TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Friday, May 20, 2011

Kasih Ibu sampai ke akhir hayatnya...


Hari ini semasa membaca Kosmo ketika makan malam , aku terkesan dengan kisah seorang ibu yang sedaya upaya menyelamatkan 3 anaknya daripada menjadi mangsa kebakaran dan akhirnya beliau sendiri yang terkorban. Itulah kasih ibu kepada anaknya sehingga ke hujung nyawa.

Bacalah dan marilah kita mensedekahkan Al-Fatihah bagi yang beragama Islam... Alfatihah...

Kasih Rafidah ke hujung nyawa

ALLAHYARHAM Rafidah Ismail, 36, seorang ibu biasa yang terkorban ketika mengharungi dugaan luar biasa. Namun, apa yang berlaku kepadanya bagai manifestasi betapa agung dan agamnya kasih bonda yang bergadai nyawa demi anak-anak tercinta.
Sebagai ibu, dia bukan sahaja telah mengharungi sengsara sembilan bulan melahirkan zuriat, bahkan dia bergelut dengan api demi mendahulukan kasih sayangnya buat tiga cahaya matanya.
Pada pukul 1.30 petang, Jumaat dua minggu lalu, ketika khutbah berkumandang di mimbar-mimbar masjid, Rafidah dan tiga anaknya, Rashidah Illyana Zamri, 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2 melalui detik cemas apabila rumah jenis teres yang didiami mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan terbakar. Punca api dilaporkan bermula dari arah dapur.
Menurut akhbar, Rafidah tidak dapat menemui kunci pintu jeriji besi depan rumahnya mungkin dek kerana panik. Ia menyebabkan empat beranak itu yang berada di ruang tamu terperangkap dalam api yang makin marak.
Api menyambar tubuh
Lantas, Rafidah yang merupakan jururawat di Hospital Kuala Krai kemudian nekad memecahkan cermin tingkap. Dia kemudian memerah sekuat kudrat dengan membengkokkan palang besi tingkap untuk menyelamatkan anak-anaknya terlebih dahulu dengan mengeluarkan mereka menerusi tingkap. Mungkin itu hasratnya kerana jika diukur daripada saiz tubuh Rafidah yang agak besar dengan berat 85 kilogram tidak memungkinkan dia keluar daripada ruang tingkap yang kecil itu.
Bunyi kaca yang pecah telah mengundang tanya di hati jiran sebelah rumahnya, Hasnah Mahmood, 34, seorang wanita yang sedang sarat mengandung lalu bergegas ke rumah Rafidah dan terkejut apabila Rafidah memberitahu rumahnya terbakar.
Hasnah membantu Rafidah menyambut keluar anak-anaknya dari tingkap bermula dengan yang bongsu, anak kedua dan anak sulungnya.
Kala Rafidah mengeluarkan anak sulungnya, Rashidah Illyana, Hasnah sudah pun menyaksikan api menyambar belakang dan kepala Rafidah. Kisah tragis itu berakhir dengan Rafidah membawa naluri kasihnya sehingga ke liang lahad apabila ditemui rentung berdekatan pintu rumahnya oleh bomba setelah kebakaran berjaya dipadamkan.
Suaminya, Zamri Hamat, 38, yang merupakan seorang anggota tentera tiada di rumah pada masa kejadian kerana bertugas dalam operasi hutan di Grik, Perak. Sebaik sahaja menerima berita itu pada kira-kira pukul 2 petang hari kejadian, dia bergegas pulang dan tiba di Kuala Krai pada pukul 6 petang.
Zamri ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini, nampak tenang namun apa yang tersimpan dalam gejolak rasa lelaki cekal itu tiada siapa yang tahu. Bayangkan, hati suami mana yang tidak luluh apabila kepulangannya ‘disambut’ dengan jasad isteri yang sudah rentung tidak bernyawa.
“Arwah rentung sepenuhnya sehingga identitinya sukar dikenali. Saya tidak sangka ini terjadi kerana ketika saya menghubunginya malam sebelum itu tidak ada apa-apa yang membimbangkan melainkan arwah memberitahu anak yang bongsu demam. Tapi, ini semua ketentuan Ilahi yang tidak mampu dilawan. Sudah ditakdirkan Tuhan arwah dijemput ajal apabila tiba masanya, tidak lebih atau kurang sesaat pun. Saya reda,” ujarnya yang berkahwin dengan Rafidah pada tahun 2004.
Zamri berkata, Rafidah seorang ibu yang tegas, namun amat penyayang. Dia juga seorang yang amat mementingkan keselamatan anak-anak dan suka membantu orang lain.
Baru tiga minggu lalu, Rafidah membelikan banyak kain ela untuk dihadiahkan kepada ibu dan pengasuh anaknya selain untuk mereka sekeluarga bagi dibuat baju raya sempena Aidilfitri Ogos nanti.
“Anak-anak saya pun tidak banyak bercakap tentang hal itu mungkin mereka masih terkejut. Apabila saya tanya anak sulung, Rashidah cuma kata nampak api,” katanya.
Jeritan sayu Rafidah
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam pertemuan itu, anak bongsu, Zaim Iqbal banyak menangis dan cuba ditenangkan Zamri. Anak kecil itu seolah-olah dapat merasakan ibu yang selalu didampinginya tiada lagi di sisi. Rashidah dan Zaim Shahrul seperti kanak-kanak biasa yang mungkin masih mentah yang adakalanya berlari ke sana sini. Namun, bila disua untuk bercerita tentang tragedi yang membuatkan mereka kehilangan ibu sekelip mata itu, mereka enggan bersuara.
Bapa Rafidah, Ismail Hussin, 63, yang uzur dan adik Rafidah, Roziah Ismail yang berusia 20-an juga menerima trauma yang tidak kurang hebatnya. Mereka yang tinggal di taman perumahan yang sama sempat tiba di depan pintu rumah Rafidah, namun tidak berjaya menyelamatkannya.
Jeritan sayu Rafidah yang merupakan anak sulung: “Abah tolong Along!” dan “Ji, tolong Along Ji!” sehingga teriakan itu lenyap mungkin suatu yang sukar diasing daripada ingatan.
Ismail yang menghidap lelah hanya mampu termengah di depan pintu rumah dan terduduk selepas berlari ke situ, manakala Roziah mencuba pelbagai perkara untuk menyelamatkan kakaknya seperti mengetuk pintu jeriji besi dengan batu dan menghubungi pihak bomba.
Jika Ismail dan Roziah sempat tiba ke rumah Rafidah, ibunya, Romlah Mamat, 56, pula jatuh terguling di tengah jalan ketika berlari untuk ke rumah Rafidah sebaik sahaja dimaklumkan jiran berlaku kebakaran itu.
Bergelar jururawat, sifat membantu sebati dalam diri anak sulung enam beradik itu. Menurut Romlah, Rafidah seorang yang gemar menghulurkan bantuan kepada orang lain dan sebagai kakak dan anak yang sulung, dia sanggup berkorban.
“Sebelum ini dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu namun, meminta untuk berpindah ke Hospital Kuala Krai kerana mahu menjaga saya dan suami memandangkan rata-rata adiknya terpaksa tinggal di luar negeri ini atas tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Ramai rakannya datang ziarah tadi dan ada yang memberitahu mak cik, Rafidah orang yang paling ceria di hospital. Lepas ini pasti mereka sunyi,” katanya.
Romlah juga tidak dapat membendung tangis, tatkala mengenangkan keanehan apabila anaknya itu menghadiahkannya kain ela untuk dibuat baju raya lebih awal daripada biasa pada tahun ini.
“Selalunya dalam dua bulan nak raya, tapi kali ini lebih awal. Dia sudahpun beri kain ela itu pada mak cik. Dia juga belikan kain ela untuk pengasuh anaknya yang juga adik mak cik,” katanya.
Seorang ibu saudara Rafidah, Raihaniah Yaakob, 62, menyifatkan ketiadaan Rafidah sebagai kehilangan yang besar bagi dirinya.
“Dialah yang banyak membantu apabila mak cik ke hospital dan menghubungi mak cik bertanya khabar kesihatan. Mak cik ni ada macam-macam penyakit, darah tinggi, kencing manis. Dia memang suka menolong siapa-siapa pun terutamanya orang tua. Dia juga merancang untuk membantu ayah mak cik yang sakit tua menjalani proses pembedahan di bahagian perut Julai ini,” katanya sebak.
Jirannya, Hasnah berkata, menyaksikan api yang sudah menyambar di kepala dan belakang Rafidah merupakan visual yang menerbitkan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kala melihatnya dan melalui detik genting itu. Saya cuba menenangkan Rafidah untuk mencari kunci dan minta dia bertakbir. Namun, saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimanakah kalau perkara sebegitu berlaku kepada saya,” katanya yang menyifatkan Rafidah seorang jiran yang peramah.
Hasnah bagaimanapun tidak tahu bagaimana Rafidah membengkokkan palang besi tingkap itu. Menurut keluarga, ia dipercayai dilakukan dengan tangan Rafidah sendiri. Barangkali ada kekuatan yang diberikan Tuhan saat itu seiring kekuatan nalurinya untuk menyelamatkan anak-anaknya.
Takdir Tuhan juga, di saat semua barangan dalam rumah binasa, dua naskhah al-Quran dan lima helai kain ela yang diletak bersebelahan dengan kitab-kitab suci itu tidak dijilat api seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.
Walau apapun hikmahnya yang hanya diketahui Tuhan, namun, sekurang-kurangnya kain ela itulah kenangan dan penyambung kasih sayang Rafidah buat anak-anaknya walaupun dia sudah bersemadi di pusara.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock