TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, June 19, 2012

Catatan Perjalanan: Jalan-jalan di Melaka..Masjid Kampung Kling

Kira-kira sebulan yang lalu, saya menonton Kembara Iman Muda yang mengunjungi antara Masjid tertua di negeri Melaka iaitu Masjid Kampung Kling dan juga Masjid Kampung Hulu yang terletak berhampiran dengan laluan popular iaitu Jonker Walk.

 
Sebenarnya saya tidak pernah mengunjungi kedua-dua masjid ini walaupun boleh dikatan akan berada di Melaka setiap kali cuti sekolah. Namun mungkin kerana tarikan dari paparan kembara Iman Muda di Astro Oasis menarik minat saya untuk menjengah di laluan yang sibuk ini semasa cuti sekolah baru-baru ini.

Dan saya memilih untuk meminjam motorsikal milik bapa mertua untuk memudahkan kembara saya pula. Bermula dengan Jonker Walk yang penuh dengan pelancong asing dan tempatan saya melencongkan perjalanan saya ke Jalan Tukang Besi di mana terletaknya Masjid Kampung Kling. Ternyata ini adalah pilihan yang tepat kerana sukarnya mendapat tempat meletak kereta di kawasan ini.


Lokasinya agak unit kerana terletak amat dekat dengan Kuil Sri Poyatha Moorthi bagi penganut Hindu dan Tokong Chen Hoon Teng. Malah terdapat kisah sewaktu senja akan kedengaran azan dan  loceng serta ratib keagamaan dari ketiga-tiga lokasi ini.


Masjid Kampung Kling ini dikatakan dibangunkan oleh pedagang India Muslim dengan binaan kayu pada tahun 1748 sebelum ditukar kepada binaan simen dan batu pada tahun 1972.


Senibinanya masih lagi mendapat sentuhan tempatan dan ciri-cirinya hampir sama dengan kebanyakan masjid yang terdapat di Melaka. Senibina dalamnya hampir sama dengan Masjid Kampung Hulu dengan dewan sembahnyang disokong oleh 4 tiang utama yang padu. Namun bagi masjid ini, kedudukan tiang dalamannya disamakan dengan senibina gerbang  dari Portugis dan menggunakan besi padu sepenuhnya.


Mimbarnya dibina dengan senibina tempatan dan pengaruh jawa dengan warna keemasan yang masih kelihatan amat baik dan dijaga rapi. Manakala bahagian luarnya pula kelihatan kolah air untuk mengambil air sembahnyang yang begitu damai terasa.

Dikelilingi dengan tembok simen sebagai pagar dan terdapat pintu gerbang seakan-akan senibina China dan India. Lapisan marmar dan jubin dibahagian luar dikatakan dari Negara China serta senibina Menaranya kelihatan seperti pagoda.



Ketika saya berada di sini, kelihatan pegawai Masjid sedang mempersiapkan masjid ini untuk sembahnyang Jumaat yang mejadi giliran bagi masjid ini pada minggu tersebut. Kerana lokasi yang berdekatan dengan Masjid Kampung Hulu, maka digilirkan sembahyang jumaat diantara keduanya.


Lebih menariknya keesokan hari bila saya membeli Utusan Malaysia saya dapati menceritkan kisah kedua-dua masjid ini hampir 2 muka surat penuh. 


Ikuti pula kunjungan saya ke Masjid Kampung Hulu yang terletak berdekatan...

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock