TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, November 23, 2011

Kisah pembuat keranda...


AMUTHA RAMALINGGAM, 36, tidak pernah menerima sebarang permintaan khas untuk menyiapkan keranda sepanjang mengusahakan perniagaan yang menjadi periuk nasi warisan keluarganya.


Namun, hari itu, dia agak tertekan namun bertekad untuk membuat sebuah keranda khas mengikut kehendak seorang pelanggan.
Katanya, ia satu kebetulan. Pada hari yang sama dia bersetuju menjalani temu ramah dengan Kosmo!, dia juga terpaksa berbahagi masa untuk memantau dan menyiapkan sebuah keranda yang digelarnya sebagai peti sumo.
“Saya pun tidak sangka akan menerima tempahan seorang lelaki istimewa yang meninggal dunia semalam. Lelaki itu dikatakan bersaiz besar dengan berat badan 330 kilogram.
“Apabila diberitahu oleh pekerja saya, saya hampir tidak dapat bayangkan berapa besar keranda yang perlu kami siapkan,” katanya yang ketika itu sedang melakukan kerja akhir perhiasan keranda di premisnya di Sungai Buloh, Selangor.
Pekerja Amutha, Veeramani Buminathan, 30, yang menjawab panggilan daripada ejen pengkebumian terpaksa berkali-kali memastikan berat dan saiz si mati supaya tidak berlaku kekeliruan mahupun kesilapan.
“Saya diberitahu si mati bersaiz tiga setengah kaki lebar. Jadi saya memutuskan untuk membuat keranda selebar empat kaki,” kata Veeramani yang bekerja dengan Amutha sejak 10 tahun yang lalu.
Lelaki warga India itu memberitahu, itulah kali pertama dia dan rakan-rakannya diarah untuk membuat sebuah keranda yang lebih besar daripada biasa.
“Kami bertiga menyiapkan peti itu malam semalam selepas menerima satu panggilan. Binaan asasnya sahaja mengambil masa tiga jam, iaitu dari pukul 8 malam hingga 11 malam.
“Pagi tadi kami hantar peti itu untuk dikilatkan memandangkan keranda tersebut diperbuat daripada kayu,” ketika berbual, Amutha sudahpun menjawab panggilan daripada ejen pengkebumian mengenai perkembangan pembuatan keranda tersebut.
Ketika sesi temu bual berlangsung, sebuah kenderaan pacuan empat roda menderum mendekati premis Amutha. Kelihatan hampir separuh daripada peti itu terkeluar daripada ruang muatan kerana saiznya yang panjang.
Tiga orang pekerja berhati-hati mengangkat peti itu sepenuh tenaga. Dengan bersusah-payah, peti itu kemudiannya ditempatkan di atas dua buah meja panjang yang sudahpun ditempatkan di hadapan rumah Amutha.
“Berat keranda ini sahaja 150 kilogram (kg). Bayangkan, dengan mayat si mati, ia boleh mencecah 500kg. Disebabkan itu, kami membuat keranda ini dengan pelbagai kemudahan tambahan termasuk papan tambahan dan papan kayu panjang untuk memudahkan ia diangkut dengan kenderaan pengangkut barang (forklift),” kata Amutha sambil mengarah pekerjanya memulakan kerja menghias bahagian dalaman keranda.
Cabaran pembuatan

BISNES warisan keluarga Amutha ini bermula sejak lebih tiga dekad lalu ketika bapanya masih hidup.





S. Manikandan, 29, antara pekerja lelaki bersaiz paling kecil masuk ke dalam keranda untuk mengalas keranda itu dengan kain putih, kusyen, bantal, kain hiasan di bahagian tepi keranda serta pelapik plastik PVC untuk elak kebocoran jika ada pendarahan.
Walaupun ia bukan satu amalan yang dipraktis kerana jelas ia seperti tidak menghormati roh si mati, Amutha akui tiada cara lain.
“Kami selalunya tidak melakukan sedemikian, tetapi bagi peti sumo ini, kami tiada pilihan lain,” katanya dalam nada kemaafan.
Amutha dan sekumpulan sembilan orang pekerja tidak pernah berasa jemu dengan pekerjaan mereka.
Amutha, anak kedua daripada tiga beradik, memilih untuk menyambung perusahaan itu selepas bapanya meninggal dunia. Dia juga tiada pilihan lain apabila kakak dan adik perempuannya yang lain tidak berminat untuk mewarisi perusahaan tersebut.
“Kematian ialah sesuatu yang tidak boleh dihalang atau dijangka. Membuat keranda juga adalah satu pekerjaan. Saya tidak mahu mencampuradukkan kehidupan peribadi dan pekerjaan kerana ia merupakan dua perkara berbeza,” ujarnya yang memperoleh bekalan kayu dari Johor dan aksesori dari kedai khusus keranda di Pulau Pinang. Katanya, bekalan itu akan digunakan untuk menyediakan keranda kepada kira-kira 18 agen pengkebumian di seluruh Selangor, Kula Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. “Kami akan hantar ikut tempahan sekitar 15 hingga 20 buah keranda setiap hari,” ujar Amutha.
Menyentuh mengenai harga, Amutha berkata, pihaknya tidak membekalkan keranda kepada orang awam. Sehubungan itu, beliau enggan mendedahkan harga kerana tidak mahu menggangu keselarasan perniagaan ejen yang menentukan harga pasarannya.
Beliau membekalkan keranda bukan saja untuk keperluan pengkebumian tempatan, bahkan turut digunakan untuk penghantaran mayat ke luar negara.
Premis perusahaan keranda Amutha itu sebenarnya hanya terletak bersebelahan dengan rumahnya, malah mempunyai pintu masuk yang sama.
Sebab itulah, Amutha menggunakan ruang terbuka di tepi dan hadapan rumahnya untuk menempatkan keranda. Keadaan itu telah menjadi asam garam kehidupan keluarganya, sejak perniagaan itu dimulakan oleh bapanya lebih tiga dekad lalu.

PEMASANGAN aksesori termasuk hiasan sebegini adalah antara kerja lazim ketika menyiapkan keranda.





“Saya menggangap ia hanya satu kebetulan. Orang enggan memberi saya tempat kerana mereka mempunyai pemahaman yang berbeza. Di mana lagi saya harus menjalankan perniagaan saya?” kata wanita itu.
Begitupun, kata Amitha, dia mempunyai sebuah lagi premis yang disewa untuk kerja-kerja mengilat keranda kerana proses yang melibatkan bahan kimia berbau itu tidak boleh dilakukan di kawasan perumahan.
Bapa Amutha, Ramalingga, awalnya hanya seorang penjaga dan merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU). Mendiang dikatakan kali pertama membuat keranda buat adik lelakinya, iaitu pak cik Amutha. Selepas itu, dia menerima tempahan membuat keranda untuk saudara-mara terdekat.
“Lama-kelamaan, bapa saya memilih untuk menjadikan kemahiran membuat keranda sebagai bisnes memandangkan menerima banyak permintaan,” terang Amutha.
Amutha mengakui, perniagaan tersebut tidak pernah sunyi dan aktif dengan permintaan. Operasinya tidak dipengaruhi faktor musim, keadaan ekonomi, cuaca, atau cuti umum dan perayaan. Apabila tiba waktunya, keranda tetap perlu disiapkan.
Ibu kepada tiga orang anak itu mengakui, sudah banyak mendengar pelbagai kata cemuhan hanya kerana dia terlibat dalam pengusahaan membuat keranda.
“Ada yang berkata melihat hantu depan rumah saya. Ada yang beritahu sebaik selepas melawat rumah saya, mereka jatuh sakit.
“Saya yang tinggal di sini bersama anak-anak, anak-anak saudara dan mak cik saya tidak pernah pula melihat apa-apa mahupun jatuh sakit tanpa sebab,” ujarnya hairan.
Tidak peduli
Kata Amutha lagi, dia dan pekerjanya sudah jemu dengan pelbagai kenyataan seperti itu. Lebih menyakitkan hati, ada dalam kalangan jiran-jiran yang suka menyalahkan Amutha jika berlaku sesebuah kematian.
“Kebetulan dahulu, pernah seorang yang melalui depan rumah ini meninggal dunia. Ahli keluarganya terus menyalahkan saya,” kata wanita itu yang menempatkan sebuah tempat pemujaan Hindu di sebelah tepi premis.

PETI sumo dengan berat 150 kilogram ini adalah antara segelintir tempahan istimewa yang pernah diterima Amutha.





Amutha juga dilihat mengenakan tanda sembahyang yang terang di dahinya, iaitu sapuan abu menandakan dia seorang yang kuat ikutan agama.
Perusahaan Amutha membuat keranda sebenarnya tidak ada kaitan dengan keluarga atau si mati kerana semua urusan tempahan, pengambilan keranda dan urusan jual beli diadakan oleh agen pengkebumian.
“Hanya apabila keranda diperlukan di tempat kejadian seperti kemalangan atau kebakaran, di rumah mayat dan atas permintaan khusus, pekerja saya akan dihantar,” jelas Amutha.
Biar apapun cabaran dan pandangan orang lain yang buruk tentang bisnesnya, Amutha terus cekal meneruskan warisan keluarganya itu. Tidak sesekali dia mahu bersusah hati dengan tanggapan orang.
Dia tetap menjalankan bisnes itu seperti biasa. Anak-anaknya mahupun anak saudaranya, juga akan terus terbiasa menjadikan keranda sebagai sebahagian daripada tempat permainan.
Mereka akan tidur atau bersembunyi di dalam keranda separa siap yang di susun di premis pembuatan.
“Sewaktu saya masih kanak-kanak, bapa saya akan meletakkan saya di dalam keranda dan keluar membeli barang. Saya akan diarah untuk duduk di dalamnya sehingga dia balik. Tiada apa-apa yang aneh berlaku,” katanya sambil ketawa.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock