Dari sumber Facebook....
#JomBeringat
Kepala air ialah gelombang air besar yang mengalir secara mengejut dan sangat deras dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Fenomena ini kebiasaannya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.
Bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini apabila 'kepala air' muncul secara tiba-tiba, pihak berkuasa sentiasa mengeluarkan amaran dari semasa ke semasa agar orang ramai tidak berada di kawasan air terjun atau sungai yang berisiko mengalami fenomena tersebut apabila tiba musim hujan.
Namun begitu, masih ada segelintir orang awam yang berdegil dan mengambil ringan arahan keselamatan yang telah dikeluarkan dengan berkelah atau memancing di kawasan tersebut.
Beberapa situasi berikut merupakan tanda-tanda yang berkemungkinan boleh berlaku kepala air:
> Pergerakan awan dan keadaan langit yang gelap di bahagian hulu sungai (kawasan puncak bukit) dengan disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
> Keadaan air sungai yang berbuih seperti air kencing dan paras air meningkat secara tiba-tiba. Digalakkan meletakkan sebarang tanda aras seperti kayu atau batu bagi melihat sama ada paras air meningkat ataupun tidak.
> Keadaan air bertukar keruh dan terdapat banyak daun atau ranting kayu yang mengalir bersama dipermukaan air.
> Ketika menyelam, boleh kedengaran bunyi dentuman dan gerakan batu-batan di dalam air.
> Siren amaran dibunyikan di sesetengah tempat riadah.
Apabila terdapat tanda-tanda seperti di atas, segera beredar dan pergi ke tebing atau kawasan tinggi yang jauh daripada aliran air.
Elakkan juga berada terlalu tengah di dalam air. Ia akan menyukarkan anda untuk keluar dengan pantas untuk menyelamatkan diri.
Arus kepala air yang sangat deras boleh menghanyutkan apa sahaja yang berada di dalam air mahupun yang di tepian. Natijahnya, apabila anda tidak peka dengan tanda-tanda dan mengabaikan amaran yang telah dikeluarkan, nyawa juga boleh melayang akibat bencana alam ini.
No comments:
Post a Comment