Tahniah Kosmo!!!
Pengalaman mengutip cebisan tubuh yang dibakar pengganas komunis di Bukit Kepong bersama Dato’ Onn Jaafar menyebabkan ada menitis air mata sehingga kini.
KETIKA kejadian awal pagi Isnin, 23 Februari 1950 itu, dia bernasib baik kerana gilirannya mengawal Rumah Pasung Bukit Kepong baru berakhir. Empat anggota baru Home Guard atau Pengawal Kampung mengambil tugas di keliling balai itu.
Antara mereka ialah anak saudaranya, Samad Yatim yang juga Auxillary Police atau Polis Bantuan. Dinihari itu mereka agak bingit mendengar bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghua berdekatan balai itu.
Tanpa disedari, itulah hari terakhir mereka dapat menyaksikan suasana malam kerana tepat pukul 5 pagi, balai itu diserang hendap. Selepas subuh, dia tidak menyangka kawasan balai tersebut bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.
“Hingga kini, setiap kali melalui kawasan balai itu, saya pasti menangis macam peristiwa itu baru saja berlaku semalam,” kata Abdullah Malik, berusia 118 tahun, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Bendar tidak jauh dari Bukit Kepong, Muar, Johor.
Mengimbau insiden itu, dia ralat mengenangkan kegagalannya menyelamatkan nyawa mereka yang terkorban mempertahankan balai tersebut. Ini kerana balai itu sudah dikepung lebih 200 pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) daripada Kompeni Ke-4.
Malah, sebaik saja mengetahui serangan itu, dia bersama penduduk kampung di bawah Penghulu Ali Mustafa dan pasukan Polis Bantuan sudah bergerak ke balai berkenaan. Mereka lengkap bersenjata raifal tetapi turut diserang komunis.
“Kami berlindung di sebalik pokok getah kerana ditembak pihak komunis. Penghulu lalu mengarah kami bersabar dan ketika itu, ada yang menitis air mata mendengar tangisan ahli keluarga anggota polis meminta tolong,” cerita Abdullah.
Menjelang petang, sebaik pihak komunis berundur, mereka segera ke balai itu. Api masih marak dan cuma beberapa orang terselamat. Balai polis, berek kelamin dan balai penghulu musnah dengan bau mayat terbakar menyelubungi kawasan.
Serangan mengejut itu meragut nyawa Ketua Polis Balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 13 anggota polis, empat orang Pengawal Kampung, tiga anggota Polis Bantuan dan empat ahli keluarga termasuk seorang bayi yang dibakar hidup-hidup.
Pengganas dipercayai menggunakan 25 tin minyak bagi memusnahkan seluruh kompleks balai itu dan membakar mayat anggota polis. Ini menyebabkan kerja pembersihan memakan masa lebih seminggu kerana bahang api masih lagi panas.
“Suasana bertambah sayu apabila Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Jaafar turut datang, beliau menangis melihat mayat rentung dibunuh komunis. Kami pun sedih apatah lagi menemui cebisan mayat dalam bara api di situ,” kata Abdullah.
Sementelahan, hubungan masyarakat di situ dengan pihak polis amat baik. Ramai anak anggota pasukan keselamatan itu dihantar mengaji al-Quran dengan ustaz di kampung tersebut selain bergotong-royong ketika majlis kenduri-kendara.
Menceritakan peristiwa sama ialah Hamidah Idris, 64, yang ketika itu berusia lima tahun. Dia dapat melihat sendiri penduduk mengutip beberapa anggota tubuh manusia untuk dikumpul sebelum dikebumi dalam satu liang lahad besar.
Biarpun masih kecil, insiden itu meninggalkan kesan mendalam kerana orang kampung waktu tersebut hidup ketakutan. Setiap malam, ada rumah penduduk diceroboh pengganas komunis yang menggeledah bagi mencari barang berharga.
“Saya selalu cerita perkara ini kepada lima orang anak bagaimana kesusahan waktu itu. Jika kenang kembali peristiwa tersebut, saya menangis dan tidak dapat membayangkan kesakitan dirasai mereka yang terkorban di balai itu,” katanya.
Berkongsi kisah sama ialah Md. Lazim Ujud, 71, yang pernah menjadi Pengawal Kampung pada usia 16 tahun, dua tahun selepas tragedi itu. Baginya, peristiwa berdarah tersebut membuka mata penduduk kampung mengenai kekejaman komunis.
Meskipun pasukan keselamatan ‘kalah’ dalam pertempuran itu, moral pengganas komunis mulai jatuh dan mereka tidak lagi mendapat sokongan penduduk. Ini dapat dilihat pada majlis tahlil diadakan bersempena dengan kejadian itu setiap tahun.
“Selain pihak polis, penduduk kampung beramai-ramai datang ke Masjid Bukit Kepong memperingati peristiwa itu termasuk menziarahi kubur tempat bersemadi anggota polis dan keluarga serta orang awam yang terkorban,” katanya.
Keadaan ujarnya, menjadi lebih hiba apabila mereka membersihkan dua petak kecil iaitu kubur jenazah bayi lelaki dan seorang budak perempuan yang dicampak hidup-hidup oleh pihak komunis ke dalam api yang marak semasa peristiwa tersebut.
Hakikatnya, walaupun hampir enam dekad tragedi itu berlalu, bagi generasi lama di Bukit Kepong, kezaliman pengganas komunis masih dirasai.
Bukit Kepong kini merupakan sebuah pekan kecil yang dihuni sekitar 1,000 orang penduduk. Ia terletak 60 kilometer dari bandar Muar. Jika anda berhasrat melancong ke sini, hanya ada dua tempat menarik wajib dikunjungi – balai polis dan masjidnya.
Ini mungkin pelik dan lucu namun dua bangunan itu sebenarnya merakamkan sejarah tidak ternilai yang pasti diingati seumur hidup. Ada yang berkata, pekan itu mulai popular sewaktu filem Bukit Kepong ditayangkan sejak tahun 1981.
Pekan itu, yang mengambil masa 20 minit perjalanan dari simpang lebuh raya dekat Pagoh; suatu ketika cuma boleh dilalui dengan sampan. Ia terpencil dan tidak ramai tahu kewujudannya hingga sekitar 1970-an apabila jalan raya dibina.
Tetapi jangan terkejut, sebahagian besar daripada generasi yang lahir sebelum 1980 di pekan tersebut ialah pelakon tambahan dalam filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu. Lokasi penggambaran adalah di sekitar Lenga, lima kilometer dari situ.
Kini, tapak Balai Polis Bukit Kepong yang dibakar ratusan pengganas komunis pada tahun 1950 telah diganti dengan bangunan baru. Ia juga menjadi muzium mini polis bagi menceritakan semula kekejaman PKM sewaktu era darurat.
Bangunan dibina dengan batu selepas serangan itu pernah beberapa kali tenggelam kerana terletak di tebing Sungai Muar. Penduduk mendakwa, cuma bumbung kelihatan apabila sungai besar yang dirujuk mereka sebagai laut itu mulai banjir.
Uniknya, menurut cerita penduduk, balai baru itu aneh. Bahagian depan menghadap ke arah sungai; satu-satunya balai polis di Malaysia dalam posisi itu. Kononnya sewaktu dibina semula, ramai penduduk bersedih, lalu ia dibangun dalam arah lawan.
Di sebelah tapak balai ada sebuah jeti kecil yang suatu ketika ialah jeti polis marin. Di situlah tercatat sejarah Konstabel Marin Abu Bakar Daud terselamat kerana menyelam dengan bernafas melalui batang keladi apabila bot polis dibakar.
Beliau antara empat anggota polis selain sembilan ahli keluarga mereka yang terselamat dalam serangan itu. Jeti tersebut menjadi penghubung utama Bukit Kepong dengan Lenga sebelum jalan raya siap dibangunkan tiga dekad lalu.
Melawat Bukit Kepong tidak lengkap jika tidak singgah di masjid jamek pekan itu yang terletak 100 meter dari tapak balai polis. Di sebelahnya ialah tanah perkuburan Islam yang menempatkan pusara mereka yang terkorban dalam peristiwa itu.
Perhatian pelawat pasti tertumpu kepada dua kubur kecil yang menjadi saksi kekejaman pengganas komunis. Di situlah jenazah seorang bayi lelaki dan kanak-kanak kecil yang mati dibunuh dengan dicampak hidup-hidup ke dalam api yang sedang marak.
Al Fatihah...
1 comment:
Post a Comment