Saya pernah kongsikan petikan media mengenai kegusaran pekebun sayur dengan cuaca panas ini yang akan menyebabkan bekalan air mentah untuk kebun mereka akan terjejas.
Untuk Catatan kali ini saya akan cuba huraikan apakah kepentingan air untuk kebun sayur yang terdapat di Cameron Highlands.
Saya mulakan dengan sumber air.
Jenis sumber air yang utama adalah dari alur parit dari hutan dan alur sungai kecil yang mana sumbernya berada di bahagian huluan diantara lembah gunung ganang dan sememang memasuki kawasan hutan simpan. Ianya akan diambil dengan cara membuat empangan kecil di alur parit tersebut dan dialirkan menggunakan paip HDPE mengikut saiz yang tertentu.
Sumber air ini amat popular di kalangan pekebun sayur namun bukan semudah yang disangka.
Ada 'comman law' yang digunapakai di sini iaitu jika sudah ada pengguna yang menakung dan mengambil air di alur tersebut, pengguna baharu tidak boleh membuat takungan dan mengambil air dari bahagian atas kawasan yang telah diambil.
Maksudnya pengguna baharu perlu mengambil di bahagian bawah sahaja dan ini bermakna juga air yang diambil adalah lebihan dari air yang ditakung di bahagian atas.
Engkar kepada peraturan umum ini biasanya akan membawa kepada pergaduhan diantara sesama pekebun.
Ini memaksa setiap pengusaha kebun perlu mencari sumber air baharu di kawasan baru dan tahukah anda jarak melebihi 10 km paip yang dipasang dari kebun adalah jarak biasa bagi setiap pekebun di sini.
Semuanya adalah dibawah kos sendiri. Secara ringkas jika hendak dikongsikan berkenaan dengan kos setiap 1 meter paip HDPE PN 10 bersaiz 2 inchi adalah sekitar RM 4.00-4.50 semeter tidak termasuk upah memasang paip dan juga fitting yang diperlukan serta penyelenggaraan yang perlu dilakukan setiap masa.
Kebiasannya semua air dialirkan secara tarikan atau aliran graviti dari sumber ke kebun masing-masing.
Sumber air dari hutan ini kebiasaanya adalah bersih dan bergantung kepada lokasi sumber air ini ditakung dan dikumpulkan.
Kebiasaanya lokasi sumber air adalah terasing dari kawasan kebun sayur atau tidak langsung berada dalam kebun sayur atau dibawah kebun sayur bagi mengelakakan ianya tercemar dengan segala aktiviti di kawasan ini.
Sumber air kedua adalah dari takungan air hujan yang dikumpulkan semasa hujan melalu takung kutipan di bumbung plot tanaman masing-masing.
Namun bukan semua pekebun membuat sistem takungan kerana keupayaan kawasan takungan adalah besar perlu disediakan dengan kolam atau tangki takungan yang bersesuaian.
Ianya juga perlu kepada taburan hujan yang tidak menentu dan ini menyebabkan bekalan air yang berterusan tidak dapat dijangkakan dan ini menyukarkan kepada aktiviti penyiraman dan operasi di kebun sayur
Biasanya air dari kolam takungan hujan digunakan untuk kerja-kerja pembersihan kerana kualiti air yang tidak terjamin dan memerlukan rawatan tambahan.
Mengapa tidak mengambil sumber air dari kolam , tasik atau sungai besar?
Jawapannya ialah tidak sesuai kualiti air dari sumber ini kerana kebiasanyaa sumber sungai atau kolam atau tasik yang ada di Cameron Highlands adalah bersumberkan kawasan tadahan yanag tercemar iaitu dari sisa kebun sayur dan penempatan yang mana sisa racun dan kebun dibuang ke kawasan sungai atau memang akan mengalir ke sungai yang membawa ke kawasan tasik dan kolam.
Begitu juga dengan sisa domestik iaitu penempatan yang mana dialirkan juga ke kawasan sungai utama.
Sumber air yang tidak berkualiti ini jika digunakan juga akan menyebabkan atau menjadi punca utama pelbagai penyakit tanaman baik yang bersifat bacteria, virus dan pelbagai lagi.
Saya rasa cukup perkongsian pertama mengenai kepentingan air kepada kebun sayur di Cameron Highlands.
Untuk catatan seterusnya mungkin akan saya kongsikan berapa banyak air diperlukan untuk sesebuah kebun tanaman.
Kepada pembaca yang inginkan maklumat lebih lanjut dan terperinci khasnya kepada adik-adik pelajar IPT, saya mensyorkan anda merujuk kepada Pejabat Pertanian Daerah dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap dah sahih sumbernya berbanding di sini kerana saya berkongsikan atas dasar pemerhatian saya semata.
No comments:
Post a Comment