TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Saturday, November 8, 2014

Operasi Mencari dan Menyelamat Tanah Runtuh di Cameron Highlands ... 3

Pasukan penyelamat pada awalnya menjangkakan tugas mereka telah selesai sebaik sahaja mangsa ketiga ditemui pada pukul 10.20 pagi. 

Namun mereka mendapat satu laporan dari pemilik kebun di Sungai Kabok berdekatan dengan Penempatan Orang Asli Sungai Tiang bahawa kemungkinan 2 mangsa suami isteri telah hilang dan tidak datang bekerja pada pagi itu. 


Pemilik kebun merasakan mereka berdua telah menjadi mangsa tanah runtuh apabila melihat kawasan rumah kongsi pasangan tersebut telah ditimpa tanah runtuh.

Berdasarkan maklumat yang diterima itu, bilik gerakan mengarahkan semua pasukan menyelamat untuk ke lokasi yang dilaporkan. 

Saya turut serta bersama dengan pasukan penyelamat yang terdiri daripada pasukan Bomba Dan Penyelamat yang turut diketuai pasukan STORM mereka, pasukan Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Tapah, Pasukan Polis Cameron Highlands, Pasukan Jabatan Pertahanan Awam dari Perak dan Daerah Cameron Highlands serta dibantu oleh Comunity Emergency Rescue Team Cameron Highlands. 

Cabaran pertama adalah jambatan laluan masuk ke kawasan kebun tersebut telah terputus dan laluan alternatifnya juga turut terputus. 

Pemilik kebun terpaksa menunjukan satu laluan lain yang tidak mempunyai laluan jalan raya dan memaksa semua kenderaan pasukan penyelamat terpaksa ditinggalkan dan hanya boleh berjalan kaki sahaja. 


Sebaliknya laluan tersebut melibatkan pendakian lebih satu kilometer dengan kecerunan sekitar 70 hingga 80 darjah untuk sampai ke lokasi yang dinyatakan. 

Cukup memenatkan bagi saya sebagai orang awam manakala bagi pasukan penyelamat saya melihat pasukan khas STORM, ATM dan JPAM mempunyai kekuatan yang amat mengagumkan walaupun ada yang tidak tidur dari malam tadi malah baharu sahaja selesai mencari dan mengeluarkan mangsa ketiga. 

Ketika saya masih gigih mengerah kudrat untuk mendaki dan sampai ke lokasi kejadian, kelihatan dari jauh mereka telah mulai melakukan kerja-kerja pencarian. 


Sampai sahaja di lokasi tersebut, saya sebagai orang awam amat hairan dan kurang berkeyakinan dengan lokasi yang dikatakan kemungkinan ada mangsa tertimbus. 

Pertamanya kerana lokasinya agak curam dan berada di luar kawasan kebun tanaman.

Keduanya maklumat 'kemungkinan' itu sedikit mengurangkan keyakinan saya bahawa mangsa berada di situ. 

Namun bagi pasukan penyelamat mereka tidak langsung menunjukan rasa ragu-ragu dan tidak yakin sebaliknya terus berusaha mencari dengan melakukan pendakian. 


Ketika ini mereka mengamalkan bilangan penyelamat yang terhad dalam setiap masa kerana lokasi pencarian adalah kurang stabil. 

Dengan sekitar 6-8 anggota penyelamat bertugas dalam satu masa, ahli pasukan yang lain menggunakan kesempatan untuk berehat seketika seperti berbaring atau melelapkan mata namun sebaik sahaja ketua mengatakan pertukaran anggota tanpa berlengah segera mereka bangun dan menukar shif untuk melakukan kerja-kerja pencarian. 

Tiada keluhan. Tiada bantahan. Tiada rasa jemu.

Terbit semula keyakinan saya dan menambah semangat kepada anggota penyelamat yang lain bilamana penemuan barangan mangsa seperti tilam, kasut dan baju yang masih baharu tertimbus namun masih gagal menemui mangsa. 


Cukup untuk memberikan semangat kepada mereka untuk melakukan pencarian. 

Saya sekadar 3 jam bersama mereka sebelum turun dan ketika dalam perjalanan terdapat pasukan bantuan yang mulai mendaki untuk memberikan bantuan. 

Esoknya, saya difahamkan bantuan Anjing Pengesan dipanggil semual untuk membantu kerja-kerja pencarian ini. 

Akhirnya dua mangsa suami isteri berusia 40 dan 41 tahun ditemui pada hari kedua dengan bantuan anjing pengesan. 

Saya pasti jika tiada kegigihan dan semangat tidak putus asa dikalangan mereka, pasti tidak akan menemui mangsa tersebut. 

Tahniah kepada pasukan penyelamat. 
Takziah kepada mangsa dan keluarga... 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock