|
EMPAT tahun lalu, kehidupan Lengesvary Muniandy, 33, berubah mendadak. Hari-hari yang dilaluinya penuh ceria sebelum itu berganti berlinangan air mata serta kesedihan yang tiada penghujungnya berikutan pemergian suami tercinta.
Kanser otak yang meragut nyawa suaminya dahulu kini kembali menghantui diri Lengesvary apabila satu-satu anaknya pula disahkan menghidap penyakit itu.
Walaupun kondisi anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu masih terkawal, namun keresahan Lengesvary memang tidak dapat disembunyikan kerana setiap kali anaknya itu mengadu sakit kepala, dia akan membawa anaknya terus ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
Hidup dalam serba sederhana di Ladang Elmina, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Lengesvary tidak dinafikan seorang ibu tunggal yang tabah serta tidak pernah sekali menghampakan kehendak anak kesayangannya itu.
“Selepas suami saya meninggal, saya memang tidak ada hati untuk menyambut Deepavali lagi kerana kebiasaannya selepas kematian salah seorang ahli keluarga, kami tidak akan menyambut perayaan itu untuk tahun berikutnya.
“Tetapi saya memilih untuk tidak menyambut Deepavali selama empat tahun. Tiada persediaan dilakukan, rumah tidak dihias, tiada kuih dibuat dan saya hanya membelikan anak saya baju baharu,” luah Lengesvary yang sudah 12 tahun mendiami ladang kendalian Sime Darby itu.
Melihatkan anak yang semakin membesar, Lengesvary tidak sampai hati mengecewakan putera kesayangannya itu dan membuat keputusan untuk menolak rasa sedih itu ke tepi dan memenuhi permintaan anaknya bagi menyambut Deepavali tahun ini.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Melinishwaran Ponarsan, 11, enggan makan selama dua hari dan mahu ibunya membuktikan janji yang dibuat bagi merayakan Deepavali.
Kepulangan ibunya bersama barangan persediaan perayaan seperti pakaian baharu buat dirinya dan bahan membuat kuih lantas mengembalikan senyuman Melinishwaran. Akhirnya dia dapat merasai kemeriahan Deepavali di rumah sendiri.
“Tahun-tahun sebelum ini, saya hanya beraya di rumah kawan-kawan di sekitar ladang ini dan tiada sambutan istimewa di rumah.
“Setiap kali melihat rumah kawan-kawan meriah dan cantik berhias menjelang Deepavali, saya rasa sedih kerana rumah saya tidak begitu,” tutur Melinishwaran yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bukit Darah.
Raya gaya estet
Meskipun dikelilingi pohon-pohon kelapa sawit, ia tidak langsung menimbulkan rasa bosan dalam diri 14 keluarga India di ladang itu malah, ia lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan Deepavali di bandar-bandar besar.
Adik kepada Lengesvary, Mageswary Muniandy, 26, menyatakan, saban tahun penduduk di ladang itu akan menyambut apa jua perayaan bersama-sama tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Semua orang sama di sini, kami seperti sebuah keluarga besar dan kami selesa dan tenang hidup di ladang ini.
“Kebiasaannya dua atau tiga hari sebelum Deepavali, semua penduduk di sini berpeluang menonton wayang yang dipasang menggunakan layar putih di dewan.
“Malam Deepavali pula kami semua akan berkumpul dan bersama-sama melakukan persediaan untuk keesokan harinya,” ujar Mageswary yang bekerja di sebuah kilang berhampiran.
Bukan itu sahaja, dewan serbaguna yang menjadi pusat aktiviti penduduk di situ juga akan bergema dengan paluan gendang-gendang buatan sendiri kanak-kanak India ladang itu.
Melinishwaran merupakan salah seorang kanak-kanak yang terlibat dengan persembahan yang hanya menggunakan tin-tin kosong itu.
“Tin-tin mereka akan diubah suai agar kelihatan seperti dhol (gendang India) sebenar dan diwarnakan agar kelihatan menarik.
“Lampu pelita akan diletakkan di bawah tin-tin ini sepanjang mereka mengalunkan muzik mereka menjadikan ia satu persembahan serba ringkas namun, penuh makna,” kata Mageswary.
Gabung bangsa
Seperti kaum India lain, warga ladang juga akan mandi minyak pada pagi hari yang dipercayai mampu membuang rasa panas dalam badan di samping memberikan penglihatan yang lebih cerah pada hari Deepavali.
Mereka kemudiannya akan mengunjungi kuil yang juga terletak di ladang itu bagi upacara sembahyang dan seterusnya pulang ke rumah untuk makan tose bersama ahli keluarga.
Bagi Lengesvary, walaupun rumahnya hanya didiami dirinya dan Melinishwaran, tetapi hidup mereka tidak pernah sunyi dengan kehadiran saudara-mara serta ahli keluarga lain.
Gunasegar Gurupatam, 18, merupakan wajah wajib yang menyambut Deepavali bersama-sama keluarga Lengesvary meskipun memiliki keluarga di Kuala Lumpur.
“Sejak kecil saya rapat dengan keluarga Lengesvary, jadi saya lebih selesa menyambut perayaan ini bersama mereka dan penduduk di sini.
“Suasana di ladang ini cukup istimewa tambahan lagi apabila orang yang berkunjung ke rumah pada hari raya terdiri daripada pelbagai kaum.
“Di sini kita dapat melihat bagaimana utuhnya perpaduan serta semangat mereka dalam menjayakan sesuatu majlis atau perayaan dan situasi sebegini sukar ditemui di bandar,” jelas Gunasegar yang merupakan adik ipar kepada Lengesvary.
Kuih-kuih tradisional kaum India seperti muruku dan ladu pula kebiasaannya menjadi juadah wajib di atas meja setiap rumah di ladang itu dan keistimewaannya ia akan dibuat sendiri.
Gadai rantai
Berbalik kepada kisah Lengesvary, jika orang lain tidak perlu gusar tentang beban kewangan bagi membuat persiapan perayaan, ibu tunggal itu pula terpaksa menggadaikan rantai emas miliknya semata-mata mahu memenuhi keinginan anaknya.
Tambah Lengesvary yang bertugas sebagai penyelia di ladang itu, segala perhiasan di rumah untuk Deepavali tahun ini merupakan perhiasan lama yang diguna kembali.
Ujarnya, walaupun telah menggadai rantai, dia perlu berhati-hati dalam berbelanja bagi simpanan kecemasan dan belanja rawatan Melinishwaran yang memerlukan pemeriksaan berkala di hospital.
“Memandangkan Melinishwaran masih kecil, saya tidak mahu dia menjalani pembedahan atau mengambil apa-apa ubat kerana bimbang dia akan mempersoalkan penyakit yang dihidapinya.
“Saya hanya mahukan dia hidup normal seperti kanak-kanak lain tanpa perlu risau akan kesihatan dirinya dan tidak dinafikan dia memang sangat aktif,” tutur Lengesvary yang memberitahu bahawa anaknya itu langsung tidak tahu-menahu akan penyakit dalam tubuh badannya itu.
Setiap pagi, Lengesvary akan keluar bekerja pada pukul 6.15 pagi dan ketika itu juga Melinishwaran akan ke sekolah dan hanya bertemu ibunya itu menjelang lewat petang.
Terkenang suami
Memori bersama suaminya masih kuat dalam diri Lengesvary membuatkan dia tidak mahu keluar dari ladang itu walaupun pada hari Deepavali.
“Memang saya masih mempunyai saudara-mara di luar sana tetapi ladang ini banyak memberi kebahagiaan pada diri saya terutama sekali apabila mengenang kembali saat-saat menjaga suami saya ketika dia mula jatuh sakit.
“Dia seorang suami dan ayah yang baik serta sangat menyayangi Melinishwaran. Setiap hari selepas dia pulang bekerja, dia akan membawa anaknya itu bersiar-siar dengan motosikal.
“Ketika dia baru sahaja meninggal dunia, setiap malam Melinishwaran akan tidur bertemankan gambar ayahnya dan perkara itu membuatkan saya sukar melupakannya,” cerita Lengesvary.
Kini, hidupnya hanya tertumpu pada anak dan kerja sahaja. Baginya, perkara lain sudah tidak menjadi keutamaan termasuk mencari pengganti suaminya.
Namun terkadang, Lengesvary meluahkan bahawa setiap kali melihat pasangan suami isteri ceria pada hari Deepavali, secara automatik dia akan teringat kepada suaminya.
“Hanya air mata menjadi penawar, tetapi kini saya tidak mahu kesedihan menyekat kegembiraan Melinishwaran menyambut Deepavali.
“Semoga pesta cahaya kali ini membuka lembaran baharu buat kami dua beranak,” tutur Lengesvary.
No comments:
Post a Comment