TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, August 19, 2013

Syawal 2013 @ Felda Kumai : dari rumah ke rumah...

Beraya di FELDA menjanjikan suasana yang berlainan dari beraya di lokasi yang lain. Malah di antara sesama felda-felda yang lain juga mungkin berbeza. 

sebahagian kecil rombongan.. lupa nak bergambar ramai-ramai ... 

Oleh kerana saya anak Felda Kumai, maka kisah beraya di Felda Kumai khasnya di blok 13 menjadi intipati catatan kali ini. 

Di blok 13 ini kami mempunyai seperti blok yang lain sekitar 24 buah keluarga. Catatan mengenainya pernah saya kongsikan terdahulu. 

Menjadi satu kebiasaan malah mungkin boleh dianggap tradisi bagi kami dengan berkunjung secara rombongan blok dari rumah ke rumah ataupun ada yang memanggil "baraan".


Istimewanya, kami bergerak dalam satu kumpulan dari kanak-kanak kepada remaja, golongan dewasa hinggalah kepada golongan tua di blok kami ini. Tidak ketinggalan juga keluarga-keluarga kecil yang mengikut di belakang. 

Bermula dengan rumah yang pertama, Pak Lang Don , kami biasanya bertemu untuk memulakan gerakan seterusnya dan seterusnya. 


Syawal yang lalu kami kira-kira sekitar 50-60 orang bergerak dalam rombangan kami ini. Setiap rumah yang dikunjungi biasanya menjamu kuih muih raya dan kadangkala setiap rumah mempunyai menu istimewa yang tidak boleh dilepaskan. 

Maklumlah bukan selalu kami mengunjungi rumah jiran dan bukan setiap kali mengunjungi mereka dihidangkan menu-menu wajib.

Antaranya seperti bihun goreng Mak Aji, nasi minyak Mak Chik Chom, Laksa Mak Cik Kiah, Laksa Maksu, Pecal Wak Kadirin, Tapai Mokku, Nasi Dagang Pok Oak, Lontong Mak Cik Yati dan pelbagai lagi. 


Selain menjamu selera, kami berkesempatan bertemu dengan ahli rombongan yang mungkin sebaya yang telah lama tak bertemu. 

Anak-anak kecil pastinya menanti di saat penghujung kunjungan setiap rumah yang memberi duit raya. 

Penat memang terasa. Perut penuh diisi dengan pelbagai juadah lazat. Bertemu dan bertanya khabar mak cik dan pakcik sejiranan dan sahabat lama menjadi antara lazimnya. 


Kami mengharapkan suasana sebegini akan dapat diteruskan untuk tahun akan datang dan seterusnya. 

Cuma alhamdulillah tahun ini kami tidak kehilangan mana-mana ahli blok seperti tahun yang sudah.

Klik sini untuk koleksi gambar selebihnya. Klik

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock