Dalam seminggu ini saya mendapat beberapa pertanyaan dari mereka yang membaca do blog ini tentang keselamatan untuk datang bercuti ke sini mulai minggu hadapan bersempena cuti sekolah.
Saya rasa ada kewajaran soalan sebegitu ditanya selepas beberapa peristiwa besar yang melibatkan alam sekitar di sekitar daerah ini.
Peristiwa banjir kilat yang melanda Pekan Lembah Bertam pada 23 Oktober 2013 dan terbaru pada dua hari yang lalu melibatkan tanah runtuh di pinggiran pekan Brinchang.
Akhbar arus perdana juga banyak memaparkan beberapa isu yang relevan berkaitan dengan kemusnahan alam sekitar di sini ekoran kejadian tersebut.
Antaranya tajuk seperti " Ibarat Bom Jangka" seperti memberi gambaran daerah perlancongan ini tidak selamat.
Jadi saya menerima soalan-soalan mengenai statusnya dari kalangan pembaca.
Jawapan saya :
Pertama : saya bukan pihak yang mempunyai kredit atau wajar untuk menyatakan selamat atau tidak. Pihak yang boleh anda ajukan soalan ini tentunya Pihak Polis DiRaja Malaysia, Pejabat Tanah Daerah atau Majlis Daerah Cameron Highlands.
Anda boleh melayari laman web mereka untuk mendapatkan kepastian. Mereka lebih dan pihak yang tepat untuk menyatakan status keselamatan dengan jaminan.
Kedua : Anda boleh membuat semakan dengan laman web Jabatan Meteorlogi Malaysia (MET) untuk mengetahui ramalan hujan dan juga cuaca di Cameron Highlands ketika tempoh kunjungan anda nanti untuk lebih bersedia.
Biarpun ini jawapan standard yang selalu saya berikan, masih ada yang mencuba bertanya secara peribadi pula , apa pendapat saya.
Jawapan saya :
Pertama: Kedudukan lokasi kejadian banjir lumpur di Pekan Lembah Bertam jauh dari lokasi tumpuan sekitar Tanah Rata dan ke atasnya. Jaraknya menghilir 16 km ke arah Laluan Pos Betau ke Ringlet.
Kedua: Tanah runtuh di pinggiran Pekan Brinchang juga tidak melibatkan kawasan perlancongan kecuali laluan ke bengkel kereta dan juga laluan keluar dari Big Strawberry Farm yang masih dibuka tanpa henti.
Ketiga : Tips yang boleh digunakan ketika memilih kawasan penginapan ianya mestilah selamat. Selamat maksudnya risiko rendah seperti tidak berada sebelah bukit, tebing atau laluan air.
Keempat : Rancang perjalanan anda kalau ke sini. Dapatkan maklumat awal dari JKR atau PDRM keadaan laluan ke sini baik dari Simpang Pulai, Tapah , Raub ataupun Lojing. Laluan ini mungkin baharu pertama kali anda menggunakannya. Jangan terlalu laju atau berkejar sesama kenderaan yang lain.
Kelima : Bersedia dengan ramalan cuaca seperti hujan dan tanah runtuh.
Kelima-lima jawapan saya adalah peribadi. Tiada sebarang liabiliti saya tawarkan diantaranya.
Jika anda yakin. Selamat datang ke Cameron Highlands.
Cuma jangkakan kepada kesesakan di beberapa lokasi tumpuan nanti.
Cuma beberapa minggu lalu selepas peristiwa banjir kilat di sini, saya menumui pengusaha kedai makan di Brinchang yang mengatakan jumlah pelancong berkurangan kerana wujud rasa "bimbang" banjir kilat tersebut akan berulang.
Saya akui ramai yang tidak mengetahui sebenarnya lokasi kejadian. Malah saya sendiri pada ahri kejadian dan selepas itu mendapat banyak panggilan keluarga, rakan dan juga kenalan jauh yang bertanyakan samada rumah saya terlibat atau tidak.
Alhamdulillah, kami jauh sangat dari lokasi kejadian...
No comments:
Post a Comment