Saya dimaklumkan dari group WhatsApp pagi tadi ada tindakan mogok oleh pemilik-pemilik kedai di Brinchang kerana tidak berpuashati keputusan lanjutan tempoh percubaan laluan sehala yang diumumkan.
Catatan awal mengenai Percubaan Laluan Sehala di Pekan Brinchang di SINI.
Catatan awal mengenai Percubaan Laluan Sehala di Pekan Brinchang di SINI.
Mulanya saya dimaklumkan semua pemilik kedai melakukan mogok senyap dengan tidak membuka perniagaan mereka namun dimaklumkan pula hanya sebilangan sahaja kerana masih ada yang membuka kedai seperti biasa.
Apa yang terjejas dengan penutupan ini?
Beberapa buah Restoran Makanan Cina dan India, dua buah kedai runcit, dua kedai judi (rasanya tak tutup) sebuah kedai hardware, sebuah kedai gambar, dua buah kedai cenderahati dan juga sebuah kedai dobi. Anda terjejas nak ke sana bercuti?
Hotel-hotel rasanya dibuka macam biasa.
Saya kongsikan petikan dari Harian Metro ini sahaja sebagai perincian.
**********
Ipoh: Kesemua premis perniagaan di Pekan Brinchang, Cameron Highlands, ditutup hari ini bagi membantah percubaan pelaksanaan laluan sehala di pekan itu yang disambung sebulan lagi bermula 18 April sehingga 17 Mei ini.
Pada 14 Mac lalu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid mengeluarkan arahan mengenai pelaksanaan laluan sehala itu selama sebulan bermula 17 Mac hingga 16 April sebelum ia disambung sebulan lagi.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R Ramakrishnan dalam kenyataan dikeluarkannya berkata, tindakan penutupan itu adalah sebagai bantahan secara aman terhadap sambungan pelaksanaan laluan sehala itu.
Katanya, penutupan premis perniagaan itu adalah untuk menarik perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Kerajaan Negeri Pahang untuk mengkaji semula perancangan laluan sehala itu.
Menurutnya, bantahan pertama sudah dilakukan apabila seramai 1,300 orang penduduk dan peniaga sudah menandatangani bantahan sebelum diserahkan kepada Tengku Abdullah pada 25 Mac lalu.
"Kami kecewa apabila dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri bahawa Pemangku Raja mengarahkan lanjutan perlaksanaan jalan sehala dan sedih dengan pihak polis yang berulang kali menjalankan percubaan perlaksanaan laluan sehala ini namun gagal mengatasi masalah kesesakan lalu lintas," katanya.
Sementara itu, Hasadid dalam kenyataannya pula berkata, bantahan dilakukan dengan menutup premis perniagaan diketuai Ramakrishnan itu dilihat sebagai berunsur kepentingan peribadi tanpa mengambil kira pandangan majoriti pengguna jalan raya.
Katanya, ketika keberangkatan Tengku Abdullah ke daerah itu pada 15 Februari lalu, keadaan lalu lintas begitu sesak sehingga menjejaskan keselesaan masyarakat dan pelancong menyebabkan arahan dikeluarkan untuk mengatasi masalah itu.
Menurutnya, kesemua agensi kerajaan kemudiannya membuat kajian semula lalu lintas dan bersetuju untuk menjalankan percubaan pelaksanaan laluan sehala sebelum ia dilanjutkan bagi mendapatkan kajian terperinci.
"Pemerhatian berkala dijalankan oleh polis sepanjang tempoh percubaan ini terutama pada waktu cuti umum mendapati kesesakan dapat dikurangkan yang mana kadar maksimum kelewatandapat dikurangkan dari 90 minit ke 45 minit.
"Kesesakan yang berlaku juga hanya satu arah sahaja iaitu di laluan Tanah Rata ke Kea Farm, jika tidak sebelum ini kesesakan di kedua-dua arah kecuali pada waktu puncak," katanya.
Menurutnya, polis memohon kerjasama dan sokongan dari penduduk setempat agar menyokong segala usaha yang dijalankan oleh agensi terbabit dalam mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.
Sumber ; Harian Metro
Sent from my S7edge smartphone
No comments:
Post a Comment