MUHAMAD MAT YAKIM
8 September 2016
SEJAK tersebar gambar pertemuan Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, yang menunjukkan mereka buat pertama kali berjabat tangan selepas 18 tahun Anwar dipecat, saya ditanya oleh seorang rakan, adakah itu menunjukkan Mahathir kesal kerana tidak meneruskan rancangan asalnya melantik Anwar sebagai pengganti?
Saya bukanlah Mahathir, ataupun sekurang-kurangnya orang yang dekat dengan dia, maka tidaklah saya dapat menjawab soalan itu.
Apa yang saya boleh katakan adalah bukan Anwar seorang sahaja yang kita lihat berpotensi untuk jadi Perdana Menteri, sebenarnya ada beberapa orang lagi dan mereka juga seperti Anwar, ditakdirkan tidak sampai untuk duduk di kerusi No. 1 itu. Kita selama ini begitu memfokuskan kepada pengganti Mahathir.
Apabila Pak Lah dikatakan tidak memiliki kompetensi untuk terus berada di kedudukan itu dan hanya mampu bertahan enam tahun sahaja – yang secara relatif dikira singkat mengikut tempoh Malaysia tetapi tidak bagi negara lain – lalu digantikan dengan Najib, keadaan tidaklah semakin baik.
Seperti Pak Lah, Mahathir kini berkempen untuk menurunkan Najib pula. Saya tidak pernah lupa akan kata-kata seorang bekas menteri dalam Kabinet Mahathir ketika kami bertemu beberapa tahun lalu: "Lama (jadi Perdana Menteri) bagus tetapi terlalu lama, tidak bagus. Ia akan mengorbankan pemimpin lain yang juga berkebolehan."
Bantah
Selain Anwar, ramai yang anggap Tengku Razaleigh Hamzah paling layak untuk diangkat jadi Perdana Menteri, demikian juga Musa Hitam. Namun sebelum Mahathir, Ghazali Shafie @ King Ghaz juga disebut-sebut sebagai pilihan untuk menduduki kerusi itu. King Ghaz sememangnya dimahukan oleh Hussein Onn untuk jadi timbalannya apabila Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri secara mengejut sejurus selepas kematian Tun Razak di London pada 14 Januari 1976.
Dari segi keupayaan, Ghazali lebih daripada layak. Pada 1962, dia dilantik menganggotai Suruhanjaya Cobbold untuk mengkaji cadangan membentuk Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Labuan, juga merangka draf perlembagaan baharu Persekutuan. Kelulusannya dalam bidang perundangan dan hubungan antarabangsa yang dilengkapkan dengan pengalaman kerjaya yang luas melayakkan dia untuk duduk di mana sahaja.
Bagaimanapun atas sebab dia bukan seorang daripada Naib Presiden Umno ketika itu, Ghazali dianggap tidak cukup syarat untuk diterima sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ura-ura pelantikannya dibantah oleh mereka yang memegang jawatan jawatan tersebut iaitu Ku Li, Ghafar Baba dan Mahathir. Mereka bertemu Hussein dan memberi kata dua kepadanya: "Lantik seorang daripada kami ataupun kami akan boikot Kabinet!"
Setelah berunding dengan Abdul Kadir Yusoff, seorang daripada anggota Kabinet yang juga rakan karibnya sejak di London, Hussein memilih Mahathir. Ku Li walaupun menduduki kerusi Naib Presiden No. 1 (berdasarkan undi terbanyak diperolehinya ketika pemilihan), memberi laluan kerana dia dijangka masih mempunyai peluang untuk mendaki hierarki tertinggi pada masa depan atas perkiraan umurnya yang lebih muda berbanding Mahathir.
Meskipun Mahathir dilantik Timbalan Perdana Menteri, hubungannya dengan Hussein tidak begitu baik. Tidak dapat dipastikan sama ada hal itu ada kaitan dengan kemahuan Hussein terhadap Ghazali yang terhalang oleh kata dua Naib Presiden Umno yang bertiga itu.
Garang
Hakikatnya, apabila Mahathir naik jadi Perdana Menteri bermula 16 Julai 1981, hayat politik Ghazali tidak bertahan lama. Ini dikatakan ada kaitan dengan tindakan Ghazali selaku Menteri Dalam Negeri menahan Siddiq Ghouse, Setiausaha Politik Mahathir bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Julai 1981, tiga hari sebelum Mahathir angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Siddiq disyaki menjadi ejen KGB, agensi perisikan Soviet Union. Dia sebelum itu telah tujuh tahun menjadi Setiausaha Politik Mahathir sejak di Kementerian Pelajaran.
Sebaik menduduki kerusi Perdana Menteri, Mahathir memindahkan Ghazali ke Kementerian Luar dan pada 30 Julai 1981, dia membebaskan 21 tahanan ISA. Posisi Ghazali di Kementerian Dalam Negeri digantikan dengan Musa Hitam yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dalam satu dialog selepas pengkisahan pengalamannya bersama pelajar Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi (FBMK) UPM ketika saya mengikuti pengajian PJJ di universiti itu pada 2004, saya bangun bertanya kepada Ghazali, adakah dia terfikir selepas dirinya, jawatan Menteri Dalam Negeri hanya dipegang sama ada oleh Perdana Menteri sendiri ataupun timbalannya kerana mereka tidak lagi percayakan orang lain selepas melihat ketegasannya (menangkap Siddiq Ghouse)?
Saya tidak ingat apa jawapan Ghazali tetapi hakikatnya, selepas Musa, jawatan Menteri Dalam Negeri dipegang sendiri oleh Mahathir hinggalah dia bersara.
Apabila Pak Lah ambil alih sebagai Perdana Menteri, dia sendiri juga pegang jawatan itu. Hanya dalam Kabinet Najib, barulah dia mempercayakan orang lain untuk memegang jawatan tersebut iaitu kepada sepupunya, Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid Hamidi.
Saya berani bangun bertanyakan Ghazali soalan itu atas kedudukan sebagai pelajar.
Jika tahu saya wartawan, dia mungkin tidak selesa atau tidak mesra untuk menjawab soalan saya kerana semua wartawan tahu betapa 'cengey' (garang) Ghazali dengan wartawan.
Apa pun, sesiapa yang mengikuti kisah hidup King Ghaz tahu dan akui bahawa dia adalah negarawan yang hebat. Terlalu banyak jasanya kepada negara jika mahu disebutkan satu persatu.
Antara yang saya masih ingat, kepada pelajar FBMK UPM malam itu, dia menceritakan pengalamannya tangani sendiri insiden Tentera Merah Jepun (JRA) yang berfahaman komunis dan mahu menghapuskan sistem pemerintahan beraja Negara Matahari Terbit itu menawan bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 4 Ogos 1975.
Sebenarnya bukan itu sahaja keganasan yang pernah dicetuskan JRA. Mereka pernah menyerang Lapangan Terbang Lod Israel (sekarang LTA Ben Gurion) di Tel Aviv menyebabkan 24 terbunuh, merampas kapal terbang dan menyerang pusat rekreasi tentera Amerika Syarikat (AS) di Itali selain menyerang beberapa kedutaan di serata dunia.
Pengganas
Ertinya, JRA bukanlah sembarangan pengganas. Mereka juga anti AS dan Israel serta pro perjuangan Palestin. JRA menawan bangunan AIA dengan 53 tebusan yang termasuk beberapa diplomat asing yang beroperasi di bangunan berkenaan demi menuntut pembebasan tujuh rakan mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa Jepun.
Mereka hanya bersedia untuk membebaskan para tebusan jika rakan-rakan mereka yang ditahan itu dibebaskan dan dihantar ke Kuala Lumpur. Pada mulanya, Menteri Perhubungan, V. Manickavasagam ditugaskan untuk berunding dengan kumpulan itu, juga pihak kedutaan yang terlibat. Rundingan dikendalikan Manickavasagam bagaimanapun gagal.
Ketika itu, Ghazali berada di Jakarta untuk tugasan rasmi. Dia bergegas pulang dan diarahkan oleh Tun Razak untuk ambil alih tugasan Manickavasagam. Keberanian dan kesungguhan Ghazali mengejutkan. Dia masuk ke bangunan AIA untuk berunding. Difahamkan tiga hari dia keluar masuk bangunan itu.
Akhirnya persetujuan dicapai dengan JRA. Kerajaan Jepun pada mulanya enggan menurut tuntutan kumpulan berkenaan beralasankan maruah. Namun atas desakan Ghazali yang bertegas mahu mengelak kemungkinan lebih buruk, mereka terpaksa akur. Anggota JRA yang ditahan dibawa ke Kuala Lumpur.
Episod dibawa ke satu fasa yang masih juga tidak mudah. JRA menuntut dihantar ke negara ketiga yang sedia memberi jaminan untuk mereka tidak akan ditahan. Berbekal pengalaman dan pergaulan luas Ghazali di peringkat antarabangsa, dia berjaya mendapatkan persetujuan Libya yang dipimpin Muammar Gaddafi untuk menerima anggota kumpulan itu.
Mereka akan dihantar ke sana dari Kuala Lumpur dengan pesawat DC-8 Japanese Airlines yang dirampas JRA di Seoul, Korea Selatan.
Terhempas
Setelah persetujuan dicapai, Ghazali menuntut pembebasan kesemua tebusan. JRA bersetuju dengan syarat, tebusan harus diganti dengan empat wakil kerajaan iaitu dua dari Malaysia dan dua dari Jepun yang akan mengiringi mereka ke Tripoli.
Ghazali bersetuju.
Wakil Malaysia yang dipilih ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Ramli Omar dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Osman Samsuddin Cassim. Jepun bagaimanapun berusaha melengah-lengahkan usaha itu dengan memberi alasan juruterbang mereka perlu berehat dahulu sebelum berlepas ke Tripoli. Sebenarnya juruterbang itu takut ditembak.
Akhirnya, juruterbang MAS, Kapten Hassan Ahmad diputuskan akan mengambil alih tugas menerbangkan mereka ke Tripoli.
"Itupun, masalah tidak selesai juga," kata Ghazali dalam nada suara tersekat-sekat (akibat uzur) ketika berkongsi pengalamannya dengan pelajar UPM, 12 tahun lalu.
"Kami hadapi masalah untuk pesawat itu turun mengisi minyak kerana tidak ada negara yang sanggup memberikan kebenaran mendarat kapal terbang yang bawa anggota JRA ini," katanya. Di sini, sekali lagi keupayaan dan kemahiran Ghazali dalam arena diplomasi antarabangsa diuji, dan dia berjaya membuktikan.
Dia hubungi Perdana Menteri Sri Lanka, Bandaranaike untuk mendapatkan persetujuan mendarat di Colombo.
Namun, itu tidaklah mudah juga. Hanya setelah beberapa lama rundingan, barulah Bandaranaike bersetuju, itupun dengan syarat, tidak ada sesiapa dibenarkan keluar ketika pesawat mengisi minyak.
"Saya diberitahu, ketika kapal terbang itu mendarat di Lapangan Terbang Colombo, berpuluh-puluh kereta kebal sudah menunggu," kata Ghazali dalam pengkisahan itu. Pada 8 Ogos 1975, pesawat yang membawa pengganas JRA dengan empat wakil kerajaan termasuk dua dari Malaysia berjaya mendarat di Tripoli.
Pada 10 Ogos 1975, Ramli dan Osman kembali ke Kuala Lumpur dalam keadaan selamat.
Keupayaannya mengendalikan krisis rampasan dan tebusan selama lima hari itu tanpa pertumpahan darah menjadi salah satu daripada petunjuk karisme dan kewibawaan King Ghaz sebagai pemimpin pada zaman itu.
Satu lagi peristiwa yang paling diingati melibatkan dirinya ialah kejadian pesawat Cessna yang dipandunya terhempas di Janda Baik, Pahang pada 10 Januari 1982.
Ghazali ketika itu dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan Parlimennya. Tragedi itu mengorbankan pengawal peribadinya, Asisten Superintendan Charon Daam dan pembantu juruterbang, Vergis Chacko.
Ghazali sendiri mulanya disangka senasib dengan mereka hingga ada akhbar yang tersalah lapor berita muka depannya dengan tajuk 'King Ghaz Dies' (King Ghaz terkorban).
Bagaimanapun esoknya, setelah mendapati apa yang mereka laporkan itu tidak benar, akhbar yang sama membuat laporan yang berbeza - We're happy Ghaz is alive! (Kami gembira Ghaz masih hidup!).
Ghazali sendiri ketika bercakap dengan wartawan selepas ditemukan selamat berkata: "Saya masih hidup dengan takdir ALLAH."
Ini kerana memanglah luar biasa untuk seseorang selamat dalam peristiwa pesawat jatuh terhempas seperti itu.
Begitulah warna-warni hidup seorang negarawan yang menyerahkan diri dan seluruh kehidupannya kepada rakyat dan negara.
Dia meninggalkan dunia pada jam 7.45 malam, 24 Januari 2010 dalam usia 88 tahun sebagai orang biasa, bukan yang kaya raya dengan harta dan kemewahan dunia meskipun setelah begitu lama berada dalam tampuk kuasa.
Kerana itulah, pemimpin seperti King Ghaz berani dan cekap untuk bertindak tegas dengan sesiapa sahaja kerana mereka tidak terikat dengan kepentingan diri. Perhatikanlah sama ada dalam barisan hadapan kepimpinan negara hari ini yang kalau pun tidak lebih, ada pemimpin yang memberikan tahap kualiti seperti itu.
Mungkin itu boleh jadi jawapan saya kepada pertanyaan rakan tadi sama ada Mahathir kesal dengan tindakannya 18 tahun lalu mengenepikan Anwar sebagai pengganti!