TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, December 5, 2012

Catatan Perjalanan: Terminal Bersepadu Selatan

Hentian kedua dalam perjalanan pulang ke Cameron Highlands dari Melaka adalah Terminal Bersepadu Selatan ataupun dikenali dengan singkatan TBS. Lokasinya terletak di Bandar Tasik Selatan yang bersebelahan dengan laluan dan hentian stesen Komuter, LRT Rapid dan ERL.


Semenjak pembukaanya, semua perkhidmatan Bas dari arah selatan akan berhenti di sini berbanding sebelum ini di Hentian Puduraya.

Istimewanya di sini , TBS terletak di pinggir pusat bandar yang dekat dengan penyuraian trafik ke selatan dengan hanya perlu melepasi Plaza Tol Sungei Besi. Jika anda dari selatan, anda tidak perlu lagi masuk ke pusat bandar ataupun Pudu Sentral sebagai hentian terakhir.

Cuma yang agak menyulitkan jika anda perlu untuk menyambung perjalananan ke Timur ataupun Barat serta Utara kerana perlu menaiki LRT ataupun Komuter ataupun ERL ataupun Bas ke hentian seterusnya.

Seperti saya yang tiba sekitar pukul 2 petang perlu menyambung perjalanan ke Pudu Sentral untuk perjalanan bas yang seterusnya ke Cameron Highlands. Bas Mayang Sari Ekpress menurunkan kami di platform ketibaan yang sangat selesa dan kemudahan eskalator dan lift memudahkan kami naik ke tingkat utamanya. 


Memasuki ruang utama ini, saya kagum dengan susunatur bangunan dan hiasan dalamannya. Syilingnya amat tinggi membolehkan peredaran udara yang lebih bebas tambahan dengan penghawa dingin sepenuhnya di dalam bangunan terminal ini . 

Kemudahan tandas yang berdekatan dengan pintu masuk amat selesa dan memudahkan penumpang yang telah melalui perjalanan jauh untuk melepaskan hajat. Bayangkan jika anda sampai dan tandasnya pula jauh ke belakang tentu kurang selesa bagi mereka yang teramat berhajat.

Tingkat duanya pula menempatkan kemudahan seperti pilihan gerai makanan dan restoran serta kemudahan teksi bandar serta laluan untuk meletakan kenderaan persendirian yang luas. 

Jika anda perlu meneruskan perjalanan menggunakan sistem ERL, LRT ataupun Komuter, jejantas keluar juga berdekatan dengan pintu masuk dan memudahkan anda meneruskan perjalanan tanpa henti atau melalui gerai jualan. 

Di tingkat utama ini saya mendapati kemudahan rehat dan menunggu amat luas dan hanya penumpang yang mempunyai tiket dan waktu perjalanan untuk memasuki bas sahaja yang boleh melalui laluan ke platform menaiki bas. Ini amat efisyen kerana anda tidak perlu berpanas atau merisikokan diri anda dengan pencemaran kenderaan jika terlalu lama di platform. Terdapat polis bantuan yang akan memeriksa tiket anda seolah-oleh ketika berada di Lapang Terbang. 


Untuk menyemak jadual perjalanan dan ketibaan bas anda, anda boleh merujuk kepada papan jadual perjalanan yang besar di sini sama seperti melihat perjalanan kapal terbang di lapangan terbang. Di sini tiada pengumuman jadual ketibaan bas untuk memanggil penumpang menjadikannya lebih selesa dan tidak bising. Hanya kepada penumpang bas perlu lebih kerap memeriksa jadual perjalanan anda.


Berada di lantai utama ini juga amat selesa kerana sistem pembelian tiket yang amat teratur di kaunter dan tiada ulat tiket yang 'berkuasa' berbanding di Pudu Sentral yang akan saya kongsikan kelak.  Anda boleh memilih membeli tiket di kaunter bas yang secara terus atau pun kiosk layan diri yang disediakan. 

Selain itu, jika anda masih mempunyai waktu menunggu ketibaan bas anda, pilihan kedai yang terletak di aras ini juga amat membantu anda mengelakkan kebosanan dan mungkin berpeluang membeli belah juga. 

Di lantai atasnya seperti yang saya katakan tadi lebih kepada deretan pilihan kedai dan restoran makanan. Jika anda inginkan nasi kandar dan berkaitannya, tentunya Restoran Nasi Kandar TBS menjadi pilihan utama malah ruang makannya amat besar. Juga terdapat pilihan menu Kopitiam Malaysia dan ringkas seperti donut dan kek hanya bersebelahan dengan restoran ini.


Tidak betah dengan makanan segera sebegini, Arkid Makanan Teratai yang terletak di bahagian tengah juga menawarkan lebih dari 10 gerai pilihan makanan dan ruang makannya juga amat selesa. 

Bagi mereka yang inginkan makanan segera seperti KFC atupun SUBWAY, di bahagian hujung menuju ke ruang teksi luar bandar juga boleh dikunjungi. Penat berjalan, kita boleh memanjakan diri dengan urutan kerusi berbayar yang dibawakan oleh Gintel di aras 3. 

Saya perhatikan, ruang makan yang selesa ini dengan kemudahan WIFI percuma serta penghawa dingin menjadi pilihan kepada beberapa kumpulan pelajar UPM untuk belajar dalam berkumpulan. 


Mengisi masa menunggu bas di sini tidaklah bosan kerana anda boleh meninjau ke 60 buah gerai yang disediakan namun ketika kunjungan saya masih belum dibuka sepenuhnya. Untuk membeli belah dengan membawa beg yang berat juga pasti melecehkan dan akhirnya anda akan lebih memilih untuk duduk sahaja di bangku yang disediakan. 

Namun penyelesaian yang ditawarkan oleh TBS adalah dengan kemudahan penyimpanan bagasi di beberapa loker atau almari yang bersesuaian dengan saiz bagasi anda. 

Jika anda membawa bayi dan kanak-kanak terdapat kemudahan bilik persalinan untuk mereka. Bagi orang kurang upaya pula , usah bimbang kerana pemerhatian saya TBS adalah mesra OKU malah sedari turun dari bas lagi saya dapat melihat bagaimana jalur jalan untuk panduan orang buta disediakan sehingga ke setiap penjuru bangunan. 

Cuma dalam saya leka mengambil gambar di sini, saya akhirnya disapa oleh Polis Bantuan yang menanyakan tujuan saya mengambil gambar dan menyatakan kawasan TBS ini adalah larangan mengambil gambar. 

Saya mengajukan semula soalan kepada beliau bahawa sepanjang saya mengambil gambar baik di dek penumpang, lantai utama dan lantai ke dua, saya tidak menemui sebarang tanda amaran ataupun pemberitahuan "Larangan Mengambil Gambar" biarpun sekadar papan notis bergambar. Beliau menjelaskan setiap pengunjung yang ingin mengambil gambar perlu mendapatkan kebenaran pihak pengurusan. 

Saya pelik dan hairan. Bayangkan jika pengunjung dan penumpang lain mengambil gambar kenang-kenangan seperti yang kita biasa lihat setiap kali perpisahan samada dengan kamera ataupun telepon, tanpa mereka sedari sebenarnya telah melakukan kesalahan jenayah di TBS. Saya tidak pasti apakah bentuk hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah atau penjenayah ini termasuklah diri saya. 

Saya menerangkan tujuan saya mengambil gambar sekadar suka-suka tanpa sebarang tujuan komersial dan sebagainya. Dengan berhemah beliau mengatakan untuk tujuan komersial dan sesi pengambaran dimestikan untuk memohon kebenaran. Itu saya setuju sepenuhnya.  

Saya akan menulis email kepada pihak pengurusan TBS untuk mendapatlan lebih penerangan dan akan meminta mereka menaikkan papan tanda yang sewajarnya jika larangan ini berkuat kuasa kepada semua jenis gambar. 

Secara keseluruhannya, berada sekitar 45 minit di sini cukup selesa dan amat menyenangkan malah jika tidak perlu tergesa-gesa untuk menyambung perjalanan ke Pudu Sentral,  saya lebih rela berada lama di sini berbanding di Pudu Sentral. Saya tidak pasti apakah sistem tiket berpusat mereka juga merangkumi perjalanan bas di Pudu Sentral. 

Saya beredar ke Hentian LRT Rapid selepas menikmati makan tengahari arked makanan di lantai dua untuk ke Hentian Pudu Raya ataupun kini dikenali dengan Pudu Sentral.

TBS adalah kemudahan kelas pertama yang kita miliki dalam pengangkutan bas dan darat ini, Saya mengharapkan perkhidmatan yang diberikan sentiasa mengikuti kelas pertama sama saperti kemudahannya juga... Thumb ups... dari mrkumai.blogspot,com

Hari Isnin depan ini Insyaallah saya akan menggunakan kembali TBS ini untuk perjalanan ke Selatan pula. Harapan saya, akan sempat mendapat penerangan yang saya maksudkan dan dua email telah saya hantar kepada pentadbiran mereka sebentar tadi. 

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock