BAGI seorang ibu dari Subang Jaya, Selangor, Siar Siew Ling, 35, beliau sudah mula risau memikirkan anaknya yang bakal menjejak sekolah hanya dalam beberapa hari sahaja lagi. Bakal melalui pengalaman segar kerenah anak berhadapan dengan sekolah baharu di Tahun Satu, Siew Ling kelihatan lebih risau berbanding anaknya, Gabriel Kong Tze Hean, 6.
Ini kerana walaupun anaknya itu berasa teruja terutama sekali apabila sudah mempunyai beg sekolah, pakaian sekolah, kasut dan peralatan tulis baharu, dalam diam-diam, Siew Ling dapat juga merasai akan berlaku sedikit kejutan bagi Gabriel.
"Ia akan menjadi satu pengalaman yang sangat berbeza. Walaupun pernah memasuki tadika dan prasekolah selama tiga tahun iaitu bermula usia empat tahun, saya tetap takut," katanya.
Tambah Siew Ling lagi, berhadapan dengan persekitaran pendidikan formal, guru besar, guru sekolah, kumpulan pelajar yang lebih besar dan peraturan sekolah pasti akan membuatkan kanak-kanak Tahun Satu sedikit terkejut.
Bagaimanapun ia adalah satu perasaan normal dalam kalangan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dan mahir mengendalikan situasi yang pelbagai, demikian kata Pakar Psikologi Klinikal, Program Psiko Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Madya Dr. Alvin Ng Lai Oon.
"Apa yang penting, jangan takutkan anak-anak terlalu awal mengenai zaman persekolahan tetapi, dedahkan secara berperingkat pada usia yang betul. Biar mereka didedah dengan persekitaran sekolah, melihat kanak-kanak lain ke sekolah dan bekalkan peralatan sekolah untuk menyedarkan kini tiba giliran mereka pula ke sekolah," ujar Alvin.
Jangan terlampau risau
Kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan Tahun Satu dilaporkan banyak berhadapan dengan tekanan atau ketakutan. Walaupun ia sesuatu yang normal, adalah disarankan supaya ibu bapa mendekatkan kanak-kanak dengan persekitaran sekolah supaya ketakutan itu tidak lama, berpanjangan mahupun memberi impak terhadap akademik.
Alvin juga menyarankan agar ibu bapa tidak berkelakuan terlalu mengendahkan tekanan yang bakal dihadapi kanak-kanak sebaliknya cukup untuk mengambil kira ia sebagai satu kepentingan.
Mengambil contoh kebimbangan Siew Ling terhadap anaknya yang teruja untuk ke sekolah, Alvin juga mahu ibu bapa bersedia dengan beberapa perancangan atau pelan apabila anak mereka mula membuat perangai.
Apa yang dimaksudkan oleh Alvin ialah terhadap kanak-kanak yang akan mengharapkan ibu atau bapa akan sentiasa menemani mereka sepanjang berada di sekolah. Kanak-kanak itu akan menangis jika dipisah daripada ibu bapa atau enggan membuka mulut sewaktu di dalam kelas.
"Mungkin pada hari-hari permulaan, ibu atau bapa perlu memberi sedikit ruang dan masa. Tetapi jangan sekali-kala memanjakan anak sehingga anda memaksa diri untuk tinggal di sekolah sepanjang waktu persekolahan untuk tempoh lama," katanya sambil mengakui ada ibu bapa yang terpaksa 'berkampung' di sekolah selama lebih sebulan.
Apabila ditanya penyelesaian untuk berhadapan dengan situasi yang disenarai tadi, Alvin berkata semuanya perlu bermula dari awal oleh ibu bapa sebagai modal dan disiplin di samping kelonggaran di mana patut.
Bercakap panjang lebar, Alvin merujuk kepada kenyataan seorang lagi ibu Halina Mihamed Yasin, 32, "Saya berpendapat anak saya akan berhadapan dengan masalah bangun awal memandangkan sekolahnya bermula pada sesi pagi."
Kata Alvin, masalah bangun awal pagi bukan satu masalah besar memandangkan setiap kanak-kanak melaluinya dan lazimnya mampu dilatih oleh ibu bapa. Katanya, ibu bapa perlu manjadikannya satu rutin dan ibu bapa perlu menjadi modal asas.
"Juga, ibu bapa boleh memberi ganjaran, jika anak bangun awal. Bukan merasuah atau tawaran tetapi, ganjaran dan ia dilakukan hanya selepas kanak-kanak itu berjaya melakukan," katanya yang mengalakkan ganjaran untuk apa jua kelakuan positif kanak-kanak.
Katanya lagi, latihan untuk bangun awal boleh dilakukan apabila ibu bapa bersama-sama terlibat untuk tidur dan bangun awal. Lain-lain tip yang dikongsi Alvin bagi ibu bapa pertama kali mempunyai anak melangkah ke Tahun Satu ialah untuk memastikan anak-anak diberi pemakanan yang sihat sama ada sebelum pergi ke sekolah, bekalan makanan pada waktu rehat dan sepanjang hari. Katanya, diet sihat adalah antara elemen yang paling penting diberi keutamaan.
Belajar pengalaman anak sulung
Dalam pada itu, Halina, ibu kepada tiga orang anak akui kini giliran anak kedua pula ke sekolah rendah dan beliau sudah melakukan persediaan yang sepatutnya.
Sambil tersenyum manis, Halina mengakui seperti kanak-kanak lain, anaknya, Muhamad Aiman Haziq berasa seronok tetapi, dalam masa ketakutan itu tetap ada.
"Biasanya kanak-kanak suka pergi sekolah kerana dapat berjumpa ramai kawan. Dari segi sosial, biasanya tiada masalah tetapi persediaan akademik, saya terpaksa memberi sedikit tumpuan. Ini hasil pengalaman anak pertama saya," ujar Halina.
Tambah beliau, sebagai melatih dan bersiap sedia dengan pendekatan akademik anaknya, Halina bertindak menghantar Aiman ke tuisyen selama sebulan sebelum sesi persekolahan bermula.
"Saya dapat melihat perkembangannya, walaupun pernah menghantar ke tadika, saya memilih untuk hantar tuisyen untuk memastikan Aiman tidak akan ketinggalan di sekolah kelak. Nampaknya dia mampu mengikuti silibus baru," akuinya.
Menurut seorang guru yang mengajar kanak-kanak kanak-kanak Tahun Satu di sebuah sekolah di Lembah Kelang, masalah yang dihadapi bukan sebenarnya daripada kanak-kanak itu.
"Kami boleh mengawal kanak-kanak dan memperkenalkan satu persekitaran yang mesra. Tetapi sukar untuk ibu bapa mempercayai kami dan meninggalkan anak mereka," katanya yang enggan dikenali.
Dengan pengalaman hampir lima tahun, guru itu memberitahu, pada minggu pertama kanak-kanak hanya didedah dengan program orientasi dan suai kenal. Tetapi apabila ibu bapa bertindak berada di luar kelas dan terlalu memantau anak mereka, kanak-kanak ini seolah-olah terikat.
"Mereka (kanak-kanak) akan hanya memberi perhatian kepada ibu bapa yang sedang menunggu di luar dan bukan perjalanan dalam kelas," katanya kesal.
No comments:
Post a Comment