Beliau yang mengenali dalang berkenaan serta mempunyai beberapa bukti bergambar mengenainya walau bagaimanapun mengakui tidak boleh bercakap atau mendedahkannya dengan lebih lanjut.

Katanya, Cameron Highlands suatu ketika merupakan kawasan terpelihara manakala kegiatan pertanian di kawasan itu amat bagus untuk eksport negara sehingga mencecah RM2 bilion.

“Namun disebabkan sesuatu yang berlaku, kita tidak dapat mengawal mereka. Merekalah yang berada di belakang dan melakukan kerja-kerja haram ini.

“Pekebun Cina telah datang kepada saya dan mengadu bahawa orang-orang ini memusnahkan bukit-bukit. Pekebun di sini telah melakukan kerja cukup baik dan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Daerah dan Tanah, hari ini.

Ditanya sama ada beliau telah mengajukan perkara itu kepada pengetahuan polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Palanivel berkata: “Saya sedang berurusan dengan mereka.”

Dalam perkembangan berlainan, Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, beliau akan menghantar surat bagi memohon perkenan untuk menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak lama lagi.

“Sultan tidak murka dengan saya. Saya berada di Paris, Perancis pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian saya pulang ke sini. Saya selalu berada di sini.

“Cuma, baginda tidak berke­sempatan mendengar apa-apa daripada saya ketika itu,” katanya.