TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, November 20, 2018

Jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan di Parlimen mengenai kesesakan jalan raya di Cameron Highlands


1. Masalah kesesakan jalan raya di Cameron Highlands adalah serius dan rumit kerana ia melibatkan bidang kuasa beberapa agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Tanpa mengambil pendekatan 'multi-agensi', adalah mustahil masalah tersebut dapat ditangani sepenuhnya.

2. Pertama sekali, Laluan Persekutuan FT 59 merupakan satu- satunya jalan yang menghubungkan pekan-pekan utama di Daerah Cameron Highlands seperti Ringlet, Habu, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla, Kampung Raja, Blue Valley sehingga ke Simpang Pulai. Jalan FT59 ini telah mencapai tahap kapasiti maksima dan tidak berkeupayaan untuk menampung aliran dan frekuensi trafik yang sangat tinggi terutamanya pada hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti umum.

3. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan sedang mengkaji untuk membangunkan Jalan Pintasan Cameron Highlands sebagai jalan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

4. Walau bagaimanapun, cadangan pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands ini perlu diteliti dan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti daya maju (viability) projek. Setelah kajian ini selesai, Kerajaan juga perlu memperuntukkan sumber kewangan untuk menampung kos projek ini. Kajian ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dan dijangka akan selesai pada tahun 2020.

5. Menurut makluman dari Kementerian Kerja Raya, sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, pihak Kerajaan masih mempertimbangkan pelaksanaan projek menaik taraf dan melebarkan Jalan Persekutuan FT 59 Jalan Ringlet Ke Blue Valley. Dalam hubungan ini, KKR akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengenal pasti peruntukan kewangan yang diperlukan supaya cadangan projek ini dilaksanakan sebelum tahun 2020.

6. Di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan pula, tumpuan akan diberi dari segi rancangan pembangunan dan penambahbaikan pengangkutan awam di Cameron Highlands yang sebelum ini tidak diberi perhatian yang serius. Punca kesesakan jalan raya di Cameron Highlands adalah kereta-kereta pelancong yang mengunjungi kawasan Cameron Highlands pada hujung minggu dan cuti sekolah.

7. Untuk makluman, di seluruh daerah Cameron Highlands hanya terdapat 151 permit teksi/kereta sewa yang aktif beroperasi di samping perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan MyCar.

8. Bagi perkhidmatan bas pula, hanya terdapat sebuah syarikat pengendali bas yang memberi perkhidmatan bas henti-henti di laluan Tanah Rata - Kg. Raja - Blue Valley dengan 19 trip setiap hari dan purata penumpang 200 orang sahaja setiap hari. Jelas, peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam harus menjadi sebahagian daripada strategi dalam menangani kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands. Pihak Kementerian Pengangkutan akan menilai semula perkhidmatan bas di Cameron Highland dan menggalakkan pihak swasta untuk menambah bilangan dan kekerapan bas supaya dapat menggalakkan warga tempatan dan pelancong-pelancong menggunakan pengangkutan awam di Cameron Highland bagi mengurangkan kesesakan.

9. Kementerian Pengangkutan juga mengambil maklum tentang isu parkir yang tidak mencukupi dan juga aduan tentang operasi gerai- gerai di sepanjang jalan utama yang turut menyumbang kepada kesesakan. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut memerlukan usaha penguatkuasaan yang mantap dan strategi baru oleh pihak kerajaan tempatan.

10. Kementerian Pengangkutan juga mengalu-alukan sebarang usaha oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang supaya lebih proaktif dalam berbincang bersama Kerajaan Persekutuan dan mencari jalan penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu kesesakan di Daerah Cameron Highlands.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock