TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, October 30, 2019

ERA BARU CAMERON HIGHLANDS


Sumber : Dari FB Menteri Besar Pahang. 

Penubuhan Sebuah Badan Khas 

Tanah Tinggi Cameron merupakan tempat istimewa di Pahang yang mempunyai tanah subur, cuaca nyaman, serta pemandangan yang mempersona. Gabungan unsur ini menjadikan Cameron Highlands tempat berpotensi tinggi dalam bidang pelancongan dan pertanian. 

Namun begitu, keistimewaan Cameron Highlands kini kian terhakis akibat sifat tamak segelintir manusia yang telah menjalankan aktiviti pertanian haram serta membina struktur tanpa kelulusan. Perkara ini telah menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran sungai, hakisan dan gelongsoran tanah, seperti yang telah berlaku di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam pada tahun lepas. 

Maka dengan itu, Kerajaan Negeri Pahang telah bercadang untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi menguruskan Cameron Highlands yang dipanggil Lembaga Pembangunan Cameron Highlands. 

Lembaga ini akan berfungsi sebagai perancang, penyelaras, dan pengawal selia aktitivi pembangunan mampan di tanah tinggi tersebut tanpa mengabaikan faktor alam sekitar. Selain itu, Lembaga Pembangunan Cameron Highlands akan turut memberikan tumpuan terhadap pembangunan ekonomi dalam bidang pelancongan, pertanian, dan pembangunan tanah dengan menggalakkan pelaburan daripada pihak swasta.

Di dalam Lembaga Pembangunan Cameron Highlands, akan ada tiga jenis ahli yakni wakil kerajaan negeri, wakil agensi persekutuan, dan pakar dalam bidang yang berkaitan. Saya, selaku Menteri Besar Pahang,  akan mengambil tempat sebagai Pengerusi. 

Jika cadangan ini diluluskan oleh oleh Ahli Dengan Undangan Negeri, Lembaga Pembangunan Cameron Highlands akan mula beroperasi seawal 1 Januari. Penubuhan Lembaga ini dilihat sebagai sebuah perkara yang wajar bagi membaik pulih serta meningkatkan potensi Cameron Highlands ke peringkat ke lebih tinggi. Cameron Highlands selaku permata negeri Pahang wajar dijaga sebaiknya agar keindahan dan kesuburannya dapat terus dinikmati bersama. 

Dirgahayu, Darul Makmur. 
Negeri Pahang terus masyhur.

#MajuTerusPahang
#Pahang1st
#PahangGo

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock