Myanmar (20), India (10), Indonesia (10) Vietnam (1), Sri Lanka (1) manakala selebihnya dari lain-lain negara.


Sebahagian besar warga asing terlibat ditangkap ketika mereka sedang menghabiskan cuti hujung minggu bertemu rakan-rakan.


Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Bahagian Kawalan, Datuk Sakib Kusmi berkata, operasi itu adalah yang pertama dijalankan oleh jabatan itu khas untuk menggempurkan PATI susulan laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai kebanjiran golongan tersebut di daerah ini.


Menurut beliau, selepas ini operasi akan diperhebatkan lagi sehingga kawasan tanah tinggi itu bebas daripada warga asing yang mema­suki negara ini secara tidak sah.


“Hari ini merupakan operasi pertama dalam menggempur PATI di sini susulan daripada pendedahan oleh pihak media. Operasi hari ini tertumpu di kawasan pekan di sini dan selepas ini kita akan masuk sehingga ke kebun sayur di daerah ini untuk mengesan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Kata beliau, operasi hari ini tidak seperti serbuan terhadap PATI yang biasa dilakukan, sebaliknya pihaknya membuat tangkapan secara mengejut tanpa disedari orang ramai, termasuk pelancong.




Menurut beliau, operasi disertai oleh pegawai penguat kuasa dari setiap negeri di Semenanjung.

“Ini adalah kali pertama kita mengadakan operasi yang disertai oleh anggota dan pegawai dari setiap negeri iaitu seramai 369 orang yang membuat tangkapan di kawasan-kawasan yang telah kita tetapkan. PATI yang mereka tahan kemudiannya akan dihantar ke depot tahanan negeri masing-masing dan disiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah warga asing di daerah ini sememangnya agak tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terutama dalam sektor pertanian.


Menurut beliau, terdapat 11,016 warga asing yang bekerja secara sah di pelbagai sektor di daerah ini dengan 10,592 daripadanya bekerja di bidang pertanian, 221 di bidang perkhidmatan, 150 di ladang, 49 pembinaan dan empat orang di sektor pembuatan.


Beliau berkata, sebahagian besar mereka terdiri daripada warga Bangladesh, diikuti Nepal, Indonesia, India, Myanmar, Pakistan, Vietnam dan Sri Lanka.


“Berdasarkan jumlah pemeriksaan warga asing seramai 581 yang kita lakukan hari ini, bermakna masih ramai yang perlu kita kesan,” katanya.


“Tiada maaf bagimu”, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pendatang tanpa izin (PATI) yang menceroboh, termasuk ahli politik yang terlibat melin­dungi pencerobohan di tanah tinggi Cameron Highlands sehingga menyebabkan bencana banjir lumpur dan tanah runtuh Rabu lalu.


Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi membanteras gejala yang berleluasa itu, kerajaan akan menggerakkan operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi memastikan pihak terlibat segera dikenakan tindakan tegas.


“Satu daripada sebab kenapa perkara ini (kejadian banjir dan tanah runtuh) berlaku adalah tidak ada ke­tegasan dari segi pelaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggarnya. Jadi, kita telah putuskan bahawa kerajaan perlu ambil tindakan tegas dan saya telah arahkan satu operasi besar-besaran dilaksanakan bagi memastikan hal ini dihentikan segera,” katanya.


Operasi itu akan dilakukan seberapa segera berikutan sudah ada pihak yang berani mencabar kerajaan dan agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka, katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands di bilik operasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.


Difahamkan sehingga kini, kira-kira 6,000 hektar tanah telah dice­roboh di pusat peranginan tersebut.


Timbalan Perdana Menteri berkata, pencerobohan dan pene­rokaan haram itu mesti dihentikan dan kerajaan perlu tunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkuasa dan undang-undang yang ada mesti dikuatkuasakan.


“Isu mengenai pencerobohan tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan memang sudah ada langkah-langkah diambil. Saya arahkan supaya tindakan lebih tegas diambil sama ada kepada PATI, penanam atau pengusaha yang bersalah,” katanya.


Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palani­vel, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam akibat hujan lebat di Cameron Highlands pada Rabu lalu telah mengakibatkan lima kematian. Sebanyak 80 buah rumah dan 100 buah kenderaan dianggarkan rosak dalam bencana tersebut.


Mesyuarat tergempar yang diadakan hari ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu kemusnahan dan bencana di Cameron Highlands.


Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, tiada pihak bersalah yang akan terkecuali daripada penguatkuasaan dan kerajaan tidak bimbang dengan kemunculan orang besar dan orang politik yang dikatakan memberi perlindungan kepada penceroboh dan peneroka haram di Cameron Highlands.


“Jangan cari alasan bahawa seseorang itu dilindungi orang politik, orang besar atau orang luar dari Singapura. Apa yang penting adalah menjaga keselamatan penduduk dan alam sekitar,” katanya.


Mingguan Malaysia hari ini melaporkan rasuah dan campur tangan politik telah menyebabkan penerokaan haram di Cameron Highlands secara berleluasa di destinasi peranginan tersebut. - SUMBER

1 comment:

Anonymous said...

Incik.. sy nk Tanya skit pasal keadaan di CH buat msa ni... Sbnrnye, sy bercadang utk Ke sana.. adakah keadaannya selamat?

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock