Awal pagi saya dikejutkan dengan panggilan telepon dari salah seorang kakitangan saya.
Katanya " Bos, Bertam dilanda taufan".
Saya nak tergelak pun tidak dan nak tak percaya pun tidak.
Sebabnya kalau di Lembah Bertam, memang boleh berlaku dan saya sendiri pernah mengatakan kalaulah sesuatu terjadi di Empangan SAB, maka akan bergempitalah bencana di Bertam.
Ini kerana Lembah Bertam terletak betul-betul di bawah empangan ini.
Saya bergegas ke Lembah Bertam.
Dalam perjalanan saya melihat paras air di empangan ternyata amat tinggi dan lebih memburukkan lagi adalah sampah sarap yang terapung-apung di permukaannya. Kalau anda bertanya mengenai warna airnya. Kuning sekuning-kuningnya.
Saya membuat telahan, empangan ini mencapai paras maksimumnya maka air perlu dilepaskan.
Saya sampai di Pekan Bertam selepas 15 minit perjalanan dari Tanah Rata. Kenderaan nampaknya banyak. Terdetik di hati saya, barangkali besar kali ini banjirnya.
Buat anda yang tidak mengetahui di mana pekan Lembah Bertam ini, mari saya kongsikan.
Lembah Bertam terletak di bahagian bawah Pekan Ringet. Jika anda melalui Jalan Pahang atau Tapah, anda akan menemui Pekan Ringlet terlebih dahulu.
Di hadapan Stesen Minyak Shell, anda perlu membelok ke sebelah kanan untuk menuruni jalan baharu ke Sungai Koyan. Jaraknya hanyalah sekitar 2 km sahaja.
Jika dari jalan baharu Sungai Koyan, anda akan menemui Lembah Bertam terlebih dahulu sebelum sampai ke Ringlet.
Selalunya Pekan Lembah Bertam ini tidak diketahui ramai kerana terasing dari laluan utama kecuali dari Raub atau Sungai Koyan yang baharu dibuka sekitar 2011.
Pekan ini kecil sahaja dan aktiviti utamanya adalah pertanian baik dari tanaman sayuran mahupun bunga-bungaan.
Tiada kawasan tarikan perlancongan di kawasan ini.
Berbalik semula kepada kisah saya ketika sampai saya memang terkejut apabila melihat kemusnahan yang berlaku.
Secara kebetulan saya tiba serentak dengan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Cameron Highlands. Beliau juga amat terkejut.
Malah dari pandangan saya, wajahnya amat berat kerana tanggungjawab jabatannya ke atas musibah ini memang terarah kepadanya.
Saya bersembang dengan JD tersebut dan beliau dimaklumkan kejadian ini hanyalah pada pagi ini.
Jadi persoalan saya pukul berapa kejadian banjir lumpur ini berlaku?
Saya perlu mencari jawapan. Segera saya kembali ke kenderaan saya untuk mengambil kamera.
Laluan saya yang pertama adalah rumah penduduk melayu yang terletak bersebelahan surau yang selalu saya kungjungi.
Rumahnya betul-betul di pinggir sungai malah saya amat terkejut melihat kemusnahan yang dialami olehnya. Saya lebih tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada ahli keluarga ini yang setahu saya ekitar 6-10 orang menginap di sini.
Ketika soalan ini saya ajukan kepada salah seorang orang awam yang juga melihat kemusnahan yang berlaku, beliau mengatakan semuanya selamat namun secara dengar-dengar terdapat 5 orang telah hilang termasuk kanak-kanak.
Hilang? Pastinya jika anda melihat tempat kejadian, sekali imbas anda dapat mebayangkan mereka dibawah arus deras.
Saya melihat bukan hanya rumah tetapi pelbagai kemusnahan lain turut berlaku. Kenderaan hanyut dan terbalik terdapat di merata-rata tempat.
Nyata bagi saya, gelaran musibah ini adalah "Tsunami Gunung"..
Kisahnya akan saya kongsikan dalam beberapa catatan yang berasingan dan gambar-gambar yang saya rakamkan akan dikongsikan juga untuk anda.
Cuma mood untuk menulis agak kurang ekoran sibuk dengan tugasan baharu yang diterima. Insyallah..
1 comment:
mrkumai, kalau ada kelapangan buatlah entry tentang Fun Ride Thomson Trail tempoh hari..
Sekian.
Izhar,
(perserta funride Thomson Trail)
Post a Comment