TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, December 7, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Bas Ekpress

Catatan ini saya kongsikan seperti yang pernah dijanjikan. Ceritanya mengenai kemudahan pengangkutan awam yang terdapat di Cameron Highlands. Untuk catatan pertama mengenainya saya kongsikan berkenaan pengangkutan Bas awam seperti Bas Ekpress dan juga henti-henti. 



Kisahnya, bermula di Terminal Freesia, terminal bas yang baru dibuka sekitar 5 tahun yang lalu. Namun sebelum itu, sejarah bas di Cameron Highlands sebenarnya amat panjang kisahnya kerana telah bermula seawal pembukaan Cameron Highlands iaitu sekitar 1920 an lagi. 

Malah kalau anda sempat ke Time Tunnel, galeri masa yang menghimpunkan kisah sejarah Cameron Highlands ini, anda akan dapat melihat gambar asal perkhidmatan bas di sini.

Malah mengikut buku sejarah yang dijual mengenai daerah ini juga mengambarkan perkhidmatan bas telah beroperasi membawa pengunjung ke sini khasnya anggota tentera Enggeris dan juga pelajar sekolah mubaligh. Istimewanya, setiap trip perjalanan mereka akan diiringi dengan kereta perisai berikutan ancaman komunis ketika itu. 


Berbalik kepada kemudahan pengangkutan awam bas ekpres di sini. Sepanjang pemerhatian saya selama 6 tahun di sini, ketika itu saya mendapati hanya Bas Ekpress Kurnia Bistari yang menawarkan perkhidmatan ekpress ke Kuala Lumpur dan Ipoh. 

Kemudian saya melihat Unititi Ekpress juga menawarkan perkhidmatan yang serupa ke Kuala Lumpur sebelum melebarkan ke Pulau Pinang sekitar dua tahun yang lalu. 

Perkembangan bas ekpress dapat dilihat sepanjang tahun lepas kerana saya perasan GT Ekpress dan CS Travel juga menawarkan perkhidmatan yang sama samada ke Kuala Lumpur, Ipoh, Penang dan lokasi yang lain. 

Saya tidak mahu menulis panjang mengenai jadual perjalanan mereka ataupun kadar yang dikenakan bagi setiap perjalanan kerana biarlah gambar-gambar berikut menjadi ceritanya supaya tidak ada perbezaan maklumat kelak.

Regal Transport Company.

Menawarkan perkhidmatan bas berhenti-henti antara pekan di Cameron Highlands. Antara perkhidmatan bas yang terawal dan masih kekal sehingga kini. 

Juga menawarkan perjalanan ke Tapah, Simpang Pulai, Ipoh Kampar dan Gopeng (Saya tidak pasti adakah masih ada perjalanan jauh ini). Menjadi pilihan kepada penduduk Cameron Highlands yang tidak mempunyai kenderaan. 




KURNIA BISTARI Ekpress Sdn Bhd.

Menawarkan perjalanan ekpres tanpa henti ke Kuala Lumpur, Ipoh dan juga Pulau Pinang di Butterworth. Mula diambil alih oleh pengusaha tempatan awal tahun ini dan telah berjaya mengubah mutu perkhidmatan terutamanya keadaan bas yang lebih baik. 

Saya mencadangan anda merujuk kepada jadual perjalanan yang saya kongsikan di bawah untuk lebih terperinci. 




UNITITI EKPRESS SERVICES.

Dimiliki oleh Titiwangsa Tour and Travel , menjadi pilihan utama kepada pelancong untuk menggunakan khidmat bas ini jika mahu ke daerah ini kerana keselesaan yang ditawarkan. Saya masiih ingat kalau 6 tahun yang lalu hanya terdapat dua buah bas sahaja yang digunakan oleh mereka untuk perjalanan ke  Kuala Lumpur perlu menaiki dari Kiosk Info Perlancongan yang terletak di Tanah Rata.

Selalunya tiket mereka akan kehabisan kerana menjadi pilihan kepada pelancong malah khidmat pengambilan istimewa di hotel penginapan ditawarkan jika jumlah penumpang ramai.  

Kini mereka turut melebarkan perkhidmatan ke Pulau Pinang dan Singapore. Anda perlu mendapatkan maklumat lanjut dari mereka untuk kepastian.



Perak Transit:

Bas Perak Transit adalah sebuah syarikat bas yang berpusat di Ipoh Perak. Pastinya menawarkan perjalanan Ipoh ke Cameron Highlands secara ekpres. Mereka akan singgah dan berhenti di Medan Gopeng, Medan Kid dan Aman Jaya untuk ke Cameron Highlands. 


Rangkaian perkhidmatan mereka juga meluas kerana operasi di Ipoh memudahakan anda untuk menyambung perjalanan seterusnya. Terbaiknya menghubungi mereka untuk mendapatkan lebih lanjut maklumat perjalanan yang ditawarkan. 




CS Travel & Tours:

Saya kurang pasti bila CS Travel and Tour ini menawarkan perkhidmatan bas ekpress kerana mereka sepanjang pengetahuan saya, mereka menawarkan pakej perlancongan di sini serta kemudahan penginapan. 

Jika terlibat dengan pengangkutan, saya perhatikan mereka menawarkan pekhidmatan van pelancong untuk ke destinasi yang dipilih. Malah jika anda ke sini, anda dapat melihat banyak van yang berlogokan CS TRAVEL.

Mereka turut menawarkan perjalanan bas ekpress ke Kuala Lumpu serta Ipoh sehinggakan ke Butterworth, Pulau Pinang. Kemudahan bas yang bertaraf super vip coach menawarkan keselesaan perjalanan dan saya perhatikan bas mereka adalah yang terbaru belaka. 

GT Ekpress:

Perkhidmatan bas ekpress ini juga baru di sini serta diusahakan oleh penduduk tempatan juga. Menawarkan perjalanan pergi balik ke Kuala Lumpur dan lokasi yang sekitarnya. 

Basnya amat baru dan berdasarkan pengalaman saya minggu lalu, ianya amat selesa.


Perkhidmatanya dan laluan yang ditawarkan amat mudah iaitu hanya untuk Kuala Lumpur yang berhenti di Pudu Sentral. 

Namun, anda boleh juga berhenti di KL Sentral jika ingin menuju ke situ untuk sambungan perkhidmatan yang lain.

Tiket yang ditawarkan adalah RM 35 bagi satu perjalanan sehala.

Apapun jika anda memilih untuk menggunakan khidmat bas ekpress ini, saya mencadangkan supaya anda membuat carian di laman internet yang lain yang mana mungkin ada pengguna yang telah mencuba perkhidmatan mereka ini dan berkongsikan pengalaman mereka samada baik, buruk atau cadangan tambahan. 

Saya suka untuk bersikap lebih neutral kerana tidak mahu membuat cadangan yang berat sebelah biarpun saya mengenali dua orang pemilik syarikat di atas. 

Terbaiknya anda juga perlu menghubungi mereka untuk nasihat perjalanan dan juga maklumat tambahan. 

Esok saya ingin mencuba CS Travel untuk perjalanan ke Kuala Lumpur. Nanti saya kongsikan pengalaman saya. 

Catatan seterusnya akan cuba saya kongsikan mengenai perkhidmatan kereta sewa yang terdapat di daerah ini.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock