Dua catatan terdahulu adalah mengenai perjalanan saya menaiki bas awam untuk pulang ke Cameron Highlands bermula dari Melaka Sentral sebelum singgah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan catatan ini pula mengenai Pudu Sentral yang perlu saya lalui untuk menaiki bas seterusnya untuk perjalanan ke Cameron Highlands.
Dari TBS saya menaiki LRT Rapid untuk ke Pudu Sentral. Hentian paling dekat untuk anda ke hentian ini adalah di Plaza Rakyat. Tambang bagi sehala perjalanan adalah RM 1.70 seorang.
Ketika sampai di Pudu Sentral, tumpuan dan langkah utama saya adalah untuk mencari kaunter tiket. Bagi anda yang sudah lama tidak ke sini, pastinya akan terpinga-pinga untuk mencari kaunter tiket kerana kalau dahulu terletak di lantai bawahnya sahaja tetapi kini telah dipindahkan ke tingkat 2.
Papan tanda arah disediakan namun senario yang tidak suka anda lihat dan alami adalah kerenah 'Ulat Tiket" yang menanti anda dari pintu masuk ke hentian ini lagi. Mereka akan menyapa anda dan mengikuti anda untuk perjalanan yang anda ingin lalui.
Saya hairan, kenapa mereka terlalu berkuasa. Malahan jika anda perasan akan terlihat kelibat anggota Polis dan SPAD yang melalui mereka tanpa tindakan apa-apa langsung. Samada mereka ini mengamalkan aktiviti yang sah ataupun pihak berkuasa yang tidak berani mengambil tindakan.
Ini amat berbeza sekali dengan TBS. Lenggang dan tidak terdapat seorangpun ulat tiket apatah lagi di sini bergerombolan ulat tiket.
Bila tiba di kawasan kaunter tiket, sememangnya selesa kerana dibina didalam kawasan yang tertutup dan berhawa dingin yang sedikit suam. Cuma di sini, sekali lagi tidak terbilang ulat-ulat tiket. Dengan walkie talkie di tangan dan suara mereka memanggil penumpang menjadikan kawasan ini bingit dan cukup tidak selesa.
Bagi mereka yang ingin ke Cameron Highlands, terdapat beberapa bas ekpress yang boleh menjadi pilihan anda seperti Unititi, Kurnia Bistari, CS Travel dan juga GT Ekpres. Saya memilih GT Ekpress kali ini kerana jadual perjalanan terakhir yang lewat iaitu 5.30 petang dengan harga tiket RM 35 sehala perjalanan. Basnya agak baru dengan 28 kerusi sahaja.
Jika anda ingin ke sini menaiki bas, kaunter tiketnya adalah di kaunter 45, 17 dan 55 tetapi selalunya akan berubah-ubah. Ingat!!! beli tiket di kaunter tiket .. jangan dengan Ulat Tiket.
Sebaik sahaja membeli tiket, ingin segera lari dari kebingitan suara-suara ulat tiket, saya menaiki tangga eskalator ke tingkat 3 iaitu ke Surau Jumaat Hidayah. Jika dahulu surau ini terletak di tangga tengah, kini kedudukannya berubah dengan ruang yang amat besar dan luas serta amat selesa kerana berhawa dingin.
Surau ini dinamakan Surau Jumaat Hidayah kerana akan menganjurkan sembahyang jumaat setiap hari jumaat dan jumlah jemaahnya agak meriah. Saya memerhatikan rekod kutipan sedekah di hari jumaat yang mencecah RM 2,300 setiap minggu.
Sebaik sahaja selesai berjamak Zuhur dan Asar, saya terasa ingin minum dan segera ke tingkat 4 di mana terletaknya arked makanan yang baru. Kalau yang lama, kedudukanya berada di lantai bawah di pintu menghadap Hotel Ancasa. Arked makanan ini juga dibina dengan luas dan kedudukan kerusi dan mejanya juga amat banyak. Kalau dahulu setiap gerai hanya mempunyai dua meja dan sempit tetapi kali ini anda boleh memilih sudut pilihan anda. Saya memilih sudut yang menghadap Menara Maybank kerana menantikan LRT lalu untuk dirakamkan gambarnya.
Selesai saya menikmati minuman sejuk dan laksa, saya keluar semula dan sempat memasuki lobi hotel Ancasa Ekpress Pudu yang baharu sahaja dibuka sebulan yang lalu bagi mengantikan Hotel Puduraya. Kemas dan menarik susun aturnya dengan harga sekitar RM 120-180 semalaman. Mungkin lain kali hotel ini akan menjadi pilihan saya jika ingin berjalan di sini.
Bersebelahan dengan Hotel ini adalah Gelanggang Belia dan Sukan. Ini sungguh memeranjatkan saya kerana di atas Pudu Sentral anda kini boleh bermain futsal dengan harga RM 70 sejam dan lain-lain kemudahan termasuklah kemudahan gimnasium dan tembok lasak.
Bila diteliti semula Pudu Sentral bukan sekadar hentian bas semata tetapi juga merupakan UTC atau Urban Trasformasi Centre yang menghimpunkan pelbagai agensi dalam satu bumbung.
Saya turun semula ke bahagian bawah menaiki lift kerana malas melayan kerenah ulat tiket. Kali ini saya melihat dan berjalan sekitar laman bawahnya. Ruang menunggu berhawa dingin sahaja terdapat tiga bahagian tidak termasukan ruang pertemuan di bahagian tangga ke platform.
Di sini lebih memeranjatkan juga kerana terdapatnya Klinik 1 Malaysia, Kedai 1 Malaysia, Kedai Buku 1 Malaysia, Kedai Kain 1 Malaysia serta gerai-gerai jualan seperti sedia ada dahulu termasuklah kemudahan menyimpan bagasi.
Di tingkat mezzanine pula terdapat gerai makanan segera seperti Marrybrown dan juga kemudahan bilik karaoke bagi mereka yang ingin mengisi masa lapang menunggu bas.
Pendek kata, PUDU SENTRAL yang dinaik taraf dengan kos 52.7 juta pada April 2011 dan sebelumnya sekitar 2007 dengan harga 3 juta ini sememangnya agak diluar pemikiran dan bayangan bagi mereka yang selalu ke sini suatu ketika dahulu. Bayangkan sejarah pembinaan pada tahun 1976 kini bersalin wajah tetapi dipadatkan dengan fungsi tambahannya pula.
Kesesakan jalan raya di bahagian depannya tidak kelihatan lagi kerana Pudu Sentral kini sekadar menjanjikan perjalanan ke Utara dan Selatan yang terpilih sahaja. Penyuraian trafik ini dilakukan dengan pembinaan TBS dan Hentian Jalan Duta yang lebih mudah untuk penyuraian trafiknya.
Namun suara keluhan yang kedengaran pula ketika saya minum di arked makanan oleh salah seorang pengusaha gerai makanan, jumlah penumpang jatuh menjunan apabila TBS dibuka dan kedudukan arked makanan yang dipindahkan jauh ke atas kurang menarik minat penumpang.
Sekitar 5.15 petang, jadual perjalanan di skrin besar menyuruh saya menaiki bas diplatform 15. Keadaan platform yang kini bebas bau dan asap cukup selesa tambahan lagi kita terus menaiki bas tanpa perlu menantikan ketibaan bas di platform.
Untuk perjalanan seterusnya, saya dibuai mimpi sehinggalah tiba di Hentian Tapah sebelum mendaki Jalan Pahang untuk ke Cameron Highlands...
4 comments:
transformasi kerajaan.
Info yg baik. Walaupun ada sedikit keluhan.. tp begitulah keràjaan yg ada skrg.
Info yg baik. Walaupun ada sedikit keluhan.. tp begitulah keràjaan yg ada skrg.
Info yg baik. Walaupun ada sedikit keluhan.. tp begitulah keràjaan yg ada skrg.
Post a Comment