TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Thursday, October 31, 2013

Mangsa yang terkorban di Lembah Bertam ...

Ketika saya sampai di pasar Lembah Bertam, saya terlihat di seberang sana kelihatan ramai yang berkumpul dan melihat kepada satu arah.
 
 
Segera saya bertanya kepada orang yang melalui kawasan tersebut.
 
Kata mereka pasukan penyelamat menemui 2 orang mangsa yang terperangkap di dalam rumah. Usaha menyelamat sedang dilakukan.
 
Segera pula saya ke sana. Berkumpul bersama orang ramai yang rata-ratanya berbangsa Indonesia. Baharulah saya tahu mangsa yang terperangkap adalah seorang perempuan berbangsa Indonesia.
 
Pandangan dari arah sini nampaknya kurang jelas dan saya memutuskan untuk ke sebelah rumah yang menjadi laluan pasukan penyelamat.
 
Berbeza pula di bahagian depan laluan ini kerana rata-ratanya dipenuhi oleh pekerja Bangladeshi. Rupa-rupanya mereka sedang melihat mayat rakan mereka yang telah di temui juga di tempat yang sama.
 
 
Saya bergerak ke depan laluan masuk yang telah dipasang tali dilarang melintas dan ada anggota polis yang bertugas. Ketika ini, pihak Bomba sedang mengepam keluar air dari rumah.
 
Saya memohon kebenaran untuk masuk kerana hendak mengambil gambar dan Alhamdulillah diizinkan oleh anggota yang bertugas.
 
Barangkali melihat bag dan kamera saya yang seakan-akan wartawan menjadikan ianya mudah masuk. Ini juga pengalaman saya ketika meninjau ke kawasan bencana yang lain di mana saya juga di sangkakan sorang wartawan.
 
Ketika masuk, saya memerhatikan kawasan sekitar. Rumah ini terletak di sebelah sungai dan terdapat batas kebun yang memisahkan bangunan ini dengan sungai.
 
Namun ketika banjir berlaku, airnya membawa lumpur dan pasir ke kawasan ini menjadikan kawasan sempadan tebing seperti ban yang mengapung kawasan ini.
 
Bila air surut, air yang berada di dalam rumah tidak keluar mengalir kerana tebing menjadi semakin tinggi.
 
Jam sekitar 9.10 minit pagi. Bilangan anggota penyelamat kian bertambah. Dari hanya pasukan Polis dan Bomba, kelihatan JPAM juga sampai untuk membantu.
 
 
Dari anggota polis yang saya berbual mengatakan rumah ini terdapat 8 bilik yang disewakan kepada pekerja ladang sekitar malah juga melibatkan TM Salini.
 
Pekerja Bangladesh yang ditemui adalah pekerja di TM Salini  yang sedang membina empangan Jelai kira-kira 20 km dari kawasan kejadian.
 
Bersembang pula saya dengan rakan mangsa ini kemudian menceritakan bahawa mangsa sebenarnya sudah keluar dari rumah ketika sebelum banjir tetapi masuk semula untuk mengambil baranganya.
 
Nasibnya malang kerana limpahan air kedua berlaku, dia berada di dalam dan tidak sempat keluar.
 
Air terus dipam keluar. Agak perlahan kerana paras air ketika itu dibahagian depan sekitar 3 hingga 4 kaki tetapi di bilik mangsa kedua sedalam 5 kaki. Selut dan lumpur pula memperlahankan pergerakan.
 
Bomba dan pihak polis mengambil keputusan menjemput sahabat handai serta keluarga mangsa untuk sama-sama membantu dengan kaedah mengagau di dalam air.
 
Selepas 45 minit pam kedua sampai dari Bomba Raub. Mereka mula menambah pam menyedut air sebelum 15 minit kemudian saya mendengar jeritan mangatakan mangsa telah ditemui.
 
 
Suasana ketika itu menjadi sedikit riuh dengan semua orang mula berasa untuk melihat mangsa.
 
Segera pihak penyelamat membawa mangsa keluar dan dimasukkan ke dalam plastik mayat sebelum dibawa ke landrover yang sedang menunggu.
 
Saya sempat melihat sekeliling. Ada yang menangis. Saya kira mungkin sahabat handai mangsa. Jika ahli keluarga, pasti sudah mengikuti mangsa dengan lebih dekat.
 
 
Ada yang terkelu dan saya sempat bertanya kepada mereka yang telah membantu mencari dan seorang lelaki berbaju merah mengatakan mangsa adalah kakaknya, Kemat , 40 an dari Lamongan, Surabaya, Indonesia.
 
 
Landrover bergerak bersama dua mayat mangsa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata.
 
Saya pula bergerak pula ke kawasan bencana semula untuk melihat kemusnahan dengan lebih teliti.
 
Alfatihah untuk kedua-dua mangsa..... Gambar selebihnya di SINI

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock