TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, November 16, 2011

Kepuasan OKU tawan Kinabalu






SEPASANG kaki yang semakin lemah itu masih bergerak mendaki tangga-tangga batu tanpa sekali pun melepaskan tongkat di tangan biarpun langkahnya tidak laju. Tanpa penglihatan untuk menikmati kehijauan alam dan menyaksikan keluasan langit yang terbentang dan berkabut awan, Taslim Kosni, 60, meneruskan pendakian yang seakan tiada penghujungnya.
Apakah yang dirasai oleh seorang lelaki warga emas yang cacat penglihatan itu tatkala kakinya menjejak puncak Gunung Kinabalu yang berada pada ketinggian lebih 4,095 meter dari aras laut itu?
"Memang saya tidak dapat melihat langsung keindahan yang terbentang di depan mata, malah saya teraba-raba sepanjang pendakian tetapi saya dapat menyentuh batu-batu, merasai rerumput yang pendek, air yang mengalir di kaki serta udara yang sejuk dan mendamaikan di puncak gunung.
"Saya menikmati keindahan Gunung Kinabalu dengan cara saya sendiri dan saya merasai kepuasannya lebih-lebih lagi dapat lari daripada kebisingan kota," katanya ketika ditemui di Pusat Kesihatan dan Pemulihan WQ Park, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman manis itu, Taslim memberitahu ia adalah sebuah impian yang menjadi kenyataan biarpun begitu payah untuk dicapai, malah dia hampir berputus asa.
"Sebelum mendaki Gunung Kinabalu, saya begitu teruja sampai tidak lena tidur dibuatnya. Maklumlah, selama ini asyik dengar orang bercerita mengenainya walaupun tidak dapat membayangkan bagaimana rupa gunung ini.
"Apabila pendakian bermula dan perjalanan semakin sukar, saya mula berputus asa kerana pendakian ke puncak memang sukar," ujar lelaki yang hilang penglihatan sejak berumur empat tahun itu.
Semangat

EKSPEDISI turut melibatkan pelajar-pelajar Pusat Spastik Petaling Jaya.



Taslim memberitahu, jika tanpa dorongan dan semangat yang diberikan oleh ahli rombongan yang mendaki pada masa itu, pasti dia gagal sampai ke puncak.
"Saya berasa begitu letih mendaki tangga batu yang tinggi, curam dan licin, malah hujan batu yang turun di tengah-tengah pendakian menyebabkan kepala saya seperti dibaling batu.
"Ketika itu saya bertanya kepada diri saya, apa yang saya buat di sini? Tetapi jurupandu, ahli sukarelawan dan kumpulan perubatan memberi semangat kepada saya untuk meneruskan pendakian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Cerita Taslim lagi, tidak seperti peserta lain yang dapat melihat, dia adalah peserta terakhir yang sampai ke puncak iaitu pukul 8 malam walaupun bertolak seawal pukul 9 pagi.
"Setiap langkah, saya perlukan bantuan. Kalau leka, saya akan terjatuh. Semasa turun juga kaki saya terselit di celah batu," katanya menceritakan harga yang perlu dibayar demi memenuhi impian menakluk puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
Berita gembira
Namun, kepuasan yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Taslim memberitahu, sebaik sahaja sampai ke puncak, dia segera menghubungi isterinya bagi memaklumkan berita gembira itu.
"Saya begitu teruja menghubungi isteri dan dia mengucapkan tahniah kepada saya kerana berjaya," katanya yang turut menyertai pendakian Menara Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-60 Persatuan Orang Buta Malaysia Sabtu lalu.

MESKIPUN sukar kerana kekurangan diri, namun semangat menjadi pembakar kepada golongan OKU untuk meneruskan pendakian.



Pengalaman yang dilalui Mohd. Irwan Halim Sidek, 29, juga tidak kurang hebatnya. Penghidap celebral palsy yang mengalami kesukaran bergerak dan tidak mampu bercakap dengan lancar itu begitu tekun menjalani latihan sebelum pendakian.
Menurut ibunya yang mewakili Irwan semasa sesi temu bual bersama penulis, Bashah Jaafar, 51, Irwan memanjat tangga apartmen kediaman mereka setinggi 16 tingkat sebanyak 15 kali sehari. Pada masa yang sama, Irwan mengikuti latihan-latihan yang dianjurkan oleh pihak penganjur ekspedisi pendakian berkenaan iaitu Kelab Rotary Bandar Utama dan USJ sembilan bulan sebelum ekspedisi berlangsung.
"Setiap kali pulang dari sekolah di Pusat Spastik Petaling Jaya, dia akan tidur dan bangun pada pukul 5 petang untuk menjalani latihan. Saya berasa gusar untuk melepaskannya tetapi dia bertegas ingin mengikuti ekspedisi pendakian ini.
"Bayangkan, dia hanya boleh berjalan ketika berumur 10 tahun tetapi kini dia sudah berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu," ujarnya terharu.
Menurut Bashah atau lebih dikenali sebagai Ida, suaminya, Sidek Ahmad, 51, menemani Irwan sepanjang pendakian itu supaya Irwan mempunyai dorongan dan semangat yang tinggi untuk sampai ke puncak.
"Suami ada memberitahu, Irwan sudah kelihatan tidak berdaya dan kerapkali dipapah, tetapi apabila sampai ke puncak, dia menjerit kegembiraan sambil mengangkat tangan ke langit kerana terlalu gembira sehingga membuatkan abahnya menangis.

AHLI ekspedisi Kelab Rotary menghampiri puncak Gunung Kinabalu.



"Suami saya memeluk Irwan dan ahli rombongan lain kerana terlalu gembira. Saya juga menangis apabila Irwan menghubungi saya dari puncak gunung kerana terharu dia mampu sampai ke puncak Gunung Kinabalu," katanya.
Bashah memberitahu, dia juga terharu dengan perhatian yang diberikan kepada anaknya ketika pendakian kerana anaknya tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri sepenuhnya tanpa bantuan.
"Saya lega melepaskan Irwan mengikuti ekspedisi kerana pihak penganjur meyakinkan saya setiap peserta mempunyai empat penjaga yang terdiri daripada jurupandu, pegawai perubatan dan sukarelawan.
"Bapa Irwan juga turut menjaga dan membantunya melumurkan minyak panas di kaki untuk menghilangkan lenguh dan kesejukan," kata Bashah.
Sementara itu, bagi peserta OKU yang cacat pendengaran dan bisu, Wan Nora Ashikin Abdul Razak, 24, perjalanannya mendaki puncak Gunung Kinabalu tidak sesukar pengalaman Taslim dan Irwan.
Muntah

PESERTA ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu yang melibatkan 13 OKU puas dengan pencapaian mereka.



"Tetapi, pendakian saya tidaklah semudah yang disangka. Disebabkan bergerak laju, saya rasa pening dan muntah pada awal pendakian dan rasa seperti tidak cukup oksigen.
"Saya terpaksa berehat sebelum dapat meneruskan semula pendakian itu," katanya melalui temu bual yang ditulis di atas helaian kertas kerana dia tidak membawa jurubahasa.
Menurut pelukis grafik majalah Challenge itu, pengarang tempatnya bekerja adalah individu yang menggalakkannya menyertai ekspedisi itu.
"Sebenarnya rakan sekerja saya sepatutnya ikut sama tetapi dia akhirnya tidak jadi pergi, jadi hanya saya seorang menyertai pendakian itu.
"Ibu saya juga mengizinkan, malah dia amat gembira apabila menonton ekspedisi ini yang ditayangkan di Majalah 3 pada 29 Oktober lalu," katanya.
Ashikin memberitahu, dia tidak akan berhenti setakat Gunung Kinabalu sahaja, kerana dia mempunyai impian lain selepas ini.
"Saya mahu mendaki Gunung Tahan pula sekiranya diberi peluang.
"Kakak saya sendiri amat cemburu kerana saya sudah sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Dia adalah orang pertama yang saya hubungi apabila tiba di puncak," katanya.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock