TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, June 13, 2011

Penternak Felda ternak puyuh

Bela Puyoh? mmm tak pernah cuba... tapi rasa nak cuba.. cuma dahulu cuba bela arnab masa kecik-kecik dan ada jiran yang bela arnab, sampai berkandang-kandang cuma pasaran tak ada. Akhirnya roboh kandang. 

Namun bagi mereka yang mempunyai keyakinan tak salah untuk mencuba dan berusaha. Kesungguhan dan peluang keemasan tidak perlu diabaikan.

Di Felda Kumai ada belia yang berjaya mengusahakan pelbagai keropok Ubi. Kecil-kecilan tapi sudah mampu menghasilkan produk yang setanding dengan pasaran. Pastinya ada cabaran yang tersendiri untuk dihadapi. 

Untuk Puyuh, mungkin petikan ini mampu memberi sedikit gambaran kepada anda.

Penternak Felda ternak puyuh

TERNAKAN burung puyuh di Felda mampu menambahkan lagi pendapatan peneroka terutama ketika proses penanaman kelapa sawit dilakukan.


BEKALAN daging puyuh untuk dijadikan pelbagai hidangan sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna dan pengusaha restoran.
Bagaimanapun, pengeluaran daging puyuh secara besar-besaran di negara ini didapati masih terhad berbanding ternakan lain meskipun sambutannya begitu menggalakkan.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, pihak OZ Biofarm Sdn. Bhd. bersama para peneroka Felda Lepar Hilir di Kuantan, Pahang baru-baru ini mengambil inisiatif memulakan program perintis ternakan puyuh daging secara komersial.
OZ Biofarm yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera di bawah subsidiari OZ Seventy Five Holdings Berhad merupakan pencetus idea kepada projek tersebut.
Melalui pengalaman selama enam tahun menjadi penternak tunggal di Kuantan, Norhan Mohd. Nor, 36, turut terlibat bekerjasama dengan OZ Biofarm untuk meneraju usaha membangunkan industri ternakan puyuh.
Menerusi skim SFVP (Smart Farming Venture Program), projek itu dilihat menampakkan hasil lebih baik dari segi disiplin perniagaan dan pengkhususan penternak sebagai usahawan berdaya maju dan berdaya saing.
“Projek ternakan puyuh daging ini dilihat sebagai salah satu program perintis yang diusahakan bersama peneroka-peneroka Gugusan Felda dalam merintis salah satu Program Sumber Makanan Negara.
“Para peneroka yang terlibat dalam projek ini menggunakan inisiatif modal sendiri sebagai peringkat permulaan dalam pembinaan reban puyuh, makanan, ubat-ubatan dan anak-anak puyuh,” kata Norhan ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai permulaan kepada projek perintis yang tertumpu di Felda, kata Norhan, sebanyak 100,000 ekor puyuh dibekalkan kepada 10 peneroka di Felda Lepar Hilir 1 dan 4 di sini untuk diternak.
“Kita akan menambah bilangan puyuh daging itu secara berperingkat bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Di samping itu, penyertaan peserta dalam kalangan peneroka juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pengeluaran daging puyuh,” katanya.
Tambah Norhan, dari segi teknikal dan penjagaan, peneroka tidak akan menghadapi masalah kerana OZ Biofarm menyediakan khidmat nasihat secara percuma kepada peserta bermula sejak hari pertama ternakan dibela, sehingga tempoh matang 30 hari.
Puyuh dieksport
Seterusnya, beliau berkata, daging-daging puyuh proses ini akan diedar di pasaran tempatan atau eksport ke Singapura, China dan negara Timur Tengah kerana permintaan yang menggalakkan.
“Bekalan puyuh di negara ini amat terhad kerana hanya segelintir pengusaha yang menjalankan ternakan ini.
“Untuk pasaran luar negara seperti Singapura pula, negara jiran itu sebenarnya memerlukan bekalan daging puyuh sehingga tujuh tan seminggu walaupun buat masa ini kita hanya berupaya mengeksport dua tan,” katanya.
Beliau menyatakan sekiranya projek perintis di Felda Lepar Hilir itu berjaya, pihaknya menyasarkan untuk meluaskan program tersebut ke Felda lain di seluruh negara bagi memenuhi permintaan besar itu.
Sementara itu, seorang peserta program, Hawari Bachik, 59, yang juga peneroka Felda Lepar Hilir 1 mengakui projek berkenaan amat berbaloi untuk diusahakan kerana ia tidak begitu sukar.
“Saya memberi lebih tumpuan pada dua minggu pertama sahaja terhadap 5,500 burung puyuh yang diternak ini terutama dari aspek suhu badannya kerana haiwan ini masih tidak memiliki bulu.
“Selepas itu, penjagaannya agak ringkas iaitu saya hanya perlu menjaga pemakanan dan minumannya sebagaimana kaedah yang ditunjukkan oleh wakil syarikat OZ Biofarm,” ujarnya.
Seorang lagi penternak, Sarijan Ali, 59, yang mengusahakan ternakan itu bersama keluarganya berkata, ternakan puyuh didapati berjaya meningkatkan pendapatan mereka dalam tempoh singkat.
“Sebanyak 5,500 ekor anak puyuh dibekalkan kepada saya untuk diternak pada 29 April lalu dan kini sebahagian daripadanya sudah boleh diproses untuk dijual.
“Saya berpuas hati dapat menternak puyuh ini kerana pusingan jualannya cepat dan saya menjangkakan mampu mendapat keuntungan kira-kira RM5,000 daripada jumlah ternakan itu,” katanya.
Sebelum mengecapi hasil lumayan itu, Sarijan memberitahu, beliau terlebih dahulu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan rumah puyuh, ternakan dan makanan.
Dalam pada itu, Wakil Pengurusan Felda Lepar Hilir 1, Tirmizi Ruslan berkata, pihaknya menyambut baik program seperti ini berikutan ia menjana pendapatan peneroka terutama ketika proses penanaman semula kelapa sawit dijalankan.
“Program ternakan puyuh adalah salah satu program Gudang Makanan Negara. Selain menghasilkan makanan kepada negara, ia bertujuan untuk menambah pendapatan para peneroka.
“Sehingga kini program berkenaan membuahkan sesuatu yang positif dan difahamkan ia akan diperluas ke felda-felda lain,” katanya.

(Sila berikan kredit anda kepada penulis kisah ini, saya sekadar memanjangkan dan berkongsi catatan beliau)

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock