TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Tuesday, April 25, 2017

Tempat nak berkelah dan rehat di Tanah Rata

Parit Fall yang ada kemudahan meja simen.

Maksud catatan ini adalah tempat untuk anda berhenti rehat dan menikmati bekalan makanan anda secara santai. 

Sebab ramai keluarga yang datang ke Cameron Highlands dan membawa bekalan makanan dari rumah.

Mungkin sebagai langkah berjimat dan lebih selesa sebenarnya. 

Teringat zaman kecil saya yang mana mak dan ayah saya sentiasa akan membawa bekalan makanan dari rumah jika keluar berjalan jauh. Tak de istilah makan kedai dahulu tetapi kami gelarkan berkelah walau hanya ditepi jalan dan dibawah pokok.

Saya seringkali melihat suasana berkelah ini di sini. Ada yang berhenti di tepi jalan dan menumpang hentian bas.

Saya nak syorkan beberapa tempat yang sesuai untuk anda.

1. Taman Pertabalan di Tanah Rata. 
Taman awam dan permainan kanak-kanak di Tanah Rata ini lebih lengkap sebab ada tandas awam dan kemudahan pondok rehat. Cuma anak kecil hilang fokus nak makan sebab nak bermain pula nanti. 

Hamparkan tikar anda di bawah pokok besar dan kawasan yang lapang. 

2. Taman Replika sayuran di Tanah Rata. 
Sebelah sahaja di Taman Pertabalan di Tanah Rata.  Ambil ruang bahagian atas di bawah pokok yang besar dan kawasan berumput untuk anda menghamparkan tikar anda.

Replika sayur-sayuran yang besar selalunya menjadi latar belakang bergambar dan juga anak-anak kecil memanjat dan bermain. 

3. Taman Menara Jam
Lokasinya memasuki Pekan Tanah Rata dari arah Ringlet. Ada tiga pondok rehat. Letak kereta di kawasan Oly Apartment sekejab sebab lebih selamat dari melintas jalan.

Menjadi pilihan untuk bergambar dengan berlatarkan ayat 'SELAMAT DATANG KE CAMERON HIGHLANDS'.

4. Tebing Sungai Bertam di Padang MDCH Tanah Rata. 
Sepanjang tebing sungai ada beberapa kerusi dan kawasan lapang sedikit. Cuma tebingnya tak berpagar dan jika ada anak kecil tak sesuai ke sini. 

Kelebihannya suasana agak redup dengan deretan pokok besar di sepanjang tebing. 

5. Taman Eko Rimba Parit Fall. 
Ada kemudahan kerusi dan meja serta pondok rehat. Ruang letak kereta yang lebih dekat dengan tempat rehat memudahkan anda untuk mengangkut bekalan makanan ke meja simen yang disediakan. 

Lokasi masuk ke Taman Eko Rimba ini adalah melalui Kampung Taman Sedia. 

Gambar di atas ini adalah di Taman Eko Rimba Parit Fall ini. 


6. Tapak Perkhemahan Sungai Pauh
Terletak dalam Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands ini lebih unik untuk dikunjungi kerana ada alur sungai yang kecil dan sangat jernih. Sesuai untuk mandi di sini tapi harus diingatkan airnya sejuk sampai ke tulang.

Juga merupakan tapak perkhemahan tunggal di Cameron Highlands.

Selamat berkelah.... santai dan sempoi tetapi satu peringatah KERAS....

JAGA KEBERSIHAN TEMPAT BERKELAH TERSEBUT SELEPAS DIGUNAKAN.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock