TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, November 1, 2013

Ke mana kau Isteriku , Jarwati

Antara kisah pilu yang dapat saya kongsi dan dekati sendiri selepas bencana banjir kilat adalah kisah seorang suami yang kehilangan isterinya.
 
 
Saya mendengar kisah seorang wanita dihanyutkan air seawal pagi semasa sampai di tempat kejadian.
 
Saya melihat sendiri maklumat mangsa hilang dicatatkan di papan notis di khemah operasi yang diwujudkan.
 
Saya mendengar sendiri taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Tuan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands baik kepada wartawan mahupun kepada DYMM Tengku Mahkota.
 
Namun kesempatan saya menemui si suami mangsa adalah amat berharga pada saya.
 
Kesempatan yang saya maksudkan adalah ketika saya pulang dari tugasan marshall CH Thompson Trail MTB Funride (yang akan saya kongsikan catatannya kemudian).
 
Saya pulang selepas dimaklumkan ada masalah bekalan elektrik di kebun saya.
 
Namun sementara menanti kontraktor elektrik datang, saya memanjangkan langkah untuk melihat kemusnahan kebun-kebun sayur di hiliran Sungai Bertam.
 
Pandangan saya tertumpu seketika kepada kemusnahan kebun sayur akibat rempuhan arus deras yang melimpah tebing sungai yang dijadikan kebun secara haram.
 
 
Namun ketika memetik kamera merakamkan suasana tersebut, pandangan saya tertarik kepada sekumpulan 4 orang pemuda Indonesia yang sedang berada di dalam sungai dan kelihatan seperti mencari sesuatu.
 
Saya segera menuruni tebing tersebut dan mendekati kumpulan pemuda ini.
 
Saya terkelu bilamana mereka mengatakan sedang mencari orang yang hilang, Jarwati.
 
Lebih terdiam saya bilamana saya diperkenalkan dengan Bakarudin , yakni suami si mangsa sendiri.
 
Wajahnya masih sugul. Sedih dan seolah-olah hilang arah ketika itu. Tersenyum seketika tapi hilang manisnya kerana menyimpan duka.
 
 
Saya tidak mahu menambah kesedihan beliau. Saya sekadar menanyakan soalan kepada salah seorang rakannya.
 
Katanya, pada malam kejadian ketika air tiba-tiba naik melimpah kawasan rumah mereka, Bakarudin bersama-sama isterinya Jarwati sedang tidur di dalam rumah kongsi mereka.
 
Turut sama adalah ibu dan bapa Bakaruddin yang turut sama datang dari Lamongan Indonesia. Mereka bekerja sebagai pekerja kebun sayur di kawasan rumah kongsi mereka.
 
Air naik secara mendadak. Tiada amaran dikesan kerana mereka berada 3 km jauhnya dari pusat Pekan Lembah Bertam yang dibunyikan siren amaran.
 
Air yang naik mendadak bukannya sekadar melimpah tetapi meluru lajunya. Segera Bakarudin mengarahkan ibu dan ayahnya naik segera ke kawasan tanah tinggi yakni kebun di sebelah kiri mereka.
 
Ketika itu, air yang melebihi paras dadanya cukup merbahaya dan segera didokong isterinya Jarwati. Ternyata dokongan itu tidak lama kerana arus deras menghentam tubuh kedua-duanya.
 
 
Dalam gelap gelita, Jarwati terlepas dari dokongan. Manakala si Bakaruddin terperosok ke dalam rimbunan pokok limau yang berduri. Ditunjukkanya saya kesan calaran duri pokok limau tersebut di lehernya.
 
Sekali lagi kudratnya tidak mampu bertahan dan kali ini beliau sudah terlepas pegangan isterinya dan dihanyutkan air.
 
Dalam suasana gelap dan jeritan suara yang tidak kedengaran itu Bakarudin hanyut ke hiliran sungai dan nasibnya berubah baik bila berjaya berpaut dengan paip air kira-kira 60 meter dari tapak rumahnya.
 
Namun nasib baiknya itu tidak menyebelahi isterinya. Lenyap dari pandangan. Sepi dari panggilan.
 
Selepas menyelamatkan diri, Bakarudin seperti kehilangan arah dan buntu. Isterinya tidak langsung ditemui bukan sehari tetapi 4 hari sehinggalah pada hari saya menemuinya.
 
Biarpun menyedari arus kuat malam itu telah menghanyutkan isterinya mungkin jauh malah lebih jauh, namun dia amat mengharapkan dapat menemuinya jua nanti.
 
Beliau bersama rakan-rakan yang setia bersama gigih menyelusuri tebing sungai yang berdekatan untuk melihat jika ada jasad isterinya terselit.
 
 
Ruang batu yang terbuka segera diperiksa dan sebarang longgokan sampah segera diselongkari dalam pencarian ini.
 
Ketika saya memerhatikan tingkah laku mereka tiba-tiba Bakaruddin mengambil sesuatu dari tepi kayu ditebing sungai lalu diperhati dan diperiksa dengan amat teliti.
 
Dalam sayu beliau berkata dalam loghat Indonesia kepada rakanya, ini tudung isteriku....
 
 
Namun pada malam kejadian, Jarwati hanya memakai baju berwarna putih dan berkain batik.
 
Saya melihat penemuan itu cukup bermakna kepada Bakaruddin. Kain tudung hitam itu dibersihkan dengan air sungai bagi menghilangkan lumpur, dilibaskan kering, dilipatkan dan dimasukan dengan cermat ke dalam poket bajunya.
 
Saya kira itu adalah barangan yang amat berharga kepada Bakarudin kerana semua barangan peribadi miliknya, isterinya , ibu bapanya hilang dibawa arus deras.
 
Bukan itu sahaja, tapak rumahnya juga lenyap. Kontena barangan yang besar juga hanyut tanpa dikesan malah pokok limau yang dipautnya juga turut dibawa arus deras apatah lagi tubuh kecil isterinya yanag berusia 24 tahun itu.
 
Bagi Bakarudin impian melihat isterinya ditemui hidup realitinya sekadar impian tetapi menjadi harapan kepadanya untuk menemui jasad isterinya agar sempurna dikebumikan kerana itulah sahaja bukti kasih dan sayang kepada isterinya....
 
Alfatihah .....
 
* Operasi Menyelamat ditamatkan selepas 4 hari dijalankan dan Jarwati diistiharkan sebagai "orang hilang".
 
Namun pada hari kelima, seorang pekebun menemui mayat di dalam timbunan sampah dan kayu berhampiran 2 km dari tempat tapak rumah Bakaruddin dan hasil pengecaman disahkan ianya adalah Jarwati.
 
Kini, Bakarudin mendapat jawapan kepada soalan Di mana kau Isteriku, Jarwati.....
 
Takziah..
 
Gambar selebihnya di SINI.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock