TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, August 26, 2013

Felda Kumai: Kunjungan di penghujung Ramadhan... Adik Iqram...

Catatan ini telah saya kongsikan lebih awal di feldakumai.com . Harap anda sama-sama membantu sekadar yang mampu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh Adik Iqram sekeluarga.
 
Catatan asal boleh diikuti di SINI  dan gambar yang lain boleh dilihat di fb saya di SINI

Melihat kelibat seorang kanak-kanak berusia 4 tahun berlari dan menyelinap di belakang bapanya ketika kami sampai sudah cukup mengetarkan rasa.



Di sebalik rasa malu ada kekuatan yang dipamerkan oleh anak kecil ini.
Tanpa berbaju, jelas kelihatan akan kesan musibah yang telah dan sedang dihadapinya.
Namun tiada tangisan, keluhan atau juga riak kecewa dipamerkan oleh anak kecil ini.
Tabah. Mungkin itu adalah kata yang sesuai kami gambarkan kepadanya.
Lantas tangan dihulurkan untuk bersalam dan pantas pula anak kecil ini kehadapan dengan yakin menyambut salam dan mencium tangan.
Tatkala tangan kami selesai menjabat pengenalan, anak kecil kami pula yang terpempan dan malu kebelakang apabila melihat rakan seusianya yang masih belum dikenali ini membawa ‘benda asing’ yang melata tumbuh di badan, di tangan dan di telinga.

Terkeluar soalan dari bibir anak sulung kami, kenapa jadi begitu… dan lantas kami mengatakan adik ini sedang sakit dan menderita.
Lantas tangan mereka bersatu menyambut salam perkenalan antara dua anak kecil ini.
Ini adalah sedikit pembukaan kisah kami mengunjungi sahabat lama saya, Hashim Hassan, bapa kepada anak yang menderita ini, Muhammad Iqram, 4 tahun.
Sambil bersalaman dan berpelukan, kami bertanya satu soalan yang janggal…
"Awok kenal ke kawan?” Tanya saya kepada Hashim.
"Payoh nak cam lagi ni, kira kenal aje la". Jawab Hashim.
Janggalnya soalan dan jawapan diatas bukannya sebab kami tidak pernah bertemu malah kami sekampung, sebaya, satu sekolah rendah yang sama, satu sekolah agama yang sama malah satu tadika yang sama.
Hitungan ringkas di laman rumah Hashim menemukan angka 22 tahun sudah lamanya kami tidak berjumpa selepas tamat sekolah darjah 6.
Kami di jemput ke dalam rumahnya yang masih dalam pembinaan dan dibina bersebelahan dengan rumah orang tuanya , Pak Cik Hassan.
Kami tidak sendirian dalam kunjungan ini. Rakan saya Normiza Tajuddin dan Ku Aedah Ku Hashim telah sampai dahulu lebih awal bersama keluarga masing-masing dan ketika ini mereka telah berbual-bual dengan isteri Hashim, Suraya.
Belum sempat kami bersembang panjang sampai pula rakan-rakan yang lain.
Azizi Ibrahim, Hisham Osman, Harith Yussof dan Zabidi Alwi memberi salam.
Kali ini semuanya mengaku “bujang”.
Kami duduk bersila sambil bertanya khabar dan Adik Iqram tidak terkecuali bersalaman seorang demi seorang dengan penuh yakin.
Sambil bersembang, barulah kami mengetahui kisah sebenar yang berlaku.
Jika selama ini pelbagai versi yang kami baca dan dengar, kali ini Hashim mengkisahkan semula kejadian yang telah berlaku.
Pagi kejadian, seperti biasa Suraya membakar sampah di belakang rumah.
Tanpa sedar, Adik Iqram yang selalunya masih tidur telah berjalan tanpa disedari Suraya ke arah longgokan sampah yang dibakar dan bermain dengan percikan api yang akhirnya menyambar baju yang dipakai.
ketulan daging ini sebenarnya agak keras isinya.
Jeritan kesakitan bergema. Suraya yang panik melihat api yang membakar baju anaknya segera membasahkan dengan air paip.
Baju yang terbakar terhakis dengan kulit anaknya telah melecur.
Anaknya Iqram bertambah kuat menangis dan meraung menyebabkan Suraya turut menangis.

Dikendong anak kecilnya sambil menangis serta berlari ke arah rumah jirannya untuk mendapatkan bantuan.
Jiran-jiran yang melihat keadaan Iqram segera membantu. Sisa baju yang terbakar segera digunting dan dibuang. Ada di antara mereka yang turut sama menangis .
Lantas tanpa berlengah, mereka segera mengejarkan Iqram ke Pusat Kesihatan Purun untuk rawatan kecemasan.
Kisah rawatan demi rawatan ini kemudian berlangsung lebih setahun dimana Iqram di rujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Selama lebih 3 bulan Hashim dan Suraya berada di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut anaknya.
Setahun berlalu, mulalah ketulan daging tumbuh.


Kata Hashim bermula di cuping telinga anak sebelum bertambah satu demi satu sehinggalah dengan apa yang dapat kita lihat hari ini malah tiada tanda-tanda akan berhenti.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang menanggungnya. Bukan hanya Adik Iqram tetapi Hashim dan Suraya malah seluruh ahli keluarga turut sama menanggung beban.
Anak kecil ini mungkin tidak dapat menyatakan kesengsaraanya yang dihadapinya tetapi pasti hanya kecekalannya yang mampu menahan setiap rasa sakit, gatal dan sebagainya.
Bagi kita yang melihatnya untuk sama merasai kesakitan mungkin tidak terasa tetapi untuk kita meringankan bebannya boleh kita usaha.
Menurut Hashim, beberapa sessi rawatan menunggu anak mereka. Kami mendoakan semoga rawatan yang diterima kelak dapat membantu dan menyembuhkan derita Adik Iqram ini.
Tanpa sedar bersembang, sudah hampir 1 jam lamanya dan waktu berbuka pula menghampiri kami.
Kami menghulurkan beberapa sumbangan yang telah diterima dan juga sumbangan peribadi masing-masing yang lebih bersifafkan duit raya.
Terima kasih kepada Normiza yang telah mengusahakan Tabung Kutipan oleh Pelajar di Politeknik di Utara (Kepala Batas kalau tak silap saya).
Malah pelajarnya juga membuat poster untuk dikongsikan bersama rakan-rakan dan pembaca yang lain mengenai kesengsaraan yang dihadapi oleh keluarga ini.
Manakala rakan-rakan yang hadir masing-masing memberikan sumbangan duit raya kepada Adik Iqram. Saya pasti jumlahnya pasti berbeza dari duit raya yang biasa.
Malah saya pasti ini bukan penamat kepada bantuannya.
Kami menyeru kepada rakan-rakan pembaca di luar sana samada dari Felda Kumai ataupun tidak untuk turut sama-sama membantu.
Hashim hanyalah bekerja kampung membaiki dan mengambil upah membuat rumah yang tidak menentu.
Dikhabarkan hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat yang membantu memberi elaun bulanan bantuan sebanyak RM 300 untuk Adik Iqram.
Bagi mereka yang masih menangguhkan hajat untuk membantu, kami mohon untuk anda turut sama membantu kali ini. Mungkin sudah lama hajat anda ditangguhkan.


Insyallah, yang berat pasti akan menjadi ringan dan yang susah pasti menjadi mudah jika kita sama-sama membantu.

Kepada Hashim dan Suraya sekeluarga, kami mendoakan ketabahan dan janganlah berputus asa untuk mencari yang terbaik buat Adik Iqram…..
Semoga laluan dimasa hadapan dipermudahkan dan mendapat kelancaran baik dari segi jenis rawatan mahupun juga bantuan kewangan yang diperlukan.
Buat Adik Iqram, pak cik dan mak cik yang hadir ini mungkin tidak dapat menanggung sakit dan gatal ataupun apa juga derita yang adik rasai saban hari tetapi Insyallah doa dan bantuan dari kami akan sentiasa menemani adik.
Selamat menjalani rawatan dan semoga sembuh sedia kala atau bertambah baik..
Yang ingin membantu, kami kongsikan kembali maklumat poster ini untuk memudahkan anda :
TERIMA KASIH kami dahulukan..
Hanya Allah yang dapat membalasnya…

Thursday, August 22, 2013

Peristiwa: Bas terjunam di Genting Highlands ....

Kemalangan bas di Jalan Genting Highlands yang berlaku semalam dikatakan yang terburuk dalam sejarah kemalangan di Malaysia setakat ini. Saya sekadar mengikuti melalui pembacaan dari beberapa sumber di Akhbar Online dan antaranya laporan Utusan Malaysia:
 

GENTING HIGHLANDS - Seramai 37 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban manakala 16 yang lain cedera parah apabila sebuah bas henti-henti terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands di sini semalam.

Kemalangan ngeri yang berlaku pada pukul 2.24 petang itu berlaku ketika bas yang membawa 53 penumpang itu sedang menuruni jalan curam dari stesen di puncak Genting Highlands menuju ke Perhentian Bas Pekeliling di ibu negara.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Saimon Jahid berkata, selepas 14 minit meninggalkan pusat peranginan itu, bas tersebut dipercayai hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

"Kemalangan tersebut berlaku di satu selekoh tajam berhampiran Tokong Chin Swee. Pokok-pokok besar di lereng bukit menahan bas itu daripada tercampak lebih jauh," kata beliau ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.

 

Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan negara itu berlaku kira-kira pukul 2.24 petang ketika bas dipandu Lim Kok Ho, 44, yang turut maut, menuruni puncak Genting Highlands ketika hujan renyai-renyai menuju ke ibu negara.

Selain 37 mangsa yang terkorban, 16 lagi penumpang cedera parah dan mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong.

Malah ada di antara mangsa kemalangan ngeri itu yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan itu terhumban ke dalam gaung. Kebanyakan mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu selepas bas itu terjunam.

37 MAUT, 16 CEDERA
gambar Berita Harian

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Soiman Jahid memberitahu, bas itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni selekoh berhampiran tokong Cina lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Terdapat beberapa mangsa yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter ke dalam gaung ketika bas itu terhumban.

“Sebanyak 53 penumpang dipercayai menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun setakat ini kita belum mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.

“Mangsa pertama yang cedera dibawa keluar pada pukul 3.54 petang manakala mayat terakhir dikeluarkan pada pukul 8.01 malam. Kesemua mayat mangsa dihantar ke HKL manakala 16 mangsa yang cedera dihantar ke HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Identiti kesemua mangsa yang maut belum disahkan namun pecahan mereka ialah seorang lelaki Melayu; 19 lelaki Cina dan sembilan wanita Cina; tiga lelaki India dan seorang wanita India serta keturunan lain tiga lelaki dan seorang wanita.

Menurut Soiman, sebanyak 452 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan perubatan bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dan mangsa kemalangan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor memberitahu, setakat ini belum dikenal pasti sama ada terdapat kanak-kanak yang turut terkorban.

“Pasukan menyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan semua mereka yang tercedera dari lokasi kejadian," katanya.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat tempat kejadian. - UM

Monday, August 19, 2013

Syawal 2013 @ Felda Kumai : dari rumah ke rumah...

Beraya di FELDA menjanjikan suasana yang berlainan dari beraya di lokasi yang lain. Malah di antara sesama felda-felda yang lain juga mungkin berbeza. 

sebahagian kecil rombongan.. lupa nak bergambar ramai-ramai ... 

Oleh kerana saya anak Felda Kumai, maka kisah beraya di Felda Kumai khasnya di blok 13 menjadi intipati catatan kali ini. 

Di blok 13 ini kami mempunyai seperti blok yang lain sekitar 24 buah keluarga. Catatan mengenainya pernah saya kongsikan terdahulu. 

Menjadi satu kebiasaan malah mungkin boleh dianggap tradisi bagi kami dengan berkunjung secara rombongan blok dari rumah ke rumah ataupun ada yang memanggil "baraan".


Istimewanya, kami bergerak dalam satu kumpulan dari kanak-kanak kepada remaja, golongan dewasa hinggalah kepada golongan tua di blok kami ini. Tidak ketinggalan juga keluarga-keluarga kecil yang mengikut di belakang. 

Bermula dengan rumah yang pertama, Pak Lang Don , kami biasanya bertemu untuk memulakan gerakan seterusnya dan seterusnya. 


Syawal yang lalu kami kira-kira sekitar 50-60 orang bergerak dalam rombangan kami ini. Setiap rumah yang dikunjungi biasanya menjamu kuih muih raya dan kadangkala setiap rumah mempunyai menu istimewa yang tidak boleh dilepaskan. 

Maklumlah bukan selalu kami mengunjungi rumah jiran dan bukan setiap kali mengunjungi mereka dihidangkan menu-menu wajib.

Antaranya seperti bihun goreng Mak Aji, nasi minyak Mak Chik Chom, Laksa Mak Cik Kiah, Laksa Maksu, Pecal Wak Kadirin, Tapai Mokku, Nasi Dagang Pok Oak, Lontong Mak Cik Yati dan pelbagai lagi. 


Selain menjamu selera, kami berkesempatan bertemu dengan ahli rombongan yang mungkin sebaya yang telah lama tak bertemu. 

Anak-anak kecil pastinya menanti di saat penghujung kunjungan setiap rumah yang memberi duit raya. 

Penat memang terasa. Perut penuh diisi dengan pelbagai juadah lazat. Bertemu dan bertanya khabar mak cik dan pakcik sejiranan dan sahabat lama menjadi antara lazimnya. 


Kami mengharapkan suasana sebegini akan dapat diteruskan untuk tahun akan datang dan seterusnya. 

Cuma alhamdulillah tahun ini kami tidak kehilangan mana-mana ahli blok seperti tahun yang sudah.

Klik sini untuk koleksi gambar selebihnya. Klik

Syawal 2013 @ Felda Kumai; bermaaf-maaf di pagi raya

Catatan ketiga ini mengenai Syawal lebih bersifat peribadi.

Sekadar berkongsikan bagaimana kami sekeluarga menyambut syawal dan aktivti utama di pagi hari.


Beruntungnya kami, kerana masih mempunyai ayah dan mak untuk sama-sama merayakan hari yang mulia ini. 

Walaupun kesihatan mereka tidak begitu sesegar dahulu tetapi saya dapat melihat mereka mengagahkan diri untuk membuat persiapan diri. 

Mak dikhabarkan deman sebelum beberapa hari menjelang Syawal. Mengigil-gigil kata adik. Manakala ayah seperti biasa, sejak dari awal tahun agak semput sedikit.

Cuma mungkin kerana nikmat bersama apabila melihat anak cucu pulang mereka segar bugar walaupun riak kelihatan disembunyikan. 

Seperti biasa di pagi raya kami akan ke masjid untuk bersolat sunat Aidilfitri. Sesetengah keluarga mungkin bermaaf-maafan di awal pagi sebelum ke masjid tetapi kami lebih kepada selepas pulang ke masjid. 


Ini kerana masa yang lebih panjang untuk bersama dan melakukan aktivti tambahan sebelum menyertai rombongan blok dari rumah ke rumah. 


Bermaaf-maafan, memohon restu, bersalaman dan bergambar bersama-sama adalah aktiviti kami ketika itu sebelum menjamah sedikit makanan.

Tidak lupa pastinya anak-anak saudara yang menantikan bapa dan ibu saudara menghulurkan sampul duit raya selepas bersalaman. 


Istimewanya hari syawal ini, kami meraikan 4 orang ahli keluarga yang menyambut hari lahir dalam bulan Ogos dan lebih Istimewanya adalah tanggal 7 Ogos iaitu sehari sebelumnya adalah hari ulang tahun ke 68 tahun ayah kami. 


Apapun detik-detik kegembiraan seperti ini menjadi detik yang dinanti setiap tahun kepada ahli keluarga kami. 

Namun bukan setiap tahun dapat meraikan kerana ada yang mengikuti gilirian beraya di rumah keluarga sebelah sana. 

Apapun .. ALHAMDULILLAH .. 

SALAM LEBARAN saya bagi pihak mrkumai.blospot.com ucapkan kepada semua yang membaca blog saya ini... mohon maaf jika ada kesalahan fakta dan bahasa yang mungkin tidak sesuai dengan anda sepanjang saya menulis dan berkongsi catatan di laman ini... 

gambar saya sekeluarga di pagi syawal dikongsikan di SINI. 

Syawal 2013 @ Felda Kumai: Di Ambang Syawal

Bila bercerita mengenai hari raya, adalah tidak akan terlepas jika tidak menceritakan suasana menyambut ambang syawal atau lebih disebut malam raya. 


Terkenang ketika kecil, suasana menyambut malam raya tidaklah semeriah dan segempita hari ini. 

Dahulu kami menyambutnya dengan ala kadar tetapi telah bermula seawal pertengahan malam bualan lagi. 

Lampu-lampu pelita dipasang disekeliling rumah. Bukan satu pelita tetapi puluhan pelita digantung dan diletakan di keliling rumah. 

Bila dah bercerita mengenai pelita ini, dahulu semasa saya masih bersekolah rendah, kami mula mengumpulkan tin-tin susu pekat seawal sebelum ramadhan. 

Dengan sumbunya kami menggunakan lapisan zink di dalam tin milo atau susu yang digulung dan dimasukan kedalam tin susu. 

Sumbu pelita ketika itu adalah pintalan kain buruk yang digentel sepadatnya. 

Minyak kerosin ataupun lebih dikenali dengan minyak gas mudah dibeli di serata kedai di sekitar felda. 

Tidak ketinggalan juga ada yang membuat pelita buluh yang lebih panjang dan dibuat sumbunya diatas buluh tersebut. 

Suasana sebegini amat menarik kerana ketika itu felda saya ini masih tidak dibekalkan lampu elektrik dan sekitar malamnya agak gelap tanpa lampu jalan. 

Jadi dengan lampu ini lah kami bermain dan berkumpul bersama rakan-rakan bermain mercun.

Apapun kemeriahan sebegini tidak lagi dilihat. Kini pelita dibeli siap dari kedai dan terus dipasang di waktu malam. 

Juga tidak kurang hebatnya dengan ada rumah memasang lampu klip-klip namanya yang popular di bahagian anjung rumah. 


Di waktu malam kini terutamanya ketika malam raya bertukar wajah. 

Kalau dahulu bermain bunga api amat terhad kerana hanya mendapat bekalan bunga api yang biasa sahaja. Namun kreativiti kami menjangkau imiginasi. 

Pelbagai rekaan dibentuk untuk menvariasikan lagi bunga api kami dari sekadar apa yang dibeli di kedai. 

Yang masih saya ingat antaranya adalah dengan menggunakan muncung tiub  tayar basikal yang diisi dengan patahan bunga api dan dipasang dengan paku. 

Muncung tiub ini pasanga kayu panjang dan kami mengetuknya.

Hasil ketukan paku yang memampatkan bunga api menghasilkan letupan kecil.

Selain itu diwaktu petang dan malam, kami bermain meriam karbaid.

Bekalan karbaid mudah didapati kerana masih ada rumah yang menggunakan sumber ini sebagai pelita di waktu malam. 

Meriam karbaid ini terdapat dua jenis iaitu tanah dan buluh. Selalunya jenis tanah lebih mudah dibuat dengan mencantunkan beberapa tin milo dan susu yang telah ditebuk di kedua-dua bahagian hujungnya sebelum di tanam di dalam tanah. 

Juga masih teringat kerana terlebih inovasi , batang paip yang dahulunya dibina untuk membekalkan air secara berkelompok di tepi jalan juga digunakan. 

Selalunya kami berlawan antara blok bunyi kekuatannya. Kalau di blok ini berdentum , maka akan dibalas dengan dentuman dari blok yang lain pula dan bersahutan dengan bebrapa lokasi yang lain. 

Meriam karbaid ini dimainkan pada waktu petang dan selepas berbuka dan selalunya tidak lah sampai ke tengah malam kerana pasti akan dikejar jiran yang terganggu dengan bunyi dentuman tersebut.

Kini suasananya berubah. Kebanjiran anak-anak rantau yang pulang ke kampung bukan sekadar membawa buah tangan untuk mak dan ayah tetapi juga bekalan bunga api dan mercun yang pelbagai. 

Maka suasananya akan amat meriah dengan percikan bunga api yang bertali arus dan bunyi dentuman mercun bola,kipas dan pelbagai lagi. 

Bagi kanak-kanak, bunga api bukan lagi dari jenis yang bias berwarna merah atau bertangkai besi tetapi dengan pelbagai versinya. 

Ini semuanya menjadikan sambutan di felda amat meriah dari satu sudutnya. Adik beradik berkumpul di laman rumah berserta jiran tetangga. 

Namun di sudut yang lain mungkin ada pembaziran namun terpulang kepada anda. 

Anak-anak kecil dibawah pengawasan orang tua riang bermain bunga api. 

Malah suasana ini tidak terhenti di situ sahaja.  

Di dapur kaum ibu dan wanita pastinya tidak menang tangan menyiapkan juadah untuk hari esoknya.

Ada juga keluarga yang mengadakan BBQ untuk mengisi masa dan aktiviti bersama seperti kami sekeluarga yang telah menjadi tradisi sejak sepuluh tahun yang lalu. Juga kerana ramai yang menjadi sponsor. 

Apapun ragam dan acara yang anda lakukan ketika ambang Syawal di Malam Raya sebegini pastinya bermatlamatkan satu perkara iaitu "Bersama keluarga" selepas lama tidak berkumpul ramai-ramai begini... 

Untuk koleksi gambar saya dan keluarga di ambang Syawal, anda boleh lihat di SINI.. 

Ingat.. lain padang lain belalangnya... 

Sunday, August 18, 2013

Syawal 2013 @ Felda Kumai ; Lemang oh Lemang ...

Catatan ini dan yang berikutnya adalah berkisahkan sambutan hari raya yang baharu sahaja kita sambut.

Kisahnya berlatarkan kepada sambutan di Felda saya, Felda Kumai dan mungkin lebih tepat saya kecilkan skopnya kepada sekitar kejiranan saya serta keluarga saya sendiri. 

Namun niat untuk berkongsikan kisah-kisah ini bukan untuk membandingkan antara suasa yang berlaku di tempat lain kerana resmi lain padang, lain belalang tepat sekali untuk digunakan.

Sambutan di tempat anda mungkin mempunyai cara yang tersendiri baik dari segi budaya, adat dan juga kelangsungan serta kelaziman yang dilakukan. 

Yang pasti, kisah-kisah yang sebegini kalau dikumpulkan menarik untuk dibaca dan dikongsikan. 

Dalam catatan ini, saya cuba membawa amalan yang masih dilakukan serta jika dapat saya kongsikan pula sedikit kenangan di zaman terdahulu yang saya lalui sendiri 

Jom kita perkisahkan ... sambutan Syawal kita... 


Catatan yang pertama ini saya ingin berkongsikan pengalaman kami sekeluarga membuat dan membakar lemang. Nampak dan kedengaran seperti kelaziman sambutan di serata Malaysia jika membuat lemang. 

Lemang bukan lah menu wajib dan rutin bagi keluarga saya. Kami membuat lemang dalam tempoh agak lama juga jaraknya. Kalau tak silap saya sekitar 2010 yang lalu sebagai yang terakhir. 

Kali ini membuat lemang dipilih kerana ramai yang telah balik awal dan tenaga buruh percuma yang ramai. 

Buluhnya pula dicari di sekitar felda yang terhad. Memang terhad kerana kehabisan buluh lemang yang muda. Mahu atau tidak, terpaksalah dicantas buluh lemang tua. 

Perbezaan buluh lemang muda dan tua adalah ketebalan buluh itu sendiri. Yang muda biasanya lebih nipis dan rapuh manakala yang tua agak tebal dan keras. 

Kelebihan buluh lemang mudah ianya cepat dimasak berbanding yang tua.

Seperti biasa, Mak adalah Chef Utama kami. Bermula awal pagi adik memerah santan bersama mak untuk mendapatkan patinya. 

Beras pulut yang telah dibasuh dan dikeringkan dimasukan ke dalam buluh beralaskan daun pisang. 

Untuk memasukkan daun pisang memerlukan sedikit skill dan untuk memasukan beras pulutnya pula memerlukan beras yang tidak basah dan melekat. 

Santan ditambah oleh ayah dan mak secukupnya. 

Manakala di sebelah rumah, adik lelaki telah memulakan persiapan dapur lemang lebih awal untuk mendapatkan bara yang cukup. 

Jika dibakar dengan api, kemungkinan lemang akan mudah hangit dan keras isinya kerana masak tak sekata.

Bab membakar lemang agak lama sekitar 3-4 jam dan memerlukan sentiasa diputarkan bahagian batang lemang untuk memberikan keserataan masak dan kadangkala menambah santan yang telah kering perlu dilakukan.

Seperti biasa, semangat awal membawa kami beramai-ramai membakarnya tetapi selepas sejam pertama, hanya tinggal seorang sebelum bergilir-gilir membalikan batang lemang. 

Seronok membakar lemang walapun panas. 

Saya mengimbau sedikit pengalaman terdahulu membakar lemang. Kalau tak silap saya hanya sekitar tahun 1990an sahaja kami mula membakar lemang baik di rumah jiran ataupun sendiri.

Saya masih ingat ketika hari raya haji, kami membakar lemang di rumah Pak Ngah Lan iaitu jiran dihadapan rumah saya dan ketika itu terpaksa menjemput isteri Pak Cik Illias Merah, (wakil Pos) untuk mengajar kami. Maklumlah, kali pertama dan bukannya selalu kami sejiranan membakar lemang. 

Itu juga adalah pengalaman pertama saya membakar lemang iaitu tahun 1993 kalau tak silap saya. Juga bersama kami adalah Cikgu Nazri yang turut sama membakar lemang. 

Cikgu Nazri kalau diikutkan orangnya berasal dari PERAK tetapi tidak pulang beraya seperti kelazimannya dan selalunya beliau akan bersama blok kami untuk menyambut hari raya termasuklah ketika nak kahwin ..kih kih .. 


Maka pengalaman sebegini amat melekat dalam fikiran saya. Di rumah saya sendiri kalau tak silap sekitar tahun 1997 baharulah kali pertama kami membakar lemang. Ini kerana adik dan ayah ketika itu berkerja di Felda Terapai yang sememangnya banyak bekalan buluh lemang.

Di kawasan kejiranan saya, kalau dahulu orang Pahang selalunya akan membakar lemang berbanding orang negeri lain. Ketupat pulut berbungkuskan daun palas menjadi pilihan utama kerana kawasan hutan hanyalah dibahagian belakang rumah dan mudah di masak.

Apapun dah kerana tahun ini kami membakar lemang, maka saya kongsikan catatan mengenai lemang sebagai permulaan.... gambar kami sekeluarga membakar lemang selebihnya boleh anda lihat di FB saya di SINI.

Friday, August 16, 2013

Politik: Surat Tun Dr. Mahathir kepada Tunku Abd Rahman... 1969...

Saya berbangsa MELAYU.. dan pastinya beragama Islam. Jika anda tidak selesa dengan status saya dikala mencari tips ke Cameron Highlands ini saya tidak dapat membantu melainkan mencadangkan kepada anda mencari tips di laman yang lain kerana saya tetap akan mengakuinya.
 
Jika anda masih membaca catatan ini, apa yang saya nak kongsikan adalah mengenai keadaan sekarang yang mendukacitkan saya mengenai bangsa saya.
 
Jika anda berhajat untuk meneruskan bacaan petikan dibawah ini, saya mengucapkan terima kasih.
 
Ini adalah catatan yang berlabelkan politik.
 
************************************************************************************************

Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17hb. Jun 1969

Y.T.M. Tunku,

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.


Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja.

Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China.


Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi.


Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari.

Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu.

Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka.


Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku.

Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku.

Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber.

Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha.

Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku.


Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri.

Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces".

Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.


Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah.

Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu.

Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu.

Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?


Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.

Patek Yang Ikhlas,

(Dr. Mahather bin Muhammad).


********************************************************************************************


Dah membacanya.Terima kasih. Apa pendapat anda ?

Aik? intipati surat ini anda letak ketepi tetapi anda kata saya rasis dan tidak menghormati perasaan bangsa Cina?

Tak apalah saya RASIS dan dikatakan tidak menghormati bangsa Cina kerana anda bukannya juga tidak rasis dan anda juga bukannya nak hormati bangsa saya pun...

Yang sebangsa  dengan saya kata saya memalukan mereka? tak pa la.... saya ikut resam Tun, dah salah kena tegur walapun kena hina... pahit ...

Saturday, August 3, 2013

Tips Melancong di Cameron Highlands : Kawasan perniagaan ....

Selepas PRU baharu ini, terdapat khabar angin yang mengatakan kawasan perniagaan sedia ada di Cameron Highlands akan dirombak dan dipusatkan di satu tempat.
 
Saya tak pasti keberkesanannya namun jika mampu mengurangkan kesesakan jalan raya akibat kawasan simpanan jalan digunakan untuk berniaga, saya menyokong.
 
 
Tapi yang tak pasti, adakah peniaga akan menyokong? Saya kira akan berlaku penentangan keras oleh peniaga dan DAP sebagai ADUN yang dipilih pasti akan merajai isu ini.
 
Pendek kata.. jangan sentuh kawasan perniagaan kami!!!
 
KUALA LIPIS - Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menyusun semula pusat perniagaan di Cameron Highlands agar lebih teratur, kata Anggota Parlimennya Datuk Seri G. Palanivel.

"Kerajaan akan menyediakan gerai yang moden dan serba lengkap supaya para peniaga mendapat tempat perniagaan yang lebih selesa.

"Selain itu kita akan turut menyediakan tandas, kawasan letak kenderaan dan lain lain kemudahan pelancong dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelai Datuk Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Kuala Koyan, di sini.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata sebanyak 600 gerai baharu akan dibina di kawasan tanah tinggi itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga telah membina sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di pekan Brinchang bagi merancakkan lagi sektor pertanian di Cameron Highlands. - Bernama

Friday, August 2, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands : Lavendar Garden

Antara tarikan baharu yang dibuka di Cameron Highlands adalah Lavendar Garden di antara Pekan Kuala Terla dan Tringkap. 


Jika anda datang melalui Simpang Pulai, Ipoh, Perak  atau Lojing, Gua Musang, Kelantan anda akan menempuh pekan-pekan kecil seperti Kg Raja, Kuala Terla dan Tringkap. 

Yang menambah destinasi untuk anda berhenti selain Tea Centre di Kuala Terla adalah Lavendar Garden yang baharu dibuka awal tahun ini. 

Namun baharu minggu lepas saya sempat untuk ke sana bersama keluarga dan menulis catatan ini untuk dikongsikan bersama anda pula. 

Walaupun selalu melaluinya, saya mengamalkan menangguhkan kunjungan selepas pembukaan yang pada hemat saya mungkin masih banyak kekurangan. 

Terletak di jalan utama dan tepi jalan sahaja dan anda mungkin mudah menemuinya dengan seni bina pancuran air yang unik dan besar. 

Lavendar Garden ini dimiliki oleh orang persendirian maka belanja modal untuk membinanya jugak agak besar. 

Tiket dikenakan bagi anda yang ingin masuk. 

RM 5 untuk dewasa dan kanak-kanak saya tak pasti sebab anak saya percuma. 

Memasuki kawasan utamanya pastinya susunan bunga berwarna purple, kuning merah menjadi tarikan malah saya percaya dari tepi jalan anda akan teruja untuk ke sini dengan melihat hamparan bunga-bunga ini.


Terdapat kereta lama yang menjadi ikon untuk bergambar serta deretan rumah burung kalau tak silap saya. 

Selebihnya laluan untuk ke bahagian atas yang diletakan sarang kelulit yang masih baharu. Mungkin menunggu sedikit masa untuk melihat kelulit berterbangan dan melihat hasilnya nanti.

Terdapat kafe makanan ringan dibahagian atas dengan kawasan anjung pemandangan kebun-kebun sayur dibahagian lembah hadapan. Namun ketika kunjungan kami, semasa bulan puasa.

Di atasnya terdapat sebuah rumah berkonsepkan ala Enggeris namun tidak boleh dimasuki kerana menjadi pejabat bagi pemilik taman ini. 

Deretan hamparan bunga dahlia kalau tak silap saya menanti anda disebelahnya. Di sini ditawarkan konsep tuai sendiri dengan harga RM 2 bagi setiap kuntuman bunga dahlia atau daisy ini. Sesuai diberikan kepada kaum ibu. 

Manakala di hujungnya terdapat tanaman strawberry. Untuk membeli buahnya, ianya dijual di bahagian kafe di awal bahagian ini.


Turun semula akan melalui arked kedai cenderamata mereka sebelum keluar. 

Terdapat kawasan permaianan ala funfair untuk dicuba, Lavendar Kafe, jus-jus minuman berbotol, baju, madu dan makanan ringan untuk anda membeli belah jika berminat. 

Bagi kami yang biasa melihat bunga-bungaan ini, biasa-biasa sahaja. Namun bagi anda saya rasa anda akan teruja untuk mengunjunginya.

Untuk koleksi gambar kami, klik ke FB mrkumai di SINI .. jadilah rakan FB mrkumai untuk update yang lain.. 

Tips Melawat Cameron Highlands : Melancong di musim perayaan ....

Saya mendapat satu pesanan dan pertanyaan mengenai suasana berhari raya di Cameron Highlands dan apakah sesuai bercuti di musim perayaan sebegini...

Untuk jawapan mengenai suasana berhari raya di sini, secara jujur.. saya tiada pengalaman beraya di sini.. sebab sepanjang 7 tahun di sini, saya dan isteri dan anak-anak akan pulang berhari raya di kampung halaman saya samada di Felda Kumai mahupun di Melaka. 


Untuk jawapan bercuti di musim perayaan di sini, saya ada bertanyakan kepada rakan-rakan.

Antara jawapan mereka:

1. Jika berniat untuk menyewa apartment percutian, sila lakukan segera kerana biasanya tidak semua pemilik apartment ada di Cameron Highlands pada hari raya pertama sehingga ketiga. Jadi jumlah apartment akan berkurangan kerana mereka juga pulang beraya. Harga apartment akan sedikit naik. 

2. Jika berniat untuk menyewa hotel, sila lakukan segera sebelum naik ke sini kerana hotel mudah penuh kerana apartment percutian kurang dan ramai penyewa hotel biasanya berbangsa Cina dan India yang juga akan bercuti panjang. Harga Hotel akan ditarifkan sebagai Harga Puncak. 

3. Jika berniat makan-makan di sini, juga pastikan anda mencari kedai kerana kedai milik orang Melayu juga akan ditutup sehari dua semasa awal syawal. Jika tidak KFC dan Marrybrown akan menanti anda ...

4. Jika berjalan-jalan ke kawasan tumpuan pelancong selalunya tidak ada masalah kerana didominasikan oleh bangsa lain terutamanya di Kea Farm dan sekitarnya yang majoritinya adalah peniaga Cina. 

5. Pasar malam akan dibuka seperti biasa cuma peniaga melayu mungkin sedikit kurang sehingga malam raya kedua.

6.  Jalan akan lengang pada hari raya pertama tetapi mulai hari raya kedua, sudah ramai yang akan naik ke sini. 

7. Kalau mengikut pengalaman, raya pertama tahun ini akan kurang pelancong tetapi akan meningkat di hari kedua dan seterusnya kerana cuti yang panjang kali ini. Jangan buat perancangan minit akhir untuk mencari penginapan. 

8. Keselamatan saya raya tidak menjadi masalah kerana Polis bertugas seperti biasa. Hanya 10% yang diberikan cuti.

Selamat melancong... saya nak bercuti raya.. SELAMAT HARI RAYA..

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock