TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Monday, June 18, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Kembara Santai ..Denai no 9...

Jika dalam "Kembara Santai" yang pertama mengenai Denai no 6 (disini), untuk yang kedua ini pulak adalah Denai no 9 ataupun tepatnya denai ke Robinson Fall. Catatan mengenai air terjun ini telah saya muatnaik di laman ini dengan mengklik DISINI.

Sebenarnya tiada dalam perancangan kami untuk ke sini tetapi memandangkan kembara santai denai no 6 disingkatkan maka kami memutuskan untuk ke sini. Lagipun jarak dari Kem Perkhemahan Sungai Pauh ke sini hanyalah kurang dari 7 minit berkereta.

Menjengah ke sini kami berselisih dengan beberapa kumpulan pelancong samada tempatan dan luar negara antaranya Singapore, Eropah dan Arab. Saya tidak pasti di mana maklumat yang mereka perolehi untuk datang ke sini. Saya berharap mereka tidak akan mengatakan "Indah Khabar dari Rupa" bila melihat air terjun yang dikatakan amat popular ini.

Pada hemat saya, jika saban hari saya melihat puluhan pelancong khasnya dari luar berjalan kaki dari Bandar Tanah Rata ke sini sejauh lebih 2 km untuk ke air terjun ini malah saya memerhatikan tidak kira waktu atau cuaca baik pagi, tengahari atau lewat petang malah panas ataupun berhujan, tetap mereka ingin ke sini.

Saya pernah dimaklumkan bahawa air terjun ini adalah destinasi yang amat dicadangkan oleh buku "BackPacker Guide' yang menjadi rujukan seluruh dunia tanpa perlu promosi berlebihan secara tempatan. Malah saya memerhatikan ramai pelancong Arab secara berkeluarga berjalan kaki ke air terjun ini dengan memakai jubah dan purdah!!! 

Maka tidak hairanlah setiap kali mereka sampai ke sini, mereka sebolehnya akan mengunjungi air terjun ini biarpun dalam hujan, lewat petang dan tidak tahu selepas mereka menuruni trek ini, mereka perlu mendakinya semula atau akan terpaksa melalui jalan utama dari Habu ke Tanah Rata sejuah 11 km mendaki.

Bayangkan, jika dikawasan tempatan tiada langsung gambar ataupun promosi ke sini melainkan hanyalah di pamplet oleh hotel-hotel atau laman web malah papan tanda arah ke sini pun dipasang oleh Mardi (berwarna hijau) sekitar 3 bulan yang lalu. Kalau tidak ramai pelancong akan berjalan terus ke Kawasan Hospital sebelum berpatah semula.

Sesuatu perlu dilakukan.... oleh itu jika anda pernah ke sini, saya memohon jasa baik anda untuk menghantar satu helai surat cadangan ke pihak berkuasa untuk menaiktaraf kemudahan di Air Terjun Robinson ini.

Berbalik kepada kisah Kembara Santai ke 2 kami ini, keterujaan jelas terbayang kepada ahli xpdc muda kami. Mereka sebolehnya berjalan dengan pantas sementelahan lagi bunyi deburan dan hempasan air melalui batu-batu dan jeram kedengaran dari jauh. 

Cuma agak membimbangkan kami adalah permukaan trek simen yang berwarna hijau dan merah agak berpasir dan mudah untuk tergelincir. Juga amat merbahaya jika dilepaskan tangan mereka kerana tebing trek bersimen ini tidak langsung berpagar dan cerun curam jelas kelihatan.

Terdapat beberapa bahagian trek laluan bersimen ini agak uzur dan senget ke bahagian cerun dan agak sukar untuk berhenti jika anda menuruni bukit dengan laju. 

Terbaiknya jangan datang ke sini jika membawa anak kecil seperti kami ataupun anda sedang mengandung ataupun berusia emas tanpa sebarang bantuan dewasa ataupun selayaknya. 

Jika membawa anak kecil pastikan berpimpin tangan sentiasa khasnya dikawasan yang amat berisiko. Ahli xpdc muda kami amat teruja dan ingin sentiasa ke hadapan baik semasa pergi ataupun mendaki pulang. Yang letihnya adalah kami yang sentiasa mengejar tangan dan menjerit bahaya. Ketika memanjat stamina kami sememanya hampir kalah pula dengan kelajuan mereka.

Jika membawa ibu mengandung, saya tidak sangat mencadangkan ke sini kerana anda perlu menuruni tangga-tangga dan trek simen yang telah rosak. Lebih memeritkan anda perlu mendakinya semula untuk kembali ke kereta anda. 

Bagi warga emas, mungkin tidak terlalu memeritkan tetapi jika diawasi dengan orang muda adalah lebih baik untuk hal-hal kecemasan. Talian telepon masih jelas dan inimungkin sebagai kelebihan untuk mendapatkan bantuan.  

Dari jambatan masuk utama, anda perlu melalui laluan yang agak landai dan mula menuruni dengan tangga batu selepas "Robinson Fall Intake" yang dimiliki oleh TNB. Di sini ramai yang menyangka bahawa mereka telah tiba di Air Terjun Robinson dan berpatah pulang. 

Sebenarnya anda perlu menuruni lagi trek ini sejauh sekitar 300 meter sebelum sampai ke Air Terjun Utama yang tidak boleh anda dekati tetapi sekadar melihatnya dari tebing sungai sahaja. Selebihnya trek ini membawakan anda ke perkampungan Orang Asli atau Stesen Janakuasa Kecil TNB di Jalan Habu.

Airnya tidak sesuai untuk mandi kerana kualiti boleh dipertikaikan dan sampah sarap yang dibawa dari huluan ke sini.


Juga amat merbahaya jika di waktu hujan kerana "kepala air" mungkin tiba dengan begitu deras dan keruh sekali dalam sekelip mata.


Namun tiada tanda amaran keselamatan seperti larangan mandi, 'kepala air' ataupun mengenai pemberitahuan anda telah tiba Air Terjun Robinson dipasang di sini. Jadi jika tiada kajian awal, anda tidak akan tahu dimanakan air terjun ini sebenarnya samada di bahagian intake ataupun di bawah apatah lagi mengenai sejarah dan info mengenainya. Hanya perngistiharan oleh Jabatan Hutan mengenai Risiko Keselamatan yang perlu ditanggung oleh pengunjung di sini selepas intake TNB tadi.

Pendek kata, kunjungan ke Robinson Fall hanyalah sekadar aktiviti berjalan di denainya sahaja tanpa membolehkan mandi manda. Jika anda membaca catatan yang pertama mengenai Air Terjun Robinson, saya ada mencadangkan beberapa perkara untuk menaiktarfkan air terjun ini dan melalui catatan ini saya ingin menambah cadangan seperti :

Pagar Keselamatan / Tebing di pasang di kawasan yang merbahaya jika tidak mahu dipasang secara keseluruhan. Bahaya adalah untuk perlindungan pengunjung kecil supaya tidak tergelincir ke gaung / tebing sungai.

Peta Laluan Mengenai Air Terjun Robinson ini di pasang seawal jalan masuk bagi memastikan pengunjung tahu akan laluan yang perlu ditempuhi seperti jarak dan jenis kesukaran.

Perangkap Sampah di pasang di bahagian atas sungai ini (sekitar tempat mengorek pasir) bagi memastikan tiada sampah berenangan di laluan air dan jeramnya.

Papan Arah air terjuan seperti jarak yang masih perlu dilalui secara berkala di pasang. Ramai yang menyangka mereka telah melihat air terjun ini sebaik sahaja selepas intake malah saya pertama kalinya turut sama menyangka demikian. Mujurlah seoranga kakitangan TNB berbangsa India memaklumkan bahawa air terjunya dibawah sana.

Amaran Keselamatan berkala di pasang seperti laluan licin, tebing tinggi.

Pondok rehat dibina dikawasan yang munasabah. Bukan berehat mendaki dan menuruni laluan ini tetapi juga berlindung dari hujan. Mujur kami sampai awal ke kereta sebelum hujan.
  

Terpulang kepada anda kerana bukanlah saya untuk tidak mempromosikan lokasi ini tetapi bilamana memikirkan keselamatan dan kepuasan saya merasakan tidak lah menjadi lokasi wajib bagi mereka yang mengunjungi Cameron Highlands jika niatnya adalah bersantai semata..

Kami menghabiskan masa sekitar 1 jam untuk pergi melihat air terjun ini dan pulang semula ke kereta. Melihat keriangan anak-anak berjalan cukup menghiburkan kami tetapi untuk pergi semula selepas ini mungkin sesuatu yang perlu difikirkan semula.

Tuesday, December 20, 2011

Felda Kumai: Tradisi beraya di Blok 13...

Bergambar beramai-ramai satu kemestian.. walaupun hanya sebahgian.
Sambil membelek-belek koleksi gambar hari raya puasa yang lalu selepas seorang kawan meminta salinan gambarnya, rupa-rupanya aku baru sedar abahawa aku terlupa untuk berkongsi di sini gambar tradisi masyarakat Felda menyambut hari raya. 

Kalaulah bukannya keseluruhan felda-felda  di seluruh Malaysia mengamalkan tradisi ini kerana aku sendiri pun tak pernah beraya seawal pagi di Felda orang lain, tapi ini lah salah satu amalan di Felda aku yakni Felda Kumai, Triang, Pahang.

Dan jika tidak semua blok di Felda Kumai masih mengamalkan tradisi ini, aku pasti berbangga untuk menyatakan bahawa warga Blok 13 Felda Kumai masih mengamalkan tradisi kunjungan beramai-ramai dari rumah ke rumah malah bertambah meriah saban tahun. 

Nampaknya macam kebiasaan amalan di hari raya tetapi bagi ahli keluarga blok 13 pastinya acara yang amat kami tunggui. Namun setiap tahun bukanlah wajah mereka yang sama dapat menyertai sambutan ini kerana ada yang beraya di rumah mertua pasangan masing-masing mengikut giliran masing-masing malah ada juga yang telah meninggalkan kami dalam tempoh setahun. Al Fatihah.
gabungan kanak-kanak ... 
Sebelum bercerita mengenai tradisi ini, aku kurang sikit untuk menggunakan istilah 'baraan' bagi tradisi ini kerana kami tidak pun mengelarkan sebegitu. Namun tujuan tetap sama dan masih bertemakan sambutan hari raya.  

Dan bercerita sedikit mengenai Felda Kumai, boleh anda sambung pembacaan anda di catatan terdahulu Felda Kumai  manakala blok 13 adalah salah satu blok penempatan peneroka yang terdapat di Felda ini. 
menemui mak cik-makcik yang kepenatan menyiapkan juadah
Blok 13 mempunyai 24 buah keluarga yang berasal dari Kedah , Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor. Kini selepas 32 tahun generasi kedua dan ketiga nampaknya semakin bertambah dan sambutan hari raya pada masa ini lebih terarah kepada sambutan bersama generasi ke 2 dan ke 3 yang pulang  beraya di Kampung halaman. 


Manakala golongan tua sepeti pak cik makcik biarpun masih beraya di sini namun tidak dapat menyertai rombongan kerana keuzuran dan amalan mengungjungi ini juga memberi kesempatan untuk semua menziarah mereka yang uzur. 

Tradisinya amat mudah. Selepas sembahyang raya, akan berlangsungnya kunjung mengunjungi dari rumah ke rumah dan biasanya semua ahli blok dan keluarga akan mula berkumpul di rumah Pak Lang Don yakni rumah pertama blok 13 yang bersempadanan blok 12 dan majlis berhari raya bermula dengan bacaan doa dan kadangkala sedikit ucapan diberikan sebelum menikmati juadah yang disediakan.  
setiap rumah pelbagai versi cerita dan juadah 
Setiap rumah mempunyai juadah tersendiri dari rendang , ketupat dan pelbagai kuih muih hari raya sehinggalah nasi dagang, laksa,, tomyam, nasi minyak dan pelbagai lagi mengikut resipi kelahiran tuan rumah seperti Laksa orang utara, Soto dan Lontong bagi Selatan serta nasi dagang dan minyak bagi orang Timur. 
berkesempatan berjumpa dengan semua generasi 
Selalunya setiap rumah akan mengambil masa 20-30 seminit  bergantung dengan menu yang disediakan dan juga bergantungdengan selera ahli rombongan. Bayangkan jika sudah memasuki rumah yang ke 10 pastinya berat untuk menikmati makanan kerana perut sudah penuh.


Sebaik selesai setia rombongan akan bersalaman, bermaafan dan mengucapkan selamat hari raya  dengan ahli keluarga tuan rumah  dan ianya berulang kali di setiap rumah.  Dan pastinya kanak-kanak akan lebih bergembira setiap kali bersalaman dengan tuan rumah kerana sampul duit raya pasti diberikan. 


Namun terdapat juga rumah-rumah tertentu yang bukan sahaja memberikan duit raya kepada golongan muda malah semua orang-orang tua.
kanak-kanak menantikan sampul duit raya
Orang tua dan muda juga kadang-kala tidak pulang dengan tangan kosong..
Manakala bagi kaum muda, inilah peluang untuk menemui mak cik-mak cik yang bertungkus lumus di dapur dan berkesempatan bersalaman antara satu sama lain dan memohon kemaafan. 


Mereka pulang ke kampung mungkin dalam kekerapan 3-6 kali setahun tetapi bukan semua tempoh itu dapat menjengah dan melawat mak cik-makcik sejiranan dan peluang sebegini pastinya tidak akan dilepaskan.
Bermaafan dengan mak cik-makcik sejiranan...
Ini adalah tradisi mudah , ringkas dan biasa menjadi amalan tetapi bagi blok 13, inilah kebanggan. Kami difahmkan sesetengah blok terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu warga tua dan kaum muda yang berasingan. Tetapi bagi kami bergerak dalam satu rombongan terdiri dari kaum tua, kaum muda dan kanak-kanak amat mengembirakan. 

 Semoga ianya berkekalan... Insyaallah ...

Friday, May 20, 2011

Kasih Ibu sampai ke akhir hayatnya...


Hari ini semasa membaca Kosmo ketika makan malam , aku terkesan dengan kisah seorang ibu yang sedaya upaya menyelamatkan 3 anaknya daripada menjadi mangsa kebakaran dan akhirnya beliau sendiri yang terkorban. Itulah kasih ibu kepada anaknya sehingga ke hujung nyawa.

Bacalah dan marilah kita mensedekahkan Al-Fatihah bagi yang beragama Islam... Alfatihah...

Kasih Rafidah ke hujung nyawa

ALLAHYARHAM Rafidah Ismail, 36, seorang ibu biasa yang terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa. Namun, apa yang berlaku kepadanya bagai manifestasi betapa agung dan agamnya kasih bonda yang bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.
Sebagai ibu, dia bukan sahaja telah mengharungi sengsara sembilan bulan melahirkan zuriat, bahkan dia bergelut dengan api demi mendahulukan kasih sayangnya buat tiga cahaya matanya.
Pada pukul 1.30 petang, Jumaat dua minggu lalu, ketika khutbah berkumandang di mimbar-mimbar masjid, Rafidah dan tiga anaknya, Rashidah Illyana Zamri, 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2 melalui detik cemas apabila rumah jenis teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan terbakar. Punca api dilaporkan bermula dari arah dapur.
Menurut akhbar, Rafidah tidak dapat menemui kunci pintu jeriji besi depan rumahnya mungkin dek kerana panik. Ia menyebabkan empat beranak itu yang berada di ruang tamu terperangkap dalam api yang makin marak.
Api menyambar tubuh
Lantas, Rafidah yang merupakan jururawat di Hospital Kuala Krai kemudian nekad memecahkan cermin tingkap. Dia kemudian memerah sekuat kudrat dengan membengkokkan palang besi tingkap untuk menyelamatkan anak-anaknya terlebih dahulu dengan mengeluarkan mereka menerusi tingkap. Mungkin itu hasratnya kerana jika diukur daripada saiz tubuh Rafidah yang agak besar dengan berat 85 kilogram tidak memungkinkan dia keluar daripada ruang tingkap yang kecil itu.
Bunyi kaca yang pecah telah mengundang tanya di hati jiran sebelah rumahnya, Hasnah Mahmood, 34, seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu bergegas ke rumah Rafidah dan terkejut apabila Rafidah memberitahu rumahnya terbakar.
Hasnah membantu Rafidah menyambut keluar anak-anaknya dari tingkap bermula dengan yang bongsu, anak kedua dan anak sulungnya.
Kala Rafidah mengeluarkan anak sulungnya, Rashidah Illyana, Hasnah sudah pun menyaksikan api menyambar belakang dan kepala Rafidah. Kisah tragis itu berakhir dengan Rafidah membawa naluri kasihnya sehingga ke liang lahad apabila ditemui rentung berdekatan pintu rumahnya oleh bomba setelah kebakaran berjaya dipadamkan.
Suaminya, Zamri Hamat, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah pada masa kejadian kerana bertugas dalam operasi hutan di Grik, Perak. Sebaik sahaja menerima berita itu pada kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, dia bergegas pulang dan tiba di Kuala Krai pada pukul 6 petang.
Zamri ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, nampak tenang namun apa yang tersimpan dalam gejolak rasa lelaki cekal itu tiada siapa yang tahu. Bayangkan, hati suami mana yang tidak luluh apabila kepulangannya ‘disambut’ dengan jasad isteri yang sudah rentung tidak bernyawa.
“Arwah rentung sepenuhnya sehingga identitinya sukar dikenali. Saya tidak sangka ini terjadi kerana ketika saya menghubunginya malam sebelum itu tidak ada apa-apa yang membimbangkan melainkan arwah memberitahu anak yang bongsu demam. Tapi, ini semua ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan. Sudah ditakdirkan Tuhan arwah dijemput ajal apabila tiba masanya, tidak lebih atau kurang sesaat pun. Saya reda,” ujarnya yang berkahwin dengan Rafidah pada tahun 2004.
Zamri berkata, Rafidah seorang ibu yang tegas, namun amat penyayang. Dia juga seorang yang amat mementingkan keselamatan anak-anak dan suka membantu orang lain.
Baru tiga minggu lalu, Rafidah membelikan banyak kain ela untuk dihadiahkan kepada ibu dan pengasuh anaknya selain untuk mereka sekeluarga bagi dibuat baju raya sempena Aidilfitri Ogos nanti.
“Anak-anak saya pun tidak banyak bercakap tentang hal itu mungkin mereka masih terkejut. Apabila saya tanya anak sulung, Rashidah cuma kata nampak api,” katanya.
Jeritan sayu Rafidah
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam pertemuan itu, anak bongsu, Zaim Iqbal banyak menangis dan cuba ditenangkan Zamri. Anak kecil itu seolah-olah dapat merasakan ibu yang selalu didampinginya tiada lagi di sisi. Rashidah dan Zaim Shahrul seperti kanak-kanak biasa yang mungkin masih mentah yang adakalanya berlari ke sana sini. Namun, bila disua untuk bercerita tentang tragedi yang membuatkan mereka kehilangan ibu sekelip mata itu, mereka enggan bersuara.
Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang uzur dan adik Rafidah, Roziah Ismail yang berusia 20-an juga menerima trauma yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang tinggal di taman perumahan yang sama sempat tiba di depan pintu rumah Rafidah, namun tidak berjaya menyelamatkannya.
Jeritan sayu Rafidah yang merupakan anak sulung: “Abah tolong Along!” dan “Ji, tolong Along Ji!” sehingga teriakan itu lenyap mungkin suatu yang sukar diasing daripada ingatan.
Ismail yang menghidap lelah hanya mampu termengah di depan pintu rumah dan terduduk selepas berlari ke situ, manakala Roziah mencuba pelbagai perkara untuk menyelamatkan kakaknya seperti mengetuk pintu jeriji besi dengan batu dan menghubungi pihak bomba.
Jika Ismail dan Roziah sempat tiba ke rumah Rafidah, ibunya, Romlah Mamat, 56, pula jatuh terguling di tengah jalan ketika berlari untuk ke rumah Rafidah sebaik sahaja dimaklumkan jiran berlaku kebakaran itu.
Bergelar jururawat, sifat membantu sebati dalam diri anak sulung enam beradik itu. Menurut Romlah, Rafidah seorang yang gemar menghulurkan bantuan kepada orang lain dan sebagai kakak dan anak yang sulung, dia sanggup berkorban.
“Sebelum ini dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu namun, meminta untuk berpindah ke Hospital Kuala Krai kerana mahu menjaga saya dan suami memandangkan rata-rata adiknya terpaksa tinggal di luar negeri ini atas tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Ramai rakannya datang ziarah tadi dan ada yang memberitahu mak cik, Rafidah orang yang paling ceria di hospital. Lepas ini pasti mereka sunyi,” katanya.
Romlah juga tidak dapat membendung tangis, tatkala mengenangkan keanehan apabila anaknya itu menghadiahkannya kain ela untuk dibuat baju raya lebih awal daripada biasa pada tahun ini.
“Selalunya dalam dua bulan nak raya, tapi kali ini lebih awal. Dia sudahpun beri kain ela itu pada mak cik. Dia juga belikan kain ela untuk pengasuh anaknya yang juga adik mak cik,” katanya.
Seorang ibu saudara Rafidah, Raihaniah Yaakob, 62, menyifatkan ketiadaan Rafidah sebagai kehilangan yang besar bagi dirinya.
“Dialah yang banyak membantu apabila mak cik ke hospital dan menghubungi mak cik bertanya khabar kesihatan. Mak cik ni ada macam-macam penyakit, darah tinggi, kencing manis. Dia memang suka menolong siapa-siapa pun terutamanya orang tua. Dia juga merancang untuk membantu ayah mak cik yang sakit tua menjalani proses pembedahan di bahagian perut Julai ini,” katanya sebak.
Jirannya, Hasnah berkata, menyaksikan api yang sudah menyambar di kepala dan belakang Rafidah merupakan visual yang menerbitkan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kala melihatnya dan melalui detik genting itu. Saya cuba menenangkan Rafidah untuk mencari kunci dan minta dia bertakbir. Namun, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimanakah kalau perkara sebegitu berlaku kepada saya,” katanya yang menyifatkan Rafidah seorang jiran yang peramah.
Hasnah bagaimanapun tidak tahu bagaimana Rafidah membengkokkan palang besi tingkap itu. Menurut keluarga, ia dipercayai dilakukan dengan tangan Rafidah sendiri. Barangkali ada kekuatan yang diberikan Tuhan saat itu seiring kekuatan nalurinya untuk menyelamatkan anak-anaknya.
Takdir Tuhan juga, di saat semua barangan dalam rumah binasa, dua naskhah al-Quran dan lima helai kain ela yang diletak bersebelahan dengan kitab-kitab suci itu tidak dijilat api seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.
Walau apapun hikmahnya yang hanya diketahui Tuhan, namun, sekurang-kurangnya kain ela itulah kenangan dan penyambung kasih sayang Rafidah buat anak-anaknya walaupun dia sudah bersemadi di pusara.

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock