TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, June 11, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands; Lata Iskandar

Catatan mengenai Lata Iskandar ada saya kongsikan dalam catatan terdahulu.
 
 
Cuma kali ini nak berkongsikan kunjungan terbaru saya dan kali ini bersama keluarga dan sempat bermandi mandi manda di sini.
 
Seperti biasa, kalau musim cuti sekolah seperti minggu lalu, kami sebagai penduduk Cameron Highlands selalunya melawan arus iaitu turun bercuti di kala anda berduyun-duyun naik bercuti di sini.
 
Dan melalui Jalan Pahang, Tapah ini, persinggahan yang jarang-jarang kami lakukan adalah di Lata Iskandar ini.
 
Ini saya akui sendiri, dari berpuluh kali melalui laluan ini, saya ingat ini adalah kali pertama saya singgah bersama keluarga bagi tempoh 4 tahun kebelakangan ini.
 
Kalau seorang diri, kali terakhir untuk catatan saya yang dahulu sekitar tahun 2012.
 
Untuk kali ini, kami singgah tanpa dirancang kerana sekadar nak bergambar.
 
Kebetulannya terdapat satu ruang letak kereta sebelum jambatan dan laju pula saya masuk ke situ dan hanya perlu 5 langkah dari kereta untuk masuk ke kawasan lata ini.
 
Berbanding dengan kereta yang lain, mereka terpaksa meletak kenderaan bukan di atas bahu jalan tetapi disebahagian laluan menjadikan laluan ini sempit dan pergerakan trafik agak perlahan tambahan lagi kalau kenderaan berat berselisih. Bunyi hon yang kuat terpaksa diberikan untuk memohon laluan.
 
Kadang-kala saya melihat ada yang meletak kenderaan sejauh 300 meter rakanya dari kawasan ini namun keterujaan untuk melihat air terjun ini mengatasi segalanya.
 
Kawasan gerai jualan pula terlalu hampir dengan jalan dan hampir tiada ruang laluan pejalan kaki yang menyebabkan pengunjung berjalan di atas pinggir jalan dengan risiko keselamatan yang amat tinggi untuk berlaku kemalangan.
 
Mujurnya, kebanyakkan pemandu lebiuh berhemah dan berhati-hati di laluan ini.
 
Kami seperti awalnya hanya bergambar tetapi tidak pula bagi anak saya yang kecil ini.
 
Terkinja-kinja mereka memujuk kami untuk mandi dan sebagai tawarannya kami benarkan sekadar bermain air.
 
 
Tidak sampai 10 minit bermain air di kawasan alur yang cetek, baju mereka telah pun basah dan merengek-rengek pula mereka untuk terus mandi.
 
Alang-alang, kami benarkan.
 
Mandi-manda di kawasan alur ini sememangnya sesuai untuk kanak-kanak tetapi mesti di bawah pengawasan orang dewasa.
 
Kawasannya cetek dan kurang berbatu. Airnya amat jernih dengan arus yang mengalir pelahan.
 
Berbeza dengan kawasan air terjun yang berada sedikit di atas.
 
Arusnya kuat dan kawasan kolamnya yang sempit tetapi masih berparas pinggang orang dewasa. Untuk remaja dan orang tua memang sesuai.
 

J
ika yang ingin memanjat tangga untuk ke air terjun dibahagian atasnya pula memang hanya sesuai untuk orang dewasa sahaja dan perlu berhati-hati ketika memijak kawasan berbatu yang mungkin licin.
 
Terdapat beberapa panduan dan peringatan oleh agensi yang terlibat. Antaranya Jabatan Perhutanan dengan peringatan menjaga kebersihan dan keaslian hutan.
 
Juga panduan arus deras ketika musim hujan termasuklah kepala air yang berisiko berlaku bila-bila masa.
 
Jabatan kesihatan pula dengan peringatan mereka mengenai wabak kencing tikus dengan panduan kesihatan yang perlu diambil kira sebelum dan selepas bermandi-manda.
 
 
Pondok-pondok rehat disediakan di beberapa sudut biar pun terhad.
 
Saya rasa tidak menjadi masalah kerana rata-ratanya sekadar singgah untuk bergambar dan jika mandi pun sekadar tempoh waktu yang singkat.
 
Apapun kunjungan saya kali ini bersama anak-anak saya sangat memuaskan terutamanya mereka kerana inilah kali pertama mereka dapat ke sini dan bermandi manda pula.
 
Koleksi gambar yang lain, di laman FB mrkumai di SINI.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock