''Suasana sedih menyelubungi kawasan itu. Semua orang tidak dapat berkata-kata kerana terlalu amat sedih apabila melihat keadaan mayat anggota polis dan keluarga yang dibunuh dan dibakar bersama Balai Polis itu. Tambah memilukan kami, apabila dua orang kanak-kanak perempuan adik beradik, termasuk seorang darinya dalam buaian menangis sambil memanggil emaknya yang terbakar,'' cerita Johar kepada Utusan.
Dalam peristiwa itu, sebanyak 17 orang anggota pasukan keselamatan terdiri daripada polis, pasukan kawalan kampung termasuk Ketua Polis Balai Bukit Kepong sendiri, Sarjan Jamil Mohd. Shah gugur dalam keadaan menyayat hati. Lain-lain anggota polis yang terbunuh Koperal Mohd. Yasin Abdul Wahab, Lans Koperal Jidin Omar, Jaafar Hassan, Ibrahim Adam, Hassan Othman, Hamzah Ahmad dan beberapa lagi.
Johar yang kini menjadi Ketua Kampung Lenga, Muar, menceritakan, kanak-kanak perempuan itu yang dijumpai selamat di luar bangunan balai polis tersebut dikenali sebagai Zakiah Abubakar berusia lebih kurang setahun setengah dan adiknya Rokiah masih dalam buaian.
''Zakiah yang duduk di sisi buaian adiknya menangis sambil melihat api yang masih marak membakar mayat anggota-anggota polis termasuk ibunya sendiri,'' katanya.
MM Abu Bakar |
Pada ketika itu, rasa kebenciannya terhadap pengganas komunis begitu memuncak sekali.
''Kalaulah pengganas masih ada pada ketika itu, saya akan tembak mereka sehingga semua peluru saya habis,'' tambahnya. Mengimbau kembali peristiwa tersebut, Johar menceritakan, pada pagi hari kejadian dia berada di pos Lenga dan mula terdengar bunyi tembakan sayup-sayup jauh dari sebelah Bukit Kepong pada kira-kira pukul 3 pagi.
Oleh kerana bunyi letupan itu berterusan kata beliau, pasukannya lantas bersiap sedia dengan alat kelengkapan tentera dan bertindak memberitahu pengawal kampung yang bertugas di pos tentera dekat Lenga.
''Apabila bunyi dentuman semakin rancak, kami terus ke Balai Polis Lenga yang terletak di tepi Sungai Muar dekat pekan Lenga pada ketika itu untuk melapor diri sebagai persediaan jika tenaga kami diperlukan.
''Anggota-anggota polis di balai polis itu tidak begitu pasti tentang bunyi tembakan sama ada ia adalah pertempuran antara pengganas dengan Home Guard atau dengan pihak lain,'' tambah beliau.
Bagaimanapun katanya, setelah mendapat maklumat yang mengatakan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) bercita-cita hendak memusnahkan Balai Polis Bukit Kepong, dia dan rakan-rakannya mula bertindak.
''Sewaktu kami pergi ke panggung kapal (pangkalan bot) Sungai Muar di Lenga, kami nampak cahaya terang benderang dari arah pekan Bukit Kepong. Kami serta-merta menghubungi polis dan tentera untuk membawa satu pasukan bantuan ke Bukit Kepong melalui Sungai Muar,'' ujarnya.
MM Ahmad Khalid |
''Kami temui pelbagai tanda termasuk tin-tin makanan dan kami percaya kawasan itu telah dijadikan kem anggota Parti Komunis Malaya sejak lebih seminggu di situ,'' ceritanya lagi.
Pasukannya meneruskan pergerakan dan tiba di kawasan Masjid Jamek Bukit Kepong, beberapa puluh meter sahaja daripada Balai Polis di pekan itu.
''Bila kami tiba, bunyi letupan dan kebakaran bangunan Balai Polis Bukit Kepong semakin kuat. Kami nampak api marak, asap warna hijau berbau hangit naik ke udara,'' ujar beliau.
Johar berkata, dia cuba hendak masuk ke kawasan tersebut tetapi telah dihalang oleh anggota tentera lain kerana khuatir akan keselamatan nyawa masing-masing.
Selepas kira-kira sejam kemudian, dia dan rakan-rakannya yang lain terus berkejar ke tempat kejadian dan pada ketika itulah dia ternampak mayat-mayat rentung di celah bangunan yang terbakar.
Keadaan mayat-mayat yang rentung kata beliau, amat sukar dikenal pasti. Bagaimanapun, polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Muar pada ketika itu, J.J. Raj telah mengumpul mayat-mayat tersebut.
Mayat-mayat rentung itu kemudian dibawa ke Lenga untuk diperiksa dan kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad dekat tanah perkuburan Islam pekan Bukit Kepong. Tragedi tersebut bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat tetapi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Jaafar turut datang melawat ke tempat kejadian.
Padanya, peristiwa tersebut amat bersejarah bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya kerana ia bukan satu tragedi biasa tetapi berbeza dengan peristiwa serangan-serangan pengganas komunis pada waktu itu.
Pertamanya kata beliau peristiwa tersebut jelas menunjukkan patriotiknya anak-anak buah Sarjan Jamil yang tidak mahu menyerah diri kepada komunis yang berulang kali meminta mereka menyerah kalah.
Malahan tambah Johar, anggota polis sanggup mempertahankan balai itu sekali pun dia dan rakan-rakannya tewas dalam perjuangan mempertahankan balai.
''Mereka tidak mudah menyerah kalah. Mereka telah mengotakan pepatah Melayu, 'biar putih tulang jangan putih mata', namun menyerah pantang sekali. Mereka berjuang hingga ke titisan darah terakhir,'' ujarnya.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Lenga, Idris Rahmat memberitahu, ketika kejadian itu berlaku, dia baru berusia 10 tahun tetapi sudah boleh mengingat bagaimana dia nampak orang ramai membawa mayat rentung.
Seperti kata Johar, dia sependapat bahawa peristiwa Bukit Kepong bukan tragedi sebarangan tetapi ia satu contoh bukti keberanian pasukan keselamatan yang jumlahnya walaupun kecil tetapi sanggup berdepan dengan komunis yang lebih 10 kali ganda lebih besar.
Peristiwa yang menjadi sejarah hitam negara itu juga menunjukkan betapa seluruh masyarakat di kawasan sekitar Bukit Kepong sanggup bergadai nyawa demi mempertahankan negara daripada ancaman musuh.
Sebab itulah kata beliau, bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie dalam lawatannya ke Bukit Kepong selepas kejadian itu mengakui peristiwa Bukit Kepong adalah simbol keberanian dan semangat patriotisme pasukan keselamatan dan rakyat.
Johar dan Rahmat masing-masing mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya mengadakan majlis mengenang kembali sejarah hitam di balai polis berkenaan dengan mengadakan majlis-majlis tahlil pada tarikh 23 Februari setiap tahun.
Mereka berpendapat, langkah itu akan membolehkan generasi muda masa kini dan akan datang menghayati semangat juang pasukan keselamatan dan penduduk kampung ketika menghadapi cabaran musuh negara.
Oleh: TUKIRAN KITAM
Bukit Kepong - Mengimbau kisah tragis 54 tahun lalu
Oleh Amir Sarifudin
Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghapuskan ancaman komunis bukan sesuatu yang mudah. Ia melibatkan pengorbanan amat besar pasukan polis ketika itu.
``Ramai yang tidak mengetahui bahawa anggota polis terpaksa mengetepikan soal keluarga hingga nyawa sendiri sentiasa diancam selain ramai yang terkorban.
``Ketika itu, tugas setiap anggota polis hanya satu iaitu memastikan bangsa, agama dan negara terus aman dan setiap rakyat dapat mengecapi keamanan.''
MM Yusof Rono |
Yusoff memang terkenal kerana peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950 di mana segerombolan pengganas komunis menyertai Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor.
Dalam kejadian itu, 18 anggota polis termasuk Yusoff terpaksa mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan 200 pengganas komunis.
Beliaulah satu-satunya bekas anggota polis yang terlibat dalam peristiwa tersebut masih hidup hingga kini.
Memang sukar bagi beliau apabila memikirkan bahawa rakan-rakan lain sudah tiada kerana meninggal dunia.
Kebanyakan mereka terkorban dalam peristiwa itu yang berlaku 23 Februari 1950.
Bagi Yusoff, erti kemerdekaan pada diri beliau dan rakan-rakan setugas ketika itu amat berbeza dan bermakna.
Apa tidaknya, mereka telah melalui zaman penjajahan kuasa asing dan darurat.
Sudah pasti ketika itu apa yang amat bermakna ialah mempunyai negara sendiri dengan erti kata sebenar.
Negara sendiri diperintah oleh rakyat kita sendiri.
Tanggapan
Persoalannya, apakah persepsi kemerdekaan yang hendak digambarkan oleh Yusoff itu sama dengan apa dihayati oleh generasi masa kini terutama pasukan polis selepas merdeka.
Mungkinkah tanggapan pasukan polis sekarang berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh Yusoff serta rakan-rakannya.
Bagi beliau, untuk mencapai kemerdekaan ia adalah sesuatu yang amat perit hingga menumpahkan darah.
Apa tidaknya, ramai kalangan anggota polis sebelum negara mencapai kemerdekaan terpaksa berkorban termasuk nyawa sendiri.
Ketika itu tiada bentuk imbuhan yang dijanjikan kepada pasukan polis.
Tanggungjawab memastikan negara aman dan tenteram ketika itu terpaksa dipikul oleh setiap anggota polis.
Tapi bak kata orang, setiap yang dilakukan itu bukan untuk diri atau generasi ketika itu, sebaliknya ia adalah kesinambungan bagi dinikmati oleh generasi akan datang.
Begitulah keadaannya bagi pasukan polis ketika sebelum merdeka, di mana mereka mempertahankan negara supaya kemerdekaan dapat dicapai akhirnya.
``Jika di peringkat awal lagi polis gagal menangani ancaman komunis atau gagal mewujudkan keamanan untuk rakyat, belum tentu kemerdekaan yang dikecapi kini dapat dicapai seperti yang tercatat dalam sejarah iaitu 31 Ogos 1957,'' katanya yang kini menetap di Melaka Tengah, Melaka.
Menurut Yusoff, ketika beliau menyertai pasukan polis, apa yang difikirkan ketika itu ialah generasi muda dapat menikmati apa jua kemajuan dan pembangunan.
Untuk mencapai kemajuan dan pembangunan, negara perlu aman dan tugas tersebut memerlukan pengorbanan dan sumbangan amat besar daripada pasukan polis.
Katanya, walaupun semua usaha itu bermula daripada pasukan keselamatan termasuk polis, namun mereka tidak meminta supaya dibalas jasa yang telah dicurahkan.
``Memang ketika itu kami berjuang kerana agama, bangsa dan negara.
``Itulah yang dipupuk dalam diri setiap anggota polis.
``Tidak terlintas untuk kami memikirkan imbuhan itu dan ini,'' katanya.
Kini Yusoff menganggap pengorbanan beliau serta rakan-rakan polis sebelum merdeka, sudah mencapai matlamatnya walaupun ramai daripada kalangan mereka tidak dapat mengecapi kemajuan serta pembangunan negara disebabkan mereka terkorban.
Namun, hasil pembangunan dan kemajuan itu terutama soal keamanan dan ketenteraman awam, telah dikecapi oleh anak cucu serta generasi muda.
Yusoff juga mengakui bahawa pembelaan terhadap pasukan polis kini sudah berbeza dan banyak perubahan berlaku pada PDRM.
Selain jumlah anggota yang bertambah, pasukan polis juga dilihat lebih terbela sama ada daripada kemudahan dan sebagainya.
Bagaimanapun kata Yusoff, keadaan itu tidak bermakna pasukan polis masa kini tidak mempunyai cabaran atau boleh berpeluk tubuh.
Jelasnya, cabaran tetap ada tetapi mungkin dalam bentuk yang berbeza.
``Mungkin dulu cabarannya ialah mematahkan kegiatan pengganas komunis tetapi kini cabaran tersebut ialah menangani jenayah termasuk dari kumpulan-kumpulan militan.
``Selagi ada kejadian jenayah atau kumpulan yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman negara, selagi itulah polis mempunyai cabaran amat besar,'' katanya.
Bagi Yusoff, generasi semasa zamannya amat berbeza kerana mereka ketika itu amat memerlukan pembangunan dan perubahan.
``Kekosongan ketika itu ialah mencapai kemerdekaan dan seterusnya mengisi kemerdekaan tersebut.
``Tetapi cabaran generasi masa kini ialah meneruskan kemerdekaan itu dan meletakkannya di tahap yang lebih tinggi dan bermakna.
``Kita juga jangan lupa cabaran lain termasuk menangani masalah dadah yang begitu mencabar hingga melemahkan generasi masa kini,'' katanya.
MM Othman Yusof |
Untuk pasukan polis masa kini, Yusoff berpesan supaya mereka sekali-sekala toleh-tolehlah ke belakang dan menghayati peranan pasukan polis ketika zamannya.
``Janganlah sekali-kali lupa akan pengorbanan pasukan polis sebelum kemerdekaan. Tanpa mereka, tidak mungkin generasi masa kini termasuk pasukan polis sedia ada, dapat menikmati apa jua kemajuan.
``Walaupun ramai anggota polis sebelum kemerdekaan sudah tiada, namun adalah menjadi tanggungjawab pasukan untuk terus membela keluarga mereka,'' katanya mengakhiri perbualan dengan Utusan Malaysia yang menghubungi beliau di Melaka Tengah, Melaka.
``Janganlah sekali-kali lupa akan pengorbanan pasukan polis sebelum kemerdekaan. Tanpa mereka, tidak mungkin generasi masa kini termasuk pasukan polis sedia ada, dapat menikmati apa jua kemajuan.
No comments:
Post a Comment