MM Yusof Rono |
Semoga rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang istimewa.. Al- Fatihah..
MELAKA 14 April - `Wira Bukit Kepong', Yusoff Rono, 83, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Melaka pagi ini selepas terlantar di hospital tersebut sejak 20 Mac lepas kerana barah usus.
Allahyarham, satu-satunya anggota polis yang masih hidup selepas tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.30 pagi di sisi isterinya, Zainon Kawi, 68, dan anak-anaknya.
Zainon ketika ditemui di rumahnya berkata, Allahyarham meninggal dunia dengan tenang sebaik sahaja beliau selesai membaca surah Yassin untuk kali kelima pagi ini.
Katanya, beliau tidak menyangka Allahyarham meninggalkan mereka sekeluarga dengan begitu cepat selepas menjalani pembedahan usus pada bulan lepas.
Dalam tragedi Bukit Kepong, 14 anggota polis, empat isteri polis, empat anak anggota polis dan lima anggota polis bantuan terkorban apabila balai polis tersebut terbakar akibat serangan pengganas komunis.
Yusoff bagaimanapun terselamat bersama-sama tiga lagi rakannya iaitu Othman Yusof, Abu Bakar Daud dan Ahmad Khalid.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pengkebumian Yusoff di tanah perkuburan Islam Bukit Jinjing, di sini berkata, beliau akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya Allahyarham dianugerahkan dengan Pingat Gagah Berani.
Menurutnya, anugerah itu sebagai menghargai sumbangan dan khidmat Allahyarham kepada negara ini semasa hayatnya.
``Saya akan bawa perkara ini kepada pihak kerajaan agar Allahyarham dianugerahkan Pingat Gagah Berani, kerajaan memandang tinggi segala jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara,'' katanya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pula berkata, jasa dan bakti perjuangan Allahyarham Yusoff tidak wajar dilupakan sebaliknya ia perlu diabadikan di dalam sebuah buku untuk dijadikan kenangan.
Menurut Mohd. Ali, pelbagai peristiwa, bahan-bahan tinggalan Allahyarham seperti keratan akhbar Utusan Melayu mengenai nasionalis dan pendidikan Melayu serta gambar-gambar keluarganya akan dimuatkan dalam buku tersebut kelak.
``Kita juga akan memikirkan bentuk royalti yang akan diberikan kepada keluarga Allahyarham setelah buku itu dipasarkan, tetapi perkara itu masih belum dibincangkan,'' katanya.
Dalam pada itu, menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Benjamin Hasbi, sepanjang hayatnya, Yusoff banyak memberi nasihat, pandangan dan berkongsi pengalaman dengan pasukan polis.
Katanya, Allahyarham seorang yang sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mengemukakan pendapatnya mengenai langkah-langkah yang boleh diambil dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan dan imej anggota polis.
No comments:
Post a Comment