TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, November 8, 2011

Tidak perlu lagi berasak melontar di jamrah





Jamil Khir Baharom bersama pegawai-pegawai Tabung Haji menunaikan ibadah melontar di Jamrah sejurus selepas waktu solat subuh di Mina, semalam. - bernama



MINA, 7 Nov. - "Alhamdulillah, mudah untuk melontar, tidak berasak-asak," kata Musa Mohamad Salleh, jemaah haji dari Brunei sambil tersenyum dan gembira setelah selesai melontar di tiga jamrah pada hari pertama Tasyrik hari ini.

Beliau berkata, pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat memudahkan jemaah melontar dengan selesa.

"Beberapa tahun dahulu sebelum adanya kompleks bertingkat ini, saya diberitahu ada berlaku kejadian berasak-asak sehingga menyebabkan beratus jemaah yang terkorban," katanya kepada Bernama di sini.

Hari Tasyrik pertama daripada tiga hari, hari ini dipenuhi dengan ibadah melontar di tiga jamrah di sini, oleh kira-kira tiga juta umat Islam yang menunaikan haji tahun ini.

Sepanjang tiga hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 7, 8 dan 9 Nov, jemaah melontar di Jamrah 
Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqaba.

Jemaah haji melontar tujuh biji batu kecil ke setiap tiang jamrah, yang merupakan simbol syaitan yang dilontar oleh 

Nabi Allah Ibrahim, yang cuba menyekat baginda daripada meneruskan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail sebagai korban.

Jemaah mula melontar Jamrah Aqaba semalam (10 Zulhijjah) pada hari Nahar atau Hari Raya Korban sebagai satu lagi wajib haji.

Selepas melontar jamrah Aqaba, mereka bertahlul dengan menggunting atau mencukur rambut dan hari ini mereka melontar dengan berpakaian biasa.

Tinjauan Bernama mendapati pelbagai kemudahan yang disediakan pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi terutama pembinaan kompleks melontar setinggi empat tingkat, memudahkan jemaah melontar dengan selesa tanpa perlu berasak-asak.

Laluan sehala untuk masuk dan keluar ke kompleks tersebut bagi semua tingkat (aras) memperlihatkan pergerakan jemaah yang lebih teratur.

Kehadiran anggota pasukan keselamatan dalam memberi paduan arah atau laluan yang betul, memudahkan lagi pergerakan jemaah.

"Hurry up, pilgrims" adalah antara arahan dalam bahasa Inggeris selain bahasa Arab, yang sentiasa didengari dari pembesar suara agar jemaah bersegera melontar dan beredar bagi membolehkan jemaah lain melontar pula.

Sistem monorel yang beroperasi sepenuhnya tahun ini dari Arafah-Mudzalifah-Mina dilihat dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Kelihatan juga ibu bapa yang membawa kanak-kanak bersama mereka dan bagi kanak-kanak lelaki lingkungan usia empat dan lima tahun yang sudah dicukur kepala begitu bersemangat berjalan bersama ibu bapa mereka.

Jemaah yang sudah selesai melontar akan kembali ke khemah masing-masing yang dibina mengikut zon dan negara, untuk menunggu lontaran pada hari berikutnya.

Mereka menggunakan masa yang terluang itu untuk beribadat seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa memohon kesejahteraan dan keberkatan daripada Allah SWT. — BERNAMA

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock