Kemalangan bas di Jalan Genting Highlands yang berlaku semalam dikatakan yang terburuk dalam sejarah kemalangan di Malaysia setakat ini. Saya sekadar mengikuti melalui pembacaan dari beberapa sumber di Akhbar Online dan antaranya laporan Utusan Malaysia:
GENTING HIGHLANDS - Seramai 37 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban manakala 16 yang lain cedera parah apabila sebuah bas henti-henti terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands di sini semalam.
Kemalangan ngeri yang berlaku pada pukul 2.24 petang itu berlaku ketika bas yang membawa 53 penumpang itu sedang menuruni jalan curam dari stesen di puncak Genting Highlands menuju ke Perhentian Bas Pekeliling di ibu negara.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Saimon Jahid berkata, selepas 14 minit meninggalkan pusat peranginan itu, bas tersebut dipercayai hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
"Kemalangan tersebut berlaku di satu selekoh tajam berhampiran Tokong Chin Swee. Pokok-pokok besar di lereng bukit menahan bas itu daripada tercampak lebih jauh," kata beliau ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam.
Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan negara itu berlaku kira-kira pukul 2.24 petang ketika bas dipandu Lim Kok Ho, 44, yang turut maut, menuruni puncak Genting Highlands ketika hujan renyai-renyai menuju ke ibu negara.
Selain 37 mangsa yang terkorban, 16 lagi penumpang cedera parah dan mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong.
Malah ada di antara mangsa kemalangan ngeri itu yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan itu terhumban ke dalam gaung. Kebanyakan mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu selepas bas itu terjunam.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Soiman Jahid memberitahu, bas itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni selekoh berhampiran tokong Cina lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
“Terdapat beberapa mangsa yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter ke dalam gaung ketika bas itu terhumban.
“Sebanyak 53 penumpang dipercayai menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun setakat ini kita belum mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.
“Mangsa pertama yang cedera dibawa keluar pada pukul 3.54 petang manakala mayat terakhir dikeluarkan pada pukul 8.01 malam. Kesemua mayat mangsa dihantar ke HKL manakala 16 mangsa yang cedera dihantar ke HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Identiti kesemua mangsa yang maut belum disahkan namun pecahan mereka ialah seorang lelaki Melayu; 19 lelaki Cina dan sembilan wanita Cina; tiga lelaki India dan seorang wanita India serta keturunan lain tiga lelaki dan seorang wanita.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor memberitahu, setakat ini belum dikenal pasti sama ada terdapat kanak-kanak yang turut terkorban.
“Pasukan menyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan semua mereka yang tercedera dari lokasi kejadian," katanya.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat tempat kejadian. - UM
No comments:
Post a Comment