TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, November 8, 2014

Tanah Runtuh dan Banjir @ Cameron Highlands 2014

Seolah-olah meraikan ulangtahun kejadian banjir lumpur pada 23 Oktober 2013, kejadian yang sama berulang kembali.

Mengimbas kembali peristiwa tersebut, kejadian terdahulu adalah kerana perlepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar oleh pihak Tenaga Nasional Berhad.

Ini menyebabkan penempatan penduduk hampir musnah dan mengorbankan 4 nyawa.

Untuk edisi kali ini, perlepasan air di empangan yang sama tidak mengorbankan mana-mana mangsa.

Namun kesan hujan yang amat lebat menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh dibeberapa lokasi lain di sekitar Cameron Highlands. 

Saya mendapat email dan juga pm di Facebook yang meminta penjelasan situasi sebenar di Cameron Highlands. 



Saya kongsikan kejadian-kejadian tersebut supaya lebih jelas kepada anda yang mencari maklumat dengan secara ringkas sebelum saya perincikan pengalaman saya sendiri nanti. 

PERTAMA: 
Kejadian Banjir berlaku di Kampung Baru Ringlet di Pekan Ringlet. 

Pekan Ringlet adalah pekan pertama yang anda akan lalui jika melalui Jalan Pahang dari Daerah Tapah, Perak.

Kejadian ini melibatkan sekitar 7 buah rumah yang dilanda arus Sungai Bertam yang melalui penempatan ini. 

Tiada tarikan pelancong di kawasan ini.  

KEDUA:
Kejadian banjir lumpur akibat perlepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar yang terletak di Habu Ringlet. 

Ianya bersebelahan dengan laluan utama namun selamat dilalui kerana alur limpah adalah melibatkan Pekan Lembah Bertam.



Bagi pengguna dari Jalan Pos Betau dan Felda Sungai Koyan, Kuala Lipis, ketika perlepasan air berlaku limpahan kecil di beberapa lokasi laluan tetapi kini sudah tiada. Maka laluan adalah selamat.

Yang menerima kesan adalah penempatan di Lembah Bertam akibat perlepasan air ini kerana laluan air memang akan melalui penempatan ini. 

Prosedur perlepasan air dipatuhi sepenuhnya. Saya kongsikan nanti dalam catatan saya khas mengenai detik perlepasan air ini. 

Tiada tarikan perlancongan di kawasan ini. 

KETIGA :
Kejadian mangsa hanyut di Kuala Terla. Benar ianya berlaku diwaktu malam ketika mangsa yang berusia 13 tahun hanyut apabila terjatuh ke dalam arus air ketika membantu bapanya mengalihkan kenderaan. 

Mayat mangsa ditemui 5 km dari tempat beliau jatuh keesokan harinya. 

Kawasan kejadian jauh dari tarikan pelancongan.

KEEMPAT:
Kejadian banjir kilat di Pekan Kampung Raja yang bakal anda temui jika anda dari arah perjalanan Lojing, Gua Musang ataupun Simpang Pulai.

Namun kejadian ini hanya berlaku pada malam 6 November 2014 dan selamat dilalui kini. 

Tiada tarikan perlancongan ketika ini. 

KEEMPAT:
Kejadian Tanah Runtuh yang melibatkan mangsa terbunuh. 

Ianya berlaku di 3 lokasi yang berbeza dan bukannya disebabkan oleh perlepasan air dari empangan.

Pertama kejadian menyaksikan warga Nepal terbunuh di Ulu Merah, Ringlet. Ianya jauh dari kawasan utama.

Kedua kejadian mengorbankan warga Indonesia yang bernama Hanipan berlaku di 2 km dari Pekan Lembah Bertam yang melibatkan rumah kongsinya di dalam kebun sayur. 


Ketiga  melibatkan kematian sepasang suami isteri di 3 km di Sungai Kabok dari Lembah Bertam juga bukan kerana perlepasan air tetapi tanah runtuh dikebun sayur. 

Ketiga-tiga lokasi adalah di kawasan pendalaman dan jauh dari kawasan tarikan perlancongan.

KELIMA :
Laluan ke Cameron Highlands adalah masih dibuka kepada semua awam. 

Cuma di laluan Tapah, terdapat lebih dari 10 lokasi terlibat dengan kejadian tanah runtuh yang mengaikibatkan pokok tumbang dan sisa tanah menutupi laluan. 

Pihak yang berkenaan sedang membersihkan kawasan runtuhan dan adakalanya dibuka satu laluan sahaja. 

Perlu berhati-hati untuk melalui laluan ini. 

Manakala laluan di jalan utama Cameron Highlands, semua masih berfungsi dengan beberapa lokasi runtuhan sedang dibersihkan oleh pihak JKR. 

Kesimpulan yang boleh saya kongsikan dan jika saya memetik perakuan dari pihak MAJLIS DAERAH CAMERON HIGHLANDS melalui laman Facebook mereka, Cameron Highlands selamat untuk dikunjungi dan kawasan bencana adalah melibatkan kawasan huluan dan hiliran daerah ini yang tidak melibatkan kawasan tumpuan perlancongan.

Untuk catatan yang seterusnya saya akan berkongsikan pula secara lebih terperinci kejadian-kejadian yang berlaku ketika itu berdasarkan pengalaman saya sendiri mengikuti bantuan kecemasan.

Saya juga akan berkongsikan catatan dan petikan berita mengenai kejadian ini sebagai koleksi rekod kejadian untuk rujukan akan datang. Insyallah ...   

1 comment:

Anonymous said...

Mr Kumai,

Catatan dan Laporan yang sangat baik ...

Saya share di FB insyaAllah

Terima kasih

HS
https://www.facebook.com/hani.sophea

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock