Kisah yang dipetik dari Kosmo hari ini juga mempunyai jalur cerita yang hampir sama iaitu kekejaman Komunis dalam memperjuangkan ideologi mereka. Bezanya, jika di Bukit Kepong, teraju mereka adalah Mat Indera tetapi di dalam kejadian serangan ini tidak pula dikenalpasti untuk diangkat sebagai wira dan dikalungkan pingat perjuang kemerdekaan.
Kejadian pada malam 23 March 1953 ini menjadi sebahagian fakta tarikh dan sejarah bahawa Anggota Polis yang bertugas di Rumah Pasung Bukit Yong, Pasir Puteh ini adalah mereka yang dikategorikan sebagai 'tali barut' atau 'Polis British' atau 'Pencacai Penjajah' ataupun 'halal untuk diperangi dan dibunuh' kerana ketika ini kerajaannya adalah British mengikut taksiran sejarah dan istilah bagi golongan yang menyokong pendapat seekor 'Babi Politik' iaitu Mat Sabu bagi Bukit Kepong.
Ada rakan-rakan dari parti PAS yang berpendapat aku adalah golongan BN ataupun lebih diperincikan sebagai UMNO kerana tidak menyokong dan mengangkat apa juga falsafah perjuangan parti mereka itu, malangnya realitinya tidak pernah sama sekali aku mengangotai parti ini malah kerap kali menolak ajakan dan pelawaan rakan-rakan dari Umno dan langkah Mat Sabu dan rakan-rakan mereka ini lebih menjauhkan aku pula dari menyatakan sokongan kepada parti mereka yang suatu ketika dahulu kelihatan sudah terlalu dekat dan hampir ke arah sana.
Maka jika mereka bebas memberikan gelaran sedemikian kepada golongan seperti Konstable Ismail Abdul Rahman dan rakan-rakannya yang lain samada terkorban atau pun tidak ketika zaman itu dan kini, maka aku juga bebas mengikut taksiran dan kepahaman aku untuk mengelarkan Mat Sabu seperti seekor babi...
Jangan marah kerana aku juga tidaklah layak untuk marah kepada mereka ini kerana menghina dan mengelar pejuang ini sebegitu cuma sekadar amat geram dan amat pula tidak memahami kepada mereka yang mengamalkan matlamat yang menghalalkan apa jua cara... peliknya berani mereka hanyalah kepada sesama bangsa... tidak menjangkaui bangsa yang lain... biarpun adakalanya jelas dipijak dan dihina... samada falsafah, antara kuasa, prinsip dan agama sendiri sekalipun...
Ini adalah sebahagian wira yang tidak pernah didendang...ataupun dijulang... sama ada dari sebelah sini ataupun sebelah sana...
Jika mengingatkan bangsa sendiri itu adalah RASIS, maka aku sanggup digelar sedemikian demi bangsaku..
Ismail dihujani peluru komunis
|
PERISTIWA Bukit Kepong yang melibatkan sebuah balai polis diserang komunis cukup dekat di hati seluruh rakyat Malaysia. Malah, peristiwa tersebut turut diterjemahkan dalam filem oleh pengarah terkenal, Tan Sri Jins Shamsudin.
Namun, mungkin ramai yang jarang mengetahui kawasan Bukit Yong yang terletak di daerah Pasir Puteh, Kelantan dengan keluasan hampir 87 kilometer persegi turut mencatat peristiwa penting dalam sejarah keganasan komunis.
Bagi seorang bekas konstabel polis, Ismail Abdul Rahman, 89, tragedi yang berlaku 58 tahun lalu itu masih tebal dalam lipatan memorinya.
Tragedi yang sehingga mencederakan kedua-dua belah tangan termasuk mengorbankan seorang rakan setugasnya itu akan terus kekal dalam lipatan memorinya.
Malam 23 Mac 1953, cuacanya cukup dingin, sambil ditemani lampu gasolin, dua anggota polis berpangkat Konstabel sedang menjalankan tugas. Kedua-duanya ditemani oleh ketua mereka yang berpangkat Sarjan di Rumah Pasung Bukit Yong.
Sebelum dikenali sebagai balai polis, rumah pasung yang hanya berdindingkan buluh dan beralaskan lantai kayu itu menempatkan sembilan anggota polis dan sembilan buah berek menempatkan ahli keluarga anggota yang bertugas.
Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 8.40 malam, Ismail dan rakannya yang di kenali sebagai Che Ri bersama ketua mereka Sarjan Deraman masih menjalankan tugas.
Sertai pasukan polis
Dalam tempoh lima minit, beliau perlu menyelesaikan satu lagi tanggungjawabnya pada malam tersebut.
Loceng tembaga yang digantung di pangkin rumah pasung itu perlu diketuknya sebagai isyarat kepada anggota yang berada di berek untuk perbarisan (row call).
Dilahirkan pada tahun 1922 di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, Ismail menyertai pasukan polis dengan menyertai Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, Kuala Lumpr atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Henry Gurney pada tahun 1948.
Sebaik menamatkan latihan, beliau dihantar bertugas di Balai Polis Kota Bharu pada 29 Disember 1949 sebelum ditukarkan ke Pulai, Gua Musang tiga bulan kemudian.
Ismail berkata, selepas tiga bulan bertugas di Gua Musang, beliau dipanggil semula untuk bertugas di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan dan sebulan kemudian dia ditawarkan bertugas di Bukit Yong.
Ketika jam menunjukkan pukul 8.45 malam, Ismail terus mendapatkan loceng tersebut. Sebaik pukulan loceng pertama, beliau menyedari terdapat sebuah bas berhenti betul-betul di hadapan rumah pasung tersebut.
Sebaik menoleh ke arah bas tersebut, beliau mendapati, hampir 20 orang lelaki turun daripada bas tersebut. Dalam kegelapan malam itu, matanya sempat menangkap kesemua lelaki tersebut memakai uniform seperti komunis.
"Tiba-tiba tembakan dilepaskan dan kami bertiga dihujani peluru. Saya terus masuk ke dalam rumah pasung dan terus meniarap. Ketika itu Che Ri meniarap di hadapan saya.
"Ketika itu baru saya sedar bahawa kami semua telah diserang oleh komunis dan mereka tidak berhenti menembak sehingga kami semua tidak mampu untuk bangun dan mendapatkan senapang yang tersimpan di dalam sebuah almari untuk membalas tembakan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Ismail, ketika dihujani peluru, ketuanya Sarjan Deraman berjaya melarikan diri ke berek untuk mendapatkan perlindungan, namun beliau dan Che Ri tidak mampu untuk keluar dari situ.
"Tembakan tersebut berlaku selama 20 minit sehingga rumah pasung tempat saya bertugas itu rosak teruk. Kemudian, salah satu peluru telah menembusi perut Che Ri menyebabkan beliau meninggal dunia di situ juga.
"Peluru yang sama juga menembusi tangan kiri saya dan juga terkena tangan kanan saya menyebabkan saya tidak sedarkan diri. Selepas itu, seorang anggota komunis memberikan dua biji ubat menyebabkan saya sedar semula," ujarnya.
Diserang komunis
Kata Ismail, kumpulan komunis tersebut dipercayai telah merampas sebuah bas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Kota Bharu di sempadan kawasan Kelantan-Terengganu yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah pasung tempat beliau bertugas.
Jarak di antara jalan raya dan rumah pasung yang terletak hanya 10 meter menyebabkan tindakan komunis menggunakan kenderaan seperti bas itu adalah suatu yang sangat praktikal. Lebih-lebih lagi apabila mereka merancang untuk memusnahkan rumah pasung tersebut.
Selain daripada kekuatan seramai 20 orang yang turun daripada bas tersebut, Ismail juga berkata, seramai 10 lagi anggota komunis sedang bersembunyi di kawasan semak berhampiran rumah pasung untuk membantu dalam serangan tersebut.
"Memang kami tak sempat berbuat apa-apa. Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan komunis juga menawan anggota polis dan keluarga yang berada di dalam berek.
"Bagaimanapun, komunis tidak mencederakan mereka yang lain. Mereka merampas lapan laras senapang jenis Mark 3 model 303 dan 288 butir peluru yang digunakan oleh anggota polis selain dua laras senapang patah milik penduduk kampung yang disimpan di sini sebelum melarikan diri," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Cerita Ismail, ketika kejadian serangan tersebut berlaku, isteri kepada Che Ri yang terbunuh dikenali sebagai Che Jah, sempat melarikan diri melalui kawasan semak bersama selaras senapang untuk mendapatkan bantuan.
Jelasnya, senapang tersebut adalah senapang yang digunakan Che Ri semasa bertugas. Namun, secara kebetulan ketika kejadian senapang tersebut ditinggalkan di bereknya menyebabkan Che Jah sempat membawa senapang tersebut ketika melarikan diri.
Menurutnya, Che Jah sempat melarikan diri sehingga ke Wakap Raja yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah pasung tersebut sebelum terserempak dengan sepasukan anggota polis Cawangan Khas (SB) yang melakukan rondaan dengan sebuah van.
"Che Jah terserempak dengan anggota SB dan memaklumkan kejadian tersebut sebelum mereka pulang semula ke Balai Polis Pasir Puteh untuk memaklumkan kejadian tersebut serta meminta bantuan.
"Selepas lebih kurang 45 minit menawan rumah pasung tersebut, kesemua komunis tersebut melarikan diri bersama senapang yang dirampas dan tidak lama kemudian, bantuan sampai dan saya dihantar ke klinik Pasir Puteh," ceritanya.
Berikutan kecederaan yang dialami agak serius, Ismail telah dihantar ke Hospital Kota Bharu untuk menjalani pembedahan membuang peluru yang terbenam di dalam tangan kanannya.
Selepas dirawat di hospital selama dua minggu, beliau menerima satu lagi berita sedih. Kedua-dua belah tangannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong kerana kecederaan yang serius. Keadaan itu jika dibiarkan boleh mengancam nyawanya.
Terima penghargaan
Tapi saya tidak benarkan dan saya bersyukur sehingga sekarang ini kedua-dua tangan saya masih boleh berfungsi walaupun tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja berat selepas peristiwa tersebut.
"Berikutan kecederaan tersebut saya terpaksa pencen awal dengan mendapatkan sokongan lembaga perubatan kerana tidak mampu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai seorang anggota polis selepas berkhidmat," katanya.
Keberanian yang ditunjukkan oleh Ismail menentang komunis itu akhirnya diiktiraf oleh kerajaan British apabila beliau menerima pingat atas jasa bakti yang dicurahkan menjaga keamanan Tanah Melayu ketika itu.
Selain itu, beliau turut menerima penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia menerusi hadiah penghargaan yang disampaikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pada 17 September 1994.
Beliau yang kini menetap di Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh menjalani kehidupan seorang diri selepas kematian isterinya Mek Esak Che Lah tahun lalu kerana sakit tua.
Rutin hariannya adalah menunaikan solat berjemaah di madrasah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya selain menziarahi rakan-rakan lain selepas memilih untuk tidak tinggal bersama anak-anaknya.
"Saya lebih senang tinggal sendirian, tak mahu susahkan anak-anak. Di sini saya ada ramai kawan, mereka boleh jaga saya dan lebih gembira untuk bersama-sama mereka," jelasnya yang kini memiliki 30 orang cucu dan enam orang cicit.
No comments:
Post a Comment