TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, December 19, 2012

Tips Melawat Cameronm Highlands: Bee Farm @ Tringkap

Sama lokasi di Tringkap adalah wujudnya Bee Farm atau Ladang Ternakan Lebah di sini.
 
 
Lebih menariknya diwujudkan juga sebuah muzium ringkas mengenai Lebah dan saya amat tertarik dengan bahan persembahannya mengenai lebah.
 
 
Bahannya ringkas tetapi menarik untuk anda lihat sendiri. Pertamanya masuk adalah percuma. Keduanya sejarah jenis lebah ini dan ketiganya adalah jenis-jenis lebah.
 
 
 
 
 
 
Menariknya selepas itu adalah produk madu lebah yang boleh anda beli dan bawa pulang.
 
 
Kalau ikut pengetahuan saya, syarikat utamanya adalah di Bukit Katil di Melaka dan dekat dengan rumah mertua saya. Mereka membuka cawangan di sini dan dari perbualan saya dengan si gadis penjual, semua produk di kilangkan di Melaka.
 

Tips Melawat Cameron Highlands: Arked Jualan di Tringkap

Dah berada di Rose Valley Tringkap, pastinya tidak akan terlepas untuk menjengah gerai jualan yang terdapat di sepanjang laluan ini. 
 

























Tahun 2007, hanya terdapat beberapa unit kedai di hadapan Rose Valley yang dibuka untuk jualan produk tempatan tetapi tahun demi tahun jumlahnya bertambah-tambah sehinggakan ke bahagian sepanjang jalan di sini.

 
 
 
Jika dahulu jika ada tambahan gerai terutamanya di musim percutian adalah dari jenis yang berpayung sahaja tetapi kini telah bertambah struktur gerai yang tetap secara persendirian.
 
 
 
Apa yang ada di sini? Pastinya sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan, anak pokok hiasan, kaktus, madu lebah dan kepada pakaian dan barangan cenderahati yang lain sama seperti di Kea Farm ataupun di Green Cow a.k.a Sungei Palas.
 
 
 
Ini merupakan hentian jualan yang terakhir bagi mereka yang akan pulang menggunakan laluan Simpang Pulai, Ipoh  atau ke Gua Musang, Kelantan untuk anda membeli belah yang penghabisan.
 
Sebenarnya ada beberapa lagi lokasi persinggahan cuma tidak seperti arked jualan ini sekadar hentian atau kedai persendirian.
 
 
 
Cuma ketika berada di sini, berhati-hati dengan lalulintas terutama kanak-kanak perlukan pengawasan yang berpanjangan kerana terletak di laluan utama dan agak sibuk trafiknya.

Gerai pula dibina sejajar tanpa sempadan penampan bagi kemudahan pejalan kaki yang selamat dan selesa.

Isu ini pernah diutarakan oleh Karam Singh Walia melalui Aduan Rakyat sekitar tahun 2011 tetapi tiada penyelesaian ekoran tekanan politik semasa.


Mungkin menanti ada korban untuk dijadikan penyebab atau alasan utama untuk tindakan tegas dapat dilakukan.

Apapun selamat membeli belah. Utamakan keselamatan anda...
 

Tuesday, December 11, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Rose Valley di Tringkap

Pada tahun 2007 sehingga 2009, saya melalui Rose Valley ini hampir setiap hari bekerja. Namun sekalipun tidak pernah terniat untuk singgah. 


Berbeza hari ini, saya singgah juga akhirnya di sini selepas singgah di Al-Mashoor Strawberies sebelum ini. Cuma sebelum sampai di Tringkap, saya dapati sedang dalam pembinaan Lavendar Garden yang bakal menjadi antara hentian yang akan menjadi tumpuan. Insyallah kalau dah dibuka sepenuhnya nati saya akan kongsikan kisahnya. 

Rose Vallley terletak di kawasan Perkampungan Tringkap yang bertaraf pekan kecil yang amat aktif mengeluarkan sayur-sayuran. Saya masih ingat di awal pembukaannya dahulu, deretan kedai di hadapannya mula dibina. 


Kini anda boleh melihat sepanjang 200 meter di laluan ini telah dibuka deretan kedai dan gerai jualan. Kalau dahulu, yang lainnya adalah gerai yang berpayung sahaja. 

Rose Valley ini terletak di seberang sungai tetapi anda tidak akan perasan menyeberangi sungai ini kerana terdapat gerai jualan dan juga kaunter. 

Untuk masuk ke sini anda perlu membayar tiket masuk sebanyak RM 4 untuk dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak. 

Di dalamnya terdapat puluhan jenis bunga ros yang ditanam mengikut teres. Malah ditanam dengan begitu kemas dan menjadikanya seperti taman ros yang padat. 



Selain itu juga terdapat mini zoo yang dibuka dan burung merak pastinya akan menjadi tumpuan anda di sini.

Terdapat sebuah galeri info atau muzium bunga ros yang menerangkan segalanya mengenai rahsia bunga ini.


Namun bukan hanya bunga ros yang ditanam tetapi turut di tanam bunga-bunga yang lain untuk menambah seri di sini. 


Usah bimbang jika hujan di luar kerana 80 peratus laluan anda di sini adalah dibawah rumah plastik. Namun ruang pendakian di luar menyajikan pemandangan pekan Tringkap serta tanaman seperti pokok pisang kaki dan sebagainya.



Terdapat beberapa pancuran air yang dibina sebagai taman kejur di sini untuk anda berehat selepas penat berjalan. 


Juga kedai serbaneka yang boleh anda kunjungi untuk minuman ringkas dan cenderahati. 

Berjalan menuju ke luar pula akan menemukan anda koleksi kaktus yang pelbagai. 

Saya menamatkan kunjungan say sekadar 15 minit kerana perlu bergegas ke luar untuk melihat gerai-gerai di luar. Masa makan tengahari saya kian singkat. 

Anda tidak perlu bergegas sebaliknya berlama-lama sedikit untuk melihat koleksi bunga ros yang ada di sini.


Tips Melawat Cameron Highlands: Al Mashoor Strawberies di Kuala Terla

Pagi tadi, saya ada urusan di Bank CIMB di Kampung Raja. Bank CIMB ini dahulunya dibuka di Tanah Rata sekitar 6-8 bulan sahaja sebelum berpindah ke 'lubuk duit' di Kampung Raja. 

Maklumlah, pekebun-pekebun yang kaya raya semuanya  berada sekitar Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Blue Valley sehinggalah ke Lojing, Kelantan.

Yang terasa kesannya adalah Maybank di Tanah Rata kerana setelah CIMB berpindah ke sana, mereka kehilangan pelanggan yang ramai dan akhirnya kerana tuntutan persaingan, maka mereka turut membuka cawangan baharu berhadapan dengan CIMB. 

Tapi bukan kisah MAYBANK dan CIMB yang saya nak kongsikan. Tetapi kepada perjalanan balik saya ke Tanah Rata. Jadi saya cuba sebagai pelancong pula untuk mengetahui apakah yang akan saya temui di sepanjang perjalanan sejauh 21 km ini. 

Saya akan langkau tempat-tempat yang pernah saya kongsikan dalam catatan yang terdahulu. 


Lokasi pertama selepas sahaja Kuala Terla adalah Al-Mashoor Strawberies yang pernah saya kongsikan catatan mengenai outlet utama mereka di Kampung Taman Sedia. 

Di sini sesuai sebagai hentian kedua anda selepas Bharat Tea Centre. Bezanya, hentian ini adalah segalanya mengenai strawberry. Baik dari konsep, tanaman pameran, produk dan juga pengalaman anda akan berkisar mengenai strawberry semata.


Anda boleh melihat tanaman strawberry di sini yang mungkin pertama kali bagi anda samada sepanjang hidup ataupun di Cameron Highlands. 


Anda boleh merasai beberapa produk makanan yang berasaskan strawberry seperti kordial, ais krim dan sebagainya.

Anda boleh membeli produk hiliran strawberry seperti jam, syrup, acar dan strawberry segar.


Di samping itu anda boleh berehat dari penat memandu dan perjalanan jauh. 


Mungkin juga anda ingin segera menunaikan solat kerana sudah hampir mengakhiri waktu solat anda kerana tiada persinggahan sebelum ini. 


Kemudahan seperti kerusi dan meja rehat. tandas, surau serta ruang meletak kenderaan yang luas juga memudahkan anda ketika berada di sini.


Premis ini adalah diusahakan dan dimiliki oleh pengusaha melayu dan boleh dikatakan antara barisan usahawan pertama melayu yang terlibat dengan tanaman strawberry.

Monday, December 10, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kasimanis Strawberry Farm

Kasimanis Strawberry Farm terletak di Jalan Sultan Abu Bakar dan jika anda memasuki simpang di hadapan Padang Golf MDCH, simpang masuknya adalah di sebelah kirinya. 


Kasimanis Strawberry farm merupakan sebuah kebun persendirian yang menawarkan tanaman buah strawberry sebagai tarikan utamanya. Cuma saya lihat kebun tidak kelihatan sangat untuk melihat sepenuhnya tanaman ini. Mungkin ada pintu yang lain barangkali.

Namun terdapat juga gerai jualan dan nurseri semaian anak pokok dan bunga di sini serta deretan peniaga kecil yang menjual pakaian dan barangan cenderahati.  



Laluanya kini agak sedikit tidak sempurna kerana terlibat dengan pembinaan perumahan mewah di hadapannya. 


Kelak, kunjungan anda di sini akan boleh melihat bagaimana koleksi rumah mewah yang membawakan senibina Enggeris dan Belanda di sebelah Kasimanis Farm ini.  

Buat masa sekarang pun pada pemerhatian saya biarpun masih belum siap, telah ramai yang berpossing sakan di hadapan menara kawalannya.


Semasa kunjungan saya baru-baru ini, saya membeli sepasu anak pokok strawebrry dengan harga RM 10 dan kini subur di anjung apartment saya. 

Tips Melawat Cameron Highlands: Mengimbau kenangan @ Time Tunnel

Catatan kedua ini mengenai Time Tunnel seperti yang dijanjikan pastinya mengimbau kenangan suatu masa dahulu. Time Tunnel dibahagikan kepada dua segmen pada pandangan saya iaitu pertama mengenai sejarah berkaitan Cameron Highlands. 


Segmen kedua pula lebih kepada pameran peralatan lama atau antik yang suatu masa dahulu begitu dekat dengan kehidupan kita. 


Susunaturnya ringkas di mana koleksi peralatan lama di susun mengikut tema tertentu seperti peralatan lama dapur, perabut antik, kedai gunting rambut atau saloon, peralatan mainan dan juga koleksi kegunaan harian seperti ubat gigi, botol-botol minuman dan juga piring hitam. 


Bagi golongan muda, generasi yang berbeza pada hari ini, peralatan ini mungkin sekadar peralatan lama tetapi bagi generasi pertengahan 35 tahun ke atas, mungkin ada diantara bahan yang dipamerkan akan mengingatkan kepada sesuatu yang pernah di lalui mereka. 


Kisah yang mungkin kembali terbayang dan terpancar di pandangan mereka kembali menjelma sebaik sahaja melihat peralatan tertentu. Barangkali ianya membawa kenanan manis dan barangkali juga sebaliknya. 


Saya sekadar untuk berkongsikan beberapa koleksi peralatan yang saya rakamkan di sini. 

Saturday, December 8, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Time Tunnel Galery

Ini catatan yang amat saya ingin kongsikan sejak sekian lama. Saya sendiri tertanya-tanya apakah yang ada dan terdapat di dalam galeri masa ini. 

Tahukah anda, galeri ini dibuka sekitar 2007 dan ianya hampir sama dengan kehadiran saya sebagai penduduk di Cameron Highlands. Ketika itu setiap hari saya akan melaluinya dan sealu terdetik untuk singgah ke sini. Dan kisah benarnya, hanya pada 8 December 2012, saya sempat mengunjungi.

gambar-gambar ini dirakamkan di Time Tunnel. 
Galeri ini dibangunkan dan diuruskan secara persendirian tanpa sebarang bantuan pihak berkuasa tempatan atas dasar 'minat' dan 'kesungguhan' oleh pemiliknya. Semasa saya ke sana semalam, saya berpeluang berjumpa dengan pemiliknya, Mr. See ( saya tak pasti ejaan sebenarnya). Malah perjumpaan secara kebetulan berlarutan sehingga satu jam setengah dan banyak cerita dan kisah menarik dikongsikan. 


Malah kami rupanya mempunyai minat yang sama mengenai sejarah daerah ini dan juga berkongsikan  kebimbangan kami akan masa depannya jika dilihat dari sudut alam sekitar.


Galeri Time Tunnel terletak di antara bandar Brinchang dan Kea Farm dan mudah untuk dikunjungi kerana di pinggir jalan sahaja. 

Di sini, terdapat gerai jualan seperti baju, madu, kedai makan, kraftangan sehinggalah kepada kebun strawberry yang menawarkan pengalaman dan peluang untuk memetik buah strawberry jika sesuai dengan masa pengeluaran. 

Malah kemudahan seperti tandas dan juga surau yang selesa juga dibina biarpun dimilik oleh bukan Musilim. Manakala gerai makanan D'PAHANG dimiliki oleh pengusaha Melayu tempatan dan amat selesa untuk menikmati makanan di sini.  

Berbalik kepada Galeri Time Tunnel, saya akan membuat dua catatan mengenainya. 

Pertama, catatan yang berkisarkan kepada konsep galeri ini iaitu Sejarah silam Cameron Highlands dan koleksi gambar yang terdapat di sini.(Catatan ini)

Catatan kedua pula mengenai mengimbau kenangan terutamanya bagi mereka yang berusia 30 an ke atas. Kenapa? ikuti catatan kedua. 

Cameron Highlands adalah pemilik kepada sejarah yang unik. Bermula dari penemuannya oleh William Cameron pada 1885 sehinggalah pembukaan sebagai pusat stesen penyelidikan tanah tinggi oleh Sir George Maxwell pada tahun 1920 an. 

 

Anda boleh melihat bagaimana perubahan demi perubahan kepada pembangunan pekan di daerah ini seawal pembukaanya sehinggalah kini yang diperbandingkan dari dekad demi dekad. Bagi mereka yang sangat berminat merakamkan perubahan transisi sebegini,pastinya akan amat tertarik untuk mengetahui sejarah dan gambaran terawalnya. 



Perkembangannya menjadi istimewa kerana menjadi pusat kepada kawasan peranginan dan istirehat kepada para penjajah British baik yang menjadi pentadbir, askar, polis sehinggalah kepada para mubaligh dan sekolah Inggeris. 


Yang lebih menjadi perhatian adalah kedudukanya yang berada di kawasan tinggi 2000 meter ke atas menjadikan ianya lebih berbeza dengan daerah dan pembukaan kawasan tanah tinggi yang lain. 


Sejarah Cameron Highlands berkembang pesat dan ekonominya bertukar arah dari kawasan perlancongan semata kepada kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang utama di negara ini. 

Transisi masa yang beredar dan berlalu ini tidak ketinggalan menjadi bahan rakaman dan sejarah yang tidak dapat dilupakan bagi sesetangah yang terlibat dari awal. Galeri ini menghimpunkan kisah yang mungkin tidak pernah kedengaran sebelum ini. 


Catatan dan rakaman bahan sejarah ini dipamerkan di sini dan bahannya merupakan keolsi peribadi pemiliknya, sumber yang diperolehi dari seluruh negara dan ada juga bekas tentera yang turut menyumbangkan koleksi peribadi mereka di sini. 


Juga dikongsikan beberapa peristiwa penting seperti Misteri Kehilangan Jim Thompson, kejadian tanah runtuh di Ringlet yang mengorbankan lebih puluhan nyawa, kunjungan Perdana Menteri Singapore  Lim Kuan Yew sebelum diumunkan perpisahan dari Malaysia, peristiwa darurat dan pelbagai lagi. 

Selain daripada itu terdapat gambar-gambar bari mengenai daerah ini yang dipamerkan sebagai gambaran terkini. Ini boleh menjadi perbandingan yang amat menarik dan jelas untuk anda. 

Tiket masuk sekadar RM 5 seorang atau RM 3 untuk kanak-kanak dan jika anda bukan pengemar sejarah, laluan terowong masa ini sekadar 100 meter mungkin sekadar mengambil masa kurang 30 minit tetapi bagi pengemar sejarah yang level biasa saya ini, hampir 2 jam di sini dipenuhi dengan keterujaan.

Berbual lama dengan Mr. See seolah-olah berada didalam imbasan sejarah baik untuk fakta ataupun emosi kenangan lama beliau yang dilahirkan dan dibesarkan di sini sekitar 50 tahun yang lalu. 

Galeri Time Tunnel dibuka setiap hari bermula dari 8.30 pagi sehingga ke 6.30 petang.

Klik sini untuk paparan gambar yang lain di laman penampan mrkumai.. SINI

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock