Pada tahun 2007 sehingga 2009, saya melalui Rose Valley ini hampir setiap hari bekerja. Namun sekalipun tidak pernah terniat untuk singgah.
Berbeza hari ini, saya singgah juga akhirnya di sini selepas singgah di Al-Mashoor Strawberies sebelum ini. Cuma sebelum sampai di Tringkap, saya dapati sedang dalam pembinaan Lavendar Garden yang bakal menjadi antara hentian yang akan menjadi tumpuan. Insyallah kalau dah dibuka sepenuhnya nati saya akan kongsikan kisahnya.
Rose Vallley terletak di kawasan Perkampungan Tringkap yang bertaraf pekan kecil yang amat aktif mengeluarkan sayur-sayuran. Saya masih ingat di awal pembukaannya dahulu, deretan kedai di hadapannya mula dibina.
Kini anda boleh melihat sepanjang 200 meter di laluan ini telah dibuka deretan kedai dan gerai jualan. Kalau dahulu, yang lainnya adalah gerai yang berpayung sahaja.
Rose Valley ini terletak di seberang sungai tetapi anda tidak akan perasan menyeberangi sungai ini kerana terdapat gerai jualan dan juga kaunter.
Untuk masuk ke sini anda perlu membayar tiket masuk sebanyak RM 4 untuk dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak.
Di dalamnya terdapat puluhan jenis bunga ros yang ditanam mengikut teres. Malah ditanam dengan begitu kemas dan menjadikanya seperti taman ros yang padat.
Selain itu juga terdapat mini zoo yang dibuka dan burung merak pastinya akan menjadi tumpuan anda di sini.
Terdapat sebuah galeri info atau muzium bunga ros yang menerangkan segalanya mengenai rahsia bunga ini.
Namun bukan hanya bunga ros yang ditanam tetapi turut di tanam bunga-bunga yang lain untuk menambah seri di sini.
Usah bimbang jika hujan di luar kerana 80 peratus laluan anda di sini adalah dibawah rumah plastik. Namun ruang pendakian di luar menyajikan pemandangan pekan Tringkap serta tanaman seperti pokok pisang kaki dan sebagainya.
Terdapat beberapa pancuran air yang dibina sebagai taman kejur di sini untuk anda berehat selepas penat berjalan.
Juga kedai serbaneka yang boleh anda kunjungi untuk minuman ringkas dan cenderahati.
Berjalan menuju ke luar pula akan menemukan anda koleksi kaktus yang pelbagai.
Saya menamatkan kunjungan say sekadar 15 minit kerana perlu bergegas ke luar untuk melihat gerai-gerai di luar. Masa makan tengahari saya kian singkat.
Anda tidak perlu bergegas sebaliknya berlama-lama sedikit untuk melihat koleksi bunga ros yang ada di sini.
No comments:
Post a Comment