TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, October 31, 2013

Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat di Bertam Valley

Bencana banjir kilat di Bertam ini mendapat liputan yang amat meluas dan usaha mencari dan menyelamat dijalankan untuk mencari seorang lagi mangsa, Jarwati Abd Rahim berasal dari Indonesia yang dihanyutkan air.
 
 
Saya tidak sempat mengikuti usaha mencari dan menyelamat mangsa yang digerakkan oleh pelbagai agensi dibawah kawalan IPD Cameron Highlands sepenuhnya namun pada hari pertama saya sempat bersama mereka mencari dan membawa keluar 2 mangsa yang terkorban akibat telah terperangkap dalam limpahan air banjir. 


Pada hari kedua selepas bencana saya sempat bersama dengan mereka ketika berhimpun dan diberikan taklimat operasi oleh Tuan Mokhtar dari IPD Cameron Highlands.  
 
Pasukan keselamatan yang terdiri daripada Bomba dan Penyelamat termasuklah bantuan Unit K9 mereka, Polis, Ngo, Rela, JPAM dan juga ATM dari Kem  RAMD Tapah dengan kekuatan keseluruhan 300 anggota penyelamat.
 
 
Usaha pencarian di kawasan lokasi diketuai oleh "Cameron Highland Emergency Response Team"  (CERT) yang telah lama ditubuhkan oleh Pegawai Daerah dan Tanah Cameron Highlands yang terdiri daripada agensi kerajaan dan juga ngo tempatan.
 
Usaha hari kedua meliputi kawasan tebing sungai selepas 6 km sehingga 12 km.
 
Namun usaha mencari dan menyelamat ini diberhentikan selepas 4 hari dan mangsa dikategorikan sebagai hilang.
 
Alhamdulillah, di hari kelima, mangsa ditemui oleh pekebun yang sedang membersihkan sisa runtuhan kebunya sejauh 2 km dari tempat dia dilaporkan hilang.
 
 
Saya akan berkongsikan kisah sedih dan pilu suaminya yang masih gigih mencari.
 
Klik sini untuk gambar koleksi operasi mencari dan menyelamat di hari kedua yang separuh jalan saya ikuti .

Bayi 9 hari di Lembah Bertam

Ketika saya meninjau kawasan sekolah yang turut mendapat kesan bencana, pandangan saya tertumpu pada seorang jururawat yang sedang mengendong bayi melalui kawasan berlumpur.
 
 
Segera saya menghampirinya dan bertanya. Rupanya bayi ini adalah anak kepada seorang guru sekolah SJKC Lembah Bertam.
 
Dan kata jururawat tadi, bayi ini baru berusia 9 hari dan ibunya masih berpantang.
 
Saya mendekati kawasan sekolah dan melihat ibu dan bapa bayi ini sedang menuruni tangga untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.
 
Dengan si bapa (yang saya kemudian diberitahu bernama Cikgu Hazrul) berkaki ayam, perlahan-lahan memimpin isterinya yang sedang dalam hari.
 
Kelihatan kasutnya dipakai oleh si isteri dan saya rasa pengorbanan dan kasih sayang seorang suami yang lebih rela berkaki ayam.
 
 
Mereka bergerak perlahan. Mencari laluan yang kurang berlumpur.
 
Kelihatan juga bantuan kesihatan diberikan oleh pihak penyelamat dengan seorang doktor memeriksa bayi dan sebuah ambulan di tempatkan di kawasan berhampiran untuk memindahkan mereka.
 
Dua hari kemudian, saya mengunjungi semula sekolah ini dan ketika ini saya sempat menemui Cikgu Hazrul.
 
Ceritanya pada saat kejadian amat mendebarkan.
 
Setelah rumah mereka dilanda banjir, dan perlu berpindah ke rumah (atau sekolah, saya tak pasti sangat)  yang lain, beliau memimpin isterinya yang masih dalam hari itu meranduk air separas lutut dan paha.
 
 
Ketika beliau bergerak ke rumah tersebut, bayinya dibawa oleh rakannya ke kawasan yang lain. Selepas menghantar isteri dan berada dalam keadaan selamat, beliau kembali untuk mengambil bayinya dan ketika ini air sudah mendekati paras pinggang.
 
Air yang melimpah diharungi bersama bayinya. Namun air bertambah deras dan ketika ini kereta hanyut mula menghampirinya.
 
Saya yang mendengar cerita turut gerun.
 
Bayangkan, beliau menerangkan ketika itu beliau memegang bayinya dengan sebelah tangan dan sebelah tangan yang lain sedang menahan kereta yang sedang menghimpitnya.
 
Bak katanya seperti menjadi sandwich kerana di bahagian belakang terdapat sebuah landrover dan kini mereka dihimpit oleh kereta hanyut.
 
Dengan kekuatan tangan, beliau berjaya menolak kereta tersebut dan keluar dari himpitan untuk menyelamatkan diri dan bayinya lantas mengharungi air untuk kembali ke tempat isterinya berada.
 
Untuk yang terkini, isterinya sudah dihantar pulang ke Kelantan dan beliau masih perlu berada di sekolah untuk menyelesaikan tugas membersihkan sekolahnya.
 
Saya pasti, ini adalah kisah bayi bertuah dalam bencana ini.
 
Klik untuk gambar yang lain.

Kereta hanyut di Bertam Valley

Antara yang mudah menarik perhatian saya ketika melawat kawasan bencana selain dari rumah dan bangunan yang musnah adalah kereta-kereta yang turut hanyut dan akhirnya terdampar di merata sudut di kawasan ini.
 
 
Boleh dikatakan di mana kawasan laluan air, akan terdapat kereta tersadai dalam keadaan yang membingungkan kita.
 
Ada yang masih di dalam air, terhimpit antara satu sama lain, dihadapan rumah, tertindih, terbenam dan berbagai lagi posisi lain.
 
Melihat kepada kemusnahan sebegini, saya berfikir bagaimana arus deras pada malam tadi melimpah sehingga jauh dari tebing lalu menghayutkan  kereta-kereta ini ke laluan air dan tersadai bila air surut.
 
 
Saya sempat bersembang dengan salah seorang mangsa yang terselamat mengenai keretanya. Katanya dia sudah berusaha untuk menyelamatkan kereta malah telah berada di dalam kereta untuk dialihkan.
 
 
Namun malangnya, air naik terlalu pantas. Dia sendiri terasa terapung-apung sebelum berusaha untuk keluar dari kereta kerana keretanya mula dihanyutkan air.
 
Malah dari dengar-dengar, ada sebuah Storm yang dihanjutkan hampir 2 km dari kawasan rumahnya.
 
 
Juga turut saya dengar di kawasan Kampung Orang Asli Kg Susu di hilir sungai ini juga terdapat 2 buah kereta wira yang hanyut tanpa dapat dikesan sehingga kini.
 
Saya tinggalkan anda dengan koleksi gambar kereta yang terlibat.
 
Malangnya difahamkan, kereta ini tidak dilindungi oleh insuran akibat bencana alam. Malang bertimpa-timpa jadinya...
 
KLIK .. untuk 35 keping gambar sepenuhnya...

Mangsa yang terselamat di Bertam Valley

Selepas melihat usaha menyelamat mangsa yang menemui dua orang yang telah tewas, saya memanjangkan langkah saya kembali ke kawasan bencana.
 
Kali ini saya ingin melihat pula mangsa-mangsa yang terselamat dari bencana awal pagi ini.
 
Kali ini saya melihat ramai penduduk yang mula berpindah keluar untuk ke pusat perpindahan sementara.
 
 
Terdapat dua pusat pemindahan yang saya ketahui kemudiaan iaitu di Dewan Orang Ramai Ringlet iaitu sekitar 4 km dari kawasan kejadian dan sebuah lagi di dewan badminton di Pekan Bertam itu sendiri.
 
Namun bukan semuanya ingin berpindah. Masih ramai mangsa yang ingin duduk di rumah untuk membersihkan rumah dan menyelamatkan peralatan yang boleh digunakan.
 
Saya meninjau ke tiga lorong yang teruk terjejas akibat bencana ini.
 
Suasana di hadapan rumah mereka amat mengejutkan. Bukan sekadar lumpur, pasir dan selut yang menjadi tetamu mereka pada awal pagi kejadian tetapi juga kereta!!
 
 
Saya berjalan kaki ke kawasan ini memasuki lorong kecil yang berselut tebal dan dipenuhi sampah hanyut.
 
Saya menyapa dan disapa oleh  mereka. Malah ada yang merapati saya dan meluahkan kekecewaan mereka kerana dikatakan tidak mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya.
 
Tiada pasukan penyelamat datang untuk membantu membersihkan rumah. Saya yang tiada kapasiti untuk menerangkan atur urus bantuan bencana ini sekadar mendengar dan mengatakan mungkin tumpuan pagi ini adalah untuk mencari mangsa yang hilang.
 
Soal pembersihan rumah dan peralatan mungkin akan diuruskan kemudian mengikut keutamaan.
 
Saya dirapati lagi dan kali ini saya dibawa sendiri oleh mereka melihat suasana dalam rumah yang dilimpahi air lumpur.
 
 
Memang teruk. Lumpur berada separas lutut. Paras air pada pagi kejadian naik mendadak sehingga ke paras 3 kaki atau pinggang orang dewasa.
 
Salah seorang mangsa mengatakan, beliau diketuk pintu rumahnya oleh jiran dan melihat air sudah separas satu kaki.
 
Segera dia masuk ke dalam mengejutkan isteri dan anak-anak dan tanpa sedar air telah naik separas pinggang hanya kurang dari 1 minit!.
 
mangsa ini mujur dapat keluar dari rumahnya ketika air sudah di paras pinggang

Lebih mendebarkan, pintu dapat dibuka kerana tekanan air. Akhrinya jiran membantu dengan menendang pintu dan mereka segera meranduk air keluar ke kawasan yang lebih tinggi.
 
Dalam kekalutan tersebut dan suasan gelap, salah seorang jiran mereka panik dan mengalami serangan jantung ketika sampai di kawasan yang selamat.
 
Ujar mereka, bantuan pernafasan diberikan dan segera mereka memohon bantuan ambulan.
 
rumah mangsa yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Malangnya laluan utama di jambatan juga dinaiki air sehinggalah ke satu masa air surut dan segera mereka membawa naik pacuan empat roda untuk menghantar mangsa ke Hospital.
 
Malangnya mangsa tidak dapat diselamatkan.
 
Rata-rata kawasan yang dilimpahi air mengalami kerosakan teruk. Segala perabot dan alat elektronik tidak dapat digunakan lagi.
 
Kerugian amat besar bagi mangsa-mangsa ini.
 
Walaupun berlainan bangsa, saya tetap berasa sedih dengan musibah yang menimpa mereka.
 
 
 
Tinjauan saya selama satu jam ini ke kawasan bencana membuatkan saya memikirkan sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa dan mungkin saya sendiri...
 
Gambar mangsa yang terselamat boleh di lihat di sini.. Klik 

Mangsa yang terkorban di Lembah Bertam ...

Ketika saya sampai di pasar Lembah Bertam, saya terlihat di seberang sana kelihatan ramai yang berkumpul dan melihat kepada satu arah.
 
 
Segera saya bertanya kepada orang yang melalui kawasan tersebut.
 
Kata mereka pasukan penyelamat menemui 2 orang mangsa yang terperangkap di dalam rumah. Usaha menyelamat sedang dilakukan.
 
Segera pula saya ke sana. Berkumpul bersama orang ramai yang rata-ratanya berbangsa Indonesia. Baharulah saya tahu mangsa yang terperangkap adalah seorang perempuan berbangsa Indonesia.
 
Pandangan dari arah sini nampaknya kurang jelas dan saya memutuskan untuk ke sebelah rumah yang menjadi laluan pasukan penyelamat.
 
Berbeza pula di bahagian depan laluan ini kerana rata-ratanya dipenuhi oleh pekerja Bangladeshi. Rupa-rupanya mereka sedang melihat mayat rakan mereka yang telah di temui juga di tempat yang sama.
 
 
Saya bergerak ke depan laluan masuk yang telah dipasang tali dilarang melintas dan ada anggota polis yang bertugas. Ketika ini, pihak Bomba sedang mengepam keluar air dari rumah.
 
Saya memohon kebenaran untuk masuk kerana hendak mengambil gambar dan Alhamdulillah diizinkan oleh anggota yang bertugas.
 
Barangkali melihat bag dan kamera saya yang seakan-akan wartawan menjadikan ianya mudah masuk. Ini juga pengalaman saya ketika meninjau ke kawasan bencana yang lain di mana saya juga di sangkakan sorang wartawan.
 
Ketika masuk, saya memerhatikan kawasan sekitar. Rumah ini terletak di sebelah sungai dan terdapat batas kebun yang memisahkan bangunan ini dengan sungai.
 
Namun ketika banjir berlaku, airnya membawa lumpur dan pasir ke kawasan ini menjadikan kawasan sempadan tebing seperti ban yang mengapung kawasan ini.
 
Bila air surut, air yang berada di dalam rumah tidak keluar mengalir kerana tebing menjadi semakin tinggi.
 
Jam sekitar 9.10 minit pagi. Bilangan anggota penyelamat kian bertambah. Dari hanya pasukan Polis dan Bomba, kelihatan JPAM juga sampai untuk membantu.
 
 
Dari anggota polis yang saya berbual mengatakan rumah ini terdapat 8 bilik yang disewakan kepada pekerja ladang sekitar malah juga melibatkan TM Salini.
 
Pekerja Bangladesh yang ditemui adalah pekerja di TM Salini  yang sedang membina empangan Jelai kira-kira 20 km dari kawasan kejadian.
 
Bersembang pula saya dengan rakan mangsa ini kemudian menceritakan bahawa mangsa sebenarnya sudah keluar dari rumah ketika sebelum banjir tetapi masuk semula untuk mengambil baranganya.
 
Nasibnya malang kerana limpahan air kedua berlaku, dia berada di dalam dan tidak sempat keluar.
 
Air terus dipam keluar. Agak perlahan kerana paras air ketika itu dibahagian depan sekitar 3 hingga 4 kaki tetapi di bilik mangsa kedua sedalam 5 kaki. Selut dan lumpur pula memperlahankan pergerakan.
 
Bomba dan pihak polis mengambil keputusan menjemput sahabat handai serta keluarga mangsa untuk sama-sama membantu dengan kaedah mengagau di dalam air.
 
Selepas 45 minit pam kedua sampai dari Bomba Raub. Mereka mula menambah pam menyedut air sebelum 15 minit kemudian saya mendengar jeritan mangatakan mangsa telah ditemui.
 
 
Suasana ketika itu menjadi sedikit riuh dengan semua orang mula berasa untuk melihat mangsa.
 
Segera pihak penyelamat membawa mangsa keluar dan dimasukkan ke dalam plastik mayat sebelum dibawa ke landrover yang sedang menunggu.
 
Saya sempat melihat sekeliling. Ada yang menangis. Saya kira mungkin sahabat handai mangsa. Jika ahli keluarga, pasti sudah mengikuti mangsa dengan lebih dekat.
 
 
Ada yang terkelu dan saya sempat bertanya kepada mereka yang telah membantu mencari dan seorang lelaki berbaju merah mengatakan mangsa adalah kakaknya, Kemat , 40 an dari Lamongan, Surabaya, Indonesia.
 
 
Landrover bergerak bersama dua mayat mangsa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata.
 
Saya pula bergerak pula ke kawasan bencana semula untuk melihat kemusnahan dengan lebih teliti.
 
Alfatihah untuk kedua-dua mangsa..... Gambar selebihnya di SINI

Kesan banjir kilat di Bertam Valley

Pagi kejadian selepas mengambil kamera, saya berjalan dan meninjau di sekeliling kawasan yang terlibat khasnya di kawasan tebing sungai.
 
 
Kesan kemusnahan akibat arus yang deras dapat dilihat sebelum Pekan Lembah Bertam lagi. Dengan tebing sungai yang runtuh yang membawa hakisan dalam arusnya sehinggalah ke kawasan penempatan.
 
Jika sebelum ini sekadar melihat kemusnahan di negara jiran akibat taufan dan tsunami, di sini saya melihat bagaimana kesan yang hampir sama.
 
 
Rumah-rumah ada yang musnah sepenuhnya. Kereta-kereta yang diletak di tepi jalan dan celahan rumah juga dihanyutkan air.
 
Kesan limpahan air dan pasir yang dibawa dapat dilihat air termasuklah sampah sarap yang jelas ada di mana-mana bahagian.
 
Kelihatan ramai yang masih binggung akan bencana yang menimpa manakala kawasan ini mula dikunjungi oleh orang ramai yang mahu melihat secara dekat.
 
 
Pukul 9 pagi, beberapa orang anggota Polis mula membuat sekatan jalan menghalang orang ramai memasuki kawasan kejadian.
 
Malah ketika ini ada khabar angin mengatakan air empangan perlu dilepaskan sekali lagi kerana paras air yang amat tinggi.
 
Namun operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan kerana ada mangsa yang ditemui tidak jauh dari pekan ini yang akan saya kongsikan kisahnya selepas ini.

Untuk lebih gambar kemusnahan di kawasan Lembah Bertam ini, ikuti di laman fb mrkumai di sini dan sini

Perlepasan air Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB)...

Kejadian banjir lumpur yang diibaratkan bagai tsunami gunung adalah akibat perlepasan air di Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB).
 
Sebelum air dilepaskan, Cameron Highlands mengalami hujan yang amat lebat dan berpanjangan. Rakan saya di ladang teh Boh mengatakan bajaan tolok hujannya mencecah 33 mm pada malam kejadian.
 
Pihak pengurusan ESAB dibawah Tenaga Nasional Berhad telah mengambil langkah-langkah mengikut SOP mereka untuk perlepasan air tersebut.
 
Dari Khemah Pusat Operasi, saya mendapati kronologi kejadian perlepasan air yang dilakukan.
 
 
Bermula pada 11.40 malam, pihak pengurusan ESAB memaklumkan kepada Ketua Polis Balai Ringlet untuk perlepasan Air.
 
Ketua Polis Balai Ringlet bersama anggota dan MPV memaklumkan perlepasan air akan dilakukan kepada penduduk di sekitar kawasan Lembah Bertam termasuklah ketua kampung.
 
Pada 12.01 minit , siren amaran dibunyikan secara berterusan. Siren amaran ini terletak di atas Empangan dan juga di dalam pekan Bertam bersebelahan dengan Pondok Rela.
 
Bunyi amat kuat malah ketika petang hari pertama kejadian, bunyi siren dimainkan sekali lagi kerana akan dilakukan perlepasan air dari empangan. Saya yang berada di kawasan tersebut mendengarnya.
 
 
Cuma di malam hari ketika sedang tidur serta hujan, bunyinya mungkin kurang kuat kedengaran. Mungkin tambahan siren di beberapa lokasi berhampiran perlu dilakukan kelak.
 
20 minit kemudian, air mula dilepaskan untuk bukaan sebanyak 4 inci. Dikhabarkan bukaan yang pertama tidak mendatangkan masalah.
 
Cuma bukaan kedua pada pukul 1.00 pagi menyebabkan air mula naik mendadak dan melepasi benteng sungai dan memasuki ke kawasan perumahan. Kemusnahan bertambah parah kerana air yang bersama dengan sampah sarap membawa momentum yang cukup deras sehingga memusnahkan apa sahaja halangan dihadapannya.
 
Biarlah gambar-gambar ini menceritak berapa kesannya.
 
 
selebihnya di laman fb saya di sini .

Tuesday, October 29, 2013

Tsunami Gunung di Bertam Valley

Awal pagi saya dikejutkan dengan panggilan telepon dari salah seorang kakitangan saya.
 
Katanya " Bos, Bertam dilanda taufan".
 
 
Saya nak tergelak pun tidak dan nak tak percaya pun tidak.
 
Sebabnya kalau di Lembah Bertam, memang boleh berlaku dan saya sendiri pernah mengatakan kalaulah sesuatu terjadi di Empangan SAB, maka akan bergempitalah bencana di Bertam.
 
Ini kerana Lembah Bertam terletak betul-betul di bawah empangan ini.
 
Saya bergegas ke Lembah Bertam. 
 
Dalam perjalanan saya melihat paras air di empangan ternyata amat tinggi dan lebih memburukkan lagi adalah sampah sarap yang terapung-apung di permukaannya. Kalau anda bertanya mengenai warna airnya. Kuning sekuning-kuningnya.
 
Saya membuat telahan, empangan ini mencapai paras maksimumnya maka air perlu dilepaskan.
 
Saya sampai di Pekan Bertam selepas 15 minit perjalanan dari Tanah Rata. Kenderaan nampaknya banyak. Terdetik di hati saya, barangkali besar kali ini banjirnya.
 
Buat anda yang tidak mengetahui di mana pekan Lembah Bertam ini, mari saya kongsikan.
 
Lembah Bertam terletak di bahagian bawah Pekan Ringet. Jika anda melalui Jalan Pahang atau Tapah, anda akan menemui Pekan Ringlet terlebih dahulu.
 
Di hadapan Stesen Minyak Shell, anda perlu membelok ke sebelah kanan untuk menuruni jalan baharu ke Sungai Koyan. Jaraknya hanyalah sekitar 2 km sahaja.
 
Jika dari jalan baharu Sungai Koyan, anda akan menemui Lembah Bertam terlebih dahulu sebelum sampai ke Ringlet.
 
Selalunya Pekan Lembah Bertam ini tidak diketahui ramai kerana terasing dari laluan utama kecuali dari Raub atau Sungai Koyan yang baharu dibuka sekitar 2011.
 
Pekan ini kecil sahaja dan aktiviti utamanya adalah pertanian baik dari tanaman sayuran mahupun bunga-bungaan.

Tiada kawasan tarikan perlancongan di kawasan ini.
 
Berbalik semula kepada kisah saya ketika sampai saya memang terkejut apabila melihat kemusnahan yang berlaku.
 
Secara kebetulan saya tiba serentak dengan Jurutera Daerah  Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Cameron Highlands. Beliau juga amat terkejut.
 
Malah dari pandangan saya, wajahnya amat berat kerana tanggungjawab jabatannya ke atas musibah ini memang terarah kepadanya.
 
 
Saya bersembang dengan JD tersebut dan beliau dimaklumkan kejadian ini hanyalah pada pagi ini.
 
Jadi persoalan saya pukul berapa kejadian banjir lumpur ini berlaku?
 
Saya perlu mencari jawapan. Segera saya kembali ke kenderaan saya untuk mengambil kamera.
 
Laluan saya yang pertama adalah rumah penduduk melayu yang terletak bersebelahan surau yang selalu saya kungjungi.
 
 
Rumahnya betul-betul di pinggir sungai malah saya amat terkejut melihat kemusnahan yang dialami olehnya. Saya lebih tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada ahli keluarga ini yang setahu saya ekitar 6-10 orang menginap di sini.
 
Ketika soalan ini saya ajukan kepada salah seorang orang awam yang juga melihat kemusnahan yang berlaku, beliau mengatakan semuanya selamat namun secara dengar-dengar terdapat 5 orang telah hilang termasuk kanak-kanak.
 
Hilang? Pastinya jika anda melihat tempat kejadian, sekali imbas anda dapat mebayangkan mereka dibawah arus deras.
 
Saya melihat bukan hanya rumah tetapi pelbagai kemusnahan lain turut berlaku. Kenderaan hanyut dan terbalik terdapat di merata-rata tempat.
 
Nyata bagi saya, gelaran musibah ini adalah "Tsunami Gunung"..
 
Kisahnya akan saya kongsikan dalam beberapa catatan yang berasingan dan gambar-gambar yang saya rakamkan akan dikongsikan juga untuk anda.
 
Cuma mood untuk menulis agak kurang ekoran sibuk dengan tugasan baharu yang diterima.  Insyallah..

Monday, October 7, 2013

Emelda Food Court

Setiap kali kawan-kawan saya datang ke sini khasnya kaki bola, mereka akan mengajak saya untuk minum teh untuk bersembang-sembang sambil menonton perlawanan bolasepak secara langsung.
 
Tentunya mereka mengharapkan saya mencari kedai makan yang mempunyai skrin besar untuk menonton bolasepak khasnya EPL.

 
Sebenarnya di sini, hanya ada dua buah kedai makan yang memasang layar besar di kedai mereka.  Selebihnya hanya TV biasa. 
 
Untuk skrin besar, biasanya saya akan membawa mereka ke Food Court Baru Tanah Rata iaitu ke kedai Emelda di tingat atas.
 
 
Menu malamnya biasa seperti yang lain cuma mempunyai steamboat dan western food untuk dipilih sebagai juadah anda.
 
Jadi jika anda mencari tempat makan, Emelda ini boleh dimasukan di dalam pilihan anda. Bagi saya, kami suka ke mari kerana ruang makan yang besar dan selesa dan tidak risau jika anak-anak saya berlari ke sana sini kerana ruangan atasnya sepenuhnya milik kedai makan ini.

Juga terdapat dua pilihan tempat duduk iaitu di anjung yang lebih sejuk dan terbuka dan di bahagian dalam yang lebih tertutup dan kurang terdedah dengan kesejukkan.
 
 
Cuma menaiki tangganya yang terdapat longgokan tahi burung amat mendukacitakan sedikit. Abaikan pandangan anda.

Aduan kepada MDCH telah kami lakukan dan jika anda merasai yang sama, ajukan pula aduan anda kepada mereka untuk keselesaan bersama.

St Thomas Kuantan.. tamatkah usianya? siri 2

Siri catatan kedua ini juga sekadar mengambil petikan berita dari Sinar Harian dan kali ini, kisah warganya yang cuba mempertahankan kewujudan sekolah ini. 

Memandangkan saya tidak mengetahui dari awal kisah polemik tuntututan ini,. maka saya lebih bersikap terbuka kepada anda yang mengetahui kisah disebaliknya untuk dikongsikan di sini .  

Apapun harap-harap yang terbaik dapat disimpulkan kelak yang mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. 

Masih di hati ... "Proud to be Thomasian" ....


Petikan Sinar Harian  di SINI

KUANTAN -  Ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan St Thomas tetap mempertahankan pendirian mereka untuk melihat isu sekolah itu diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan nasib 492 muridnya terjamin.

Walaupun sudah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa pada Ahad depan, namun ia tetap tidak mampu melegakan hati ibu bapa terbabit.

Ibu kepada murid yang ditemui, Rosanne Rozali, 38, berkata, KPM perlu bersemuka dengan pemilik tanah bagi menyelesaikan masalah itu dan perlu memastikan proses rundingan itu memberi kata putus yang positif.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu dibawa bersama dalam proses perbincangan antara KPM dengan pemilik tanah supaya mereka turut mendapat maklumat sebenar mengenai isu melanda sekolah terbabit.

“Sebagai ibu bapa, kita tetap dengan pendirian mahu sekolah ini dikekalkan, jika mahu dipindahkan, KPM perlu mencari tapak baru sebelum memindahkan kesemua warga sekolah ke penempatan baru itu.

“Kita tidak mahu isu ini mempengaruhi emosi pelajar di sini kerana mereka juga sayangkan sekolah mereka,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman membantah penutupan sekolah itu anjuran Badan Bertindak Selamatkan SK ST Thomas, di sini, semalam.

Bagi S. Uma Selvam, 48, pula, banyak isu yang timbul membabitkan perkara tersebut dan ia perlu diperjelaskan dengan sebaik mungkin.

“Saya harap, dalam perjumpaan itu nanti, KPM akan memberi  penjelasan yang betul bagi mengungkai masalah ini.
Mahu St Thomas dikekalkan
Selain ibu bapa, murid SK ST Thomas turut meluahkan perasaannya terhadap isu yang melanda sekolahnya.
“Kedua-dua pihak iaitu KPM dan pemilik tanah perlu berunding dengan cara yang berhemah supaya pelajar di sekolah ini tidak menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, banyak perkara perlu diambil kira dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana  sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai.

“Pendirian kami dalam hal ini adalah jelas jika mahu pindahkan, kami mahu semua guru-guru yang mengajar di sini ikut ke sekolah baru itu. Kami mahu kekalkan kualiti dimiliki dan sudah pasti ini adalah perkara terpenting demi masa depan anak-anak kami,” katanya.

Sekolah ini sudah beroperasi sejak 60 tahun lalu itu merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan yang baru diperoleh tahun ini malah satu-satunya sekolah di daerah ini yang masih menggunakan sukatan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sinar Harian semalam melaporkan kebimbangan ibu bapa murid di sekolah itu yang mahu KPM menyelesaikan masalah, malah mewujudkan Badan Bertindak Selamatkan SK St Thomas bagi menyatakan pendirian mereka untuk mengekalkan sekolah itu daripada ditutup akhir tahun ini.

Koleksi gambar sekitar tahun 2008 , saya kongsikan di sini KLIK

St Thomas Kuantan .. tamatkah usianya...

Saya bekas pelajar kepada Sekolah Menengah St Thomas dari tahun 1991-1996. 



Menjadi warganya sentiasa menjadi kebangaan saya dan rakan-rakan yang lain bak kata kami sebagai bekas pelajarnya "Proud to be Thomasian".

Pertikaian hak milik tanah telah menjadi tuntutan daripada pihak kerajaan dan Gereja St Thomas kerana nilainya yang amat tinggi berada di tengah-tengah bandar Kuantan.

Difahamkan isunya bermula seawal tahun 2005 lagi sehinggalah dikatakan akan menghampiri kemuncaknya penghujung tahun ini. 

Apapun saya mengambil sikap tengok sahaja kerana tiada lagi kepentingan selain hanya "sentimental value" sahaja... 

Namun bagi mereka yang masih berada di sana, saya percaya perjuangan mereka lebih relevan dari saya. 

Contohnya rakan saya, yang mana beliau belajar di Sekolah Rendah St Thomas sebelum ke Sekolah Menengah St Thomas dan kini anaknya pula di SK yang sama dan menghantarnya setiap hari dan bertemu dengan guru-guru yang hampir sama seperti zamannya menjadikan ianya terlalu istimewa kepadanya. 

Selamat mempertahankannya...   

Klik untuk catatan sejarah St Thomas saya dahulu 

Kuantan: Isu Sekolah Kebangsaan St Thomas, di sini, yang bakal ditutup hujung tahun ini, perlu diselesaikan segera bagi memastikan nasib 548 murid terbela. 


Tindakan pihak gereja mengeluarkan surat perintah pengosongan sekolah itu bermula 31 Disember depan, dikatakan dibuat tanpa pengetahuan ibu bapa. 


Notis kepada pelajar Pengerusi Badan Bertindak Sekolah St Thomas, K Uma Selvam, berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai arahan pengosongan sekolah itu dan mendakwa mengetahui melalui notis diedarkan kepada murid. 


“Perkara itu mengejutkan kami dan ia tidak sepatutnya berlaku. Jika mereka mahu mengeluarkan arahan seperti ini sekali pun, sepatutnya kena keluarkan notis lebih awal bagi memudahkan kami. 


“Banyak perkara perlu diambil kira dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana ini adalah sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai. 

“Kalau mahu kosongkan, kita ingin tahu, ke mana anak kami akan ditempatkan selepas ini. 

“Pendirian kami dalam hal ini adalah jelas, jika mahu pindahkan, kami mahu semua guru yang mengajar di sini ikut ke sekolah baru. Kami mahu kekalkan kualiti dimiliki dan sudah pasti ini adalah perkara penting demi masa depan anak kami,” katanya. 



Uma Selvam berkata, isu sekolah berkenaan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk menyelesaikannya.

Saturday, October 5, 2013

Cameron Highlands: Dari Simpang Pulai dan Lojing ...

Saya menerima pertanyaan apakah aturan perjalanan yang boleh dibuat jika melalui Jalan Simpang Pulai. Dan mungkin saya boleh menambah sedikit juga jika dari Lojing, Gua Musang Kelantan.
 
Saya berkongsikan aturan perjalanan dari Tapah dan Raub tetapi untuk arah ini mungkin tertinggal.
 
Jadi saya kongsikan sedikit cadangan kepada anda.
 
Jika anda bermula dari kedua-dua arah, jaraknya melebih 84 km dari arah Simpang Pulai dan 125 km dari arah Lojing kalau tak silap saya.
 
Jadi pastikan anda mempunyai bekalan minyak yang cukup untuk melalui perjalanan ini kerana hanya di Brinchang sahaja stesen minyak seterusnya.
 
Kedua selepas melalui perjalanan yang jauh, yang ingin sembahyang terdapat sebuah Masjid di Kampung Raja sebaik sahaja memasukinya.  Klik
 
 
Di Kampung Raja tiada tarikan untuk perlancongan kecuali hentian terakhir sekitar Blue Valley.
 
Hentian seterusnya jika tidak mahu ke Masjid adalah di Hentian Teh milik Bharat Tea di Kuala Terla. Lokasi yang bagus untuk anda merehatkan badan selepas perjalanan berliku yang jauh atau mencari tandas. Ini adalah hentian pertama untuk anda lawati. Catatannya di sini untuk lebih perincian Klik

 
Seterusnya ke arah Brinchang terdapat pilihan hentian Strawberry iaitu milik Al Mashoor juga ditepi jalan. Selain berehat hentian kecil ini juga mempunyai bilik sembahyang dan kemudahan tandas di samping produk tanaman strawberrynya. Klik
 
 
Mendaki naik anda akan menemui Lavendar Park. Saya pasti anda akan teruja sebaik sahaja melihat air terjun buatan dihadapannya serta variasi hamparan bunga yang berwarna warni dibahagian depan. Tiket masuk RM 5 seorang dewasa dikenakan. Klik
 
 
Melewati pula Pekan Tringkap, anda akan menemui Arked Jualan di sini yang pastinya terdapat sayur-sayuran untuk dibeli cuma nasihat saya masih terlalu awal untuk membelinya. Beli di saat mahu pulang bagi kesegaran yang lebih panjang. Klik .
 
Terdapat juga Rose Valley di sini serta Bee Farm yang ringkas untuk anda singgah. Kalau tak silap saya , Rose Valley mengenakan caj masuk sebanyak RM 4 seorang dewasa.
 
Perjalanan seterusnya adalah ke Kea Farm dan pastinya tarikan pasar sayur-sayuran dan hasil tani menjadi tumpuan.

Abaikan. Anda baharu tiba dan jangan sesakkan kereta anda dengan sayuran dan bungaan yang akan layu atau rosak selepas itu. Klik
 
 Juga boleh anda masuk ke Ladang Teh Sungai Palas yang juga terletak sebelumnya. Pemanduan sekitar 3.5 km akan menemukan anda laluan sempit tetapi akan memukau pemandangan ladang teh.


Hentian yang popular adalah di Tea Centre mereka tetapi perlu berjalan kaki ke atas. Dapatkan kebenaran jika ada warga emas atau OKU bersama anda untuk terus naik ke sana jika dibenarkan. Klik
 
Di persimpangan Sungei Palas ini juga terdapat pelbagai arked jualan malah terdapat Bee Farm dan juga Butterfly Farm di sini untuk anda kunjungi. Butterfly farm mengenakan bayaran untuk masuk.
 
Selebihnya selepas itu terdapat beberapa hentian sepanjang ke Brinchang speerti Time Tunnel, S Corner, Arked Peladang dan Pasar Malam Brinchang.
 
Cadangan lokasi yang lain boleh anda perolehi melalui catatan yang terdahulu kerana sama sahaja perjalanannya jika anda sudah berada di Brinchang ataupun Tanah Rata.
 
Harap-harap membantu bagi anda yang datang dari arah Simpang Pulai dan Lojing ini. 

Friday, October 4, 2013

Cameron Highlands: Masjid Abu Bakar , CH

Catatan saya terdahulu mengenai Masjid Abu Bakar di Cameron Highlands memaparkan koleksi gambar pada tahun 2012 tetapi untuk kali ini, saya mendapat beberapa keping gambar di zaman pembukaan tanahnya serta tahun awal ianya siap iaitu sekitar 1961 atau 1962. 


Jika anda ingin membaca koleksi catatan tersebut, anda boleh mengikutinya di sini . KLIK

Koleksi gambar-gambar ini diperolehi dari koleksi Masjid Abu Bakar ini sendiri yang saya rakamkan dengan blackberry saya. 

Kualiti gambar tidaklah begitu baik namun cukuplah untuk dikongsikan di sini. 



Rasanya majlis pecah tanah di atas oleh DYMM Tuanku Sultan Abu Bakar (betulkan saya kalau tersilap)




Bangunan asal dari bahagian depan. 
Menara masjid kini masih tetap berdiri cuma dibahagian depan sudah ditambah dengan ruangan sembahyang tambahan. 







Bahagian depan masjid kini telah dipanjangkan ke hadapan untuk ruang solat utama tambahan demi menampung jumlah kariah.  



Koleksi gambar sepenuhnya di laman FB mrkumai... klik 

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock